Iklan

Aug 27, 2015

Aku dan Pantai

Bismillahirrahmanirrahim

Jarak rumah aku (my parents house to be exact), dengan pantai yang terdekat lebih kurang 10 minit sahaja berkereta. Malah ayah dulu masa mudanya pernah jadi penjual ikan dan biasa ikut orang ke laut. Tapi tempat 'mainan' ayah dulu adalah sekitar pantai dekat jeti Marang. Mak pun orang pantai. Menurut cerita mak, zaman budak-budak mak adalah disekitar Kg. Kelulut. Aku tak faham sebenarnya bagaimana mak akhirnya tercampak ke kampung sebelah. Ayah pula memang asal keturunannya di kampung di mana kami menetap sekarang.


Jadinya, kisah pantai memang tidak pernah jauh dari hidup kami biarpun sekarang pantai pun jarang sangat kami kunjungi. Aku dengan pantai pun, bukannya 'ngam' sangat. For me, i want to be in the forest or by the lake, much much more than any beach. I want to be surrounded by the greeneries trees, and the song of murai singing, more than the mysteries dark blue sea and the sound of waves crash on the beach. Oh.. bukan main lagi ayat. Hahaha....


Sayangnya, 'hutan kecil' di belakang dan tepi rumah yang dulunya tempat bermain aku, sudah 'tidak' lagi ada sekarang. Di belakang rumah (agak jauh), 'hutan' itu yang dulu tempat berkebun sayur pemiliknya kini terbiar dan dengar-dengar sudah ada sejenis binatang haram disentuh. Tepi dan depan rumah yang dulunya kebun buah-buahan mak saudara dan kebun getah kecil, sekarang tersergam rumah besar anak masing-masing. Ya... time flies... very fast. Jadinya, aku 'terpaksa' mendedahkan anak dan anak-anak saudara yang selalu menempel, kepada pantai lebih daripada keinginan aku untuk membawa mereka meneroka semak samun.


Dan sayangnya juga, pantai-pantai yang cantik di Terengganu, tidak begitu dihargai sebagaimana alam semulajadi yang lain dianaktirikan. Padahal semua orang pun mengharapkan tempat yang bersih, tetapi diri sendiri membuang pampers kencing berak anak di tempat mereka berkelah. Sungguh menyedihkan sekali. Botol kaca yang entah dari mana, memang luar biasa kalau tidak ada di mana-mana pantai di sini. Sama juga dengan bekas makanan dan minuman polisterin dan plastik. Mungkin di sesetengah pantai tu, tak banyak pun sampah. Tapi kalau tak ada itu, luar biasa la tu. Kadang-kadang aku hairan dengan orang yang suka membuang pampers anak dan lain-lain sampat merata ni. Tidak adakah sedikit rasa bersalah dalam diri mereka?


Aku dah lama sungguh tak ke pantai. Aku hanya menjeling ke arah laut lima hari seminggu setiap kali lalu di atas jambatan bengkok Kuala Ibai, ke arah muara sungai yang cantik, kepada matahari pagi yang memerah. Atau sesekali mengambil bauan ombak di Pantai Batu Buruk apabila aku mengambil jalan pintas di belakang hospital Sultanah Nur Zahirah.

Tanpa keinginan untuk berhenti.

Kerana, aku dan pantai, keinginan untuk bersama tidak kuat.

Aug 18, 2015

Hijau!

Bismillahirrahmanirrahim


Bila instagram jadi medan berkongsi sedikit rasa hati, blog pun makin tidak dipedulikan. Hahaha... kesian blog. Tapi wahai blog, aku tak termasuk pun dalam golongan itu. Aku mengaku memang setiap hari aku tengok instagram. Sebelum tidur, atau malam-malam sambil tengok tv. Tapi bukannya sebab nak upload gambar, tak. Cuma nak tengok gambar.


