Iklan

Dec 15, 2014

Besar-Besaran Sungguh

Bismillahirrahmanirrahim...

... macam nak raya, kata adik aku yang bakal bergelar suami orang.

'tak, ini lebih daripada nak raya!' sambung dia semula.

Aku dengan mak hanya gelak. Tapi sungguh, aku sendiri rasa untuk kali ini persiapan untuk berkenduri adalah sangat melebih-lebih. Padahal kenduri kononnya nak buat kecil sahaja, dengan jemputan sekitar 300 orang sahaja.

Tapi aku faham kenapa. Kami suka buat kenduri, menjamu orang makan-makan dirumah. Tapi dah lama sungguh tak buat. Seingat aku kali terakhir buat makan-makan adalah awal tahun lepas, sempena sambutan hari lahir Aisya yang ke 11. Itupun kami buat jamuan kecil sahaja dirumah untuk sekitar 40 orang tetamu, dan doa selamat dibuat disurau sahaja. Kami membungkus makanan untuk 30 orang dan ayah bawa ke surau. Pulut kuning dengan rendang ayam.

Jamuan dirumah biasanya dibuat pada bulan Ramadhan. Tapi itupun lama sungguh kami tak buat. Kenduri kahwin paling akhir dirumah kami ialah 8 tahun lepas, iaitu tahun 2006! Ini mungkin kenduri kahwin terakhir kat rumah ini. Hehe.. mungkin. Tempoh selepas menetap tarikh kenduri hingga ke hari besarnya, tak lama. Memang kami macam kelam kabut, sebab macam banyak sangat benda nak kena buat. Rumah nak dicat baru. Ada bahagian dinding yang perlu diganti. Adik lelaki nak tukar bilik dengan adik perempuan. Perabot bilik, kena ubah tempat. Almari kat dapur, yang buruk, tukar baru. Siling semua dicat baru.

Diluar rumah pula banyak pula ceritanya. Pokok naga yang di bahagian depan, yang dah teruk dijangkiti penyakit apa ntah, perlu dibuang. Kayu-kayu yang banyak bertambun-tambun yang boleh dipakai lagi, dikumpul. Yang hendak dijadikan kayu api untuk gulai kenduri nanti, dikumpul. Yang dah dimakan anai, yang reja-reja, aku jadi tukang bakarnya. Dah la pokok manggis tepi rumah sedang berpucuk baru, daun lama habis luruh. Selang sehari dah penuh daun kering di bawah pokok. Tin-tin, bekas plastik, kaca, besi-besi, dah berapa kali kami kumpul bakar, buang dan jual.

Tukang bakar sampah, again, akulah. Siap berpesan kat mak lagi sebelum pergi kerja, nanti biar aku yang bakar sampah dan kayu-kayu. Aku suka sangat kerja tu. Rasa puas hati kalau dapat nyalakan api dan tengok maraknya yang merah kuning!

Sejak bulan lepas lagi, setiap hujung minggu adalah hari bergotong royong. Seronok! Tapi letihnya usah dicakap. Bab-bab hantaran, belum siap apa pun lagi. Mak dah naik bimbang. Beli bunga-bunga, kat situlah dia duduk. Dalam plastik bawah katil. Tak sempat nak buat apa! Tambah lagi aku tengah banyak kerja. Hujung-hujung tahun ni la tiba-tiba itu nak ditender, ini nak ditender. Nak menyelit-nyelit cuti pun tak berapa nak sempat.


Bagaimanapun aku yakin, bila tiba masanya, semua akan siap dan meriah. Moga dipermudahkan. Amin.   


Dec 10, 2014

Reunion Ex-SMADG 1989 - 1993

Bismillahirrahmanirrahim


Entri ini tidak bergambar walaupun ianya tentang perjumpaan semula bekas pelajar Sek. Men. Agama Durian Guling tahun 89 - 93. Aku tak mengambil gambar sebarang satu pun. Aku lebih teruja berjumpa mereka-mereka yang masih kenal aku, biarpun aku di situ hanya sehingga 1991, 3 tahun yang masih mentah. Tingkatan 4 aku dah ke sekolah lain. Perjumpaan itu pula hanya melibatkan bekas pelajar tingkatan 1 1989 sahaja. Bukannya melibatkan seluruh tingkatan pada tahun tersebut seperti yang selalunya dibuat, yang memang aku tidak endah untuk hadir. Ianya pengalaman baru, pengalaman pertama.


Nak kata aku introvert atau antisosial, aku mengaku memang benar. Sekarang la tapinya. Dulu-dulu masa bersekolah di sekolah tersebut, aku berkawan dengan semua orang. Kawan-kawan baik aku merata kelas. Masa tu ada lima kelas. Tingkatan satu aku kelas 1A2, tingkatan 2 pun aku kelas 2A2. Cuma tingkatan tiga pada tahun 1991, sekolah itu tiba-tiba nak cuba asingkan kelas mengikut jantina. 3A1 dan 3A2 lelaki, 3A3 hingga 3A5 kelas perempuan. Aku kelas 3A3.


Sebenarnya dari awal lagi, biarpun telah memberi persetujuan untuk hadir, aku masih teragak-agak. Sungguh, aku macam nak kena tempuh suatu peristiwa besar, sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi! Entah berapa kali la juga aku bermimpi pasal perjumpaan itu. Padahal, jumpa kawan-kawan lama saja pun. Apekehal yang kecoh sangat, berdebar macam nak kena kahwin! Hahaha.... Sehinggakan bila dah bayar (yang aku rasakan agak mahal sebab aku kononnya nak pergi sorang jer pun), aku  masih berkira-kira nak pergi ke tidak. Malah pada hari perjumpaan tersebut, memandangkan jarak rumah aku dengan tempat perjumpaan tak adalah jauh mana, jam 11 aku masih relaks kat rumah sambil fikir nak pergi ke tak. Aku segan.. hehe..


Tapi akhirnya aku pergi juga, dengan niat nak jumpa beberapa orang kawan yang pernah rapat dulu. Siti Zainab, Zawati, itu jer la pun. Bagaimanapun memang tak menyesal sungguh la aku pergi. Ramai yang masih ingat pada aku, kenal aku. Dan ramai lagi yang rapat dulu dengan aku, turut hadir dan masih boleh berborak dengan kecohnya dengan aku. Alhamdulillah. Siti Khadijah, Norliza, Engku Fatimah Nasuha, Fadzilah Majid. Jumpa dengan diaorang membuatkan aku terfikir, bagusnya kalau aku tak tukar sekolah dulu. Hehe...


Ya... kalau ditanya, pada tahun bilakah aku kalau boleh, nak undur ke belakang semula. Aku, kali ini akan yakin menjawab, tahun 1992 ketika tingkatan 4 di SMADG. Ketika aku di kelas 4 sastera arab, duduk sebelah Salmiah Sidik, dan belajar tentang puisi dan pantun. 


Nov 23, 2014

Banjir Ikut MB?

Begitulah yang dengar-dengar di mana-mana di Terengganu.

Apabila banjir besar kali pertama tahun ini bermula di Kuala Nerus, daerah MB baru di Terengganu. Padahal tiap-taip tahun pun, kawasan depan UMT dan UniSZA itu memang banjir dan di tutup laluan. Cuma teruknya tahun ini sehinggakan kawasan itu diistiharkan DARURAT. Malah rumah kawan aku yang tinggal di Mengabang Telong, yang tak pernah-pernah banjir, tahun ini air masuk hingga ke dalam dapur dan ruang tamu. Mujur 'ibu rumah' lebih tinggi, makanya tak perlulah berpindah randah.


Tahun lepas banjir besar di Kemaman, sebab MB masa itu orang Kemaman. Dulu masa MB orang Besut, Besut pun tenggelam juga.


Sebenarnya semuanya kebetulan sahaja. Banjir tak adanya nak ikut mana-mana MB. Cuma MB ni, suka membangunkan daerah sendiri bila mereka jadi MB. Semestinya diaorang nak tolong 'orang kampung' diaorang dulu kan. Aku rasa mana-mana orang yang diberi sedikit kuasa, memang akan begitulah. Pembangunan pula, mestilah ada kerja-kerja menambung tanah ke kawasan yang hendak dibangunkan. Bila tanah ditambung, saliran pula tidak dibuat, maka hasilnya adalah banjir.


Itulah yang dikatakan banjir ikut MB. Hehe...


Di rumah aku, banjir kali ini kali kedua teruk selepas banjir besar tahun 80-an dulu. Tapi alhamdulillah, air yang sipi-sipi nak tumpang masuk ke dapur, berlalu dulu sebelum sempat beri salam. Alhamdulillah. Dengar-dengarnya akan ada gelombang kedua. Harap-harapnya tak adalah seteruk gelombang pertama ini.

