Iklan

Dec 31, 2012

Mendung dan hujan di hari terakhir 2012


Bismillahirrahmanirrahim...
 
Banyak sebenarnya perancangan untuk hari-hari terakhir di tahun 2012. Hendak mengemas itu, ini. Di pejabat, di rumah. Kononnya supaya bila tahun bertambah lagi satu angka nanti, semangat untuk hidup yang lebih bermakna lebih banyak meresap ke dalam diri. Tapi dah namanya pun perancangan, ketentuannya bukan di tangan kita. Kerja banyak sangat, sebab dalam masa terdekat projek akan ditender lagi. Bukan satu, tapi tiga. Cuba curi-curi masa hari ini untuk mengemaskini fail, buang mana-mana yang tidak perlu. Itupun dalam laci tidak sempat kemas. Alamak... kad hari lahir Aisya pula belum buat. Dalam perancangan juga, hendak membuat kad sendiri seperti tahun-tahun yang lalu. Jamuan (kalau rajin) dan kek, hari jumaat nanti nampaknya. Esok, pada hari lahir dia, sesi persekolahan 2013 akan bermula disini.


Antara yang sempat dibuat bulan terakhir 2012, mengasingkan tidur anak yang sudah besar. Haha.. Dan saya sangat sukakan suasana bilik tidur kami yang baru. Yang ada gambar biru macam asap tu, kalendar 2012, manakala yang atas katil tu, kalendar 2013, menunggu masa untuk mengambil tempat. Peranggu loceng angin buluh itu juga perlu diganti dengan yang baru, sudah uzur benar.


Mengunjungi Big Bad Wolf Book Sales pada hari ke-3 sebelum tamat pesta jualan buku besar-besaran itu. Kebetulan hari itu, jumaat (211212) saya baru sampai dari K.Trg. Selepas mengambil adik di pejabatnya, anak saudara di tadika dan meninggalkan mak, Aisya dan anak saudara itu di rumah adik, saya terus pecut ke Mines Convention Centre dan kena merempuh kesesakan dan hujan lebat. Kalau tak cukup letih.. mahu banyak lagi yang saya angkut pulang. Ini antara hampir 10 biji buku yang saya sempat beli.

Sebelum ke KL, sempat lagi curi masa buat penyangkut butang baju sekolah Aisya yang mak jahit. Saya sebenarnya dah lupa caranya, tapi sebab berminat nak buat, saya 'google' caranya dan jumpa cara yang mudah. Hasilnya.. taraaa! :D

Tudung sekolah Aisya baru hari sabtu lepas saya siapkan. Itupun selepas beberapa kali melakukan kesilapan sebab dah lama sungguh tinggalkan kerja-kerja membuat tudung sekolah ini (sejak tamat sekolah la kan!). Dua meter kain rosak, sebab silap potong. Dua kali beli kain. Akhirnya, siap juga 3 helai tudung sekolah yang baru. Hehe..

Itu perkara-perkara terakhir yang merupakan suatu kejayaan. 2012 adalah manis sebenarnya, yang pahitnya sedikit sangat dan tidak menghilangkan kemanisan itu. Syukur Alhamdulillah.

2013, Selamat Datang.

Dec 25, 2012

Sang Rasa

Aku dalam kereta ketika itu, menjadi pemandu ayah ke klinik untuk mengambil ubat tadi, dengan berbaju tidur labuh warna merah putih, seluar track ketat hitam, kardigan merah samar labuh pula membalut tubuh dalam cuaca yang sejuk selepas hujan. Emak duduk di belakang dengan Aisya. Ayah di sebelah sedang meninjau-ninjau kedai makan diluar, katanya nak bungkus mee tomyam. Ketika aku memandu perlahan itulah aku dengar mak menyebut nama dia dalam cerita mak yang tak pernah habis. Memang aku tidak menyampuk, tidak menyahut, walau emak bercerita terus-terusan. Berkait-kait ceritanya.

Hati aku merintih bergetar di dalam. Kenapalah setiapkali aku rasa aku sudah lupa tentang dia, ada sahaja cerita tentang dia yang masih sampai ke lingkungan pendengaran aku. Dugaan atau alamat apakah ini? Bukankah melupakan itu memerlukan masa seumur hidup, sepanjang hayat? Jadi aku tidak perlu diingatkan tentang dia, atau mendengar cerita-cerita dalam versi apa sahaja yang berkait dengan dia. Dia tetap ada dalam hati aku, disudut yang aku sendiripun tidak sedar. Membuang ingatan itu, ianya tidak semudah mengundang rasa kasih yang mengambil masa hanya selepas beberapa kali berbalas email berbaur rasa hati. Tepis dan dalih tiada guna kalau hati sudah terpaut.

Diam aku bukan bererti aku tiada rasa. Bisu aku bukan bermakna aku tidak tahu apa-apa. Aku sedang cuba melupakan, membuang jauh-jauh ingatan, membakar segala kenangan, sekaligus mengikis perasaan. Ya, aku sedar tiada yang mengerti kerana lontaran kata mengikut akal, bukannya rasa hati yang berbisik. Dan kerana itu, aku kena telan segala yang pahit itu.

Biru langit menjadi latar
Kekabu memutih di tingginya dahan
Untuk berkasih sebentar cuma
Sepanjang hayat untuk melupakan

Dec 20, 2012

My Version - Eggless Chocolate Cake Yang Sangat Sedap

Bismillahirrahmanirrahim...

Sesekali tekak ini teringin merasa coklat, setiap kali itulah saya menggagau poket mencari duit untuk beli coklat bar. Tapi biasanya keinginan sahaja yang melebih-lebih, padahal makannya sedikit sahaja. Itu dulu-dulu, zaman bergelar budak 'u', dan keadaan tertekan sebagai pelajar selalu ada. Dengan assignment, studio, projek, dengan tak faham apa-apa yang dipelajari, tak jelas masa hadapan, kawan-kawan yang adakalanya tidak membantu sebab masing-masing sibuk dengan tugasan sendiri, tertekan lagi, dan akhirnya berkongsi coklat dengan kekasih hati. Hehe...


Jam 8 malam semalam, Aisya bersungut lagi tentang  bila saya hendak  mengajarnya membuat kek coklat seperti yang pernah saya kata. Asalnya hendak tangguhkan dulu sebab saya perlu ke bank di bandar. Tetapi selepas makan dan jarum jam sudah di nombor 9, saya teringat pula siri Merlin di TV3 pukul 10 nanti. Kalau ke bandar, sah sangat balik paling awalpun pukul 11 malam. Walaupun boleh ajer tengok di astro minggu depan, saya tak sabar nak tengok episod kali ini.

Ya, saya peminat Merlin yang comel dan kurus kering itu. Hahaha..

Maka saya batalkan rancangan ke bandar (tangguh lagi), dan ganti dengan acara membuatkan kek. Saya kongsi resepi untuk kali ini tanpa perlu ada permintaan sebab saya jamin kek ini memang sedap. :D
Sebenarnya banyak sahaja resepi ini dimerata-rata alam maya ini, malah bila saya buat kek ini baru-baru ini, saya terjumpa pula sehelai kertas yang bercetak resepi yang sama terselit celah-celah buku resepi yang banyak dalam laci di dapur. Resepi sama tapi dari blog lain. Malah, sukatan bahan juga sama.