Aku percaya gambar lebih banyak boleh 'bercerita' tentang si tukang petik gambar. Melalui gambar yang dikongsikan secara berterusan, serba sedikit ianya menceritakan kehidupan pemilik gambar tersebut.


Di sini.
Aku perasan setiap kali aku hendak mencetak gambar untuk ditampal di dinding pejabat, gambar yang aku pilih semestinya gambar landskap hijau, atau sekurang-kurangnya pokok! Yang penting kehijauan. Air? Tasik atau air terjun adalah lebih baik untuk aku.


But still... my yellow office room don't have enough green!


Well, actually there are notes, drawings, calendar, everywhere on the walls! And my printed picture of 'trees' were somewhere in the middle of the crowd. Sigh!







Jul 6, 2015

Ramadhan 18, 1436 Hijrah

Bismillahirrahmanirrahim

Subhanallah Walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar
Maha Suci Allah
Segala Puji Bagi Allah
Tiada Tuhan Melainkan Allah
Allah Maha Besar


Mencari semangat bekerja di hujung-hujung bulan puasa. Sungguh la, 2 minggu lebih yang lepas, hari-hari rasa sangat tidak larat. Rasa segar sekejap hanya dari jam 4.15 sehingga jam 6 pagi, selepas itu mula menguap dan mata pun macam bila-bila masa sahaja boleh tertutup. Memandu jam 6.55 pagi untuk menghantar Aisya ke sekolah adalah waktu yang paling menyeksakan. Sungguh mengantuk yang amat. Padahal masuk pejabat selepas itu tak ada pula nak lena ke apa. Tapi memang lemau la rasa.


Isnin minggu lepas adalah ujian paling perit bulan puasa ni. Memandu dari Paka ke Kuala Terengganu jam 2 petang dalam cuaca yang panas, dihembus pula penyaman udara dalam kereta. Beberapa kali kereta aku melilau di jalan raya. Konon nak berhenti untuk lelapkan mata sekejap tetapi tak tahu kat mana nak berhenti. Seorang diri, aku memang tak berani sangat nak berhenti tepi-tepi jalan gitu. Kebetulan pula tak boleh puasa, tapi tak boleh makan dan minum. Kalau tidak ada juga alasan nak singgah masjid. Itupun aku teguk juga air mineral yang tinggal separuh ada dalam kereta, dan curi-curi makan sebiji kurma daripada 2 kotak kurma diberikan oleh kontraktor. Tapi, tak hilang juga mengantuk!


Entah apa kena, aku pun tak tahu. Hujung minggu lagi teruk kalau tidak keluar ke mana-mana. Sekejap-sekejap lena kat kerusi, depan tv, kat dapur, kat bilik. Tapi tak lama pun. Paling lama setiap 10 minit mesti jaga. Huh!


Tapi hari ini aku agak segar. Sejak semalam sebenarnya. Tekak tidak rasa terlalu kering. Tubuh tidak rasa terlalu lemah. Sekarang kepala agak berdenyut. Tapi masih di dalam kawalan. Rasa mengantuk banyak kurang pagi ini. Banyak! Alhamdulillah.

Oh, aku belajar sesuatu. Minta pada-Nya. Mohon. Berdoa. Seikhlasnya apa yang diinginkan. Kena pada masanya, in sya allah, Dia perkenankan. Bukan setakat dibaca doa, tidak memahami dan tiada kesungguhan. Wallahualam.








Apr 7, 2015

Terima Kasih Kawan

Bismillahirrahmanirrahim

Sedar atau tidak, seseorang yang pernah muncul dalam hidup kita sebenarnya serba sedikit ada mengajar kita tentang kehidupan atau mungkin pernah mempengaruhi kita dalam sesuatu hal. Mungkin juga pernah memberi kita suatu pandangan yang berbeza tentang kehidupan. Seseorang itu mungkin misalnya isteri cikgu sekolah anak kita, jiran sebelah rumah sewa semasa kita pernah menyewa disuatu tempat, kawan serumah yang tidak 'sebulu' semasa kita menyewa beberapa bulan dirumah sewa sementara, dan mungkin juga abang jual burger di gerai burger yang selalu kita singgah!


