Iklan

Nov 29, 2009

Hari raya korban adalah hari biasa

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya tahu sesetengah tempat dan sesetengah orang, hari raya korban diraikan sama sebagaimana hari raya puasa. Meriah dan saling ziarah menziarahi. Siap dengan tempahan kuih raya dan baju baru lagi. Lebih-lebih lagi di negeri 'tanah serendah sekebun bunga'. Semua pekerja site saya juga, sejak hari rabu lagi semuanya sudah pulang ke kampung. Diorang semua dari negeri itulah. Sementara saya, petang khamis masih di pejabat menjawab panggilan telefon subkontraktor dan supplier yg meminta hutang. Hahaha.. Tak tipu ni. Kenyataan belaka.

Semenjak dahulu, hari raya haji saya tidak meriah selain sibuk memasak di pagi hari untuk breakfast dan membahagi-bahagikan daging lembu korban menjelang tengahari. Tidak ada baju baru dan juga tidak ada kuih muih. Kalau ada jiran tetangga atau saudara-mara datang (biasanya tidak masuk ke rumah, sekadar mengagihkan daging korban), sekadar dihidangkan keropok keping dengan air teh 'o' panas. Tidak juga ke mana-mana, sekadar duduk dirumah menghabiskan hari dengan tenang. Biasanya juga, mak atau ayah atau cik yg akan mengagih-agihkan daging korban.

Kerana hari raya haji adalah seperti hari-hari biasa, ketika merantau ke luar Terengganu selama hampir 10 tahun dahulu (sejak 1994 sehingga 2002), adalah menjadi perkara biasa saya tidak pulang ke kampung ketika hari raya haji. Pertama kali adalah ketika saya tahun pertama di USM, dan ketika itu saya agak terasa sayu. Sebabnya, sekitar USM sangat sunyi sepi dengan semua cafe ditutup dan restoran-restoran di luar USM juga di tutup. Sudahnya, saya dan kawan-kawan (saya lupa siapa, tapi saya rasa mereka adalah kawan-kawan sebilik atau yg rapat dengan saya masa tu) pergi menghidangkan diri sendiri dengan santapan 'sehingga menjilat jari', KFC! Rupa-rupanya happening juga KFC depan USM itu dengan chinese and indian student.

Selepas itu, semenjak saya bekerja di Kuala Lumpur adalah menjadi perkara biasa saya tidak pulang ke kampung pada hari raya haji. Biasanya adik saya (yg ketika itu belajar di UTM, Skudai) akan bercuti bersama saya di rumah sewa saya. Dan, memandangkan sudah ada dapur sendiri, senanglah untuk saya memasak sendiri pula dan tidak lagi perlu merangkak mencari kedai makan yg dibuka pada hari raya. Ya, saya ingat lagi menu biasa saya, nasi tomato dan kek batik (biskut marie yg dikacau dengan milo dan susu di dalam kuali). Lama sungguh saya tidak memasak kedua-dua resepi itu. Tak pun, nasi lemak sahaja, dengan sambal bilis. Hehe.. Paling cikai, nasi goreng jer la.

Hari raya haji tahun ini, masak nasi kuning sahaja. Rancangan nak buat nasi minyak terpaksa ditukar sebab ayam tak sempat di beli di pasar the day before. Dah habis dulu. Kemudian, seperti weekend biasa, saya buat kek coklat, mengemas rumah, membasuh baju-baju kotor, dan macam-macam lagi. Jadi, beginilah hari raya haji saya. :D

Anyway, selamat hari raya haji untuk semua. Semoga semuanya berbahagia di mana-mana sahaja berada.

Malam ini rumah menjadi sunyi

Bismillahirrahmanirrahim...

Saya mempunyai 6 adik beradik. Eh... pesal tetiba keluar karangan budak sekolah! Hahaha.. Mungkin saya pernah bercerita tentang ini dahulu di dalam di sini. Dan saya tidak mahu mengulang cerita yg sama pun. Sekarang saya mahu bercerita tentang cucu-cucu mak saya. Saya ingat lagi, ketika abang saya yg sulung tidak kahwin-kahwin pada usianya yg agak lanjut. Mak dan ayah sudah bising dan salah satu alasan mak dahulu, 'Tengok semua orang dah dapat cucu. Nampaknya kita dah tak sempat tengok cucu dah'. Mungkin mak terasa malu pada kawan-kawan mak sebab anak mak kahwin lambat.

Abang yg sulung kahwin ketika umurnya 33 tahun. Serentak dengan anak mak yg ke-3 dan ke-4. Mak mendapat cucu yg pertama hampir 7 tahun lepas (cucu sulung mak sebulan lagi cukup 7 tahun) dari anak mak yg ke-4. Sehingga sekarang, dalam tempoh hampir 7 tahun ini, mak sudah mempunyai jumlah cucu yg boleh dibanggakan iaitu 9 orang. Cucu yg paling bongsu baru mencecah 4 bulan. Tapi mak tidak nampak berbangga dengan jumlah cucu yg agak ramai itu. Walaupun mak selalu bersungut bila beberapa hari cucu-cucunya tidak menampakkan muka di rumah mak yg bererti mak selalu merindukan mereka, tapi bila semuanya berkumpul dirumah ini, letih juga mak melayan kerenah budak-budak kecik itu.