Ok, ini serius. Sukatan bahan-bahan ini memang menjadi, tak perlu ragu lagi. Saya guna cawan metrik yer kawan-kawan. Kalau dulu-dulu, saya tak pandai guna cawan metrik ni, malah tak ada pun di rumah. Saya guna cawan biasa tu jer, jenis lama yang warna kuning yang ada piring tu. Dari zaman saya kecil, sampai ke besar panjang dan ada anak sorang ni, cawan kuning mak tu la yang biasanya saya guna untuk menyukat bahan buat kuih.



MOIST EGGLESS CHOC. CAKE
Bahan-bahannya :
1/2 cawan tepung gandum + 1/2 cawan tepung berpenaik sendiri (saya guna tepung Blue Key)*
1 sudu kecil baking powder*
1/2 sudu kecil soda bicarbonate*
1/2 sudu kecil garam*
2 sudu besar susu tepung *
1/2 cawan serbuk koko*
1 cawan gula perang
1/2 cawan minyak jagung
1 1/4 cawan air dari peti sejuk
1 sudu kecil vanilla
1/2 sudu kecil chocolate emulco
1 sudu kecil cuka epal

Cara-caranya:
1. Panaskan oven 160 darjah celcius atau lebih kurang mengikut oven masing-masing. Lengserkan loyang 8x4x3 inci dengan marjerin dan tabur gandum. Ketepikan.
2. Ayak semua bahan yang bertanda, gaul rata dan masukkan gula perang. Gaul lagi.
3. Masukkan minyak jagung, air sejuk, vanilla dan chocolate emulco. Kacau guna whisk sehingga tiada ketulan atau bintil-bintil. Akhir sekali masukkan cuka. Gaul hingga rasa dan sebati.
4. Tuang ke dalam loyang tadi, bakar lebih kurang 40 minit atau sehingga masak bergantung pada oven anda.

Perhatian, sukatan ini benar-benar sedang elok sahaja untuk loyang sebesar itu sahaja. Loyang itu adalah loyang yang biasa orang buat roti tu, yang panjang dan kecil itu. Saya sendiri sebenarnya terkejut bila siap semua adunan, 'laa.... skit ajer ni..'. Mujur ada loyang tu. Kalau mengikut resepi asal yang saya salin, dia menggunakan loyang 8x8, dan saya tidak tahu bagaimana hasilnya. Kali pertama buat, saya guna loyang kecil dan panjang itu. Kali kedua buat, saya gandakan sukatan dan barulah sesuai dengan loyang 8x8.

Cubalah, serius sedap. :D
Ini loyang yang sepatutnya mengikut sukatan bahan di atas. Saya google jer gambar loyang ni.



Kek Coklat dengan air yang memberi ketenangan... serius rasa tenang jer minum air tu, Red Date with Longan. Adik saya la yang ajar minum air tu.

Serius sedap, lembap dan tidak la berderai sangat.

Ni yang cubaan pertama, gara-gara kehabisan telur di rumah. Jadi cari la alternatif lain membuat kek tanpa telur. Cubaan kedua, double the size, gandakan sukatan, tak sempat ambik gambar, Aisya dan sepupu-sepupunya dah habiskan dulu dan separuh dibawa ke pejabat. 

Ok.. selamat mencuba.





Dec 13, 2012

Catatan Perjalanan IV - Hatyai, Thailand


Bismillahirrahmanirrahim...

Sebelum saya sambung cerita baru, tentang azam tahun baru (kalau ada), tentang rasa (juga kalau masih ada rasa), atau tentang apa yang saya perolehi sepanjang tahun ini yang berbaki lagi lebih kurang dua minggu, saya nak habiskan dulu cerita tentang Thailand. Err.. yang tiba-tiba ada tempat di sana yang saya rasa ingin jejak pada tahun hadapan (kerana tertarik dengan gambar-gambar di fb kawan saya).




Hatyai, kami sampai dah malam dari Phang Nga Bay. Dah gelap, dan mujur sahaja masih sempat singgah dan makan-makan di Khlong Hae Floating Market. Makanan kat situ, boleh tahan juga sedapnya pada lidah saya. Perahu-perahu yang berniaga tak adalah banyak sangat, rasanya mungkin sekitar 30 perahu sahaja. Kebanyakan yang berniaga adalah orang Islam, jadi tidak susah memilih makanan.


Sampai di hotel, dah lewat. Selepas daftar masuk, naik simpan beg dan turun semula untuk pergi makan pulut mangga yang tersohor. Untuk saya, first time makan walaupun dengar-dengarnya kat Kelantan pun merata-rata ada sekarang. Dan selama ini saya membayangkan ianya sedap daripada cakap-cakap orang, tapi rupa-rupanya pada lidah saya yang tidak gemarkan yang manis-manis ni, ianya seperti makan pengat durian dengan pulut. Buah mangganya manis dan kuah santannya juga manis. Errr... mungkin lebih baik saya makan ayam bakar dan udang galah yang besar-besar itu sahaja. Hehe...

Lepas makan, balik jalan kaki ke hotel dan singgah di kedai mengurut. Kita buat foot massage dulu. Ok, yang ni baru sedap.. hahahaha....

Keesokkannya sebelum check out jam satu, aktiviti bebas kami ialah membeli belah di pasar besar Hatyai. Tak banyak shopping sebab masa yang terhad. Apa yang menarikpun cuma kasut yang cantik-cantik dan selesa serta bag yang murah-murah. Saya harap boleh ke sana lagi suatu hari nanti sebelum pasport tamat tempoh. Hehe....



Masih benda ini yang sentiasa menarik perhatian saya. Menyemakkan mata sebenarnya!

Gambar atas, dalam pasar Hatyai. Gambar bawah, dari dalam bas menuju ke pangkal jalan, yakni Malaysia, diiringi hujan renyai berbumbungkan langit membiru.




Akhirnya balik ke akar umbi jalan, stesen bas MBKT menyambut saya dengan bunyi-bunyian kicauan burung yang membingitkan telinga di awal 5 pagi, manusia-manusia yang bermuka kelat dan masam menahan mengantuk, driver-driver kereta prebet sapu yang menunggu peluang mencekik darah, bunyi bising bas-bas dengan asap dan bau kurang menyenangkan, tahi burung yang merata-rata di atas tempat-tempat duduk dan seribu satu macam masalah lagi selagi kita memandang ia sebagai masalah. Hahaha...

Menunggu adik datang menjemput, saya membaca notis ini dengan perasaan antara hendak percaya dengan tidak mahu percaya. Mudah sungguh hendak mendapatkan duit zaman sekarang, tangkap tikus dan jual. Dapat lima ekor, sudah cukup untuk makan satu hari. Yang lain tak perlu risau, kerajaan sekarang kan terlebih prihatin, hendak duit diberi duit, tiada rumah, diberi rumah. :P

Hasil gambar daripada kamera saya yang bergegar, dua botol air mineral di selit pada poket belakang kerusi hadapan di dalam bas. Oh ya, semalam saya hampir sahaja mengcampakkan kamera itu ke longkang gara-gara ia bergegar lagi dalam panas terik ketika saya mengambil gambar kemajuan kerja di tapak bina. Betul-betul bengang!

