Iklan

Jan 31, 2012

Penutup Januari 2012

Bismillahirrahmanirrahim....

Cepat sungguh masa berlalu. Sedar-sedar dah dipenghujung bulan pertama dua ribu dua belas. Esok dah masuk bulan ke dua. Tak sempat kononnya nak membanyakkan entri bulan ini. Hanya sembilan entri dan ada dua draf yang tak siap-siap. :P

Sebelum masuk February, aku nak buat entri ringkas tentang perjalanan bulan Januari aku. :D

1. Semalam telefon rumah tiba-tiba langsung tak ada line. Dah tukar kabel, tukar telefon dengan telefon lama, buat direct line, pun langsung tak ada bunyi. Internet (streamyx) ok jer, tak ada masalah. Akhirnya telefon tm, buat report kerosakan.


2. Sejak astro dipotong penghujung Disember lepas, dan Januari berjalan tanpa siaran astro di rumah, kami (semua ahli keluarga yang tinggal dirumah) sudah jarang lepak depan tv di atas. Biasanya tengok tv di dapur sahaja sambil makan malam. Kalau ada drama, sehingga habis drama jam 10, baru naik ke atas. Itu pun terus masuk bilik. Aisya buat kerja sekolah di mana sahaja mama berada. Di dapur atau di dalam bilik. Sesekali ayah menguasai lembek depan tv di atas sambil menonton Hindustan malam khamis di tv2 atau mega movie hari jumaat, ditemani emak seorang.


3. Bil elektrik bulan Januari tidak sampai RM40! Alhamdulillah. :D


4. Sesekali pada hari Jumaat, aku kembali melayan cd-cd lama cerita Hindi, dan juga cd Yoga, Aerobic dan Let’s Get Dance with Paula Abdul di tv di ruang tamu di depan. Ruang itu kembali bernyawa semenjak keputusan astro. Hehehe... Atau layan cerita-cerita baru di computer sahaja, sambil makan jajan dengan Aisya.


5. Laptop rosak (lagi!)... Dah kali yang berapa ntah. Kali ini berkemungkinan sebab motherboard rosak, kata cik. Sebab, skrin blackout terus walaupun lampu power menyala. :( Duit lagi!!


6. Baju Tunas Puteri, lengkap dengan seluar hitam dan tudung hitam, semua sekali habis hampir RM70 di hujung-hujung bulan. Walaupun seronok sebab tengok Aisya bersemangat, nampaknya bulan ini memang banyak sungguh habis untuk persekolahan dia (berbanding masa dia di Tahap 1).


7. Dalam duit banyak habis untuk bulan pertama persekolahan Aisya, sempat lagi mencelah bawa Aisya gi KL masa CNY baru-baru ini, jalan-jalan ke I-City Shah Alam, Butterfly Park dan Planetarium Negara. Sungguh ni, kalau jalan-jalan KL (guna kereta adik of course) dan tidak shopping sakan, tidak banyak sangat ongkos yang dikeluarkan. Petrol campur tol untuk pergi dan balik KL - K.TRG, lebih kurang RM200.00 sekiranya menggunakan Persona. Ya, aku lebih yakin dengan keupayaan sendiri memandu berbanding menggunakan pemandu (bas) sejak banyak sangat kes kemalangan melibatkan bas ekspress.


8. Aku dalam proses meninggikan kesabaran untuk beberapa perkara yang selalunya membuatkan aku naik hot, seperti Aisya berat mulut menyahut apabila dipanggil dan kelakuan sesetengah pemandu kereta atau penunggang motosikal dijalan raya yang kekadang mengundang amarah yang bukan sedikit.


9. Sempat mengunjungi SPA Herbaline membuat facial pada harga promosi iaitu RM38.00, setelah bertahun tidak melakukan facial! Sebenarnya dah lama usha, tempat itu dekat sahaja dengan pejabat, tapi tak pergi-pergi juga. Inipun gara-gara mek yang bercerita betapa bagusnya perkhidmatan yang diberikan (dia ke sana atas ajakan kawan-kawannya), maka aku bergegas mengambil peluang itu.


10. Dah agak lama aku rasa kain yang aku pakai ketat di pinggang. Aku duk fikirkan kain itu sudah lama, mengecut barangkali (langsung tidak memikirkan kemungkinan pinggang aku yang semakin naik ukur lilitnya), sebab aku jenis yang sangat susah nak baik berat badan. Ha.. ambik kau! Malam tadi naik penimbang, berat dah hampir mencecah 50kg! Sungguh, masih tidak percaya pada mata, dengan berkata alat penimbang itu selalu tak betul. Pagi-pagi naik penimbang lagi, dan kali ini kena akur. Berat dah naik!!! T___T


Ok.. itu sahaja penamat cerita Januari ini.