Memang bila semuanya berkumpul disini, rumah ini riuh sungguh. Dengan budak-budak yg beza umur masing-masing cuma setahun, memang pandai sungguhlah mereka membisingkan keadaan. Mereka nampak rapat ketika kecil dan saya mengharapkan mereka rapat sehingga masing-masing sudah besar panjang nanti. Tidak seperti saya yg sangat tidak rapat dengan sepupu sepapat sebab perbezaan umur yg sangat jauh. Malah dengan mak saudara dan pak saudara pula kami menjadi rapat kerana jarak umur yg tidak jauh beza. Well, orang lama.. Anak bersalin, mak pun bersalin. Hehe..

Malam ini rumah ini dah sunyi sepi. Sejak akhir-akhir ini, kami biasa makam malam awal. Jadinya ketika maghrib, rumah sangat sunyi sepi. Masing-masing yg cuma tinggal saya dan Aisya, mak dan ayah, dan cik (adik saya), semua dalam bilik masing-masing. Sehingga jam 9 malam juga, rumah masih sunyi sepi. Paling tidak pun, hanya kedengaran suara Aisya bercakap seorang, bermain seorang diri. Mengajak mama bercakap, mama malas melayan sebab sedang tekun membaca novel. Hehe..

Kalau malam-malam sebelum ini sejak khamis lepas, riuh la kedengaran suara Adam memanggil kakak (Aisya) untuk bermain. Riuh dengan suara papa Adam melayan Adam dan Aisya bermain. Riuh suara mak, busu dan baby Afiq di dapur.

Jadi, bila dah 3 malam berturut-turut rumah ini riuh, malam ini kesunyian sedikit terasa luar biasa. Hinggakan mak pun dah macam orang mati kutu, tak tahu nak buat apa. Hehe..

Nov 25, 2009

Makanan kegemaran saya ialah...

Salam...

Saya suka aiskrim yg kurang manis dan sedap. Huh.. tetiba! Dan sungguhlah, menikmati aiskrim boleh meleraikan sedikit perasaan tertekan atau stress! Tetiba teringat sebekas aiskrim yg saya beli beberapa hari lepas (ketika hujan lebat) di Sabasun. Mak saya pun hairan, macamana dalam cuaca sejuk-sejuk tu boleh saya teringinkan aiskrim. Of course la kan, Aisya ada sebagai pendorong. Hahaha... Balik dari office ni, saya nak makan aiskrim tu. Tu pun sekiranya Aisya belum menghabiskannya. Tapi, Aisya anak yg baik. Nak makan aiskrim mama, call mama kat office bagitau dulu, sebab takut mama balik dari kerja, mama marah. Hehe..

Oh ya, sekiranya kita makan aiskrim murah (daripada produk tidak terkenal) dan aiskrim mahal (seperti yg pernah saya makan di KLCC, sebekas kecil hampir RM10), kita dapat merasakan perbezaan rasa manisnya. Jadinya, bila saya katakan aiskrim kurang manis, bukan bererti tidak manis langsung. Tapi manisnya bukan rasa manis gula semata, manis yg sedap. :D

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yg sukakan makanan yang manis-manis. Tak percaya, tanya mak saya. Mak ada kat rumah, rasanya dia tidak ke mana sebab tiada sesiapa dirumah yg hendak bawa dia ke mana-mana. Hehe.. Segala jenis bubur, pengat, kuih-muih tradisional yg kebanyakannya manis seperti akok, baulu, kuih bakar, kuih lapis dan macam-macam lagi la, saya memang tak terliur langsung. Ya, itu semua makanan tradisional di Terengganu. Kalau akok tu, rasanya susah nak cari kalau bukan disini. Kalau saya teringin sangat, cukuplah sekadar merasa secubit atau sesudu.

Masa kecik dulu-dulu, kalau membuat air teh untuk tetamu, mak mesti rasa dulu air yg saya buat sebab biasanya saya buat kurang manis. Tapi, dulu tu saya tak pandai bagi alasan lagi. Sekarang, setiap kali saya buat air untuk tetamu, saya cakap dengan mak, 'Tak boleh manis-manis mak, nanti kencing manis diaorang karang!', lebih-lebih lagi kalau tetamu tu orang tua. :D

Yang peliknya saya ni, bukan setakat air yg manis atau kuih-muih sahaja saya kurang suka yg manis-manis, hinggakan buah-buahan pun saya lebih suka yg belum masak, atau separuh masak. Teringat lagi masa saya bekerja di Kuala Lumpur, setiap kali musim buah dikampung, saya akan memenuhkan boot kereta saya dengan bermacam-macam buah selepas pulang dari kampung. Rambutan, manggis, langsat, duku adalah yg biasa. Durian, itu luar biasa sebab saya tak suka hendak menambah pewangi berperasa durian pada udara dalam kereta dari Terengganu ke Kuala Lumpur. Pening wehh!! Semua buah-buahan itu akan saya berikan pada kawan-kawan dipejabat dan tidak tinggalkan walau sebiji pun untuk diri sendiri.