Nov 13, 2014

Bila Ayah Sakit

Bismillahirrahmanirrahim


Rumah kami jarang menerima tetamu. Setakat orang-orang kampung datang cari ayah, ada hal biasa-biasa, mereka lebih suka lepak di luar rumah. Kebetulan bawah pokok manggis tepi rumah, ada meja kayu besar dan kerusi-kerusi plastik hitam. Disitu selalunya tempat lepak tetamu-tetamu biasa. Kalau tetamu jauh dan jarang bertandang muncul, barulah ruang tetamu rumah kami bernyawa. Aku selalu cakap dengan mak, ruang tetamu rumah kami itu macam 'mati'. Tak bernafas dan tak hidup. Hari raya pula barulah ruang itu kembali meriah.



Sejak ayah pulang dari hospital ahad lepas, rumah kami tak putus-putus terima tetamu. Sudah dua hari aku pulang kerja, dan disambut tetamu yang penuh didapur rumah kami. Ya.. dapur. Sebab ayah duduk didapur. Sebab pinta dapur yang mengadap ke depan rumah, memang dah macam pintu utama. Sebab dapur memang tempat kami semua lepak juga. Jadi kalau orang datang, mereka terus masuk ke dapur. Mujur ruang dapur rumah kami itu luas. Sekali dengan bilik mandi, tandas, ruang memasak, dan beranda belakang, aku rasa besar bahagian itu sahaja sudah sama besar dengan rumah flat dua bilik.


Aku letak katil kecil aku sebelah tangga di dapur. Supaya ayah tak perlu naik turun sangat. Ayah anak bongsu. Anak-anak saudara ayah ramai. Cucu-cucu saudara dah ramai kahwin. Malah cicit-cicit saudara ayah pun dah besar-besar. Ayah pula antara orang kuat surau dekat kampung. Sekali datang, bukan 2, 3 orang. Jarang kurang dari sepuluh! Masya Allah. Meriah jadinya macam ada kenduri kendara pula. Air panas, habis sekendi, sekendi dimasak. Teko air teh tak surut airnya, asyik bertambah. Dalam sinki tak payah cakap la, penuh dengan cawan. Mujur pokok duku dua batang dekat dengan rumah, sedang berbuah dan masak. Buahnya elok-elok sahaja baru masak. Abang sulung aku, jadi tukang panjat pokok duku. Buah duku itulah jadi hidangan para tetamu. Alhamdulillah.


Luka ayah yang dijahit dah makin kering. Aku pula yang jadi jururawat peribadi ayah, tukang cuci dan tukar balutan tiap-tiap hari. Aku berani buat itu pun sebab jururawat kat klinik kerajaan yang ajar dan suruh aku buat sendiri. Katanya, datang klinik, lama menunggu dah satu hal. Nak buatnya (cuci) tu sekejap ajer pun. Jadi aku jadi tukang cuci (luka) setiap pagi dan malam. Tengahari mak aku buat. Tapi ayah aku kata, mak tak pandai. Hahaha...


Semoga ayah cepat sembuh. (Tak sembuh lagi ni pun, ayah dah pergi tempat kerja dan minum kopi di kedai). 

Nov 11, 2014

Topeng Senyum




aku teringat
suatu ketika
setiap kali aku bertanya
kau ok ke?
ok, jawabnya
aku faham
ok, bererti 
dia perlukan 
seseorang
untuk mendengar

Nov 10, 2014

Bulan-bulan Terakhir Tahun 2014

Bismillahirrahmanirrahim


Untuk catatan dan kenangan.
Oktober 7,
Hari gembira kami sekeluarga. Hari berkenaan yang bersamaan dengan 12 Zulhijjah, iaitu hari ketiga hari raya korban, kami beramai-ramai pergi merisik seorang awek, :) untuk adik lelaki aku. Merisik, sekaligus hantar tanda (cincin) sebab mereka buat keputusan tidak mahu bertunang. Memang sangat menggembirakan kami sekeluarga sebab sebenarnya dah lama sangat mak ayah ke sana-ke mari meng'usha' anak dara orang.

Adik aku? Hahaha... Tak, dia memang tak mencari sebab dah 'malas'. Dulu dia pernah ber'kawan' dengan seorang gadis, siap dah kenal keluarga. Tapi tak sempat kami kenal, awek tu dah minta putus. Kata adik aku, mak dia entah macamana tiba-tiba tak setuju, padahal sebelum itu dia elok ajer. Mungkin dia dah ada calon lain, yang lebih sesuai untuk anak daranya. Itu satu-satunya awek adik aku, dan selepas itu dia semacam dah kecewa dan berserah sahaja. Ye la, adik aku itu walaupun lelaki, pemalu orangnya. Dia adalah sangat bukan seorang yang senang-senang berkawan dengan orang perempuan.

Lama mak ayah aku pergi 'tengok' orang itu, ini apabila ada sahaja orang-orang kepercayaan ayah yang bagitau orang itu, ini. Bila mak ayah berkenan, baru suruh adik aku pergi tengok. Hahaha... Kena tapis dulu tu. Dah ramai la juga calon yang menolak dan ditolak. Jadi, kali ini mak ayah dan kami adik beradik memang sangat bersyukur bila adik dah berkenan. Ini yang nak buat cepat-cepat ni. In sya allah akhir bulan Disember nanti, adik aku akan kahwin dan sekarang kami sekeluarga tengah duk rancang macam-macam untuk kenduri nanti.


November 6,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah... Dugaan kali ini sangat hebat pada kami. Ayah tak pernah luka teruk sepanjang hidup dia, seingat aku. Luka kecil-kecil kena mesin, pisau, paku, tukul, itu biasa untuk seorang tukang macam ayah. Dua tahun lepas, ketika ayah tiba-tiba sakit dada dan dibawa ke klinik, ayah tidak dihantar ke wad kecemasan. Tapi ayah disuruh buat rawatan susulan dengan pakar, dan disahkan sakit jantung. Sakit jantung ayah tak teruk, hingga kadangkala aku rasa diagnosis doktor tu salah. Mungkin ayah cuma sakit gastrik. Hingga sekarang bagaimanapun ayah dibekalkan ubat sakit jantung, dan ayah kadangkala skip makan ubat, walaupun ayah tak pernah skip pergi buat checkup mengikut appointment.

Ayah kena mesin potong kayu, ketika tengah buat rumah sepupu dekat dengan rumah aku. Luka ayah sangat dalam dan panjang, di sebelah dalam paha kiri. Ayah dimasukkan ke wad kecemasan tetapi disebabkan ayah ada sakit jantung, luka tidak terus dijahit. Ayah dimasukkan ke wad selama 4 hari. Hari Jumaat 7 November petang, baru ayah dimasuk ke wad bedah untuk dibius separuh badan, dan dijahit dengan pengawasan pakar jantung.

Semalam 9 November, ayah dah dibenarkan pulang.

4 Hari berkampung dihospital kerajaan kelas 3, banyak pengalaman aku dapat. Banyak benda aku perhati. Banyak ragam aku belajar. Ianya pertama kali dalam hidup kecemasan sebegitu berlaku kepada kami.

Dan baru aku tahu rasa lembik lutut bila dapat berita cemas.

Nov 5, 2014

Hidup apakah ini?



Hidup apakah ini
hari-hari membilang hari
hari-hari rasa lambatnya berlari
entah apa dicari
entah apa dinanti


hidup apakah ini
bangun tidur dah elok
sambil tercongok depan lemari
fikir apa kerja nak kena siapkan
tapi masalah pertama datang
nak pakai baju apa
itu tak kena, ini tak selesa
lama


hidup apakah ini
dah siap segala
masalah kedua timbul
nak makan apa
sarapan campur makan tengaharikah
bekal nasi goreng atau
nanti tengahari keluarkah
kekadang minum saja
bila rajin menggoreng nasi sekejap
buat bekal pagi ke petang


hidup apakah ini
jam hampir 9.30 baru menjengul di pejabat
buka komputer, aircond segala
mula buat kerja
masalah ketiga timbul
rasa bosan
layan itu ini sekejap
dari sekejap jadi lama
kerja entah kemana


hidup apakah ini
dah tengahari baru siap satu kerja
azam nak solat awal waktu
boss yang baru masuk suruh itu ini
berjawab begitu begini
terangkan macam itu ini
dan azam tinggal azam


hidup yang apakah ini
tiada jiwa
tiada rasa
kosong


Oct 28, 2014

Bulan Kelahiran (2)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum

Selalu aku biasa sahaja. Bulan kelahiran bukannya bulan yang penting sangat. Ianya sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain. Bezanya cuma satu, Aisya akan beria-ria bertanya tarikh kelahiran aku, untuk mengingatkan diri dia sendiri. Selalunya, dia akan buat kad. Itu sahaja.

Yang lain-lain adalah biasa sebab aku bukannya rajin sangat hendak melayan orang berniaga. SMS masuk agak banyak dengan tawaran diskaun disana sini sempena bulan kelahiran. The Body Shop tawar 25% diskaun, Penny Pang Optometrics juga tawar diskaun yang tak tahu berapa peratus. Mydin Mall dan Watson nak bagi point lebih kalau berbelanja dengan sekian-sekian amaun. Herbaline tawar potongan sebanyak umur yang dicapai daripada harga asal. Satu pun aku tak kisah. Sebab aku sedia maklum, mesti ada terms and conditions yang kadang-kadang buat kita berbelanja lebih.


