Iklan

Sep 29, 2008

Ramadan yang beransur pergi, Syawal yang bakal menjelma.

Ramadan beransur hampir ke penghujung untuk kali ini. Syawal pula bakal menjelang tiba. Aku memang diberi cuti awal-awal lagi oleh boss. Masuk minggu ni sajer, aku dah mula bercuti. Tapi, aku tidak berbuat apa-apa. Kemeriahan terasa kurang sikit. Abih-abih pun aku cuma mengemas rumah, menyapu sampah, dan semua kerja-kerja biasa yang sering dibuat hujung minggu. Paling tidak pun, untuk menunjukkan serba sedikit sambutan nak beraya pada mak, aku layan mak beli pasu bunga besar dua biji dan tanah 3 beg. Aku gotong royong dengan mak alihkan bunga cina yang aku beli dekat Cameron Highland bulan Julai lepas (kalau tak silap aku) ke pasu yang besar itu. Dan pokok bunga 'ong' (aku tak tahu orang panggil pokok tu pokok apa, tapi aku tahu setengah orang panggil pokok tu, pokok 'ong') ke dalam pasu besar yang lagi satu. Pokok tu, Pok Usop yang buat kerja landscape kat projek kolam renang hari tu, yang bagi kat aku masa aku pergi ke kedai bunga dia. Yang lain yang aku buat, aku beli bunga plastik 2 jambak, warna peach dan krim untuk menggantikan bunga plastik yang rasanya hampir 2, 3 tahun tidak bertukar di ruang tamu kat bawah. Aku gubah ringkas, campur serba sedikit bunga lama, dan letakkan di tempat yang sama. Itu sajalah sambutan aku untuk Syawal kali ini.

Sebenarnya, aku nak postkan kat sini ucapan selamat hari raya aku untuk kawan-kawan aku, dan pembaca blog ni yang mungkin aku tak kenal. Thanks to all of you yang sudi menjengah coretan aku ini. Semoga hari raya kalian meriah, penuh keberkatan, penuh keredhaan dan kalian bahagia di samping insan-insan disekeliling kalian.

Buat teman-teman, Selamat Hari Raya, ampun maaf dipinta. Wani, Man, Farah serta Faris, semoga kalian gembira dan bahagia selalu. Nur, semoga harapan dan impian menjadi kenyataan. Ain, jangan nakal-nakal, awak tu dah besar dan dah layak bergelar isteri dan ibu. Kawan-kawan yang lain... semoga kita semua sentiasa redha dan bersyukur dengan dugaan dan pemberianNya.. Amin.

Sep 27, 2008

3 Hari lagi.

Tiga hari lagi, syawal akan menjelang tiba. Pagi tadi, aku tengok bulan sabit pun semakin mengecil. Tapi masih jelas setinggi dua galah daripada matahari yang baru menjengukkan diri. Dah lama sangat aku tidak melihat matahari pagi naik. Pagi tadi aku sempat menyaksikan keindahan itu. Terima kasih kepada Aisya yang bangun sahur bersama aku, dan seperti biasa kalau dia bangun sahur, matanya sudah segar bugar menandakan dia tidak mahu tidur lagi. Jadi, aku pula yang terpaksa menemani dia menonton siaran Astro di awal-awal pagi itu selepas makan sahur dan solat subuh. Sudahnya aku sendiri tidak dapat tidur lagi, menonton bersama-sama dia, menyelak langsir dan membuka tingkap apabila cahaya matahari mula menyimbah bumi.

Hari ini, adik aku yang tinggal di Kuala Lumpur akan balik. Entah jam berapa akan sampai. Yer la.. musim-musim nak raya ni, jalan pulang ke kampung memang sibuk. Yang sepatutnya mengambil masa cuma 5 jam, pastinya bertambah sejam atau dua. Bandar Kuala Terengganu sejak minggu lepas sudah sesak. Lebih-lebih lagi, pada waktu pulang kerja. Aku, awal-awal lagi sudah membeli segala keperluan untuk memasak di pagi raya. Kalau ikut perancangan aku, mulai hari ini sehingga raya, aku takkan keluar ke bandar lagi. Rasa tak sanggup untuk menempuh kesesakan di bandar yang tidak besar mana ni.

Nampaknya raya tahun ini tidak semeriah tahun lepas. Kebanyakkan kawan-kawan aku juga nampak tidak beriya-iya untuk beraya. Tapi, mungkinkah nasib kita ini berjangkit yer, ataupun perasaan kita mempengaruhi sesama kita.. Ntah la.

Sep 23, 2008

Ramadan 23rd.

"Bila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu.. Bila Dia lambat makbulkan doamu, maka Dia ingin mengujimu... Bila Dia tidak makbulkan doa mu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untuk mu..Sentiasalah bersangka baik pada ALLAH dalam apa jua keadaan pun...kerana kasih sayang ALLAH itu mendahului kemurkaanNYA..."

Sep 18, 2008

Sanggupkah..?