Aku, ada semua kisahnya. Cuma ada yang aku suka nak ingat, dan ada yang aku malas nak ingat. Ada juga yang memang hendak aku lupakan. Akan tetapi bila difikir-fikirkan semula, ianya sebenarnya banyak memberikan aku pengajaran dalam hidup. Malah, pengalaman itulah yang menjadikan aku seperti sekarang, kurang emosi. Hahahaha..


Sedar tak sedar, dah 5 tahun aku bekerja di pejabat sekarang. Dan tahun ke enam aku di sini, mereka yang aku kenal semenjak aku pertama kali melangkah kaki ke pejabat ini, sudah meninggalkan aku keseorangan dengan kerja yang menimbun dan boss yang cerewet. Tapi, hey, boss mana yang tidak cerewet? Memandangkan aku dah berada di bawah ramai boss sejak tahun 1999 lagi, maka aku tak hairan sangat dengan tabiat seorang lelaki atau perempuan yang bergelar boss ni. Apa ada hal orang kata. Mereka pun manusia juga.


5 Tahun bersama, bila difikir-fikirkan banyak benda aku dipengaruhi mereka. Benda yang baik-baik, sebab mereka orang baik-baik. Alhamdulillah. Walaupun lima tahun itu kami tidak rapat sangat (seperti berkongsi hal peribadi atau berkawan diluar pejabat), sungguh aku rasa banyak perubahan berlaku pada aku biarpun bukannya 100% disebabkan mereka, sepanjang persahabatan kami. Di sini, aku belajar dengar bacaan quran dan ceramah-ceramah agama di youtube. Kami berkongsi ketawa dengar celoteh Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Kazim, ustaz yang selalu nyanyi lagu hindi tu, dan lain-lain. Kami bersama-sama mengagumi bacaan quran qari-qariah dari serata dunia. Kami berkongsi doa-doa yang baik untuk amalan. Berpakat print dan tampal untuk ingatan. Kami sama-sama mengamalkan gaya hidup sihat, seperti saling mengingatkan untuk bangun setelah lama duduk dikerusi mengadap pc dan tidak terus menghenyak punggung dikerusi selepas makan tengahari yang banyak. Saling mengingatkan untuk solat di awal waktu. Dan macam-macam lagi.


Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Cuma sayangnya seorang demi seorang (mereka bertiga) telah berhenti kerja sejak akhir tahun lepas. Ketidakpuasan hati dengan boss yang lama mereka pendam akhirnya tidak tertahan. Bab itu, aku tidak setuju sangat dengan mereka. Dan kerana itu aku masih di sini. Meladani hidup seadanya. Bersyukur dan berterima kasih.


Bila difikir-fkirkan, hidup kita ini banyak dipengaruhi oleh persekitaran kita dan dengan siapa kita bergaul. Bukan aku nak kata kawan-kawan yang pernah aku kenal jahat, tetapi aku sendiri manusia yang lemah sangat. Tak cukup kuat mempengaruhi dan lebih banyak dipengaruhi. Bagaimanapun, masing-masing ada bahagian mereka yang menjadi pengajaran. Ada sesuatu yang boleh difikirkan dan dipelajari. Tentang meladani hidup. Kerana, hidup ini tidak selalunya mudah. 





Mar 30, 2015

Lamanya meninggalkan

Bismillahirrahmanirrahim


lama sungguh.
meninggalkan
lantaran sibuk mengisi masa.
lantaran sibuk hal dunia
sibuk hal semasa
alhamdulillah
bukankah sibuk bererti diri masih diperlukan
sibuk itu masih ada kerja
sibuk itu terisi masa
harapnya tiada yang sia
alhamdulillah
alhamdulillah
alhamdulillah

Feb 15, 2015

Aku perlukan percutian!