Kalau mangga, fuhhh! Mangga putik memang sedap, dicicah plak dengan sos kicap pedas keluaran tempatan. Saya lupa keluaran mana, tapi selalunya saya beli kat pasar tani. Betik, yg separuh masak sedikit kekuningan tu sedap pula dimakan dengan kuah rojak yg mak buat. Fuhh.. kecur liur!
Tapi, kalau rambutan yg tengah kekuningan, atau manggis yg kulitnya baru kemerah-merahan, pernah makan? Biasanya saya makan buah-buah itu dengan memetik sendiri dari pokok, atau dikait dengan galah. Terus makan. Kalau yg dibeli-beli ni, memang kurang la. Kekadang saya suka mengira, berapa biji rambutan saya makan dalam setahun. Sangat sedikit. Tidak sampai sepuluh jari saya ni. Lebih rasa masam manis buah-buahan itu, atau manis kelat seperti buah salak, lebih saya terliur. Tapi jangan la buah tembikai atau durian putik diberikan kepada saya. Itu langsung tidak ada rasa, tawar sahaja.

P/s I : Setiap kali masuk ke EONCAP Bank di Bangunan Yayasan Islam, Terengganu, setiap kali itulah saya terliurkan buah belimbing, oren dan epal hijau kerana poster buah-buah itu yg sangat cantik di dinding bank.

P/s II : Dalam saya tidak suka makanan manis, saya suka makan kek. Tapi, biasa la, semestinya kek-kek yg sangat sedap sahaja. Hahaha.. malam karang nak buat kek coklat lagi.

P/s III : Untuk tajuk entri di atas, pembaca semua boleh la isi jawapan sendiri yer. Mana tahu, cerita anda semua lebih menarik dari cerita saya ini yg hanya dikarang sebab bosan keseorang di pejabat. Hehe..

Nov 23, 2009

Gambar lama

Bismillahirrahmanirrahim...

Ketika menggodek-godek komputer di pejabat, menghapuskan mana-mana fail yg dirasakan tidak bergunapun (termasuk gambar) dan menyusun aturkan semua folders supaya senang dicari, saya ada jumpa banyak gambar-gambar yg pernah saya capture dulu-dulu dengan telepon saya yg sudah rosak. Sayang sungguh telepon itu, jenis flip yg pertama saya guna. Sudah 2 kali saya membaiki skrinnya yg rosak. Sekarang, terbiar begitu sahaja dengan niat hendak dibaiki lagi tapi selalu terlupa untuk dibawa ke kedai membaiki telefon. Untuk menghapuskan gambar-gambar itu terasa sayang pula. Banyak kenangan disebalik setiap gambar yg diambil. Banyak cerita yg boleh dikongsikan sebenarnya.

Kemudiannya saya mendapat satu idea. Ya, saya letak gambar-gambar itu di muka buku saya. Facebook la. Hehe.. Sekurang-kurangnya saya boleh berkongsi cerita sekiranya ada orang bertanya. Kalau tak ada orang pedulipun, tiada kerugianpun pada saya. Kan.

Itu gambar dalam komputer. Yg dimuatnaik daripada telefon ataupun kamera digital. Yang dalam bentuk salinan keras? Hard copy la! Banyak lagi kat rumah ada di mana-mana sahaja dalam album lama yg cukup banyak. Dan gambar orang perseorangan juga banyak, yg saya rasa (sekarang) tidak patut saya minta untuk kenangan dulu. Sebabnya, gambar berdua atau lebih orang, adalah lebih meriah dan nostalgik. Disebalik sekeping gambar, tersembunyi seribu cerita, samada cerita suka ataupun duka.

Opsss.. baru petang tadi saya melihat gambar seorang kawan di muka buku dan di dalam gambar itu ada seseorang yg saya tidak mahu lagi melihat orangnya! Oh, itu cerita duka! Dan saya tidak suka. :(

Nov 21, 2009

Cengkerik dan katak

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...

Tuhan yang menciptakan alam ini. Menjadikan tiap-tiap sesuatu dengan maksud dan tujuannya yang tersendiri. Contohnya bunyi-bunyian katak yg menyanyi memanggil hujan. Sahut menyahut di tengah heningnya malam yang dingin dengan pelbagai bunyi. Disulami pula dengan nyanyian cengkerik yg kecil bersuara nyaring. Entah apa yg mereka ceritakan. Sunyi dan sepinya malam, sekiranya kita bersatu dengan bunyian alam itu, tidak lagi terasa keseorangan. Mereka ada menemani malammu...

Entri yg entah apa-apa, tapi bunyi-bunyian itu seperti melagukan ulitan untuk tidur.. Selamat malam semua. Sedap tidur sejuk-sejuk ni.

Sejuk hingga tidak boleh tidur

Salam...