Dec 12, 2012

Ada Apa Pada 121212

Kononnya hari ini ramai yang hendak cipta  sejarah. Almaklumlah, tarikhnya cantik teratur. Aku, tak sedarpun tentang tarikh. Pagi-pagi lagi dah bersiap untuk ke Paka, begitupun emosi semalam masih tersisa dan aku memandu dalam perasaan kurang tenang ditemani sepi.

Bila keseorangan begitu, lagilah tertekan perasaan. Rasa nak berhenti saja bila tengok ombak menghempas pantai dengan ganas dalam hujan renyai. Nak jerit kuat-kuat pada laut yang kabur, tidak tahu apa-apa, kononnya biar lepas segala rasa yang terbuku lama. Tapi kaki terus menekan pedal minyak, masih ada tanggungjawab dan amanah perlu dijalankan, daripada sibuk nak buat benda bodoh itu. Ya, aku telan lagi segala rasa pahit hidup.

Aku ingatkan aku sudah tiada rasa. Menghindari diri dari menyayangi untuk elak hati daripada dilukai. Betapa aku takut dan serik pada rasa kehilangan, sehingga aku bencikan 'pengharapan'.

Adakah kita sebenarnya, semuanya memang berpura-pura? Seperti yang sering dikata orang, hidup yang sementara ini hanya lakonan dipentas dunia. Dan kita masing-masing berlakon menunjuk watak baik-baik belaka, sedang hakikatnya kita ada sisi hitam yang mengejar bagai bayang-bayang.

Kita hidup dalam penafian ke, atau sebenarnya kita yang menafikan perasaan?

Dec 11, 2012

Catatan Perjalanan III - Phang Nga Bay

Bismillahirrahmanirrahim...

Pulau-pulau itu berselerakan, daripada batu kapur dengan pokok sedikit-sedikit, atau hanya pokok bakau tumbuh melata, rapat-rapat dan subur. Ianya suatu pandangan yang selama ini hanya saya tonton di tv. Dan saya membayangkan anaconda sedang berenang di bawah bot, menunggu masa sesuai untuk menerkam mangsanya. Malah ketika lalu di celah-celah pokok berdekatan jeti, saya meninjau ke atas dahan untuk melihat sekiranya ada seekor dua ular sawa. Itu cerita yang selalu diceritakan, tetapi saya tidak pernah nampak di depan mata. Kecuali.. yer kecuali ianya benar ketika saya berumur sekitar 7, 8 tahun dulu, ular sawa besar yang saya tengok melilit batang pokok kelapa dekat dengan buahnya, di belakang rumah itu, adalah suatu realiti dan bukannya fantasi atau mimpi seorang budak yang suka baca buku cerita dongeng. Err.. mungkin realiti sebab saya boleh ingat tentang itu hingga sekarang. 

Di Phang Nga Bay, kami di bawa menaiki bot panjang yang boleh memuatkan 40-50 orang, di bawa mengelilingi pulau-pulau kecil dan besar, dan menghampiri James Bond Island. Sayangnya James Bond Island atau Pulau Paku itu sudah mengambil yuran masuk sejak beberapa bulan yang lalu, dan pakej lawatan kami tidak termasuk dengan yuran itu. Dan sayangnya juga, ketika itulah juga kamera saya mula buat perangai. Bergegar dan tidak mahu hilang gegarannya. Maka terlepaslah saya peluang untuk merakamkan gambar James Bond Island. 

Dibelakang Pak Kasim yang berspek hitam itu ialah terowong di lautan. Jaraknya cuma mungkin sekitar 500 meter sahaja dan agak lebar. Bumbungnya rendah dan boleh nampak dengan jelas stalaktit yang berjuntaian.

Kemudian kami ke Pulau Panji pula, untuk makan tengahari dan membeli hasil kraftangan penduduk pulau itu yang sebenarnya bukannya tinggal di pulau tetapi di rumah terapung. Di atas pulau yang ruang tanahnya hanyalah sedikit, hanya ada sebuah masjid dan tanah kubur sahaja. Oh ye, di situ juga dengar khabarnya ada sekolah terapung, tetapi memandangkan sibuk dengan mutiara yang menyinarkan mata, maka tidak sempat ke mana-mana pun, menjamu mata sahaja selepas menjamu perut. Hahaha....

Pulai Panji, bumbung berwarna merah adalah untuk restoran, hijau untuk kedai, biru untuk rumah. Err... saya agak ajer. 

Saya cuma menjamu mata, tetapi tidak menjamu tangan dengan plastik-plastik penuh berisi hasil belian. Saya cuma beli dua utas gelang tangan mutiara, dengan harga RM 10 dan RM7.


Oh... dah pertengahan bulan Disember. Saya seperti rasa cemas, sebab tahun depan Aisya dah darjah lima!

Dec 10, 2012

Random I

Bismillahirrahmanirrahim...


Saya nampak banner ini digantung pada salah satu tiang di Stesen Bas MBKT awal pagi ketika sampai dari Kulim beberapa minggu lepas. Macam tak percaya.. tikus (hidup atau mati) pun sudah ada harganya. Hahaha.. Tapi di sini (Terengganu) saya tak pernah lagi tengok tikus besar-besar yang kucing tengokpun takut sebagaimana saya tengok berkeliaran dekat longkang tepi restoran atau kedai-kedai di KL.

Bersila, atas tembok di Promthep Cape sambil melihat pemandangan yang indah. Selipar merah itu, mengikut saya ke mana-mana sahaja. Sangat selesa, dan tidak pernah rasa sakit kaki walaupun banyak berjalan. Buatan Thailand, tapi beli di Terengganu awal tahun lalu dengan harga RM30 lebih. Nampak ada di Hatyai baru-baru ni dan pastilah harganya tidak sampai RM30.

Ini sahaja keychain yang sempat disambar ketika di Hatyaai baru-baru ini. Mulanya langsung tidak tertarik, tetapi kerana tiada pilihan yang lebih menarik, terpaksalah. Tup tup bila dah gantung kat kunci, nampak comel pula. Hehe..

Bila orang ber'peplum', saya juga tertarik untuk ber'peplum' sama. Padahal saya rasa selama ini saya bukanlah seorang yang uptodate sangat bab-bab pakaian ni, saya lebih suka pakai apa yang selesa tanpa mengambil kira sangat trend2 ni semua. Bila terjumpa peplum ni di pasar borong (hahahaha... kat pasar borong pun boleh ada peplum), terus sambar satu. Sebenarnya untuk buat contoh jer, nak jahit peplum sendiri kononnya. Bila pakai, terasa macam 'fatin suhana' pulak. Hahaha...

Bosan-bosan sesorang di pejabat, saya edit gambar dengan PicsArt di telefon. Cantiknya, macam lukisan jer kan.