Bulan ini untuk tahun ini adalah bulan sakit. Tak, bukan aku yang sakit. Poket boss yang sakit, dan ianya memberi kesan kepada pejabat aku. Sebenarnya, bagi kami di syarikat kecil ini, kesan ini baru terasa. Almaklumlah, kami disini hanya ada beberapa orang sahaja. Overhead tidak terlalu tinggi. Sedang beberapa syarikat arkitek dan jurutera yang kami bekerjasama, semenjak awal tahun lagi sudah merasa peritnya. Ada gaji dibayar separuh-separuh, ada gaji yang tertunggak beberapa bulan, boss jual pejabat yang disewakan lepas satu, satu. Malah sampai juga ke telinga aku cerita seorang isteri menyerang boss suaminya yang seorang engineer kerana sudah 3 bulan suaminya tidak dibayar gaji. Mana lagi hendak mengadu kalau rumah yang baru diduduki perlu dibayar, kereta juga, lampin dan susu anak-anak lagi.


Aku belum sampai ke tahan itu. In sya allah, aku berdoa sungguh supaya rezeki untuk kami di pejabat ini masih ada. Kerja masih sangat banyak, dan projek-projek yang aku jaga masih berjalan. Tapi duit, sangat perlahan. Macam kata seorang kawan arkitek, boss-boss kita kat mana sangat hendak berhutang. Orang kerja kerajaan, tak perlu risau. Boss-boss mereka pun dibayar gaji dan elaun, tanpa perlu fikir kat mana nak cekau duit. Huh!


Dalam keadaan begini (ekonomi yang teruk!), aku tiba-tiba terfikir banyak benda. Sungguhlah, baru aku sedar, aku sebelum ini tak pernah risau pasal duit. Bukan sebab duit senang, tapi sebab aku hidup hanya seadanya. Orang kata, ukur baju dibadan sendiri. Aku tak rasa aku bermewah sebab aku bukan jenis yang begitu. Makan malam diluar, jarang sangat sebab kat Terengganu ni tak banyak pilihan untuk makan diluar. Setakat nasi goreng atau tomyam atau ikan bakar, kadangkala yang dibuat sendiri lebih sedap. Berjalan-jalan dihujung minggu, aku selalunya tak sempat sangat sebab masa aku akan dihabiskan dengan mengemas rumah, berus bilik air, masak-masak, menonton movie beramai-ramai di tv, berkebun sesekali, basuh kereta kalau rajin, dan macam-macam. Membeli barang dapur, aku bawa mak dan adik membeli belah selalunya sebulan sekali, dan kami akan bayar sedikit seorang. Misalnya RM300, seorang bayar RM100.


Membeli pakaian? Oh... seperti makanan juga, pakaian pun tak banyak pilihan di Terengganu ini. Kalau aku, memang aku tak tahu nak tuju ke mana untuk beli blause yang cantik-cantik. Baik pula aku sekadar jenguk monitor, window shopping secara online. Lagi banyak pilihan dan cantik pula.Cuma aku tak berani sangat beli online sebab kekadang baju yang dibeli tak selesa dipakai.


Semalam seorang kawan menegur di fb, bercerita kesusahan di pejabatnya yang merupakan kontraktor kelas A, tapi dah agak lama tak ada projek baru. Dia berpesan kalau ada kekosongan jawatan kerani di mana-mana tolong maklumkan pada dia. Boss dia sekarang sudah membayar gaji per hari dan meminta hanya seorang sahaja yang berkerja dalam seminggu. Nampaknya keperitan ini sudah semakin merebak.


Nampaknya aku kena fikirkan hal ini dengan serius. Aku tak ada suami, ada seorang anak yang sepenuhnya aku tanggung sendiri dan tahun hadapan akan masuk tingkatan satu. Mungkin ada yang kata tak perlu risau, sebab setakat ini kami masih dibayar gaji penuh. Ahh... cuba masuk dalam kasut aku, rasa sendiri kerisauannya sebelum banyak cakap!





Oct 19, 2014

Bulan Kelahiran (1)

Bismillahirrahmanirrahim



Oktober
Aku tak tunggu
Aku tak hairan
tapi aku suka juga
terima ucapan 
selamat hari lahir 
ramai-ramai di mukabuku
walaupun mungkin
mereka hanya ingat sebab 
mukabuku mengingatkan


Oktober
kad selalunya dari Aisya
hadiah pun 
hanya dari dia
alhamdulillah


Oktober
aku ada kenal
dua orang tarikh lahirnya sama
13 oktober
tahunnya beza
dua-duanya lelaki
dua-duanya dipanggil man
seorang di Pulau Pinang
seorang di Terengganu
rajin, suka menolong, baik hatinya


Oktober
kali ini
bulan perit
kesan ekonomi
baru tersedar dan terasa
dan kena rancang segala
semula

 
Oktober
banyak hal berlaku
banyak cerita disitu

Subhanallahwalhamdulillah
Walailahaillallah Allahuakbar

Sep 30, 2014

Bateri Kereta Pecah!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum


Ini cerita 28 Ogos lepas (cari tarikh kat facebook tadi). Oh.. dah sebulan rupanya. Aku dah lama nak bercerita berkenaan ini, sebagaimana panduan atau peringatan kepada semua. Malang kan tak berbau.



Sebenarnya bateri kereta jenis maintenance free jenama Yokohama yang aku pakai ni, masa kejadian tersebut berlaku, memang sepatutnya dan dalam perancangan aku untuk tukar. Tapi, begitulah kan, rancangan manusia macam aku ni, kejap-kejap tertangguh. Hari kerja, malas nak keluar pejabat sebab panas. Hari minggu, pun sebab panas aku malas nak bersiap bagai. Dari sehari ke sehari masa berlalu.

Aku main agak bilang-bilang waktu dalam kepala otak, dah berapa lama aku pakai bateri tu, bila tiba-tiba alarm kereta  yg berbunyi tut dan tut tut bila ditekan butang kat kunci tu, tak lagi keluarkan bunyi. Biasanya bunyi alarm tu kan ada kaitan dengan bateri. Congak-congak pula, dah 3 tahun aku perbaharui cukai jalan, bererti dah 4 tahun aku pakai kereta tu, dan sekali tukar bateri dulu selepas 2 tahun.  Jadi, sekarang dah tibalah masanya untuk aku tukar bateri lagi.

Tapi, itulah.. bertangguh sangat. Sampailah kejadian malam itu berlaku.

Aku berhenti di stesen minyak hijau malam tu, dalam perjalanan nak ambil Aisya. Tadinya aku ke Giant sekejap selepas hantar dia ke kelas tusyen dia. Sementara nak tunggu dia habis kelas selama sejam setengah, aku merayap dulu. Seperti biasa, aku matikan enjin kereta. Nak pergi bayar, tapi ada pekerja dah bersedia datang nak isi. Katanya bayar dekat dia pun tak apa, yang semestinya buat aku senang hati sebab tak perlu pergi ke kaunter. Hehe.. Aku tunggu dalam kereta dengan pintu kereta aku buka sikit, tak nak bagi panas dan nak ucap terima kasih bila dah siap nanti.

Dah siap, aku ucap terima kasih sebelum tutup pintu. Pulas kunci untuk start kereta macam biasa, dan.. POMMM! Serentak lampu-lampu kat meter kereta pun padam. Aku keliru campur menggeletar dah waktu tu. Aku buka pinta kereta dan keluar. Tanya kat pekerja tadi, bunyi meletup tadi kat kereta ni atau bunyi mercun. Manalah tahu kan, sebab biasa sangat bunyi mercun kuat-kuat gitu. Dia pun tak tahu, tapi katanya bunyi macam dekat kereta aku. Pengurus stesen minyak tu datang dan suruh aku start. Dalam takut dan terketar-ketar aku cuba juga. Tapi memang la tak bolehkan, lampu satu apa pun tak nyala. Dia suruh buka bonet depan. Disebabkan stesen minyak tu agak gelap, memang tak nampak sangat kat dalam enjin tu.

Sebenarnya stesen minyak tu, stesen kecil sahaja. Cuma ada dua island untuk petrol dan satu island untuk diesel. Kedai merangkap kaunter juga pejabat dan tandas, kecil sahaja kat tepi. Lampu tak banyak sangat. Kebetulan sungguh, ada seorang student kolej vokasional yang baik hati, yang baru pulang dari membeli hadiah kahwin untuk jiran depan rumahnya, membonceng motor dengan kakaknya, datang membantu. Jenguk-jenguk dan suluh-suluh dengan lampu dari handphone dia, nampaklah bateri yang dah pecah.
Patutlah ada air yang meleleh agak banyak kat bawah. Ingatkan minyak hitam ke apa. Sekali budak tu sentuh lelehan tu, dia dah tahu itu air. Dialah yang tolong aku malam tu, selepas bergegas hantar kakak dia balik dulu ke rumahnya yang tak jauh mana. Selepas menolak kereta aku ke tepi daripada kat tepi petrol pump tu.