Bismillahirrahmanirrahim


Ya Allah... sungguh sangat, aku rasa aku perlu bercuti. Lamanya tak bercuti ke mana-mana. CNY dah hujung minggu ni, sekolah pula bercuti sampai isnin depan. Aku tak sempat nak rancang apa-apa pun lagi. Aku dah blur sebenarnya. Impian aku nak ber'road trip' ke sebelah utara semenanjung. Sangat teringin. Tapi untuk tujuan itu, aku memerlukan bodyguard! Itu yang paling den lomeh sekali. Siapalah yang nak jadi peneman sepanjang jalan, atau boleh juga sepanjang hidup aku ni. Eh! Hahahaha....


Pulau Redang last year.. tak, kali ni rasa tak berminat nak gi pulau2 atau mengadap mana-mana pantai.

Cuaca sekarang boleh tahan cantik. Rasa ruginya duduk sahaja kat rumah! Ni belakang rumah aku.

Haa.. aku nak gi tempat macam ni. Ada sawah padi dan bukit bukau. Saujana mata memandang. Ni tak jauh dari kampung aku. Sini pun masih ada orang tanam padi, tapi tak der homestay kat sini. 



Feb 11, 2015

Awak... Ya Awak...

Bismillahirrahmanirrahim

Hidup dijalani seadanya. Tenang. Tapi blog yang disayangi dah lama sangat dibiarkan bersawang. Tak, bilik kat rumah, memang aku sapu sawang setiap hujung minggu. Senang, sebab sapu dengan penyapu lidi mak yang makin kecil jadinya sebab lidi kejap-kejap terjabut. Reminder, aku kena beli penyapu lidi baru kat kedai china Jalan Pejabat. Aku baru perasan penyapu lidi sangat best digunakan untuk sawang dan habuk dicelah dinding, celah katil, atas almari, atas siling, dll. Ya.. aku kononnya cuba jadi orang bandar, yang kononnya maju dan pandang sebelah mata kat penyapu lidi, dan aku baru tersedar dari mimpi tak indah itu.

Lupakan penyapu lidi.

Blog! Blog bersawang yang tak nampak, susahnya nak bersihkan. Nak kena curah idea berbaldi-baldi.  Tapi idea plak tak ada dijual kat mana-mana. Aku percaya satu perkara, idea untuk menulis ni, datang secara automatik dari pengalaman hidup seorang penulis. Aku kurang percaya sangat kalau nak cari idea dengan merayap ke blog-blog orang lain. Macam drama-drama melayu sekarang la. Aku rasa tukang tulis skrip atau yang bagi idea asal drama-drama tu dah kurang idea. Paling mudah, tengok drama lain dan olah sikit-sikit. Jadinya balik-balik cerita pasangan tak kenal, kena kahwin, masalah rumahtangga, pastu lama-lama jatuh cinta kat laki atau bini sendiri. Bosannya!

Kalau tengok drama melayu sekarang, mesti dah boleh agak ending dia macamana kan. Tapi tak semua camtu. Ada juga karya yang sangat bagus. Cuma aku tak sempat layan sangat.


Ya.. akhir-akhir ni aku TERlayan citer KOREA. Hahahaha... Aku sebenarnya bukan rajin sangat nak layan korea dua kali setiap minggu ni. Tapi bila tak ada apa sangat nak buat malam-malam lepas makan nasi, sambil lipat kain baju tu, tengok la jugak drama korea tu. Kalau aku tak terlepas first episode, aku akan layan la sampai penghujung episod. Yang bestnya citer korea ni, episodnya tak banyak. Paling banyak aku pernah tengok, sampai 21 episod. Citer aper ntah. Itu hari tengok The Master's Sun, 17 episod jer rasanya. La ni, Phinoccio. Minggu depan dah episod terakhir, episod ke 19. Pastu citer korea ni, citer dia kita tak boleh jangka sangat. Ada jer idea diaorang nak buat drama. And of course la kan, tarikannya hero yang pale, skinny and pretty tu! Hahahahahahahaha.....