Dua hari lepas, aku telah dijemput untuk berbuka puasa di rumah seseorang. Saudara terdekat, yang tinggalnya hanya 10 minit dari rumah dengan memandu kereta kancil dalam kelajuan 60km/h. Dan pengalaman yang hendak aku kongsi kali ini adalah sesuatu yang sangat memberi peringatan kepada diri sendiri, dan orang lain yang terasa ada perkaitan dengan cerita ini.

Ianya adalah suatu pemandangan yang baru. Seorang wanita yang menjadi isteri ketiga kepada seorang lelaki yang pada pengamatan aku lebih mementingkan perasaan diri sendiri daripada perasaan seorang isteri. Dan yang lebih dahsyat, dua isterinya diletakkan dirumah yang bersebelahan. Maka sianak yang ramai itu kelihatannya bebas ke sana ke mari, masuk rumah itu dan rumah ini. Dan kelihatannya saudara terdekat aku itu langsung tidak lagi mempunyai 'privacy' di rumah sendiri, yang dibeli dengan hasil titik peluh sendiri. Sudahlah dia sudah mempunyai 2 orang anak yang masih kecil, seorang baru pandai bercakap dan seorang lagi baru hendak belajar bertatih. Ditambah pula dengan anak jiran sebelah yang juga masih kecik-kecik dan yang besar-besar juga. Si ayah pula nampaknya jenis yang tidak menghiraukan langsung kehadiran anak-anak-anak yang ramai itu, seolah-olah anak-anak-anak itu bukannya anak dia. Cara layanan kepada anak-anak itu, aku lihat lebih kepada seorang lelaki yang hendak memikat seorang wanita dengan memperlihatkan perangai kononnya sukakan budak-budak. Malah aku tengok diaorang suami isteri juga tidak mempunyai kemesraan seperti pasangan yang berumahtangga, tetapi lebih kepada kawan biasa.

Yang paling menyedihkan, ketika azan maghrib dilaungkan menandakan masuknya waktu berbuka puasa, dia tidak dapat menikmati hidangan yang disediakan kerana kehadiran anak-anak yang ramai itu. Dia terpaksa melayan anak-anak itu makan dengan keinginan yang pelbagai. Kejap nak air, kejap nak kuah lagi, kejap-kejap karang tumpah pulak. Aduhhh.. aku yang tengok ni, bukan sahaja terasa ingin menitiskan air mata, geram pun ada. Cepat-cepat aku makan, melayan budak-budak kecik itu, mengemas mangkuk dan cawan, basuh dan mengelap yang tumpah, kemudian mengambil alih memegang anak yang paling kecil.

Ketika dalam perjalanan pulang, apa yang berlaku itu terus bermain-main difikiran aku. Apa yang jelas pada pandangan aku, bermadu tidak sebahagia dan semudah yang pernah aku dengar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan melibatkan hati dan perasaan sendiri, keinginan dan banyak lagi. Sekiranya tidak sanggup, mungkin ianya tidak akan bertahan lama. Sanggupkah mengorbankan 'privacy'? Sanggupkan mengorbankan perasaan? Sanggupkah mengorbankan impian dan cita-cita? Itu pendapat aku, daripada apa yang aku perhatikan. Tidak tahu pula apa pendapat orang lain. Aku sedar, ada yang boleh melaluinya. Ada yang sanggup demi mendapatkan suami dan cinta barangkali. Tapi, bahagiakah kita dengan sebenar-benar bahagia yang kita inginkan?

Sep 14, 2008

14 Hari sudah...

Hari ini hari ke-14 kita sebagaimana umat islam berpuasa di bulan ramadhan. Kat kampung aku, sejak awal puasa lagi sudah kedengaran dum dam dum dam bunyi mercun. Sekarang, bertambah hebat lagilah bunyi-bunyi itu bila sahaja malam menjelma. Maklum sahajalah, puasa cuma tinggal lagi 2 minggu. Semua budak-budak sudah terasa keseronokan untuk menyambut hari raya. Surau-surau dan masjid-masjid juga hampir setiap hari mula mengambil membuat jamuan berbuka puasa (orang kampung aku panggil 'nnamat'). Semalam, surau paling hampir dengan rumah mengambil giliran. Aper lagi, bertungkus lumus la aku dan mak memasak lauk untuk dihantar ke surau pada waktu berbuka nanti. Dan seperti biasa, lauk yang ayah aku suruh masak, gulai ayam. Sebab kononnya, kalau buat lauk lain, takut orang tak makan. Dan aku, dengan rasa kurang bersetuju, masak jugaklah lauk gulai ayam tu. Dan juga, untuk memuaskan hati sendiri, aku selitkan satu lauk special, udang goreng daun kari.. hehe. Sedap la pulak Aisya meratah udang tu malam tadi. Agaknya sebab manis kicap yang membuatkan dia berselera. Dia merengek juga mengajak aku melayan dia bermain bunga api. Tapi, kerana selepas berbuka puasa aku perlu mandi (sekiranya aku belum mandi selepas balik kerja), dan bersembahyang maghrib, membaca quran, mengajar dia iqra' dan seterusnya solat isyak. Masa untuk bermain bunga api berlalu begitu sahaja. Mungkin belum masanya, tengoklah bila dah hampir dengan tarikh 1 syawal nanti.