Kerja agak banyak. Dan dalam keadaan sedikit tertekan (sebab kerja). Tak suka.. :(



Dec 4, 2012

Catatan Perjalanan II - Phuket, Thailand

Bismillahirrahmanirrahim...

Ini pertama kali saya mengikuti rombongan bercuti, sepanjang umur saya mulai membayar zakat fitrah sendiri. Perasaan, berdebar-debar juga pada mulanya. Saya tak ada pasangan, samada untuk diajak duduk sebelah menyebelah dalam bas, atau duduk sebilik apabila di sana nanti. Sejak belajar di universiti lagi, memang saya sudah biasa ke sana ke mari bersendirian. 'Lone ranger', kata orang. :) Jadi kali ini juga, saya serahkan segalanya kepada ketua rombongan. Berdebar-debarnya, sebab ini pertama kali saya mengikuti rombongan percutian dan juga keluar dari Malaysia. Saya memang langsung tidak peduli untuk mengetahui serba-sedikit tempat lawatan, atau apa-apa yang perlu dibawa. Saya hanya 'terjah' sahaja, kerana saya rasa lebih suka begitu.


Di sekolah ini kami naik bas memulakan percutian. Kami kumpulan pertama yang naik bas. 

Dan saya tidak sangka akan timbul rasa suka bila dapat kenal orang-orang yang diluar bidang kerja saya. Rasa seronok pula. Memandangkan kawan saya adalah cikgu sekolah manakala suaminya adalah bekas cikgu yang dah jadi pegawai di pejabat kokurikulum negeri, maka ramai ahli rombongan adalah cikgu, staf di sekolah atau dari pejabat kokurikulum negeri. Hanya saya seorang yang terkeluar dari bidang pendidikan. Hehe...

Oh ya, memang sejak akhir-akhir ini saya rasa seronok pula dapat kenal / kawan yang diluar bidang. Contohnya, kawan blogger atau kawan chatting saya. Walaupun tak pernah berjumpa, tapi saya tetap rasa seronok. Dan hakikatnya juga, sudah lama sebenarnya saya tak ada kawan baru atau kenalan baru. Hidup saya selama ini hanya berputar di sekitar manusia-manusia yang sama, sehinggakan tokey gerai makan pun dah kenal sebab asyik-asyik nampak muka ni sahaja. Hahaha...


Dapat duduk tepi tingkap, yeayy!! Rasa macam budak-budak pun ada bila cepat-cepat naik bas sebab nak duduk tepi tingkap. Atau saya seorang yang rasa begitu?? Sebelah saya seorang kakak yg merupakan boss kantin sekolah. Dia duduk sebelah saya pun sebab dia dan kawan-kawan semua 3 orang.
Kami bertolak tu, waktu petang sekitar jam enam. Kemudian bas berhenti di beberapa perhentian 'mengutip' ahli rombongan. Rupa-rupanya pula ada tourist guide bernama En. Kabir bersama kami. Maaf, saya jakun. Hahaha... Dia bercerita serba sedikit tentang apa yang perlu dibuat di border nanti, tempat-tempat yang akan kami lawati dan tentang Thailand. Tapi katanya apabila di Thailand nanti, tugasnya akan diserahkan kepada seorang tourist guide Thailand. Ianya adalah undang-undang di Thailand bahawa mana-mana rombongan ke sana (dengan bas terutamanya) wajib mengambil / menggunakan tourist guide mereka. Kami sampai di sempadan (Danok) sekitar waktu Maghrib, tujuh lebih rasanya. Lepas cop passport, sebelum kembali ke bas, kami pergi makan dulu dan membuat panggilan terakhir ke Malaysia, lebih spesifik ke Terengganu, err.. lebih tepat lagi kepada anakanda tersayang, sebelum talian Celcom hilang ditelan jarak dan waktu. Hehe....



Inilah tourist guide yang orang Thailand tu, Pak Kasim namanya. Orangnya hensom, ada janggut sejemput, pandai buat lawak (dah memang skop kerja dia barangkali supaya tourist tak bosan), tapi cakapnya, bahasa Indon! Dia tidak pandai berbahasa Melayu, tapi boleh berbahasa Indonesia, kerana katanya dia belajar dulu di Indonesia. Mendengar dia bercerita tentang Thailand, membuatkan saya teringat bahawa saya pernah bercita-cita hendak menjadi pemandu pelancong dulu-dulu. Hehe..


 Perbezaan waktu antara Thailand dengan Malaysia adalah satu jam lebih awal. Kalau jam saya menunjukkan pukul 7 pagi, bererti 6 pagi di sana. Di waktu itulah kami berhenti di sebuah stesen minyak yang ada R&R (lebih kurang) untuk mandi (basuh muka je pun sebab tiada bilik mandi) dan solat subuh (di surau yang agak luas tetapi sejadah-sejadah yang ada berbau air kencing kucing!). Kami juga bersarapan di kedai-kedai yang bertanda halal di situ. Oh ya, sekitar jam 3 pagi sebelum itu kami telah berhenti di sebuah masjid untuk jamak maghrib dengan isyak.


Perhentian itu dikelilingi bukit-bukit tinggi dan gondol. Ada kedai makan berderet-deret, tetapi hanya beberapa buah kedai sahaja bertanda halal. Saya hanya minum sebab kenyang dengan karipap yang cikgu-cikgu itu bawa dan agih-agihkan dalam bas.

Pukul berapa ntah, baru kami sampai ke Phuket, yang rupa-rupanya adalah sebuah pulau seperti Pulau Pinang, tetapi jambatannya daripada tanah besar Thailand adalah pendek sahaja (saya baru tahu, selama ini saya membayangkan pantai sahaja bila orang sebut Phuket - pasal kes Tsunami tu).

Phuket Gateway, 'T'nya telah jatuh barangkali (ye la, takkan mereka saje2 nak buang 'T' plak kan!)



Destinasi pertama di Phuket, kilang t-shirt yang t-shirtnya murah dengan kain berkualiti. Pemiliknya adalah orang melayu dan bercakap melayu. Saya borong terus baju t-shirt budak untuk semua anak-anak saudara termasuk anak sendiri sebanyak 11 helai (percuma 1). Malas dah nanti nak kena fikir baju untuk diaorang.

Destinasi kedua, kilang gajus. Yang dalam botol merah tu adalah jus buah gajus, dan saya tidak berani mencuba. Hehe.. Malah saya tidak membeli apa-apa di sini kerana pertamanya saya rasa setakat kacang gajus berbagai perisa adalah sesuatu yang biasa sahaja, dan keduanya, sebab saya tidak suka membeli makanan kalau melancong ke mana-mana. Hehe...

Destinasi ketiga kami yang dalam keadaan busuk tidak mandi, adalah kilang batu permata. Disini juga ramai yang hanya mencuci mata, melihat keindahan permata yang berkilau, dengan harga yang berkilau juga, serta penyambut tetamu yang lagi berkilau-kilau. Hahaha... Seksi beb!