Di YM saya sedang bercerita tentang jodoh. Disini saya hendak bercerita tentang sejuk. Sejuk yg sangat-sangat sejuk. Sejuknya mencengkam sehingga ke tulang hitam. Sejuknya merayap ke seluruh tubuh. Stoking dah disarungkan ke kaki. Baju pun, sudah 2 helai ditubuh. Selimut pun punyalah tebal. Tetapi sejuknya tetap menggigit-gigit. Ni, kalau ada pemanas baru betul hangat ni. ;)

Itu sebenarnya semalam, dirumah tokwan. Tokwan tinggal sendirian di rumahnya yang besar. Biasanya cucu tokwan yang rumahnya dekat dengan rumah tokwan datang menemani tokwan. Ataupun kekadang Chik (adik saya) yg pergi tidur di rumah tokwan. Saya? Sudah berpuluh tahun saya tidak pergi tidur di rumah tokwan rasanya. Dulu masa saya kecik (ketika masih di bangku sekolah rendah), saya memang selalu la tidur dirumah tokwan. Masa tu, maksu, pok ji (arwah) dan pok abu semuanya baya-baya abang dan kakak saya. So, sememangnya ada jer la aktiviti kami di malam-malam hari samada merayap ke rumah toksu, bercerita, dan pagi-paginya pula memanjat bukit yg ketika itu jalan sedang dibuat ke puncak bukit.

Rumah tokwan dekat jer dengan bukit. Tepi bukit, ada alur sungai yg saya memang takut nak bermain sebab takutkan lintah. Paling tidak, saya cuma melihat abang dan pak-pak saudara bermain air disitu. Sementara saya dengan kakak dan mak saudara ada saja la aktiviti kami seperti mengutip bunga-bunga liar, batu-batuan dan apa-apa sahaja yg boleh dikutip. Keliling rumah tokwan pula, banyak sungguh pokok-pokok buah-buahan. Manggis, durian, rambai, dan macam-macam lagi la. Kalau siang, panasnya menyengat sungguh sebab angin tidak dapat bertiup ke rumah. Malamnya pula, sejuknya memang sangat menggigit. Apatah lagi musim-musim hujan ini. Sejuk itu lagilah bertambah-tambah.

Aisya tidur merengkok dengan lutut rapat ke dada diantara saya dan tokwan. Langsung tidak berkutik. Lena sungguh tidurnya. Sayangnya, dia tidak dapat selalu ke rumah tokwan kalau tidak ditemani saya. Dan saya pula tidak boleh selalu tidur di sana memandangkan pagi-pagi lagi saya perlu bersiap ke tempat kerja. Malang sedikit nasib Aisya sebab dia sudah sedia tinggal di rumah neneknya (mak saya). Semoga suatu hari nanti, Tuhan mengabulkan niat saya untuk tinggal sendiri with my own family. Amin!

Nov 20, 2009

Mencari kesilapan diri

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata seorang kawan ketika kami sama-sama menghirup milo panas dan kelaparan mengadap roti nan garlic (kerana tak lunch) di sebuah restoran mamak diiringi hujan selebat-lebatnya, 'Kita kena cari dimana kesilapan kita, jangan hanya mengenang apa yg orang dah buat pada kita'. Sedangkan saya membangkang dengan berkata 'Bila kita mencari silap diri kita, kita akan jadi down!'. Saya tidak tahu betul atau silap penyataan saya itu, tetapi itulah yg terkadang saya rasa.

Sebenarnya, memang betul la apa yg kawan saya sarankan itu. Bila sesuatu berlaku, kita kena renung balik ke dalam diri kita, mencari dimana kelemahan dan kesilapan yg telah kita lakukan. Cuba perbaiki untuk menjadi lebih baik lagi sekiranya masih diberi peluang. Tapi begitulah, things easier said than done. Bercakap, modalnya air liur jer pun. Satu sen pun tak perlu dihabiskan. Yang mematah, memang la hebat berbahagia dan bersukaria. Sedang yg dipatahkan terkulai tidak bersemangat nak bernafas dah. Semakin difikir tentang hati yg patah, semakin tidak bermaya la hidup jadinya. Jadinya, menjadi 'jahat' mungkin lebih bersemangat untuk teruskan hidup, daripada menjadi 'baik' tetapi semudah-mudahnya dipermainkan orang.

Maksud saya bukanlah nak bunuh orang yer.

Cuma bila menganggap diri lemah, maka lemah longlai la kita jadinya. Bila kita terlalu memperbaiki kesilapan pula, kita sudah menjadi hipokrit pada diri sendiri. Kita bukan diri kita sendiri lagi. Kita mungkin sudah menjadi seperti orang lain. Jadi apa kata kalau kita cuba menunjukkan yg kita juga kuat, boleh bahagia, malah lebih hebat daripada orang itu, orang itu dan orang itu. Ianya bagus untuk menaikkan semangat diri sendiri. Ataupun sesekali cuba luahkan kemarahan dalam bentuk menyumpah seranah dalam senyum. Hehe.. Pastinya terasa lega selepas itu. Teringat saya tentang seseorang yg saya kenal sangat lemah lembut, tetapi macam-macam terkeluar dari mulutnya ketika ada sebuah kereta parking dibelakang keretanya. Memang saya terkejut sungguh masa tu. Hehe.. well, itulah luahan perasaan yg melegakan.