Jan 18, 2012

Aku berdebar

Satu

Baru mendapat berita kawan sepejabat terlibat dengan kemalangan, yang mengakibatkan 4 orang maut. Alhamdulillah, umurnya masih panjang walaupun keretanya teruk juga. Dia sms aku tadi, beritahu dia accident, dan aku tidak dapat menahan diri daripada terus mendail nombor dia. Katanya, baru selesai buat report di balai polis, dan baru mahu pulang sejak petang tadi. Mesti dia letih sangat, dan terkejut semestinya. Aku berdebar mendengar ceritanya, apatah lagi dia sendiri. Ya Allah, tenangkan hati sahabatku itu.


Dua

Aku sedang melayan karya Ramlee Awang Murshid, bertajuk Ungu Karmila. Pertama kali aku membaca novel seram sebegitu, pertama kali juga novel karyanya. Novel yang dipinjam di public library 2 minggu lepas. Bukan bosan dengan novel cinta, cuma sekadar mencuba genre baru. Kalau boleh 'masuk' dengan aku, lainkali boleh cuba lagi. Setakat hampir 150 mukasurat ini, ada debaran terasa. Seram sejuk juga ada. Sesekali macam tidak mahu meneruskan, tetapi rasa ingin tahu kesudahannya, mengatasi rasa takut. Ada hampir 400 mukasurat lagi untuk habis.


Cukup catatan ringkas malam ini. Titik.

Words on Wednesday

Bismillahirrahmanirrahim....

Semangat masuk pejabat hari ini. Dalam baju kurung kain kapas, berbunga-bunga kecil warna merah samar latar putih.

Sebab...

Hari ini boss tidak akan seharian di pejabat, kalau masuk pun mungkin sekejap sahaja. Pagi. Aku boleh membuat kerja (dan relaks) dengan senang lenang. :D


Oh, jap jap. Nak isi borang cuti. Ahad ni nak cuti. Cuti pertama untuk tahun 2012.
.
.
.
Siap. Jumpa satu blog ini, ralit membaca entri-entri pendek yang sangat pendek, tetapi setiap perkataan ada maksudnya. Sedap pulak membacanya. Oh, rupa-rupanya Nizamsani ni blogger terkenal. Aku jer yang tidak kenal. Ada waktu-waktunya aku rasa seperti katak dalam bilik air di rumah, memang luas berganda dari bawah tempurung, tapi antara dinding-dinding yang sama, empat segi. Sesekali keluar, disepak atau dikais penyapu.


Rancangnya nak naik ke KL, tapi teringat mungkin Aisya ada exam dalam tempoh terdekat. Biasanya awal tahun ada exam atau test. Tanya dia. 'Tak tahu, cikgu tak cakap apa-apapun'. Internet kat depan mata setiap hari. Aku surf, cari jadual exam sekolah rendah tahun 2012. Jumpa ini. Aku dah tanda siap-siap pada kalendar baru atas meja. Boleh pergi KL, TOV atau Ujian Pengesanan bermula 29 haribulan. Sempat lagi buat study week sebelum ujian.


Takut. Aku masih penakut seperti kata Yuna. Maka aku layan lagu ini hari ini.





Titik

Sebenarnya. Aku. Takut.

aku rasa
seperti sedang beratur untuk terjun ke water slide
takut, tetapi teruja
teruja, tapi takut
nak terjun, tak nak terjun
nak terjun, tak nak terjun


damn! damn! damn!
jadi aku dengar ulang-ulang lagu Avril Lavigne
not that i wish u were here...
coz aku sendiri tak tahu u tu untuk siapa


ada apa dengan cinta
dalam hati ada cinta
cinta itu untuk siapa
cinta itu di udara, terbang entah ke mana


aku rasa
seperti sedang beratur untuk didukung seseorang
hendak tapi takut
takut tapi hendak

aku takut jatuh,
terhempas atau dihempaskan,
aku takut jatuh,
terlepas, atau dilepaskan

sakit itu tidak apa-apa
sakit itu sekejap cuma
tapi kat hati
parut dihati siapa yang tahu
(teringat topik parut di Suria fm, gelak tawa Kenchana Dewi, Nabil dan HO)
parut, parut, parut
ya... parut itu yang membuatkan kamu, sebagaimana kamu hari ini
kesan selamanya

sungguh,
aku takut sebenarnya
titik

Jan 17, 2012

Ombak Rindu vs Lagenda Budak Setan

Bismillahirrahmanirrahim...