Lepas makan tengahari yang tidak sedap, kami terus bergerak ke hotel. Bel Air Mansion namanya. Tengah-tengah pusat bandar Phuket. Mandi, solat, berehat sekejap dan turun semula jam 4 petang untuk melihat matahari terbenam di Promthep Cape. Oh ya, saya duduk sebilik dengan Saras, seorang guru pendidikan khas di sekolah yang sama dengan kawan saya. Dia seorang yang peramah, jenis 'lone ranger' juga nampaknya, dan berbangsa India.

Promthep Cape yang sangat indah. Angin juga sesekali bertiup kencang. Ramai pelancong yang datang ke situ semata-mata hendak melihat matahari tenggelam. Ianya adalah di puncak bukit, dan di bawah sana ada pulau, bukit bukau di kejauhan serta laut terbentang. Di mana yer agaknya di sini ada tempat yang seakan-akan begitu?

Bila matahari sudah terbenam, maka kami pun pulang ke 'sarang'. Hehe.. Selepas maghrib, keluar semula untuk mengisi perut, dan melihat-lihat bandar Phuket yang penuh di mana-mana sahaja dengan Mat dan Minah Saleh.

Pantai Patong yang lengang di awal pagi yang lembap selepas hujan. Oh yer, perkara pertama yang saya perasan apabila di Thailand ialah kabel elektriknya sangat berselerak, berserabut, malah ada yang meleret ke tanah. Di mana-mana sahaja memang begitulah pandangannya. Itu saya, bersama Saras sewaktu makan malam di Kusuma Restaurant yang ada bendera Malaysia, pemiliknya orang melayu dan tomyam di situ sedap yang amat. 


Phuket, tiada yang istimewa sangat pada saya selain daripada Promthep Cape itu. Ianya tempat yang penuh dengan 'kekotoran' di mana-mana. Mat Saleh yang mabuk, arak di mana-mana, pub dan kelab yang menayangkan 'thai girl show' bersepah-sepah. Kesan tsunami yang pernah melanda Phuket suatu ketika dahulu, ialah pembangunan yang lebih dahsyat dari sebelumnya, begitu menurut kata Pak Kasim. Pada saya juga, cukup sekali saya ke sana. Sekurang-kurang saya tahu apabila orang bercerita.

Next.. errr.. saya pun lupa tentang apa. Hehe.. Babai dulu.




Nov 29, 2012

Catatan Perjalanan I - Pulau Pinang

Bismillahirrahmanirrahim...

Ogos 1999 adalah merupakan kali terakhir saya menjejakkan kaki di pulau  itu. Ketika itu saya sudah bekerja, di sebuah firma swasta di Kuala Lumpur. Kerana banyaknya cerita pahit dalam hidup saya, maka saya telah membuat keputusan untuk melupakan. Kenangan, kenalan, yang manis, yang pahit, semuanya. Tahun 2007, saya pernah terserempak seorang sahabat yang pernah rapat tahun 1996 di Penang, tapi saya tertanya-tanya siapa dia, bagaimana saya kenal dia. Memang, saya betul-betul melupakan dan hampir 'hilang ingatan' tentang semua kenangan di sana.


Dalam beberapa tahun ini, baru saya punya kekuatan untuk kembali mengimbau kenangan lama itu. Dan kembali merapatkan perhubungan persahabatan dengan kawan-kawan lama, melalui facebook. Walaupun sekadar menggunakan medium alam maya, ternyata bila kita fikir positif, hasilnya Insya-Allah positif juga. Sahabat yang pernah terserempak dengan saya itu, sudah beberapa kali mengajak saya join pengembaraannya dengan suaminya (suaminya juga merupakan 'geng lepak' kitaorang dulu), tapi dulu saya seperti takut untuk membuat keputusan positif. Beberapa bulan lepas, untuk kesekian kalinya dia mengajak saya mengikuti rombongan percutian, dan kali ini saya tidak berfikir panjang lagi.


Penang Bridge, pertama kali kot saya 'jejak' dengan kereta (kereta kawan) dan dalam hati, saya terasa bangga dapat 'jejak' lagi di sini. Dari atas jambatan ini, boleh nampak the second bridge yang dalam pembinaan. Langit biru seolah-olah mengalukan kunjungan semula selepas 13 tahun. Dalam bangga, berdebar-debar pun ada, tak tahu kenapa.


USM, menyambut saya dengan kelainan yang banyak amat. 4 Tahun di sini dulu, seperti tiada pula dalam kamus hidup saya. Sangat-sangat terasa perbezaannya.

Tasik Harapan nampak suram, dan semacam terbiar. Mungkin sebab masa itu adalah masa cuti. Tapi ia seperti mengembalikan sedikit ingatan. Disitu saya, Ta dan Asma sering petang-petang mengambil angin, bersila atas rumput sambil bercerita macam-macam.    




Desa Kembara, tahun pertama saya tinggal di asrama ini. Jauh yang amat dengan school saya. Di meja itu dulu, kami (saya, Sedi, Ta, Asma, Za, Abe Kairo - itu sahaja yang saya masih ingat) selalu lepak bersama. Malah disitu juga kami menyambut hari jadi dan bertukar-tukar hadiah.




Cafe Desa Kembara. Err... di situ, di salah satu meja di situ, saya dating untuk pertama kali dengan pakwe pertama, Sham namanya. Hahaha... Saya dah lupa nama itu, tapi Za (kawan saya itu) ingat plak. Agaknya sebab dia yang selalu jadi tukang panggil saya, memaklumkan yang Sham menunggu saya di situ.







Di sini juga tempat lepak kami, dan biasanya kami lepak di sini malam-malam. Bersila atas tar tu sambil tengok langit. Bangunan asrama yang hujung tu, belum wujud lagi masa tu. Sebelah situ, semuanya bukit-bukit sahaja. Tengah-tengah lepak, datang pak guard perambat kami, jadi kami pun 'blah' pula ke depan usm, pergi Sg. Dua pekena teh tarik kat kedai mamak. Hahahaha...




Ni school saya dulu. Tempat yang paling banyak memorinya saya lupakan, lupa terus. Tak ingat langsung. Apa saya belajar dulupun saya tak tahu. Betapa saya belajar untuk exam semata. Haishh...

Saya tak sempat berjalan sangat di Penang. Pusing-pusing mengutip serba sedikit memori yang tercicir, kami kembali ke BM. Sebabnya, petang itu saya akan memulakan episod baru dalam hidup saya, menaiki bas rombongan ke Phuket, Thailand.

Saya bukannya hendak berjalan sangat sebenarnya, saya hanya mahu lari dari kebiasaan. Mencabar diri mencipta pengalaman baru. Lagipun, bila lagi kan. Ok, nanti saya sambung perkongsian saya seterusnya. Phuket, Thailand.

My Version - Resepi Bubur Jagung For Dummies'

Bismillahirrahmanirrahim....

Sebenarnya nak buat tajuk entri 'resepi bubur jagung paling sedap' tapi takut kesedapan itu hanya pada lidah saya. Dan kebenarannya juga, saya seorang yang tidak berapa gemarkan makanan-makanan manis. Dodol, baulu, akok, netbat, kuih bakar dan banyak lagi makanan tradisional adalah manis. Bubur dan pengat pula memang tidak dapat dipisahkan dengan rasa manis! Sebab itu saya tak suka makanan tradisional! Kebanyakannya manis-manis belaka!!