Tuhan lebih tahu! ;)

Nov 18, 2009

Bosan!


Bosan!

Bosan!

Bosan!

Pesal saya terasa sungguh bosan nih??

Nov 16, 2009

Cukup sampai disini

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...

Dalam keadaan yg sungguh tertekan kali ini, saya rasa fikiran saya masih waras dan cukup digunakan lagi. Samada betul atau tidak tindakan saya melarikan diri seketika, ianya tetap menyumbangkan beberapa perkara yg bagus untuk saya. Contohnya dengan melihat kehidupan di sana yg sesak, susah dan meletihkan, saya menjadi bersyukur dengan kehidupan saya. Biarpun sejak akhir-akhir ini, masalah bertimpa-timpa ke atas saya, kehidupan orang juga punya masalah mereka tersendiri. Ianya adalah bergantung kepada kita bagaimana untuk mengawal keadaan itu. Itu akal saya berkata-kata.

Tapi dalam keadaan begitu, sesekali perasaan kecewa itu datang lagi. Dan saya tertanya-tanya dimana dan apakah salah saya sehingga betapa mudahnya mereka-mereka ini mencampak dan memijak-mijak hati saya. Tika itu, saya akan memahat teguh di dalam ingatan saya bahawa saya tidak akan memberikan hati saya kepada siapa-siapa lagi. Kerana hati saya, tiada siapa peduli apatah lagi hendak menghargai. Selepas dibelai, dipuja, dicari ketika diperlukan, sewenang-wenangnya dicampakkan apabila sudah tidak memerlukan. Mudah bukan?

Sekarang, saya memujuk diri sendiri. Saya tidak ketemu sesiapa yg boleh menunjukkan jalan kepada saya, apa dan bagaimana harus saya lakukan bagi mengubatkan hati yg parah ini. Saya tidak ketemu sesiapa yg boleh memberikan semangat untuk saya meneruskan kehidupan yg terasa kabur ketika ini. Saya sedang mencari jalan untuk pulang, dan walaupun sudah disini, saya masih terasa pedih itu.

Kalaulah saya dapat pergi sejauh-jauhnya, saya rasa ianya lebih melegakan. Pergi dan bukan untuk kembali.

Saya berharap saya akan cepat kembali ke keadaan biasa saya.

Nov 12, 2009

Hari ini saya menangis

Dan...

Ianya adalah setelah saya berjaya menahan lama segala macam perasaan...

Tapi, bila dah ianya jatuh dan pecah..

Susah pula untuk ianya berhenti...

Isk.. isk.. isk..

P/s : Tak ape, tak perlu simpati atau pujuk. Ianya sekadar luahan perasaan dalam bentuk air mata..

Nov 10, 2009

Tiba-tiba saya rasa risau

Bismillahirrahmanirrahim...

Sejak balik daripada pejabat petang tadi, saya tiba-tiba risaukan banyak sangat perkara. Saya tidak tahu kenapa, tetapi seperti tiba-tiba macam-macam perkara berebut-berebut berkumpul ditempat yang sama, iaitu dalam fikiran saya. Alhamdulillah, saya tidak berpenyakit darah tinggi. Kalau tidak entah apa yang telah berlaku kepada saya. Nauzubillahiminzalik. Semoga saya diletakkan Tuhan di dalam keadaan yang sentiasa sihat sejahtera. Amin.

Dalam keserabutan itu, akhirnya tertidur pada seketika sekitar hampir 10 minit kemudian terjaga dan terus pergi mandi. Alhamdulillah. Terasa sedikit lega selepas dikejutkan dengan kesegaran air membasahkan tubuh lama-lama. Saya cuba bertenang, dan saya rasa saya perlu melakukan sesuatu. Apa yg saya risaukan sebenarnya itu?

Ini senarainya;
1. Hari khamis ini klien memanggil kami (saya ataupun boss saya) bersekali dengan konsultan untuk membincangkan tentang masalah kolam renang yg tidak berkesudahan. Sebab sejak akhir-akhir ini saya sangat menyampahkan dengan konsultan itu dan tidak terasa langsung utk bersemuka dengan diaorg.

2. Saya mencari alasan untuk tidak hadir ke dalam perbincangan itu.

3. Saya terlupa untuk pergi ke bandar untuk membeli tiket bas untuk ke kuala lumpur. Dan saya terfikir semula, perlu ke saya pergi atau tidak?

4. Saya perlu menyiapkan harga tender yang tiba-tiba sahaja ada tambahan kerjanya.

5. Saya memikirkan alasan-alasan yg tentang kerja-kerja pemulihan yg masih agak banyak di kolam renang.

6. Aisya baru menunjukkan surat tentang penyerahan buku teks pada 10hb November (kelmarin) dimana sepatutnya pada hari yg sama buku-buku teks utk tahun hadapan akan diagihkan. Tetapi kenapa Aisya belum dapat?