Hero dan heroin ni tak cantik pun sebenarnya, tapi citer ni best!

Menaip terus apa yg terlintas difikiran adalah cara terbaik 'mencuci' blog.
Oh! How i wish aku boleh update new entry setiap hari! Azam carried forward namanya ni! Hehe...

Salam!

Jan 26, 2015

Menyesuaikan Diri

Bismillahirrahmanirrahim

Aku bukannya jenis yang bangun awal pagi. Orang kata, bukan morning person. Bangun sebelum subuh dan ketung ketang memasak kat dapur. Oh.. bukan! Tapi paling lewat pun aku boleh pergi, hingga jam 7.30 pagi jer. Dari kecil aku ada satu perasaan yang susah dihapuskan, iaitu takut kena tinggal atau ketinggalan, dan satu perasaan lagi yang paling aku benci, iaitu bangun-bangun tidur jer, rasa sunyi sepi yang mencengkam-cengkam. Tapi juga, semestinya sekarang sepatutnya bukan aku yang takut kena tinggal sebab ada Aisya yang sepatutnya rasa begitu. Dan selalunya selagi aku tak kerah bangun, budak tu tak akan bangun. Tapi masih juga aku tak suka bangun-bangun sahaja dari tidur dan tengok mak aku tak ada, dan mak pula tak bagitau dia kemana!. Kekadang mak ada ajer keluar awal pagi jam 7 menziarah orang meninggal atau ke rumah tokwan. Ataupun, bangun-bangun sajer, tengok mak tengok syok berborak dengan adik aku! Aku rasa ketinggalan! Hahaha.. teruk betul perasaan.


Ini minggu ke-3, bangun seawal sebelum azan subuh. Keluar dari rumah dengan lampu kereta yang masih kena pasang, dan melihat alam menjadi terang hanya dari dalam kereta. Perasaan adalah tenang. Tenang sangat. Setiap hari adalah hari menyesuaikan diri. Antara perkara genting yang boleh mengganggu adalah perut yang buat hal awal-awal pagi, budak kecil (anak saudara) yang meraung nak ikut, dan macam-macam lagi perkara yang kekadang tidak dijangka. Ada hari dalam minggu lepas, kami terlewat bertolak. Terlewat tanpa sebab yang jelas. Mungkin sebab Aisya termenung lama sebelum pakai baju, sebelum solat subuh. Dan aku pula tiba-tiba nak kena gosok tudung. Kena bakar roti dan buat air milo pula untuk dia. Keluar lambat dalam 3 minit dan aku rasa tidak apa-apa.


Tapi lambat dalam 3 minit itu tak kusangka bermakna 10 minit akan lambat sampai ke sekolah Aisya. Simpang 3 di kampung, dah bersusun 4, 5 buah kereta. Selalunya kereta aku hanya yang kedua kalau tak jadi yang paling depan pun. Kemudian di dua traffic light, 2 kali merah baru kami dapat lepas. Ya Allah, seksanya rasa. Aisya dah siap menangis dalam kereta. Katanya nanti masa perhimpunan siapa yang lambat kena berdiri dekat depan perhimpunan. Aku diam tak terkata apa. Hampir 7.30 kami sampai sekolah dia. Selalunya 7.10 - 7.15 kami dah sampai. Seharian aku rasa bersalah. Tapi masa ambil dia dari sekolah, dia nampak gembira macam biasa. Maka aku mula merancang, pagi-pagi selepas dia bersiap-siap, dia kena bakar sendiri roti, sosej dan goreng telur. Kalau tunggu mama buat segala, ada kemungkinan lambat lagi.


Maka selepas hari itu, kami tak pernah lagi terlewat. Keluar dari rumah tepat jam 6.50 atau awal lagi. Tak boleh lewat seminitpun! Sebab aku baru sedar, mulai jam 6.50 - 7.30 pagi, waktu yang paling sesak dijalanraya! Malah aku juga dah tahu jalan mana dari sekolah dia yang paling senang dan tak tempuh kesesakkan ke pejabat. Jalan dalam ikut tepi tali air itu sahaja! Jalan lain? No way! Aku dah pernah kena. Hahaha...