Jam 9.30 malam waktu tu, memang kalut jadinya. Dah la esoknya adalah jumaat di mana semua kedai sah-sah la tutup kan. Dia ajak aku membonceng motor dia, dan dia memecut ke Jalan Bukit Kecil, dengan aku yang kecut perut dibelakang. Dah la tak pakai helmet. Dia siap pesan, buat relaks jer kak! Maka berlakon la aku malam tu, buat-buat cool hati berdentum siapa yang tahu.Kebetulan lagi kedai tayar china yang first kitaorang Nampak, baru nak tutup kedai. Kat kedai tu, tak banyak pilihan bateri. Ada dua jenama jer, satu Yokohama dan satu lagi berharga 300 lebih. Yokohama RM230 setelah ditolak bateri yang dah pecah dindingnya. Cash tak cukup mana, terpaksa pakai debit card. 

Sekejap sahaja, budak tu siap pasang bateri baru tu semua. Sambil tu dia bercerita la pasal dia. Dia form 5 kat kolej vokasional atau sekolah teknik, bidang air-cond sebenarnya. Tapi dia dah belajar bab enjin-enjin ni dari form 1 lagi, dan biasanya dia praktis bila baiki kereta yang rosak tepi jalan. Namanya Din dan dia siap bagi nombor telefon dia incase ada apa-apa hal, nak baiki air-cond ke misalnya.

Oh.. Aisya. Aku dah siap awal-awal call adik aku suruh ambil budak tu kat kelas tusyen dia. Adik aku sampai kat stesen minyak tu dengan aisya, aku dan setel pun dengan hal bateri kereta. Fuhh... Alhamdulillah.

Esoknya, bila aku bercerita dekat seorang kawan, dia cakap jangan tukar dengan Yokohama. Ramai yang alami nasib macam aku. Pecah! Aduhai… takkan aku nak tukar lagi bateri yang aku dah tukar tu. RM230 tu! Maka, berserah sahaja la. Cukup 2 tahun, aku terus tukar tak tunggu-tunggu lagi kali ini.

Peringatan untuk diri sendiri, lainkali jangan bertangguh-tangguh!

Sep 22, 2014

Sabasun dan Boikot

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Apa cerita perihal boikot agaknya? Masih berterusankah, atau sudah kembali menyerbu McD, makan maggi, sembang kopi di Starbuck? :)


Di Kuala Terengganu, untuk terus boikot ada cara sangat mudah dan membantu. Itupun sekiranya niat nak boikot tu betul jalannya. Kalau setakat boikot ikut-ikutan, datanglah cara atau jalan mudah macamana sekalipun, tak adanya hendak diambil peluang itu. Mydin mall dan Giant juga yang dituju untuk beli barang dapur. McDonalds juga yang dituju bila teringin nak makan burger.


Tak, bukannya aku tak pergi Mydin Mall. Aku pergi juga nak beli bawang dan sayur terutamanya. Sebab kat situ bawangnya cantik-cantik sangat, dan murah. Sayur pun. Kalau kat kampung aku lobak merah 3 ketul dua ringgit, kat situ biasanya dapat juga 4, 5 ketul dua ringgit. Bawang, ada sekali tu tak sampai pun seringgit sekilo. Mananya aku tak jadi gila bawang. Hahaha.. Kat kampung aku, kalau musim bawang murah pun tak pernahnya kurang dari seringgit. Giant pun aku pergi sesekali, tapi aku beli 2, 3 barang sahaja selalunya kat situ, yang kebetulan murah.


Untuk tujuan beli barang dapur, dan boikot sekaligus, berkunjunglah ke Sabasun. Ayat macam mempromosikan Sabasun, tapi tak. Aku tak dibayar pun untuk bercerita pasal Sabasun ni. Sabasun sebuah pasaraya kecil yang lengkap semua ada keperluan asas. Milik orang melayu, kempen boikot dah lama berjalan secara perlahan-lahan dan mungkin tanpa kita sedarpun. Sebabnya mudah, Sabasun menyediakan alternatif. Dynamo tak ada kat Sabasun, tapi banyak sahaja cecair pencuci pakaian jenama lain. Barangan Nestle dikurangkan sedikit demi sedikit. Baru-baru ini aku perasan Maggi pun dah tak ada. Milo ada lagi, tapi dekat dengan rak milo, ada koko kurma tu. Aku dah cuba dan rasanya tak ada beza sangatlah dengan milo. Tak lama lagi mungkin milo juga akan ditiadakan.


Kalau ke Sabasun, tak perlulah nak tilik sangat barang tu halal atau tak. Memang barangan yang dijamin halal sahaja dijual di situ. Tabung palestin, dah bertahun ada di kaunter dekat pintu masuk. Kempen boikot dan save gaza dari dulu lagi dibuat berterusan. Aku memang respect sangat Sabasun dari segi tu. Tapi dalam bagus tu, ada juga kekurangannya. Bahagian barang basah seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan, aku tak berkenan sangat. Agak kotor dan tak segar. Bawang pun kurang elok. Hehe... Aku tak suka kalau kena kutip dan tercari-cari bawang yang elok dicelah-celah kulit bawang yang banyak.


Teruskan boikot? Untuk aku, ianya semacam tak berapa relevan. Kali terakhir aku makan McD, aku sendiri tak ingat sebab dah lama sangat. KFC, pun aku tak berminat nak pergi sebab bukannya sedap pun pada aku. Maggi, aku jarang makan dan semenjak bulan ramadhan lalu, aku perasan adik aku dah tak buat stok maggi. Hahaha.. selalunya aku tumpang makan sesuap dua yang dia masak jer. Sos apa semua tu, aku dah tukar kepada jenama lain.



Yang penting, jaga diri kan. Kalau sakit, tak susahkan siapa-siapa, mungkin tak apa. Kalau susahkan orang, itu memang menyusahkan.







Sep 21, 2014

Reunion!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Kali pertama aku hadir ke perjumpaan sahabat-sahabat lama zaman sekolah, aku dah tak ingat tahun berapa walaupun aku cuba ingat. Ada ingatan yang sipi-sipi sahaja tentang perjumpaan itu. Yang pasti ianya diadakan di dalam bilik mesyuarat (motif??) di sekolah kami dengan kehadiran seorang cikgu yang memang terkenal dikalangan kami. Tak ada makan-makan dan minum-minum pun. Tak ada kumpul wang bagi tujuan tersebut. Ianya semata-mata berjumpa dengan cikgu tersebut, barangkali. Oh ya, aku rasa tahun itu adalah tahun kami masih dibangku universiti. Itu sahaja yang aku ingat.


Kali kedua, sekitar 5, 6 tahun lepas. Bukanlah reunion pun sebenarnya, cuma berkumpul beramai-ramai dirumah seorang kawan yang aku sendiri tak kenal pun! Aku hadir, hanya kerana nak jumpa beberapa orang kawan. Itupun tak lama, sebab aku ada affair dengan kawan aku masa tu, yang turut hadir dengan isteri dan anak-anaknya. Hahaha... Ok, itu cerita lama. Tutup buku.


Dan kali ini, akan datang ini, mungkin kali ketiga aku akan hadir untuk reunion. Kali ini betul-betul punya reunion sebab kena bayar, ada makan minum, dibuat di dewan yang ditempah dan aku dijemput hadir. Ada sekali dulu, sekolah aku dari form 4 - form 5 buat reunion dekat sebuah motel desa, aku tak kisah pun untuk pergi sebab aku malu. Lagipun tak ada kawan yang beria-ria ajak aku join. Kali ini, reunion dimulakan dengan berkumpul di 'telegram'. Hmmmm....


Alahai, setakat bersua di alam siber yang tak nampak wajah dan tanpa suara itu, aku berani la pumpang pumpang. Hahaha.... Tengok gambar kelas yg dikongsikan, muka-muka dalam gambar tu, aku masih ingat. Nama-nama diaorang pun masih lekat kat ingatan. Tapi sekarang dah 2014, wajah manusia menuju 40-an adalah berubah sangat ok. Jumpa dan bercakap pun, belum pasti aku kenal dan tahu diaorang kawan sekolah. Lebih-lebih lagi lelaki la kan. Aku pula tinggal sekolah tu naik form 4. Bertambah-tambahlah aku tak diingati sangat.


Jadi sekarang aku terfikir nak pergi ke tak, walaupun aku dah bagitau confirm nak join. Err... masih boleh tarik diri kan? :P

Sep 18, 2014

Rindunya!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Bersawang juga blog ini aku tinggalkan. Lama sungguh aku rasa. Rindu nak singgah, dengan idea hendak bercerita menerawang dengan banyaknya dalam fikiran, tapi selalunya masa tu berada dalam kereta tengah memandu atau tengah mandi, memasak, layan anak-anak saudara, berkebun, etc. etc. Bila buka blog, nak menaip entri baru, fikiranku jadi kosong, kosong, kosong. Jari jemari kaku atas papan kekunci tak bergerak pun. :P


Hari ini hari kedua bekerja selepas bercuti selama seminggu. Lamanya cuti! Ya... boss pun macam tak berapa nak bagi aku cuti minggu lepas. Hahaha... Dah la ada inspection dan meeting bagai, tapi bukan aku seorang yang dibayar gaji! Ok, aku kata begitu hanya dalam hati. Lagipun tak salah bagi peluang orang lain kena marah dengan klien. Aku dah immune, klien marah aku buat tak tahu jer sambil lukis-lukis dalam organizer. Dah habis marah, baru aku angkat muka. Hahahaha.... Err, tapi tak ada dia marah aku sorang, selalunya yang menghamburkan amarah tu, dalam meeting disemburnya semua orang. Pandai-pandai la tahan telinga dan perasaan.