7. Saya terfikir untuk berhenti kerja. Tetapi saya masih belum ada kerja baru. Dan Aisya pula perlukan perbelanjaan untuk persekolahannya.

8. Saya terfikir untuk potong sahaja Astro di rumah ini.

9. Saya juga terfikir-fikir untuk potong sahaja line streamyx.

10. Saya rasa seperti saya membuat kesilapan apabila membeli tanah hari tu. (Duit simpanan saya sudah susut).

11. Saya berkira-kira tentang perbelanjaan saya dan Aisya.

12. Banyak lagi la...

Akhirnya, selepas mandi saya membuka Astro Ria, menonton Cinta Lelong, kemudiannya bersambung dengan cerita Mario Mariono Bros. Saya gelak sakan, dan melupakan semuanya sekejap. Sekarang saya baru menyiapkan harga tender. Saya nak tidur sekarang. Selamat malam. Semoga esok saya lebih bersemangat.

Nov 9, 2009

Half day leave

Salam...

Sebenarnya saya bukannya betul-betul half day leave seperti dulu-dulu masa kerja di kuala lumpur kota metropolitan menyesakkan minda, nafas dan semua tu, tetapi saya tetap nak pergi semata-mata nak shopping. Heh.. Half day leave ini kerana hendak menyiapkan kerja sendiri, tanpa mengisi borang cuti dan tidak memberitahu boss pun. Hanya meninggalkan pesan pada Nur dengan pesanan berbunyi, 'Nur, kalau boss tanya, bagitau ajer su ada hal. Su akan masuk opis jugak tapi mungkin lambat la'. Lebih kurang begitulah dialognya.

Yang menyeronokkan hari ini, hujan sejak semalam hanya sekejap-sekejap sahaja berhenti. Bersiap awal pagi seperti hendak pergi kerja, tapi cuma menghantar Aisya ke sekolah kemudian pulang semula mengadap labtop di dalam bilik. Ditemani hujan yang menyegarkan, lagu-lagu favourite, suasana sangat tenang dan menyenangkan. Kalaulah dapat berkerja dalam suasana macam tu selalu, saya rasa masa saya akan digunakan seoptimum mungkin. Sungguh, sangat selesa dan menyenangkan.

Jam 2 tadi, baru tayar kereta saya menjejak tempat parking di kawasan pejabat. Sebelum turun, ada lagu best sedang dimainkan diradio. Saya tidak tahu tajuknya, tapi saya tahu lagu itu. Naik ke pejabat, terus google lagu itu, dan jumpa. :D
Ini lagunya, Ranjang Mawar. Best, kan?

Kerana dia aku menangis
Tanggalkan sisa kewarasan
Rela melepaskan kemudi di tangan
Di kala ribut gelora
Datang mendera samudera

Kerana dia aku menangis
Padamkan gaya dan perasaan
Sanggup memutuskan pertalian diri
Kepada selain dia yang kudamba

Ku tenggelam dalam rindu
Tidak berdasar dan bertepi
Ku terdampar dalam sendu
Tidak bernoktah dan berhuruf

Ku terkorban dalam cinta
Tak beralasan dari lembar
Satu lagi tak menjanjikan
Ranjang mawar yang ku mimpi

Ku mimpikan yang ku mimpi

Dengarkan sendiri di YouTube yer. Saya tidak suka meletakkan lagu di sini sebab citarasa kita semua mungkin tidak sama. ;)

Nov 5, 2009

Kata-kata semangat untuk 'the loser'

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani...

Mulanya saya buat tajuk entri ini, 'Pujukan untuk 'the loser'', tapi kemudiannya saya terfikir, saya tidak merajuk dan tidak memerlukan pujukan dari diri sendiri atau sesiapa sahaja. Saya cuma memerlukan kata-kata semangat, seperti petikan hadith-hadith, pepatah orang dahulu kala, kata-kata pujangga dan sebagainya. Maka, begitulah tajuk entri untuk kali ini.

"Bila engkau memandang segalanya dari Tuhanmu, yang menjadikan sakit hatimu, yang membuat keinginanmu terhalang, pasti akan damailah hatimu. Kerana masakan ALLAH sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia. Bukan ALLAH tidak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu, tetapi mungkin itulah yang DIA mahu, kerana dia tahu hati yang sebeginilah yang selalunya lebih lunak untuk dekat dan akrab denganNYA...". (Saya petik dari status seorang kawan di facebook yg saya sangat suka dan saya sangat terasa kebenarannya).

Orang yg banyak duit, kerja hebat, tidak semestinya punya hidup yg tenang aman damai dan bahagia. Sedang orang yg miskin, kais pagi makan petang, kais petang untuk makan malam, tidak semestinya sentiasa bergundah gulana tentang hidup mereka. Saya perlu sangat-sangat melatih diri sendiri untuk sentiasa dan lebih bersyukur.

Tetiba, saya rasa saya perlu kembali ke alam realiti...