Biasanya juga, bab-bab membuat pengat dan bubur, mak adalah chefnya. Saya tak masuk campur, sebab saya tak gemarkan pemanis mulut yang memang manis itu. Kekadang saya makan juga pengat pisang, tapi saya ambil pisangnya sajer. Hehe...


Baru-baru ni, kakak menitipkan melalui ayah, bubur jagung ke rumah. Nampak sedap, jadi saya pun rasalah sesudu. Eh... memang sedap. Kurang manis dan rasa susu! Saya pun makanlah beberapa sudu daripada dalam tupperware tu. Malamnya, kononnya nak makan lagi. Tengok-tengok dah licin! Mak dah habiskan sebab katanya 'ingatkan tak nak dah!' Waaaa!!!



Jadi saya minta resepi dengan kakak. Nak buat sendirilah kononnya. Tapi saya kerja, balik rumah pada petang hari, tengok-tengok mak dah buat. Alamak! Manisnya!! Saya dah tak lalu nak makan. :((


Dan akhirnya mak biar saya buat sendiri. Ada balance jagung tiga butir lagi dalam peti ais. Mak tolong hiris-hiris jer jagung-jagung tu, terus ke dalam periuk.



So, adik evi sayang, begini yer cara-caranya. (selepas saya upload gambar bubur ni kat instagram, ada adik sorang ni minta resepi... hehe..)


1. Hiris-hiris biji jagung tu hingga tinggal empulurnya sahaja. Hiris nipis-nipis, jangan halus sangat dan jangan kasar-kasar sangat. Biar sedang-sedang elok supaya nanti makan crunchy-crunchy gitu. Hehe..


2. Hiris terus ke dalam periuk pun tak per. Tak der masalah. Mak selalunya buat gitu.


3. Dalam bekas lain, campurkan susu cair dengan santan dari dalam kotak, dan air juga. Err... saya rasa ini mungkin kali pertama guna santan dalam kotak. Disebabkan santan tu pekat, tuang sedikit dalam bekas dan campurkan air. Jangan cair sangat. Agak-agak la yer. Kemudian campurkan pula dengan susu cair. Tuang ke dalam periuk berisi jagung yang dah dihiris. Agak-agak la sukatan santan dengan susu cair tu dapat menenggelamkan isi jagung yang dah dalam periuk. Lebih sikit pun tak per. Kalau nampak macam tak cukup, tambah lagi susu cair.



4. Bila dah rasa cukup tenggelam jagung tu, letak atas dapur dan buka api. Masukkan gula dan kacau-kacau hingga gula hancur. Agak-agak la nak bubuh gula banyak mana. Ikut lidah nak manis setakat mana. Masukkan juga secubit garam. Skit jer yer.


5. Bila dah mendidih, tutup api. Jangan masak lama sangat, nanti jadi berminyak dan jagung juga tak crunchy nanti. Agak-agak la yer, kalau tak nak crunchy, masak la lama sikit.


6. Dah masak tu, letak dalam mangkuk. Biarkan sejuk skit, baru makan. Makan panas-panas kan, melecur lidah jangan nak salahkan akak pulak. Hahahaha..  Oh ya, bila dah sejuk tu, tuang dalam tupperware letak dalam peti ais, pun sedap makan sejuk-sejuk.


7. Oh ya, mulakan dengan bismillah. Sudahi dengan alhamdulillah. Hehe...


Okay, rasanya cara-cara di atas sudah dapat memberikan gambaran sebenar bagaimana membuat bubur jagung bagi seorang yang jarang masuk dapur. Kalau yang biasa dan memang kerjanya kat dapur sahaja, tutup mata pun boleh buat ni. Hahaha...

Selamat mencuba!





Nov 28, 2012

My Version - Puding

Bismillahirrahmanirrahim...

Puding, antara makanan kegemaran saya. Bukan agar-agar yer, atau jeli. Pada saya, yang rupanya jernih itu, tidak dicampurkan susu, walaupun ada yang dicampurkan telur atau buah-buahan, tetap saya panggil agar-agar. Jeli pula, yg kecil-kecil comel semuanya saya panggil jeli. Puding adalah agar-agar yang telah dicampurkan susu atau santan yang menukarkan warna jernih kepada keputihan, yang rasanya lembut dan adakalanya seperti cair dimulut. Oh... masing teringat puding tembikai susu di sebuah hotel di Melaka, ketika menghadiri seminar sekitar tahun 2001. Ketika itu saya masih bekerja di Kuala Lumpur. Dan saya itulah puding paling sedap pernah saya rasa.


Jadi, selepas itu saya belajar-belajar buat puding. Dulu-dulu, selalu sangat buat. Lebihan buah betik atau nangka atau apa sahaja yang sesuai, selalu saya tukarkan menjadi puding. Tapi, biasalah, kerajinan saya memasak atau membuat pencuci mulut selalunya bermusim. Hahaha....

Puding karamel yang merupakan percubaan pertama menggunakan susu pekat manis. Resepi daripada blog nanirostam, tapi buat separuh adunan jer. Menjadi dan sekejap sahaja, licin!

Puding nangka, menggunakan lebihan isi-isi nangka yang sudah tak termakan. Banyak sangat, sebab buahnya besar.

Puding susu campur buah naga (dragon fruit). Daripada buah naga yang tak pernah susut berbuah depan dan belakang rumah.

Cara saya membuat puding, adalah sangat ringkas. Sukatan adalah main agak-agak, sebab selalunya saya menggunakan serbuk agar-agar jenama Nona, dan selalunya juga saya membuat separuh peket sahaja. Nak buat banyak-banyak takut terbiar lama dalam peti ais, dah lama kan dah tak teruja nak makan.

Bahan-bahannya :
Serbuk agar-agar
Air
Gula
Susu cair / susu segar
Telur (sebiji) + sesudu tepung jagung
Buah (apa-apa sahaja)

Cara-caranya :
Masak serbuk agar-agar dengan air dan gula, sampai gula tu hancur. Masukkan susu. Bila dah mendidih, perlahankan api, masukkan telur yang dikacau sebati dulu dengan tepung jagung. Buah yang dah dipotong, susun jer dalam bekas, tuang adunan puding dalam  bekas tu.

Kalau nak guna buah yang dihancurkan seperti nangka atau betik, campurkan buah-buah yang dah dipotong dalam blender, masukkan susu cair / susu segar, campurkan telur sekali dengan tepung jagung. Mesin hingga hancur. Bila adunan agar-agar dah mendidih, perlahankan api dan masukkan adunan buah ke dalam adunan agar-agar. Biar sekejap, padamkan api, tuang dalam bekas, dah sejuk simpan dalam peti ais.

Kalau puding roti (selalu juga buat sebab nak habiskan roti yang hampir expired), saya selalu campak-campak sahaja semua roti yang dah dicarik-carikkan kedalam blender. Sama juga, mesin sekali dengan telur, tepung jagung dan susu. Tapi apabila dah masukkan dalam periuk, masa nak padamkan api, saya letakkan sesudu mentega. Kacau sekejap hingga mentega tu cair. Saya tak tahu apa fungsi sebenarnya mentega tu. Nak bagi gebu kot.