Persamaannya, kedua-duanya adalah filem yang diadaptasikan daripada novel cinta. Kedua-duanya aku sudah tonton di laptop aku sahaja. Kedua-duanya ada Lisa Surihani. Kedua-duanya ada kisah cinta yang sungguh romantik. Kedua-duanya ada kisah lelaki baran, pukul perempuan tanpa usul periksa dan tiada sebab munasabah. Ada kisah lelaki menyesal, tetapi menyesal kemudian tiada gunanya.

Tidak samanya, novel Budak Setan aku baca sejak dari buku pertama masa zaman sekolah di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk.. sambil dengar bunyi ombak (bukan ombak rindu) memukul pantai musim tengkujuh. Buku pinjam yang dipaskan dari satu tangan ke satu tangan. Tahun 1999, ketika zaman stesen bas puduraya masih menjadi tempat bas-bas ke pantai timur, aku yang sudah bergaji sendiri membeli novel Lagenda Budak Setan di salah satu kedai buku di situ. Sayangnya, ada beberapa muka surat kosong, tiada sebarang cetakan. Novel itu bagaimanapun tetap menjadi antara novel kesayangan sebagaimana Ahadiat Akashah menjadi pengarang kegemaran.

Novel Ombak Rindu, aku tidak pernah dengar pun tentangnya sehinggalah ketika Lisa Surihani sedang shooting di Langkawi, dan dia sering menguar-uarkannya di facebook. Aku tidak kenal Fauziah Ashari sebagaimana aku cam Ahadiat Akashah. Aku juga tidak pernah baca novel-novel dia. Dan paling penting aku tidak pernah baca novel Ombak Rindu.

Maka dengan itu, apabila aku menonton Lagenda Budak Setan, aku sangat tidak berpuas hati dengan filem adaptasi itu. Bagi aku sebuah novel yang cukup menarik seperti itu, kenapa bila difilemkan menjadi tidak lagi menarik. Kemudiannya aku faham, novel itu panjang, ceritanya berzaman dari zaman sekolah hingga zaman bercinta, berkahwin, bercerai, sehingga mati. Untuk sebuah filem yang hanya dua jam setengah, bila dicedok sebahagian, dibuang sebahagian, tiada yg menarik lagi.

Sedang Ombak Rindu, aku tidak baca novelnya, aku tidak tahu cerita sebenarnya. Dan walaupun aku tidaklah puas hati sangat dengan filemnya (mungkin terpengaruh dengan review kurang merangsang di mana-mana), aku tetap suka dengan ceritanya. Bagi aku keromantikan Izzah dengan Harris lebih menjadi berbanding gurau senda Ayu dengan Kasyah. Dialognya lebih berkesan dan banyak, sedang filem Lagenda Budak Setan banyak bunyi lagu latar dari dialog.

Ok, kesimpulannya aku tengok Ombak Rindu malam tadi, dan aku tidur bermimpikan Harris. Hahahaha.....

Jan 10, 2012

Cucur Labu vs Pengat Labu

Bismillahirrahmanirrahim....

Dulu masa kecik, masa susah kitaorang, makanan masa senggang seperti petang-petang hari perut lapar minta diisi sebab hujan sedang mencurah-curah, dan kegiatan luar terhenti selain mandi hujan, ialah lempeng nyor, atau ubi keledek atau ubi kayu rebus, ataupun jemput bilis (cucur bilis). Masa tu aku kecik lagi, mek pun belum banyak dapat idea masak-masak. Apa yang mak ajar masak, begitu dan itulah yang kami ikut. Tidak ada tolak tambah. Atau pun apa yang mak masak, yang itulah akan menjunam ke dalam perut kami.

Sekarang, zaman canggih manggih ni, ada macam-macam idea nak mempelbagaikan masakan. Memang sah-sah tak ikut resepi dan cara mak dah. Kecuali masak lemak sayur, yang itu tak boleh lawan masakan mak. Tak ikut cara mak, macam menderhakalah jawabnya. Tak sedap! Hahaha...