P/s : Maaf kerana entri ini mengarut sesangat. Tak perlu publish pun sebenrnya but seem in this few days tak ader entri baru, publish ler jugak.

P/s II: Tak faham tak aper. I'm complicated person. :)

Tiba-tiba saya rasa macam 'loser' sangat.

Sebenarnya...

Saya sangat terasa. Jauh disudut hati saya. Saya sangat berjauh hati. Siapalah sangat saya ini kan. Saya tahu saya bukanlah cantik sangat. Cantik pun tidak, apatah lagi cantik sangat. Gelap, dan bukannya cerah macam anak jepun yang comel, mata sepet, hidung penyet, dan rambut pendek hitam pekat (masih dikategorikan comel sebab kulit putih melepak). Saya rendah, bukannya tinggi lampai macam tiang lampu yang berjalan secara kucing (catwalk) di atas pentas peragaan. Saya pun bukannya muda lagi macam gadis-gadis remaja 20-an yg tidak tahu masih gadis ataupun tidak itu.

Saya sedar, saya tidak punya apa-apa. Bukannya orang kaya yg ada harta berjuta. Yang ada cuma Si Kancil saya yg masih sudi membawa saya ke sana ke mari. Buatan Malaysia sahaja, bukan buatan hebat dari Jepun. Saya cuma seorang pekerja biasa. Bekerja pula cuma dengan syarikat yang hidup segan, mati pun segan ini. Ya, saya bukannya bekerja dengan kerajaan yang menjamin masa depan, yg tidak pasti bagaimana lagi walau untuk sesiapa sekalipun. Bukan juga kerja glamour seperti artis atau berkerjaya hebat seperti doktor yg selalu sibuk itu tapi bergaji lebat itu. Gaji saya ciput sahaja, cukup-cukup untuk makan pakai saya dua beranak dan untuk sesekali pergi bercuti. Tidak mungkin mengcukupi untuk bermewah dengan orang ketiga.

Saya tidak akan bertanya jika mereka tidak mahu bercerita. Saya tidak mahu mengandaikan yg bukan-bukan sebab saya rasa ianya tidak elok dan mungkin Tuhan tidak suka. Saya berteka-teki dengan persoalan yang tiada jawapannya disebalik semua kiasan dan isyarat yg diberikan, dan saya tidak kisah kerana saya tidak mahu mengambil kisah.

Saya cuma manusia biasa. Punya sekeping hati walaupun mungkin hati itu sudah sering dicampak-campak, dipijak-pijak. Saya tidak tahu hati saya bersih atau kotor akibat sering tidak dihargai sebab pada saya hanya Tuhan yg tahu hati saya bagaimana.

Tetapi sungguh. Saya sangat terasa. Saya tertanya-tanya kenapa Tuhan tidak memberi peluang untuk saya bahagia seperti mereka, walaupun saya tidak tahu mereka bahagia ataupun tidak. Saya tertanya-tanya kenapa Tuhan memudahkan jalan untuk mereka, sedangkan untuk saya semuanya susah dan berliku. Dan sungguh, saya tertanya-tanya dimana dan apakah salah saya hingga hati dan perasaan saya seolah-olah tidak wujud lagi pada mereka.

Saya jadi malu. Malu pada orang sekeliling yg tidak tahu apa-apa. Saya rasa tersindir. Pada ungkapan biasa tapi entah kenapa saya rasa berbisa. Saya berasa sedih. Pada sesuatu yg saya tidak tahu apa dan tidak faham kenapa. Saya rasa hendak meluahkan segala yg terbuku didada, kemarahan yg membekam dirasa, tetapi tidak tahu dimana dan bagaimana.

Jadi, inilah. Dan beginilah.

Intuisi

Bismillahirrahmanirrahim...

Tiba-tiba saya perasan bahawa kebanyakan perkara yg berlaku dalam hidup saya, sebenarnya telah pun saya ramal dalam diam dan merasakan kehadirannya sebelum ianya berlaku. Ini bererti gerak hati atau intuisi saya sangat kuat. Semestinya ianya berkaitan dengan kehidupan saya dan orang-orang yg ada perkaitan dengan saya. Apa yg saya rasakan adalah betul-betul berlaku dan saya mengetahuinya biasanya setelah agak lama kebenaran itu terserlah. Disinilah akan wujud suatu keadaan lagi dalam diri saya yg bermula dengan 'Kalaulah......', sambungkan ayat tersebut untuk memulakan ramalan sendiri. :D

Tetapi, kerana ramai sangat manusia yg jenis suka memutar belitkan cerita sebelum kebenaran itu sampai kepada saya, maka banyak perkara yg diabaikan begitu sahaja oleh saya yg sememangnya seorang yg tidak suka untuk bertikam lidah cuma kerana intuisi saya.

Oleh itu, mulai hari ini, saya kena lebih prihatin akan intuisi saya ini. Memberi lebih penekanan untuk mencari kebenaran apabila ada sesuatu yg mula melintas diminda. Jangan biarkan ianya 'zupp!', melintas dan hilang begitu sahaja.