Alhamdulillah. Aku percaya, keterpaksaan adalah permulaan kepada suatu kebiasaan. Aku suka dengan rutin ini. Aku rasa sangat tenang masuk pejabat seawal 7 .30 pagi, buka tingkap, minum secawan milo panas sambil hirup udara pagi yang segar. Aku rasa tenang, untuk masa ini.


Pagi-pagi tengok burung-burung buat kepoh kat langit biru.






Jan 22, 2015

Kalau Dah Rezeki dan Dipermudahkan-Nya

Bismillahirrahmanirrahim

Tak, aku tak nak biarkan blog ini terus bersawang banyak-banyak. Atau terus hidup segan, mati tak mahu. Tak kisahlah walaupun aku bercerita cerita lama. Cerita yang sudah hampir 3 minggu berlalu. Cerita tentang kenduri sambut menantu dirumah aku 3hb. Januari yang lepas.


Untuk kenduri itu, ayah sembelih seekor anak lembu milik sendiri. Itu niat ayah dah lama dah. Ayah dan mak kata tak nak buat besar-besaran. Panggil saudara-mara dan jiran tetangga terdekat sahaja. Anggaran ayah dalam 300 orang. Malah kad yang adik aku design sendiri, dan aku tolong print itu, tak cukup pun 300. Kurang lebih kurang 20 kot. Cukuplah lauk sekawah ayam masak merah dengan gulai daging dua kawah. Ayah anggar anak lembu betina itu cukup bagi daging untuk dua kawah gulai.


Masalah, masa nak mengedarkan surat jemputan tu, memang sedap sungguh mak ayah menjemput orang. Tak ada kad pun, jadi jer. Saudara mara pula, hampir 2 kampung tu, semuanya saudara mara. Tak menjemputkan, takut orang terasa hati. Aku dan adik aku dah berdebar sebenarnya. Lauk untuk 300 orang, tapi kalau yang datang 150 orang sekelamin, darab dua dah jadi 300. Campur yang datang satu keluarga, anak beranak 4,5 orang. Lagi 150 orang tu! Masa nak beli pinggan kertas tu la, aku dok congak-congak dengan adik nak beli banyak mana. Kitaorang berpakat kena beli 600 keping. Tapi rancang dengan ayah, dengan selambanya ayah kata, nak buat apa banyak2? Lauk kita untuk 300 orang jer. Kitaorang pun dah naik konfius campur risau mikir lauk tak cukup. Aku ambil jalan tengah, beli 500 sahaja.


Sehari sebelum kenduri, macam biasalah, orang kampung datang menolong apa-apa yang patut. Kalau orang kelantan, dia panggil bekwoh. Siang bawang yang banyak-banyak itu, yang telah diorder oleh tukang masak yang ayah tempah awal-awal khas untuk memasak gulai daging. Siang dan basuh ayam, kemudian ayam-ayam itu digoreng siap-siap. Potong nangka dan rebus siap-siap. Rebus juga kacang hijau untuk dibuat bubur. Kupas dan potong ubi kentang. Mesin bawang-bawang sehingga berair mata nangis esak-esak. Dan macam-macam lagi kerja hingga aku sakit tumit. Dah 2 hari sakit tumit hingga tak boleh tidur. T___T

Malam itu ketika aku dan adik kepenatan tapi terpaksa menyiapkan 'pelamin' atau tempat duduk menantu, adik aku yang baru kahwin itu beritahu berita yang agak merisaukan. Rombongan pengantin perempuan mungkin sebanyak 20 buah kereta, yang mana sekiranya purata 3 orang satu kereta, kira-kira 60 orang ramainya. Alamak! Macamana kalau tak cukup lauk esok ni! Tapi mak ayah tak diberitahu, diaorang dah tidur dan kami juga tak nak diaorang bimbang. 