Baru-baru ni, aku beli labu kuning (pumpkin) kat Pasar Marang, semata-mata nak cuba buat Pumpkin Pie. Aku berminat dan suka pai-pai ni, tapi tak reti sangat nak buat. Kekadang jadi, adakalanya hancus. Tu, pumpkin pie tu, aku buat pie crust tak jadi... tak boleh nak diangkat, koyak rabak. Last attempt, cuba ikut cara David Miller buat Apple Pie masa dia lawan Sheetal untuk masuk finale Masterchef US Season 1. Hehe... ada bagusnya juga aku tak jemu tengok rancangan tu. Hasilnya.... boleh la, for a first timer doing Pumpkin Pie. Mak kata sedap. Hehe...

And then, ada balance labu yang dah direbus itu, berhari jugak dalam fridge. Masa nak buat cucur jagung, teringat kat labu itu. Makanya, jadi la cucur labu campur jagung. Aku sebenarnya reka jer. Aku agak kalau pisang orang boleh buat cucur pisang, takkan labu tak boleh kan. Lagi pula labu tu, lebih kurang macam ubi jugak isinya. Kan ubi kita boleh kuih goreng-goreng, seperti getuk-getuk goreng, cek mek molek, dan macam-macam lagi. Jadi, aku lenyekkan sajer labu yang dah direbus tu. Campurkan dengan gandum, sebiji telur, bawang besar dicincang, kebetulan ada jagung yang dah dibuang empulurnya, aku campur jer semua. Masukkan sedikit garam. Gaul semua secukupnya, goreng dalam minyak panas terendam. Done!

Kemudian baru-baru ketika berkunjung ke rumah mak saudara, dia menjamu kami dengan pengat labu. First time juga aku makan pengat labu. Aku, kalau bab-bab pengat-pengat ni sebenarnya kurang minat. Sebab manis kan. Tapi aku nak cuba jugak pengat labu ni. Eh.. rupa-rupanya sedap la pulak.

‘Nanti kita cuba buat la mak, pengat labu’, sempat aku sarankan kat mak.

‘Buat jemput (cucur) labu pun sedap’, sampuk mak saudara aku.

Laaa... aku ingatkan akulah orang pertama reka buat cucur labu. Rupa-rupanya orang lain dah biasa buat. Hahahaha.....


P/s : First time buat entri atas permintaan... eh, tipu.. dulu-dulu, pernah buat entri ini atas permintaan juga.. hehe..

Jan 8, 2012

Tulisan Tangan Menggambarkan Peribadi Penulis?

Bismillahirrahmanirrahim...

Benarkah tulisan tangan menggambarkan peribadi si penulis? Aku rasa, bukan sepenuhnya benar, tetapi serba sedikit ia boleh memberi penjelasan tentang si pemilik tulisan tangan.


Biasanya tulisan tangan budak sekolah rendah, buruk dan kucar kacir. Almaklumlah, baru pandai menulis dan mengeja. Sedikit demi sedikit, tulisan yang sebutir-sebutir mula bersambung kerana mengejar masa, cikgu nak padamkan papan hitam, kena tulis laju-laju nanti tak sempat dan terpaksa pinjam buku kawan. Tu pun kalau kawan sempat salin apa yang cikgu tulis. Tulisan tangan Aisya agak baik pada pandangan aku walaupun kekadang ada besar, adakalanya kecik sampai nak baca pun susah. Last year atau last two year, dia dapat hadiah sebab tulisan cantik.


Tulisan tangan yang paling aku kagum ialah tulisan kakak yang aku panggil mek. Dia satu-satunya kakak yang aku ada, dan dia banyak menjadi contoh pada kami adik beradik. Dia kidal, tetapi dia juga boleh menulis dengan tangan kanan. Cerita mak, suatu ketika mek sakit tangan kiri, jadi dia terpaksa menulis dengan tangan kanan. Yang tambah hebatnya mek, walaupun tangan kiri dia dah baik dan boleh menulis, dia tetap sesekali menggunakan tangan kanannya untuk menulis. Dan yang lagi bestnya, tulisan tangan mek (both right and left hand) cantik! Kemas dan bersambung-sambung, sedari sekolah rendah lagi! Tulisan jawi dia pun dia cantik! Bila dia idola, maka aku selalu nak tiru tulisan tangan dia.


Satu kelebihan yang juga boleh menjadi kekurangan aku pula, aku pandai meniru tulisan orang lain. Pantang sahaja tengok tulisan kawan-kawan cantik, mesti ada rasa teringin nak tiru tulisan diaorang. Orang kata, tulisan tangan berubah-ubah maknanya tidak tetap pendirian. Tapi aku ada stail sendiri. Walaupun sesekali aku suka ubah tulisan tangan, mengikut tulisan tangan kawan-kawan aku, stail sendiri itu tetap tidak berubah.