Pssst : Malam tadi mimpi tak best. Saya terjaga dan kepala terus rasa berdenyut-denyut. :(

Psssst : Saya teringin berlama-lama di dalam hujan, merasa dinginnya air hujan. Sebab saya rasa dalaman saya sangat panas, ada sesuatu terperangkap disitu. Perasaan yg tidak terluah barangkali.

Nov 2, 2009

Separuh Jiwaku Pergi

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebelum apa-apa, diberi amaran terlebih dahulu bahawa tajuk di atas mungkin tidak ada kena mengena dengan cerita selanjutnya. Ianya sekadar gimik, ataupun boleh digambarkan sebagai mainan jiwa penulis (penaip) ini yg seperti berjiwa kosong. Ingin bercerita tetapi tidak punya idea tentang apa yg hendak diceritakan. Atau sekadar ingin mengisi ruang kosong ini. Atau juga barangkali sekadar mengikut rentak gaya jari jemari yg menekan papan kekunci ini tanpa arah tuju.

Opss. Tetiba lampu mentol menyala di atas kepala. Ya. Idea telah datang. Abaikan perenggan pertama tadi yg menyatakan tajuk di atas tidak ada kena mengena. Ceritanya tentang semalam ketika saya mengadap (sambil membaca la of course)paper. Anang membuat maklumbalas daripada kenyataan KD dalam paper last week. Walaupun kenyataan balas Anang banyak simbolik daripada terus terang, kita akan faham kenyataan yg dipaparkan itu. Disitulah disebutkan tentang lagu 'Separuh Jiwaku Pergi' yg ditujukan khas buat bekas isteri tersayangnya. Dan saya pula terus meng'You Tube'kan lagu itu. Seharian juga la saya dengar berulang-ulang lagu itu, yg secara kebetulan dirasakan sangat sesuai dengan keadaan jiwa saya. Eceehhh.. Hehe. Dan juga, ketika itu juga saya terjumpa lagu 'Aku Wanita Biasa' nyanyian KD. Sedap pula lagu itu bila diselang-selikan dengan lagu Anang. Macam saling meluahkan perasaan la pulak. Tapi, mungkin betul la kot.

Emak pula, ketika saya balik tengahari (untuk mengambil Aisya dari sekolah) sempat bercerita tentang perceraian juga. Bagaimana seorang isteri dengan 2 anak yg masih kecil diceraikan kerana si suami mahu berkahwin lagi. Apa yg saya faham daripada sudut pandangan emak, lelaki itu disalahkan dan perempuan itu diberi simpati melimpah ruah. Sedang kenyataannya saya tidak rasa emak dan orang yg bercerita kepada emak tahu tentangnya. Malah bila saya berkata, mungkin si isteri juga ada berbuat salah, emak seolah-olah menganggap ianya adalah mustahil.

Bukan saya hendak menyokong mana-mana pihak, tetapi apa yg saya nampak setiap kali perceraian (yg semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini) berlaku, lelaki akan dipandang serong dan disalahkan. Kesalahan perempuan jarang diperdengarkan dan akan lenyap begitu sahaja. Sedangkan pada pendapat saya (yg pernah melalui detik-detik itu), tidak semua kesalahan berada di atas bahu lelaki. Mungkin kesalahan lelaki lebih berat (sebab lelaki pemimpin keluarga), tetapi ada juga keadaan di mana kesalahan perempuan yg menjadi punca. Bagaimanapun, jika sudah berusaha sehabis mungkin untuk menyelamatkan masjid yg dibina, kita kena redha dengan kenyataan, belajar menerima hakikat dan terus melangkah meneruskan hidup. Kan.

P/s I: Kalau dulu, biasanya suami yg curang. Zaman sekarang sudah ramai isteri juga curang.

P/s II: Saya juga kena redha, tapi apakah ini yg sedang bermain-main difikiran saya agaknya.

I wonder why : Kalau sudah terhantuk baru hendak terngadah.

Nov 1, 2009

Fobia sedikit

Bismillahirrahmanirrahim...

Kata Aisya, 'Mama tak baca Bismillah kot ketika bawak kereta tu'.

Mama balas, 'Laa.. kan Aisya selalu dengar mama baca Bismillah setiap kali mama nk bawak kereta kan'.

Saya sedikit fobia rupa-rupanya. Takut untuk melihat kereta di belakang melalui cermin pandang belakang. Lebih-lebih bila ada kereta sedang laju di belakang. Jantung saya berdegup kencang, dan saya terbayang-bayang hentaman yg kuat akan berlaku. Agak menakutkan. Sudahnya saya memandu perlahan di lorong kanan dan kurangkan memandang cermin pandang belakang. Saya kena kuat. Kuat. Kuat. Macam hmm.. macam siapa yer.. macam saya lah.

I wonder why : Manusia ni ada macam-macam ragam, hinggakan kita tidak menyangka yg lemah lembut sopan santun tiba-tiba mengeluarkan macam-macam perkataan kurang elok didengar ketika marah. Fuhh..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...