UPSR 2014. Memang menjadi sejarah betul. Antara mangsanya, satu-satunya anak aku. Menangis juga dia bila balik dari sekolah hari khamis lepas. Mujurlah dia budak lagi, mudah dipujuk. Malamnya aku bawa dia makan dekat luar, dan sabtu tu sebagaimana dirancang awal-awal lagi, kitaorang bertolak ke Johor, cuti-cuti kononnya selepas upsr tapi sayangnya upsr tak lepas lagi. T__T


Cuti begitu pula, dengan semua adik beradik kecuali yang bujang seorang, berkumpul dirumah abang aku di Johor, termasuk semua cucu mak 11 orang, dari umur 2 tahun hingga yang paling besar, anak aku 11 tahun, memang sangat meletihkan kami yang tua-tua ini. Budak-budak tak usah cakap la, bermain, berkejar, melompat. Macam tak tahu penat. Tapi biarlah sesekali mereka gembira begitu. Nanti aku balas dendam dengan percutian relaks aku seorang pula. Hehe...


Sekarang, sambung mengira hari untuk upsr lagi. Mujur 2 subjek sahaja. Tak adalah teruk sangat Aisya nak tumpu. Harap sungguh aku semua yang berlaku itu ada hikmahnya yang tersembunyi. Sekurang-kurangnya untuk Aisya. Pada negara, memang menyedihkan perkara begitu boleh terjadi. Soalan upsr sahaja pun hendak dibocorkan, bukannya sijil upsr tu boleh digunakan untuk mohon kerja pun. Orang nak ambil kerja pun tak tengok der result upsr ko dapat berapa. Inilah yang orang kata, nak buat jahat pun, biarlah cerdik sikit.


Ok, dah lepas rindu. Nanti sambung cerita. Jaga diri!



 

Aug 14, 2014

Lontar belakang? (#throwback)

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum penghuni alam semesta yang sementara,

Hampir habis seminggu aku yang kelam kelibut. Hari ini aku dapatlah berehat sedikit, melunjurkan kaki atas cpu bawah meja sambil mencari bahan bacaan dalam internet. Tapi, bosan. Eh, sekejap lagi ada kontraktor nak datang. Aduh... malasnya nak melayan. Melihat seorang blogger terkenal membuat perubahan BESAR pada blognya, dengan membuang hampir 90% entri yang dirasakan tidak berfaedah, dan meninggalkan hanya 180 entri, aku terpanggil untuk menjenguk sejarah blog sendiri. Hehe...


Sedar tak sedar, dah 7 tahun rupanya aku berblogging. Tapi entri aku tak banyak pun. Ada yang aku rasa OK, banyak juga yang KO. Entri Mac 11, 2008. Selepas 6 tahun, apa yang berlaku?


Dah setahun rasanya tok wan dah sakit-sakit tua. Berjalannya, kena pimpin. Sembahyang sambil duduk. Makan minum kena hidang. Berak kencing, berlampin. Tapi tok wan masih sihat minda. Masih ingat segala. Tok wan sekarang, selepas sering dicuci mindanya oleh cucu-cucu, sudah semakin kurang bersungut, mengharap seterusnya kecewa. Lebih-lebih lagi pada anak lelaki yang jarang menjenguk pulang. Lumrah anak lelaki, kahwin dengan orang luar (bukan negeri sendiri), kampung halaman dan orang tua sudah menjadi bukan keutamaan. Kerja, anak isteri dan keluarga isteri (mertua dan ipar duai) lebih diberikan kepentingan.


Aku perasan, mak aku sebagai kakak sulong selalu juga tersentuh hati apabila adik dia yang dulu masa kecil dikelek ke sana ke mari, tak sudi jenguk ke rumah barang sekejap apabila balik kampung. Mujur adik bongsu mak, agak lancang mulutnya tak berlapik. Aku rasa kadangkala orang begitu lebih senang meluahkan kemarahan dan ketidakpuasan hati bagi pihak semua orang, daripada sering memendam rasa.


Dan begitulah kehidupan berjalan, kita telan rasa dan ajar hati terima seadanya. Hidup pun jadi tenang bila kita tak letakkan harapan.

Aug 6, 2014

Syawal 1435H

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Salam aidilfitri semua. Aku tengah pulun baca unread entry yang hampir seratus dalam feedly aku. Jenguk blog kawan-kawan, yang masih berupdate walaupun raya. Aku? Cuti seminggu, seminggu juga la tak jenguk feedly atau mana-mana blog. Komputer hanya aku jenguk apabila anakanda buka untuk ulang tengok mana-mana movie. Tumpang tengok sekejap. Raya tahun ini, aku niat untuk meriahkan raya anakanda yang seorang. Maka aku layan dia berjalan dari hari pertama Syawal hingga hari ke empat. Biasanya? Hehe... biasanya raya pertama pergi rumah saudara-mara sebelah mak di kampung sebelah, raya kedua pergi rumah saudara-mara sebelah ayah di kampung kami. Dua hari jer raya kami. Tahun ni, tambah lagi 2 hari. Lagi pula, tahun ni baju raya Aisya terlebih banyak! Apapun, jom bercerita sambil layan gambar. Moh!


Masjid Terapung @ Masjid Tengku Tengah Zaharah, di Kuala Ibai, Terengganu. Gambar sebelum Ramadhan ketika menunggu anakanda habis kelas tusyen.

Seperti yang pernah diceritakan, dalam malas-malas aku nak buat biskut raya, terhasil juga 8 jenis biskut! Dalam gambar ni, ada 6 jenis.. lagi dua tak konon nk salut coklat la bagi cantik sikit (biskut samperit pandan) tapi sampai ke sudah terbiar dalam balang. Biskut makmur, sampai kesudah tak berbedak. Haishh.. malas itu masih ada. Oh.. bekas biskut raya rumah kami, saja kami beli stail gitu, kasi klasik sikit. Dah 3 tahun rasanya kami guna bekas tu. Balang-balang kaca, kami isi dengan kerepek-kerepek dan kekacang. (Eh.. tahun ni tak ada kacang!) Biskut putih yang ada coklat cip sebiji tu, aku kasi nama biskut mata terjojol. Asalnya biskut bunga cina, tapi sebab si Aisya terlebih pukul telur, maka adunan jadi lembik dan bila dibakar hilang habis kelopak-kelopak bunga. Jadi, untuk selamatkan keadaan, aku gentel-gentel kasi bulat, tekan coklat cip kat atas. Jadilah sebijik macam mata yang terjojol terkeluar dari soket mata. Hahaha...

Tahun ni, semua kerepek ditaja oleh adik lelaki aku yang dua kali ke Kuala Lumpur sepanjang Ramadhan, ikut kawan dia yang isterinya bekerja di Kelang. Sekali pergi, diborongnya kerepek macam-macam jenis kat kilang mana ntah. Kali kedua, pun dibawa balik kerepek. Dan baju raya dia sendiri. Raya tahun ni, pertama kali dia beli baju melayu yang sepasang, berharga lebih seratus, selepas dah bertahun la jugak dia tak beli baju melayu. Raya sakan dia tahun ni!

Sila.. sila... kat rumah kami, hanya air mineral sahaja dihidangkan. Hahaha.. Seperti tahun lepas, kami tak hidang air-air segera (air berkarbonat) kepada tetamu, walaupun yang datang budak-budak kecil hanya nak minta duit raya. Mak tak suka hidang air bergas ni kat tetamu, jadi kalau tahun-tahun dulu, selepas syawal ada berbotol-botol lagi air bergas dan bertahan berbulan-bulan sebab kami memang kurang gemar. Mulai tahun lepas, setiap kali tetamu datang, kami akan hidang air sunquick, kembali seperti masa dulu-dulu. 