Bila dah keras, boleh ngap! Hahahaha....

Oh yer... saya pernah buat puding ubi keledek.. sangat sedap, dan saya suka. Ianya menggunakan ubi keledek yang dah direbus. Lain-lain tu saya rasa sama saja kut. Dah lupa, dah lama buat tu.


Entri ni, dibuat atas permintaan dua orang pengunjung blog ini, KA dan LW. Terima kasih kepada anda berdua, sudi melayan blog saya yang tak semenggah mana ini. :D

Entri ini juga, dibuat sebab ada satu lagi permintaan. Minta resepi. Hahaha...

Ok... jumpa lagi di next recipe entry.

Nov 25, 2012

Saya Tak 'Makan Hati'

Bismillahirrahmanirrahim...

Perempuan mana yang tidak takut menjadi gemuk. Wanita mana pula yang tidak kisah tentang gemuk. Tubuh berisi, menggeleber di sana sini. Tiada siapa yang hendak begitu sebenarnya. Pakai baju ketat sikit, sudah nampak isi yang terlebih, perut yang membuncit. Sebab tidak ramai yang suka gemuk jugalah, di mana-mana ada sahaja produk pelangsingan. Samada produk berbentuk pemakanan atau alat senaman, krim pemecah lemak, malah rawatan juga disediakan bagi membuang 'gemuk'.


Senang kata, hakikatnya disini, ramai yang hendak menjadi kurus.


Suatu ketika dulu, saya yang tingginya setengah inci lagi ke lima kaki ini, pernah gemuk juga. Orang dah rendah, berisi sikit memang nampak gemuk. Masa itu, memang nak sangat langsing macam Fauziah Latiff. Pakai apa sahaja pun, menarik sahaja kelihatan. Sekarang, kalau jumpa kawan-kawan lama, ramai yang menegur, 'Kurusnya mu la ni'. Hakikatnya, saya sudah berjaya kembali berisi sejak enam tahun lepas.Sebelum enam tahun lepas, selepas 1999 berat saya bermain sekitar 40 - 43kg sahaja, malah pernah turun ke 39-38kg.


Gemuk, bukan bererti tidak cantik. Kurus pula, bukan bererti makan hati berulam jantung sahaja. Tapi kalau makan nasi panas dengan jantung pisang rebus, cicah pula budu, memang tak angkat muka la jawabnya. Sedap bangat! Kalau saya pula, makan la banyak manapun, memang badan susah hendak berisi (gemuk).


Mungkin kamu nampak saya kurus. Mungkin kamu tahu serba sedikit kisah saya yang dulu. Tidak, saya tidak makan hati. Saya cuma suka makan hati ayam sahaja.


Bangunan tinggi itu merindukan saya pada seorang teman, ntah kemana menghilang dia. Masih ingatkah dia kepada saya.

Nov 21, 2012

Seminggu Menghilang

...dan matahari pun menundukkan wajahnya, malu-malu pada bulan yang mengintai dikejauhan...



..bangku-bangku biru, kosong di awal pagi yang lembap selepas hujan..



mereka dikelilingi air, dan pulau-pulau itu perhiasan yang indah...

Nov 11, 2012

Antara Ruby Hazri, Noor Suraya dan Hlovate.

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekolah sudah habis untuk tahun 2012. Budak-budak semua sedang seronok mula bercuti, bangun lambat, tengok tv cerita kartun, mandi hujan dan bermain di baruh! Manakala cikgu-cikgu sekolah pula sibuk tayang kat mukabuku perjalanan pergi bercuti. Saya dipejabat, rasa hilang semangat hendak bekerja. Padahal ada banyak kerja kena selesaikan, esok pula ada meeting dan selepas itu saya juga akan mula bercuti. Biasanya saya jarang terkena sunday blues, tapi hari ini saya tidak dapat mengelak. Ianya kerana ada banyak dokumen perlu disiapkan dalam tempoh terdekat ini. Ada waktu-waktunya bila banyak kerja, saya mula mengalami situasi di mana 'pegang itu tidak kena, sentuh ini tidak jadi' dan akhirnya satupun tidak siap!


Dalam cuaca sejuk dengan hujan sekejap-sekejap begini, yang paling saya ingin buat ialah duduk di kerusi malas, dengan bantal paling selesa di riba, mengadap tingkap kegemaran dan hujan berlagu diluar, sambil membaca novel. Ah.. bahagianya dunia.


Lama sudah sebenarnya tidak membaca novel. Novel terakhir yang baru saya tamatkan ialah Kopi Susu Sepatu Biru karangan Ruby Hazri. Itupun selepas berbulan-bulan! Dulu saya terpikat dengan cara penyampaian Ruby Hazri gara-gara novel Percayalah. Tapi novel itu meleret pula dalam Percayalah... Akhirnya, yang saya baca secara rambang sekadar mahu tahu penghujung cerita. Masih akhirnya saya rambang mata ketika International Bookfair awal tahun lalu di PWTC lantas saya capai 2 buah buku Ruby Hazri, salah satunya Kopi Susu Sepatu Biru itulah, dan satu lagi saya lupa tajuknya, masih berbalut plastik kemas di rak buku. Kemudiannya walaupun saya sudah agak bosan dengan cerita-cerita Norhayati Berahim dalam novelnya yang sudah jadi seperti tengok slot Akasia atau Samarinda, tetap saya terpikat dengan 'Menunggu Keretapi'. Itupun masih juga berbalut kemas dalam plastik lutsinar.



Suku akhir novel Kopi Susu Sepatu Biru, baru saya ada keinginan untuk membaca sampai habis. Dan pantang ada waktu terluang, saya akan mengadap buku itu walaupun sekejap (seperti biasa apabila saya sudah tertarik pada satu-satu buku). Waktu-waktu tersebut adalah seperti berikut :-
1. Sementara menunggu toner kering.
2. Sementara menunggu pelembab meresap ke kulit.
Gara-gara dua perkara di atas, saya adakalanya terlambat beberapa minit masuk ke pejabat.
3. Waktu rehat sekejap apabila pulang dari kerja jam 5 petang, sebelum mandi dan solat asar.
4. Selepas makan malam dan solat isyak (kalau tak menonton tv), sehingga waktu masuk tidur.
5. Sebelum tidur (sekiranya saya menonton tv - ada movie best). Sesetengah novel boleh menghalau terus rasa mengantuk saya sehingga jam 3 pagi!


Nampak bukan, sebenarnya masa yang saya luangkan yang saya ada sebenarnya tidak banyakpun. Dan novel yang tidak setebal mana itu pun, lambatnya nak saya habiskan. Berbulan-bulan akibat tidak ada tarikan yang kuat. Dah habis baca yang itu, baru kembali semangat untuk meluangkan masa dengan novel-novel yang agak lama terpinggir. Saya sambung dengan novel lama Noor Suraya, Nyanyian Tanjung Sepi. Baru beberapa mukasurat, saya kembali bosan. Nama watak utama, yang panjang, Syarifah Nuur Khalida diulang-ulang setiap ayat. Bukunya tebal, munasabahlah awal penceritaan watak utama masih di bangku universiti. Saya bosan kerana saya jelas, banyak sangat cerita orang itu, orang ini di dalam novel itu. Lantas saya berhenti di situ (baru 20 mukasurat mungkin).