Jadi, bila aku ubah layout and background blog ni beberapa hari lepas, yang paling aku nak tukarkan adalah font type. Aku tak suka font yang default seperti Times New Roman dan Arial. Contoh, untuk surat rasmi atau any document, kenapa nak kena guna font tu? Menjadi suatu kesalahan ke kalau tukar rupa bentuk font tu? Persoalan itu pernah bermain-main lama dalam fikiran aku, kerana tiada siapa berani memberi jawapan yang tepat dan berani untuk mengubah jenis font. Sehinggalah aku tengok ada dokumen rasmi yang dihantar oleh arkitek, menggunakan font Tahoma. Lepas tu, aku jadi berani untuk tidak lagi menggunakan font Times New Roman dan Arial. Aku sebenarnya tertarik nak guna font yang seakan-akan handwriting aku, tapi takut susah nak dibaca.


Okay, dah panjang cerita punya cerita yang terperap dalam draft berhari-hari. Kesimpulannya, kamu simpulkan sendiri.. okay atau tidak rupa baru blog ini. (Tak sabar nak taip penamat dan publish!). :D

Jan 4, 2012

Kad Hari Lahir dan Usia!

Bismillahirrahmanirrahim...


Aku sedang berusaha keras menyiapkan kad hari lahir Aisya. Yang sedikit lebih special daripada tahun lepas, gara-gara melihat handmade card dalam majalah Nur terbaru. Sangat cute dan menarik sekali. Memang biasanya aku buat sendiri birthday card dia. Dan yang baiknya, dia juga membuat card untuk aku setiap kali hari ibu dan hari lahir. Selain melihat contoh dari mamanya (ehemm.. hehe), dia juga belajar membuat kad ketika di tadika dahulu. Dan setakat hari ini, dia belum lagi melihat aku membeli apa-apa kad sedangkan dulu (ketika bergelar student) aku memang suka membelek kad di mana-mana kedai yang menjual kad, membeli dan menghantar kad kepada kawan-kawan cyber, sekaligus mengumpul kad yang aku terima. Ianya menjadi hobi aku yang agak menarik.


Ya, aku sekarang bukan aku yang dulu. Ataupun aku sekarang hasil daripada aku yang dulu. Sudah semestinya manusia berubah, kan. Lagipun usia mematangkan walaupun tanpa kita sedar kekadang kita terlupa untuk belajar dari pengalaman dan kesilapan. Lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan perasaan. Sedarnya kita tentang usia, bila uban mula menyelit antara celahan rambut yang masih banyak hitam, parut luka yang kecilpun sukar lagi untuk hilang bekasnya, macam-macam penyakit 'orang tua' mula bertanya khabar, dan of course, melihat anak yang sudah hampir tinggi dengan mamanya!


Aku agak, 2 tahun lagi, aku dan Aisya sudah boleh bertukar-tukar kasut dan baju. :D


Rancangannya, hendak membuat kek pelangi hari Jumaat nanti. Entah jadi entahkan tidak memandangkan lama sungguh tidak membuat kek. Kuih paling rajin aku buat sejak lama tak baking ni, hanya Jemput Jagung (cucur)! Nampaknya kena rajin menggodek resepi supaya mood mari ni... mari la... mari la...

Jan 3, 2012

Aisya Akhirnya Naik Kelas

Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdulillah.... akhirnya Aisya naik kelas juga. Dari darjah satu hingga darjah tiga, dia di kelas Arif iaitu kelas no. 2. Tahun ini, dia ke kelas no. 1, kelas Bestari. Dia seronok, aku juga gembira bercampur risau. Kalau sebelum ini setiap kali exam kedudukan dalam kelasnya bawah daripada sepuluh, tahun ini bagaimana agaknya. Dia kena berusaha lebih untuk berada dikedudukan itu. Aku ingat lagi, Busu dulu pernah menangis sebab tiba-tiba dapat nombor lebih dari sepuluh, sedangkan biasanya dia dikedudukan satu hingga lima sahaja. Aku pasti, Aisya pun ada kemungkinan menangis juga kalau itu terjadi. Hahaha...