Tahun ni, pertama kali selepas berpuluh tahun, kami ambil gambar ramai-ramai sekeluarga. Itupun ada alasan kukuh iaitu Qasyrina (berbaju labuh biru dalam gambar) nak buat kerja sekolah yang cikgu dia suruh, dengan menggunakan gambar keluarga. Kali terakhir kami mengambil gambar yang ada semua adik beradik dengan mak dan ayah (masa tu) ialah pada tahun 1982! Berpuluh-puluh tahun dulu! Bila dah besar, masing-masing dah macam malu nak bergambar beramai-ramai, walaupun selalu berkumpul bila raya. Gambar di atas, adalah semua cucu mak dan ayah. Sebelas orang semuanya, daripada 5 orang ibu. Adik lelaki aku belum kahwin. Tapi sebenarnya gambar tahun ni pun tak lengkap juga, masa kumpul ramai-ramai dengan ayah yang berbaju buruk balik daripada padang rumput, adik lelaki tak ada. Kemudian bila adik dah balik, ayah pula masuk mandi. Haishh...
Biasalah, selepas 4 hari bergelumang dengan rendang, ketupat, tapai pulut, nasi dagang, nasi minyak, nasi impit, dan macam-macam lagi hidangan raya, hari ke 5 dah mula teringin makanan segera. Kfc pun tak per walaupun selama ni jarang sangat mengidam kfc. McD, memang tak dah lama jenguk. Dulu tak der la boikot sangat, tapi memang jarang makan sebab ianya unhealthy food. Lagi-lagi hindarkan bila baca kes Jamie Oliver vs McD. Konon nak pi kfc, tapi terpandang kedai Papa Chop Mama Grill dekat depan istana Badariah. Makan spagheti lah, best jugak. Tup tup, itulah yang dapat. Aku gelarkan ia, spaghetti ala mee goreng bolehlah kan. Siap bertimun dan bertelur mata bagai. Ada seketul roti bulat yang tak tahu motif wujudnya. Sos bolognese, siap dibubuh telur juga. Langsung tak sedap! Patutlah tak ramai orang dah kat kedai tu, tak macam dulu-dulu. Aisya makan fish and chip, yang mana ikannya agak berminyak dan agak kehitaman, aku agak digoreng dalam minyak yang dah digoreng macam-macam. No more lainkali dah untuk kedai ini.

Semperna bulan kemerdekaan, aku letak jugalah sekeping gambar bunga kebangsaan ni yer. Tapi versi merah jampu terang. Cantik. Gambar diambil dekat Masjid Khalifah, di Jalan Pusara, yang aku singgah ketika hendak ke kenduri kahwin seorang teman. Bunga raya, sentiasa cantik pada mata aku. Klasik dan ada tarikan tersendiri. Semestinya yang warna merah terang lebih cantik dan klasik. Ingat lagi masa aku budak-budak, di depan rumah jiran yang aku panggil mok long, dekat dengan pintu ke telaga yang dipagari zink, ada sebatang pokok bunga raya yang tingginya melepasi kepala, batangnya sebesar.. hmm, sebesar lebih kurang 4 inci diameter, dan ianya selalu berbunga! Ianya macam pokok kelapa, batangnya kosong sahaja hingga ke atas baru ada dahan berselirat dengan daun-daun dan bunga-bunga. Itu pokok bunga raya yang paling aku ingat! Sekarang, tempat itu didirikan bangunan kedai. Tak ada lagi pokok bunga raya pujaan hati dan telaga tempat bermain.

Apa-apapun hidup mesti diteruskan. Nak boikot, boikotlah, tapi tanggungjawab tergalas jangan pula diabaikan. Jangan berdegar-degar berpung pang pok pek, tapi asap dihembus dari mulut tak putus-putus. Eh.. k, bye.

Jul 20, 2014

Dua Tempat Berbeza, Penghayatan Berbeza

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Rumah Anak-Anak Yatim, Darul Falah, Bukit Payung.

Hari kedua Ramadhan yang lalu, aku menghadiri satu mesyuarat bagi membincangkan satu projek di rumah anak-anak yatim tersebut. Memandangkan semua orangpun ada kerja masing-masing, maka mesyuarat itu berlangsung selepas waktu pejabat. Sekitar 5.30 petang, di dalam pejabat tuan pengerusi PERKASA, Tuan Haji Yusof yang sangat aku segani. Tua-tua tuan haji itu, dia nampaknya seorang yang banyak pengetahuan dan pengalaman. Baik, tapi tegas ada. Agaknya sebab itulah kot dia sesuai menjadi pengetua asrama anak-anak yatim itu, mengendali kira-kira 200 orang remaja bermacam ragam.

Sebenarnya semenjak aku terlibat dengan satu projek diaorang, barulah aku berpeluang menjejakkan kaki ke asrama anak-anak yatim itu, yang sebenarnya juga adalah hanya lebih kurang 5 minit memandu dari rumah aku. Tak jauh pun! Aku tahu kewujudan asrama itu semenjak dari sekolah rendah lagi. Sebab, seorang kawan sedarjah merupakan anak yatim, dan ketika nak naik ke tingkatan satu, cikgu-cikgu duk sibuk tanya samada dia nak ke Perkaya atau Darul Falah. Tapi dia tak pergi pun mana-mana. Kemudian masa di tingkatan satu di SMADG, seorang kawan perempuan bernama Faizah tinggal di Darul Falah, tapi aku tetap tak pernah jenguk Darul Falah! Lagi pula, masa tu bukannya senang hendak ke sana ke mari. Harapkan bas sahaja, bukan macam budak-budak sekolah zaman sekarang yang merempit ke sekolah.

Perkara pertama yang aku perasan apabila budak-budak perempuan disitu menyerbu untuk bersalaman dengan aku yang sedang berjalan ke bilik mesyuarat, ialah pakaian diaorang! Kalah aku woi! Cantik-cantik pakaian yang diaorang pakai. Tapi aku tahu, sesetengah anak-anak yatim di mana-mana asrama atau rumah anak yatim memang agak mewah dari segi pakaian dan makan minum. Rakyat malaysia pemurah!

Ok, petang hari kedua Ramadhan, selepas habis perbincangan, tuan haji menjemput kami semua berbuka puasa sekali di sana. Awalnya aku dan seorang lagi menolak, dengan alasan yang tak berapa nak kukuh. Tapi ketika seorang pekerja asrama itu datang bertanya tuan haji, berapa orang tetamu lagi yang perlu dia hidang, tuan haji kira termasuk kami. Maka, kami dah segan nak menolak lagi.

Jam 7, kami dijemput masuk ke dewan makan, meja VIP kononnya sebab sekali dengan seorang dato' yang menaja hidangan berbuka puasa hari itu. Dato' bekas wakil rakyat itu datang sekali dengan isteri dan dua anaknya. Meja panjang itu berada di bahagian hadapan dewan dengan meja anak-anak yatim di susun berbaris-baris di kiri dan kanan dewan untuk lelaki dan perempuan. Sementara menunggu waktu berbuka kami diajak berzikir bersama-sama ustaz di situ, yang memegang mikrofon. Makanannya biasa sahaja, nasi putih berlaukkan gulai daging, ayam goreng kosong, sayur campur goreng, telur masin, tembikai dan ada sejenis agar-agar. Air pula ada kopi panas dan milo ais. Selepas berbuka, berderu-deru semuanya beransur ke surau asrama dan aku terus pulang. Terasa sungguh terisi sekali acara berbuka tadi.



Hotel 3 bintang kot, Kuala Terengganu

Dah lama sungguh aku tak berbuka puasa di hotel. Sebab, aku malas nak pergi walaupun ada sahaja kontraktor yang mengajak setiap tahun apabila ramadhan. Tapi minggu lepas, bila aku dah tak tahu nak makan apa, selera tak berapa nak ada, aku terima jemputan kontraktor dengan rela. Lagipun, aku nak bawa Aisya sekali, nak bagi dia rasa berbuka di hotel.

Hotel tu, tak adalah besar mana. Usianya pun baru sahaja lagi. Aku sampai sekitar jam 6.45 petang. Wakil dari pihak klien dah tercongok di kerusi luar, bertiga. Tapi wakil kontraktor tak ternampak pula di mana-mana. Kami lepak dulu di kerusi kayu bermeja bulat yang disediakan di sebelah kiri anjung hotel. Di sebelah kanan anjung, rupanya tempat open kitchen, berasap-asap dapur diaorang tengah bakar kambing.

Jam 7.15, baru kami masuk dan mencari meja. Masa itu orang dah ramai duk sibuk ambil makanan dah. Ramai juga rupanya orang berbuka puasa di hotel itu. Meja-meja makan bulat di susun agak rapat, penuh di ruang lobi, dan aku nampak kaunter reception kecil sahaja di satu sudut. Bunyi orang menyanyi berkumandang, dan di satu sudut, ada band rupa-rupanya tengah buat persembahan live! Kononnya nak bagi happening la kot, tapi pada aku, tak sesuai sebab bulan ramadhan dan orang nak berbuka puasa la! Yang ko nak memekak waktu-waktu nak maghrib ni apekehal!

Jam 7.25 waktu berbuka, azan maghrib pun tak berapa jelas, padahal masjid dekat sangat kat luar nun. Aku tengok masing-masing pandang sana sini nak tengok orang lain dah makan tak lagi. Dan diaorang terus menyanyi sambil kitaorang makan. Yang makan sedikit, sedikitlah. Yang banyak menimbun-nimbun atas meja pun ada. Yang membazir pun banyak. Tak kira haji, hajjah, atau sesiapa saja, berebut mengambil makanan. Aku makan sikit, sebab perut aku kecil. Tak boleh nak tampung makanan banyak-banyak. Aisya pun tak banyak makannya. Jam 8.00 malam, kitaorang beredar untuk pulang, mengejar waktu maghrib yang semakin ke penghujungnya.  Dan aku teringat-ingat roh ramadhan yang terasa tiada di situ.