Saya kembali kepada Hlovate, yang pernah saya pinggirkan kerana terasa seperti cerita budak-budak. Saya mahukan sesuatu yang berbeza, dan Hlovate berbeza walaupun cara penyampaiannya tidak serasi dengan jiwa saya. Awal cerita K2 dalam Contengan Jalanan setakat ini masih boleh menarik saya untuk terus membaca. Tengok nanti apa kesudahannya.


Kalau Hlovate tidak berjaya meraih minat, novel Habiburrahman El-Shirazy ada sedang menunggu. Ketika Cinta Bertasbih mungkin sehebat Ayat-Ayat Cinta. Tinggi harapan saya.





Nov 7, 2012

Cerita Tentang Bas

Bismillahirrahmanirrahim...

Orang kampung macam saya, memanglah biasa naik bas ke sana ke mari. Dari kampung hendak ke bandar KT, menunggu di tepi jalan di hadapan rumah besar Mek Wok yang anaknya kawan saya. Ataupun kalau rajin berjalan sedikit ke simpang dekat pasar dan menunggu di sana, di pondok menunggu yang hapak. Di situ banyak bas yang lalu, boleh mengambil mana-mana bas yang hendak ke bandar. Tapi itu dulu, masa zaman tubuh berisi bulat pakai seluar baju kakak punya yang dia tinggalkan di rumah sebelum dia kembali ke asrama. Dulu-dulu, masa masih malu-malu tunduk kepala perasan bila terserempak kawan sekolah yang lelaki tersenyum tengok saya yang berjalan kaki ke pondok menunggu bas itu. Haishhh... malu bila ingat! Kenapalah tak boleh senyum balik macam biasa?


Sekarang, saya tak tahu pun bas-bas itu masih ada ataupun tidak. Yang pasti, Mek Wok dan suaminya, serta tiga orang anaknya dah jadi arwah seorang demi seorang. Dan sekarang, rumah besar itu tidak nampak besar lagi kerana banyak berceratuk rumah lain yang besar-besar belaka. Pondok menunggu bas dekat pasar itu juga sudah lama hilang jejaknya. Bertahun-tahun sudah berlalu, kekadang bila dikenang terasa cepat sungguh masa beredar. Kawan sekolah yang lelaki itu, yang sekampung atau kampung-kampung sebelah sudah tidak saya kenali kalau bertembung. Kawan saya anak Mek Wok itu juga, sudah beranak sederet 4 orang.


Hilang zaman tubuh berisi, saya ulang alik naik bas ekspres pula dari KT ke Penang, Penang balik KT. Bas berpenghawa dingin, waktu malam pula, lamanya hampir 12 jam, saya akan pejam mata awal-awal lagi bagi mengelak sejuk dan pening kepala. Mengerekot atas kerusi yang sempit, beg dekat kaki sebab takut hilang kalau letak di ruang menyimpan beg di bawah. Kadang-kadang nasib kurang baik, kat kerusi sebelah lelaki 'gila seks' cuba hulurkan tangan nak meraba. Saya peluk tubuh dan berjaga-jaga sepanjang jalan. Ada seat kosong, cepat-cepat saya pindah. Ada sekali tu, saya masih ingat mencucuk jarum peniti pada tangan yang meraba. Dah ada pengalaman, selepas itu saya selalu minta seat sebelah perempuan atau awal-awal lagi tukar seat untuk duduk di sebelah perempuan. Zaman saya dulu, mana ada single seat! Yang pasti, naik sahaja bas, labuhkan sahaja punggung atas kerusi, saya akan terus melelapkan mata. Dan elok sahaja celik pabila bas sudah naik Penang Bridge...


Sejak ada kereta sendiri (masa tu masih bekerja di KL), saya sudah jarang naik bas. Samada di kampung, di KL, atau dari kampung ke KL, KL balik kampung, saya jadi sedikit sombong dengan bas. Malah sebolehnya saya mengelak daripada kena menaiki bas. Apabila sesekali terpaksa naik bas (saya ambil single seat), seperti biasa kena berbekal minyak cap kapak dan bas jalan sahaja, saya terus siap-siap untuk tidur. Hahahaha...


Sebenarnya apa yang saya benci apabila terpaksa naik bas ialah, waktu menunggu! Saya tidak kisah sangat dengan masa 6 atau 7 jam di dalam bas kerana, saya cuma tidur! Saya benci apabila terpaksa berkejar ke stesen bas. Saya benci dengan bau asap bas yang selalu membuat saya rasa pening. Saya benci dengan bau bas ekspress berhawa dingin yang terus-terusan membuatkan pening saya bertambah. Saya benci menunggu bas bergerak. Dan saya tak suka sebab apabila sampai, ianya bukan destinasi yang ingin dituju, tetapi.... stesen bas yang lain pula!!! 


Ini yang saya risau sebenarnya.. kena naik bas!

Nov 6, 2012

Sedikit Kerisauan Yang Remeh

Bismillahirrahmanirrahim...

Beg tidak beli lagi. Pada mulanya saya rancang untuk membeli beg galas baru. Beg galas yang biasa saya usung ke sana ke mari setiap kali ke KL, Johor, dan akhir sekali ke Langkawi beberapa bulan dulu, sudah koyak sedikit. Dekat atas, dekat dengan zip. Dan kebarangkalian untuk koyak lebih teruk adalah besar sekiranya beban yang ditanggung bertambah. Errr.. beg free jer pun sebenarnya. Satu lagi beg galas free yang asalnya konon boleh mengambil tempat beg galas yang mula koyak itu, awal-awal lagi telah di'cop' Aisya untuk dijadikan beg sekolah. Hahahaha.... Dan saya hanya mampu geleng kepala saja tengok beg sekolah princess dia yang tidak dipedulikan lagi sejak pakai beg galas free mama. Aduhai la anak....


Tak per, saya pakai sahaja mana-mana beg yang ada nanti. :D


Saya sebenarnya tidak suka sangat merancang awal percutian saya. Sebab biasanya jarang apa yang dirancang berjalan sebagaimana perancangan! Last minute planning selalunya lebih menjadi bagi saya. Cuma kalau melibatkan hotel, kena tempah hotel  lebih awallah mengikut keadaan. Kalau cuti sekolah, sebulan sebelum cuti, dah kena tempah hotel siap-siap. Kalau sekadar hujung minggu, seminggu sebelum tu pun tak der hal.


Memandangkan saya tidak pernah ke luar dari Malaysia, makanya untuk percutian kali ini, ada sedikit rasa risau tentang persiapan.


Tapi, saya seperti biasa, malas hendak merunsingkan kepala dengan hal yang saya rasa remeh temeh. Nanti saya capai sahaja mana-mana pakaian yang sesuai, beberapa helai. Tak cukup karang, saya beli sahaja di sana dan terus pakai. Senang. Macam biasa.


Oh.. tiba-tiba saya terindu pada seorang kawan lama.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...