Sebenarnya aku okay sahaja bila dia di kelas Arif, walaupun kekadang ada rasa sedikit tidak suka bila ada yang membandingkan dia dengan sepupunya yang di bangku kelas Bestari. Asalkan dia rajin belajar, keputusan exam dia tidak teruk sangat, dia ada usaha untuk menyiapkan kerja sekolah, dia tidak over bermain pada waktu petang sehingga maghrib baru nak masuk rumah, dia sembahyang bila disuruh, dia pandai mengaji Quran, dia pandai menghormati orang tua, kelakuannya terkawal dan elok, syukur Alhamdulillah. Dia sedang membesar, dia sedang belajar semuanya. Sedikit-sedikit, tidak terlalu drastik dan bukan dalam paksaan.


Untuk tahun baru ini, aku sudah mendapat idea bila waktunya hendak menegur dia. Selepas sembahyang maghrib, sebelum mengaji Quran. Nampaknya dia boleh menerima dengan baik, dan aku juga dapat mengawal diri dengan baik.


Ya.. kadangkala aku rasa lebih baik teguran yang lembut, daripada marah-marah. Dan aku adakalanya tidak dapat mengawal marah aku bila dia membuat silap seperti tidak menyangkut tuala selepas mandi. Marah pun tidak jadi apa jugak. Ishh..


Dan untuk tahun ini, aku hendak lebih disiplinkan dia. Mak ada bercerita, dia ada dengar orang itu, orang ini tengah cari tempat nak hantar anak diaorang tusyen. Nak cari tempat terbaik. Mendengarkan itu, teringat aku nasihat seorang kawan. Katanya, tusyen tu, perlu untuk seorang budak yang dirumah tiada siapa yang hendak menunjuk ajar mereka. Kalau ibu bapa ada masa, boleh mengajar sendiri, kenapa perlu dihantar tusyen. Ya, Aisya aku hantar tusyen belajar membaca ketika awal tahun darjah satu, untuk beberapa minggu, tetapi kemudian aku mengajar dia sendiri sehingga dia boleh membaca dengan lancar dalam tempoh sebulan sahaja, selepas aku sendiri mendengar dia belajar di pusat tusyen itu.


Kalau zaman aku dulu, mana ada tusyen-tusyen ni semua. Semuanya kena belajar sendiri di rumah. Tapi dulu tak ada kemahiran hidup, sivik dan kewarganegaraan, kajian tempatan, bahasa arab, pendidikan kesihatan dan pendidikan jawi, di sekolah rendah! Sekarang untuk tahun 4, Aisya ada 12 subjek untuk dipelajari! Sungguh, aku pula yang tidak berpuas hati. Kenapa perlu sebegitu banyak subjek, sedangkan nanti untuk Upsr ada 5 subjek sahaja.


Nampaknya, nanti aku kena tengok sendiri perkembangannya, samada dia perlukan tusyen diluar ataupun tidak.

Jan 2, 2012

Hari Jadi Dania Aisya Ke Sembilan

Bismillahirrahmanirrahim...

Satu Januari 2012 ulangtahun hari kelahiran Aisya ke sembilan, hendak tepat lagi jam 2.30 petang. Lebih kurang. Lupa masa yang betul-betul tepat. Yang pastinya petang itu tahun 2003 yang dulu, aku terbaring atas katil dalam labour room sehingga lewat petang. Baby dibawa ke tingkat tujuh, jauh dari aku. Ok, tak perlu imbas cerita duka dalam gembira banyak-banyak. Nanti mengundang nestapa. Hehe...


Tahun baru di Kuala Terengganu, disambut dengan hujan yang lebat sangat, ditemani angin kencang dan sedikit guruh gempita. Hujan lebat bermula dari magrib sehingga awal pagi, sehinggakan aku sendiri sukar melelapkan mata kerana takut mendengar angin kencang. Sungguh, aku selalu membayangkan yang bukan-bukan kalau angin dan ribut pada waktu malam. Kalau siang, dalam takut-takutpun kira okay lagilah. Sebab boleh nampak sekeliling.


Hadiah hari jadi Aisya, sudah jenuh aku perah otak. Tetap tak ada idea nak bagi apa. Petang Ahad itu, selepas waktu pejabat, aku ke bandar. Kononnya hendak meninjau kedai kasut, mencari sport shoes yang dah lama Aisya duk rengekkan. Tapi, jangankan diharap hendak dapat parking, hendak masuk bandar pun tersekat lama dalam kesesakan. Punyalah banyak kereta! Di mana-mana sahaja. Tambah lagi bandar Kuala Terengganu yang kecil dan banyak traffic light. Beberapa kali berpusing-pusing, dari jam 5 hingga 7 malam, aku hanya mampu singgah membeli sebiji kek black forest 1/2 kg, dan terus pulang. Hadiah, boleh ditangguhkan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...