Jul 16, 2014

Biskut raya 2014

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Ramadhan tinggal sebelas hari sahaja lagi. 
Sana sini biskut raya dah macam-macam dijual. 
Manusia dah sibuk cari baju raya. 
Alhamdulillah, baju Aisya dah setel. 
Aku? 
Baju-baju yang baru aku pakai sekali, aku bantai jer buat baju raya nanti. 
Tak pun kalau rajin, aku beli jer sehelai dress ala jubah nanti. 
Banyak belambak dijual dimana-mana. 
Kalau rajin cari la kan.
Sebab aku rasa malas sungguh. 
Tak bersemangat sungguh
akhir-akhir ini.

Lenguh-lenguh seluruh tubuh.
Tidur macam tak berapa nak cukup.
Makan lagilah, 
langsung tak lalu.

Tengok biskut raya bersusun
digerai-gerai depan
Pasar Payang
aku teringin nak beli jer.
comel-comel.
rasa malas nak buat.

Tapi, Aisya dah mengomel,
suruh buat juga.
duhhh!
malasnya.
yer la, buat pun buat lah.
janji Aisya tolonglah yer.
kita buat yang simple-simple,
macam tahun lepas.

aku ingat 
nak buat banyak kalerlah
tahun ini.
hehe..






Jul 13, 2014

Dok Reti Base

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Dalam apapun tindakan kita, hanya antara dua sahaja kesannya, memudahkan ataupun menyusahkan. Kita buat baik, insyaallah ianya memudahkan ramai orang dan begitu juga sebaliknya.


Sebenarnya dah lama sungguh aku tidak setuju dengan 'kehadiran' tong-tong sampai hijau yang disusun sebaris di seberang jalan betul-betul hampir dengan pintu masuk utama Sekolah Kebangsaan Tok Dir. Asalnya tong sampah itu berada di seberang jalan pintu pagar kedua, tapi bukanlah betul-betul depan pintu pagar. Dekat dengan semak samun tinggi dan dibelakang semak samun itu pula ada rumah-rumah orang kampung. Mungkin sebab tidak selesa dengan bau 'wangi' yang terbang dibawa angin, maka mereka pindahkan tong-tong sampah itu ke hadapan sekolah setelah bertahun-tahun menelan bau 'enak' tersebut.


Depan sekolah itu, memang hanya ada tanah baruh. Kira-kiranya, agak jauh jugalah daripada rumah orang. Pihak sekolah pula membiarkan sahaja tong-tong sampah itu disitu. Aku sendiri tidak pasti mereka buat aduan atau tidak ke pihak berwajib. Aku ada berniat nak timbulkan isu tong sampah depan sekolah itu dalam mesyuarat PIBG awal tahun lalu, tapi kebetulan masa mesyuarat yang diadakan pada hari jumaat itu, aku tidak berada di Terengganu. Memang, ianya sangat tidak menyenangkan untuk kita ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak dari sekolah, apatah lagi pada para guru dan murid sekolah aku rasa.

Mana nak selesa mengajar dan belajar dalam bau busuk!

Hinggalah pada minggu lepas, ketika aku nak ambil Aisya dari sekolah, aku tengok tong-tong sampah hijau bercop MBKT itu telah tiada lagi di situ. Alhamdulillah! Akhirnya mereka alih juga, walau siapapun yang menjadi tukang alih. Bila aku cakap dengan Aisya, dia kata mungkin pihak sekolah buat aduan. Kelas dia di tingkat paling atas dan depan sekali, memang terpaksa 'menghirup' dulu udara 'segar' tersebut membuat mereka hampir muntah, lebih-lebih lagi dibulan puasa dengan cuaca akhir-akhir ini yang sering hujan pada waktu petang. Kata Aisya, cikgu sampaikan suruh murid-murid tutup daun pintu dan tingkap semua bagi mengelakkan bau busuk.


Malangnya, masih ada orang yang 'dok reti base'. Asalnya aku tengok tong-tong sampah sahaja yang tidak ada. Tapi walaupun tong tak ada, ia tetap tidak membuka mata dan minda orang kampung untuk membuang pula di atas tanah tepi jalan itu. Esoknya aku tengok selonggok sampah bertaburan (sebab orang-orang ini suka mencampakkan sahaja sampah dari atas motor!) depan sekolah. Balik rumah, aku lepas geram dengan membebel-bebel pada mak. Dua hari lepas itu, aku sampah-sampah telah tiada, tapak yang agak kotor itu dibersihkan kerana dengan jelas aku nampak kesan sodokkan, mungkin dengan mesin backhoe. Paling penting, dicacangkan papantanda kuning tertulis 'PEMBERITAHUAN, Dilarang Membuang Sampah Disini. Sabit Kesalahan Boleh Didenda Sehingga RM500'. Lebih kurang begitulah ayat, aku sendiri kurang ingat dan dalam gambar tak berapa jelas.


 Lebih 'dok reti base', esoknya sampah ada semula. Mula-mula selonggok, kemudian bertambah-tambah lagi. Gambar kat atas itu, gambar semalam ketika aku menunggu Aisya habis tusyen. Baru sebentar tadi aku ambil Aisya di sekolah, ada 5 kali ganda jumlah sampah daripada gambar di atas. Sungguh aku kesal dengan mereka yang langsung tidak prihatin itu. Bukannya tak ada tong sampah lain, sedikit sahaja ke depan lagi ada tong sampah besar MBKT sedia ternganga di tepi jalan.


Kalau aku guru besar sekolah, aku ambil gambar mereka yang melanggar peraturan itu, cetak besar-besar dan gantung di depan sekolah dengan tajuk 'Orang Yang Dok Reti Base'! 

Jul 10, 2014

Arah tuju

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Seorang lelaki yakni seorang suami, yang tidak bekerja, disebut dayus. Sebab, menjadi tanggungjawab seorang suami mencari rezeki untuk keluarganya, menyediakan tempat tinggal yang selesa, memberi makan minum secukupnya, dan lain-lain lagi. Seorang perempuan pula, bekerja untuk apa?


Sekarang adalah zaman ramai perempuan tak kahwin. Bukan perempuan sahaja, lelaki pun. Bukan pula tak nak kahwin, tapi dah jodoh yang dicari tak jumpa. Bukan tak usaha cari, tapi sampai suatu tahap, kita pasti letih, penat dan hanya mampu berserah. Akur yang urusan jodoh, bukannya di tangan kita. Aku pernah baca tentang seorang perempuan, yang masih bujang pada usia lewat 40-an. Apa dia buat supaya hidupnya tak sunyi? Dia bawa ayah dan emaknya tinggal bersamanya. Dia bawa ayah dan emaknya menemaninya ke mana-mana, melancong, pergi umrah dan kekadang outstation.



Sunyi itu sakit sebenarnya.


Aku adalah seorang yang tidak pandai bersosial. Ingat lagi ketika aku berkerja di Kuala Lumpur, tinggal seorang diri di rumah flat. Hari-hari hujung minggu adalah sesuatu yang paling aku benci! Aku benci perasaan sunyi yang aku rasa setiap kali bangun tidur di hari sabtu. Sunyi itu membunuh! Celik-celik sahaja mata, ianya adalah sabtu dan tidak perlu bersiap dan berkejar ke pejabat. Maka, apakah arah tuju untuk hari itu? Tiada apa! Ohhh.. aku masih dapat rasa perasaan itu bila aku membayangkannya.

Ianya seperti sekitar tahun 80-an dulu. Terjaga dari tidur petang selepas asar, dan rumah sunyi sepi. Tak terdengar suara emak di mana-mana. Atau suara ayah bercakap-cakap dengan emak. Tak kedengaran juga suara abang, kakak dan adik-adik. Dalam mamai, berjalan ke dapur tiada siapa disitu. Jenguk bilik mak ayah, kosong. Akhirnya termenung di tangga rumah, sambil tahan tangis. Apa yang terbayang ialah semua orang telah meninggalkan aku. Tiba-tiba kedengaran makteh jiran depan melaung, "mak dengan ayah dekat padang nun!"


Perasaan seperti telah ditinggalkan seorang diri!


Bagi seorang perempuan bujang yang berkerjaya, mungkin sukar nak tentukan arah tuju hidup untuk jangka masa yang panjang. Seorang perempuan, hanya mengharapkan sebuah keluarga yang bahagia, seorang suami dan anak-anak sebagai pelengkap hidup. Tapi perkara itu bukannya kuasa kita. Ada waktunya kita perlu redha dengan apa yang telah ditentukan-Nya. Menepis sunyi, kita cipta arah tuju perjalanan hidup kita hari-hari. Kita letak sasaran, kita letak tujuan. Supaya kita tahu apa yang perlu kita lakukan.


Hidup sendiri, tak tahu apa nak buat, itu yang mengundang sunyi.



Jul 9, 2014

Tukar laluan

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Seminggu di sini, aku mula bertukar jalan ke tempat kerja. Asalnya, aku cuma nak elak daripada bertambah bilangan lampu isyarat yang aku kena lalu dan kena buat pusingan U sahaja. Tapi 2, 3 kali lalu jalan ini, aku perasan masa yang diambil untuk sampai ke pejabat, singkat jer. Mungkin jaraknya dekat lagi dari rumah aku, atau sebab aku cuma kena berhenti (sekiranya lampu merah) di dua traffic lights sahaja berbanding sebelum ini, iaitu 4 traffic lights. Teringat aku kepada seorang kawan kakak aku, yang berkata bahawa Terengganu ada banyak sangat traffic light. Dari rumah ke sekolahnya, dia kena melalui lebih daripada 10 lampu isyarat, walaupun jalan pintas!