Lembu disembelih keesokkan paginya. Jadi daging adalah sangat segar. Masa tengah kelam kabut masak sayur nangka, masak bubur kacang, masak ayam masak merah, buat sambal belacan, buat acar timun, rupa-rupanya lembu yang disembelih banyak sungguh isinya. Lauk gulai daging yang perancangan awalnya 2 kawah sahaja, bertambah satu kawah lagi! Semua bawang-bawang dan perencah, licin digunakan tak ada sedikitpun pembaziran. Alhamdulillah! Alhamdulillah! Alhamdulillah! Tetamu ramai sungguh. Dari jam 11 tengahari hingga sekitar 3 petang memang tak putus kunjungan tetamu. Lauk cukup dan sedap! Semua orang puji, walaupun lengkuas tak bubuh! Hahahaha.. Aku sedar itupun keesokkan hari ketika mengemas dapur, ternampak seplastik lengkuas yang telah elok dikikis kulitnya. Dan baru teringat memang malam aku mengisar bawang besar, bawang merah, bawang putih dan halia, lengkuas aku tak mesin pun! Pagi nak masak tu, aku yang tukang mengeluarkan semua bahan-bahan itu ke tempat memasak dan tak ada pula yang minta lengkuas! Hahaha...


Alhamdulillah. Gulai daging yang sedap itu, cukup juga untuk diagih-agihkan kepada saudara-mara yang menolong. Memang rezeki dari tuhan yang langsung kami tak terfikir dan tak terduga. Kami sekeluarga gembira sangat dengan kenduri ini walaupun penatnya letak kepala atas bantal jer terus lena. Kenduri besar dalam keluarga ini, yang paling menjadi dan diingati.


Rezeki. Kepada para tamu. Kepada mak ayah. Kepada kami. Alhamdulillah.

Jan 11, 2015

Hari ke Sebelas Dua Ribu Lima Belas

Bismillahirrahmanirrahim


Letih. Tapi seronok! Hujung tahun lepas dan awal tahun baru ini, sangat meletihkan, tapi puas hati. Gembira. Ya... adik aku dah selamat diijabkabulkan pada 27hb. Disember yang lepas. Rasanya seperti dah selesai satu masalah kami sekeluarga, dan baru boleh merancang macam-macam. Lembu ayah dah selamat menjadi gulai, serba sedikit meringankan kerja ayah memberi makan kepada lembu-lembu. Ya.. masih ada dua ekor lembu lagi. Maknanya ayah masih kena berfikir panjang juga untuk ke mana-mana menyertai kami bercuti. Hehe...


Hari pertama persekolahan tahun ini, yang dilambatkan kerana banjir. Tak, banjir tak memberi kesan mana di daerah kami. Tapi kesannya sangat teruk di banyak kawasan. Hari pertama kena bangun awal seawal sebelum azan subuh. Hari pertama kembali kepada zaman aku bangun jam 5.30 pagi dan jam 6.20 dah mengaum bunyi bas sekolah pokdin dengan aku dalam perut bas. Bezanya kali ini, bangun, solat, bersiap dan sediakan sarapan ringan untuk Aisya yang memulakan tingkatan satu tahun ini. 6.45 Pagi baru menderu kereta aku membelah jalan raya cuba mencari jalan yang mudah dan tidak sesak. Banyak lampu trafik, aku tahu itu. Sesak dengan ramai yang hendak ke sekolah dan ke tempat kerja juga, aku maklum itu. Tapi aku tak pernah melaluinya. Hanya dengar ayah yang keluar ke kedai kopi seawal 6.30 pagi yang bercerita.

Tak, aku tak biasa sebab aku selalunya jam 8.30 atau 9.00 pagi, baru keluar ke pejabat. Hahahaha....


Seronok pula, dapat merasa gelap ke terang.


Take a deep breath, think positive and adapt to a new life, suraya!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...