Bagaimanapun, untuk balik ke rumah, aku masih menggunakan laluan dulu, sebab kalau nak ikut laluan sama ke pejabat, aku kena membuat pusingan 'U' dekat lampu isyarat. Lampu itu pula dekat sahaja dengan pejabat. Untuk berundur keluar dari parkir sudah sekian hal menuntut kesabaran sungguh, untuk ke lorong paling kanan lagi satu sekian hal. Maka aku ambil pendekatan mudah, ikut kiri dan terus masuk kiri di traffic light. Jadi, aku seperti membuat suatu pusingan lengkap sebuah petak hampir square dan berekor pendek bagi perjalanan pergi dan balik dari pejabat. Hehe..



Walaupun sebenarnya jalan yang aku lalu untuk ke pejabat ini adalah laluan yang aku kurang gemar, satu perkara menjadi kegembiraan aku. Dari atas jambatan Kuala Ibai yang membengkok, aku sempat jeling ke sebelah kiri dan melihat muara sungai yang tenang dan indah!






Jul 3, 2014

Terung pipit oh terung pipit!


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Ini bukan menu berbuka atau bersahur semalam atau hari-hari puasa yang lepas. Tak. Ini menu minggu lepas, untuk makan malam sebab aku kalau sempat masak pun, cuma untuk makan malam sajer la. Aku nak berkongsi cerita pasal terung pipit sebenarnya.

Ya, bebola hijau-hijau di antara ubi kentang dan bilis itu adalah terung pipit. Ya, aku sebenarnya tak makan terung pipit ni, dan aku rasa orang Terengganu tak pandai sangat makan terung pipit. Bukan aku tak pernah makan. Aku pernah cuba, tapi itu ketika aku berjalan-jalan ke rumah seorang kawan baik di Manjung, Perak, tahun 1994. Hehe.. sepuluh tahun lepas yer. Cuti hujung minggu, aku ikut kawan aku balik ke rumahnya. Takkan aku nak balik ke Terengganu pulak kan, dah aku duk di Taiping masa tu. Oh.. rindu Taman Tasek Taiping yang indah!

Aku ingat lagi, rumah kawan yang berlesung pipit dalam di sebelah pipi kirinya dan menjadi pujaan ramai pelajar lelaki di sekolah, adalah rumah teres setingkat di kawasan perumahan yang luas. Rumah itu telah diubahsuai dan ditambah loteng. Dekat atas loteng itulah aku dan kawan aku bercerita macam-macam sebelum tidur. Aku menolong emaknya memasak di dapur yang agak luas, dan antara hidangan makan tengahari kami adalah terung pipit dan pucuk betik yang dicelur, dan dicicah budu! Semestinya aku cuba, sebab aku tak pernah makan ulam-ulaman itu. Rasanya? Ya Allah, pucuk betik tu pahit bercampur kelat yang amat, manakala terung pipit tu, memang aku tak makan dah selepas itu.Tapi yer la kan, kebanyakan ulaman memang begitulah rasanya, pahit, kelat, maung. Yang sedap pun, timun batang dan nanas muda. Cicah pula dengan sambal belacan. Oh... terbayang nanas muda yang di potong kecil-kecil dengan sambal belacan di kedai makan sebelah balai polis Chendering, rasa nak menitis air liur! Sedap gila kat deria rasa aku! Bau sambal belacan tu, lekat kat tangan 2, 3 kali basuh dengan sabun baru hilang. Hahaha...


Berbalik kepada cerita terung pipit. Setakat yang aku tahu, tak ada lagi orang tanam pokok terung pipit ni. Pokok ni, tumbuh sendiri sajer, meliar dalam semak dan di tepi-tepi jalan. Kat kampung aku, di kiri kanan jalan ke sekolah Aisya, elok sahaja ia tumbuh berderet-deret. Besar, dan buahnya bergugus-gugus. Kemudiannya aku perasan dekat belakang rumah aku, ditepi tanah merah yang baru ayah tambun, ada dua pokok terung pipit tumbuh dan berbuah lebat! Melihat buah yang cantik kehijauan itulah aku terfikir nak cari resepi di internet. Rupa-rupanya macam-macam cara orang masak letak buah terung pipit ni.

Aku, ikut cara paling mudahlah. Buat sambal bilis, campur dengan terung pipit. Tapi aku rebus dulu sekejap terung pipit itu. Dalam 3 minit. Kalau sampai lembik, tak sedap. Tak meletop dalam mulut! Selepas aku cuba sekali, aku terus jatuh cinta dengan terung pipit. Hahaha... Memang acap kali sungguh dah aku buat sambal bilis campur terung pipit ni. Nak tambah sedap, aku letak daun oregano segar yang dicincang halus dalam sambal tu. Ya, sejak-sejak ada pokok oregano itu pun, setiap kali buat sambal apa-apa, mesti nak kena letak oregano. Hehe...


Kalau aku, makan nasi panas, kering tanpa kuah, dengan sambal bilis yang dicampur macam-macam seperti carrot, cauliflower, telur, ubi kentang, cili padi yang dipotong-potong (seperti yang biasa aku buat ketika mem'bujang' di Skudai dulu), adalah sudah cukup membuatkan aku berselera yang amat. 


Jun 30, 2014

Dah Ramadhan dah!

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Selamat berpuasa semua. Dah hari kedua kita berpuasa yer. Cepat benar masa bergerak zaman sekarang ni kan. Rasanya baru saja lagi aku beraya dengan baju kurung Vietnam.. eh! Hahaha.. sebenarnya baju kurung bling-bling yang dua helai aku beli kat Vietnam tahun lepas, dan pakai masa raya tu, baru hari ini aku ulang pakai untuk kali kedua. Nampak sangat aku tak suka pakai kan. Bukan sayang tau. Tapi memang aku kekadang kalau sayang satu satu baju tu, pun aku jarang pakai. Mungkin juga sayang tu sebenarnya nak tutup kecewa dengan ketidakselesaan baju yang kononnya disayangi itu. Faham tak apa aku cuba terangkan ini?


Tapi, baju kurung Vietnam ni, aku tak sayang sangat pun. Bling-bling ni semua, really not me. Bukan setakat baju, tudung pun. Sebab utama aku tak ulang pakai baju kurung ni, kainnya yang entah apa-apa. Kain susun yang besarnya muat untuk orang saiz xl padahal baju kurung tu saiz s. Aku pakai hari ini pun selepas dah berapa bulan dah mak aku buka dan jahit semula kain ni. Sayang juga tengok baju ni tergantung tak terusik. Sepasang lagi, selamat berlipat elok dalam almari entah apa cerita. Hehe...


Sempena Ramadhan, aku dah selamat pindah pejabat. Puasa tahun ini bermula di tempat baru, bangunan lama betul-betul depan masjid terapung. Tak jauh pun sebenarnya dari pejabat lama aku. Kami kena pindah sebab pejabat lama telah dijual oleh pemiliknya dan pemilik baru mungkin nak guna tempat tu. Perasaan? Walaupun bangunan ni dah agak lama berbanding bangunan pejabat dulu, rasa gembira berpindah ke tempat baru tu tetap ada. Memang kelam kabut dengan segala fail dan dokumen bagai kan. Tapi seronok pula menyusun atur semula segalanya di tempat baru. Yang pasti, dengan berpindah, banyak betul dokumen dan drawing yang dibuang juga. Terlalu banyak, hinggakan aku tak sanggup nak tolong kemas sangat. Kalau aku tolong, teruk jadinya sebab aku suka baca semula apa yang hendak dibuang. Kalau aku tolong, sebulan aku rasa tak siap-siaplah kami berkemas. Makanya aku kemas bahagian aku sahaja. Hehe...


Banyak hal pula yang macam terkumpul dan tertolak ke bulan ini untuk diselesaikan. Hal-hal personal seperti menjahit baju sendiri, dan hal-hal kerja termasuk kerja luar yang bagaikan rezeki tersepak tetapi memerlukan pengorbanan masa, yang memang selama ini aku memang susah nak korbankan. Mungkin bagaimanapun ianya boleh tutup semula duit yang keluar untuk tayar kereta yang kena ganti pagi tadi, dua biji. Dan rancangnya, dekat nak raya nanti la kot (bila dapat gaji lagi.. hahaha) untuk dua biji yang belakang pula. Dah namanya pakai kereta, dah 4 tahun plak tu, jangan pula nak bersungut nak kena tukar tayar kan. Kalau tak nak tukar tayar mahal-mahal, engkau jalan kaki jer pergi kerja. Kan.


Macamanapun cerita aku, orang lain aku pasti ada macam-macam lagi cerita. Cerita suka, duka juga. Sama-samalah kita berdoa, semoga Allah permudahkan urusan kita semua. 


 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...