Aduhhh.. apasal ek, ramadan dan syawal yang bakal menjelang tiba tahun ini terasa hambar dan sangat tidak best!

Sep 3, 2008

Mimpi

Subuh pagi tadi, aku bermimpi sesuatu yang agak aneh. Ketika aku dalam perjalanan ke tempat kerja sekali, aku masih terbayangkan mimpi aku itu. Sangat jelas, dan satu persatu masih di ingatan.

Di dalam mimpi itu, aku melihat melalui tingkap dibilik aku, buah epal yang bertaburan di tanah. Buah-buah epal itu sangat merah, berkilat dan besar. Aku sempat melihat di atas pokok kelapa, sebiji buah epal menggantikan buah kelapa. Dan buah itu jatuh kemudiannya. Ketika itu, aku terfikir kenapa perkara itu berlaku. Pokok kelapa berbuahkan epal? Mungkin ada sesuatu disebalik kejadian ini. Selepas aku berbincang dengan mak dan ayah, kami berpakat untuk mengagih-agihkan buah-buah epal itu kepada jiran-jiran. Aku terus pergi mengambil plastik untuk mengutip buah-buah itu. Dalam perjalanan untuk mengambil buah-buah epal yang banyak itulah aku terserempak dengan seorang kawan. Dia adalah seorang kawan perempuan yang merupakan kawan sepermainan sejak kecil lagi. Dia agak warak orangnya. Jadi aku mengambil kesempatan itu untuk bertanya maksud disebalik kejadian epal yang bertaburan merah itu. Ketika itu dia bertanya, 'Mana buah epal itu?'. Itu! Aku menunjuk ke arah buah epal yang melambak tadi, tapi aku terkejut. Buah-buah itu tidak ada lagi disitu, walaupun sebiji! Ketika aku berpaling untuk kembali ke rumah, aku sempat mendengar kawan aku itu berkata, 'Su, su kena kahwin su'.

Aku terjaga dari tidur selepas itu. Tidur kembali, dan bermimpi yang lain pula. Pagi ini, aku terfikir-fikir maksud disebalik mimpi itu. Mimpi yang sekadar mainan tidur atau ingin memberitahu sesuatu. Adakah aku sebenarnya hidup dalam angan-angan selama ini? Khayalan yang aku cipta sendiri? Harapan yang tidak aku sedari? Dan... aku perlu sedar dari hidup itu???

Sep 2, 2008

Second day of Ramadhan 1429H

Seperti biasa, sahur bangun jam 4.45 pagi. Minum air 3 mug (satu mug milo + 2 mug air masak), biskut fibre 2 keping, pil-pil yang kena telan, dan kemudian back to sleep. Tinggalkan mak, ayah dan adik mengadap nasi panas dengan lauk yang dimasak sebelum berbuka semalam. Jam 6.30 pagi bangun solat subuh, mandi dengan Icha (Dania Aisya.. :D) dan bersiap untuk hantar Icha ke tadika dan terus ke pejabat. Petang ini, memandangkan bulan puasa boss bagi balik awal (jam 3.30 petang), boleh pergi ambik Icha kat tadika dan balik rumah, masak. Menu apa yer, untuk berbuka hari ini.. ermm..

Sebenarnya aku sedang cuba mengingati kembali novel-novel lama yang pernah aku baca masa di universiti dan sekolah dulu. Novel-novel yang sangat meninggalkan kesan dan menyentuh perasaan. Ini adalah kesinambungan daripada ketidakpuasan hati kepada penamat cerita 'Tangisan Bulan Madu' yang disiarkan di RTM baru-baru ini. Drama yang diadaptasikan daripada novel Shamsiah Mohd Nor itu, memang menjadi drama wajib tonton pada aku baru-baru ini. Kebetulan pula novel itu daripada yang pertama, sehingga buka 3 telah kumiliki. Buku yang pertama seingat-ingat aku, aku baca masa sekolah dulu. Sekitar tahun 1992 - 1993 ketika di tingkatan 4 atau 5 dan menginap di asrama Sekolah Menengah Agama (atas) Sultan Zainal Abidin. Buku itu kepunyaan kawan aku, dan kami ramai-ramai di dorm yang sama menunggu giliran dengan sabar, untuk membaca buku tersebut. Sekitar tahun 1999-2000, aku telah membeli buku itu (cetakan yang keberapa entah) dengan duit gaji sendiri ketika bekerja di Kuala Lumpur. Aku ingat lagi, buku itu aku beli di sebuah kedai buku di stesen bas pudu. Buku yang ke-2 dan ke-3 juga aku beli di Kuala Lumpur, tapi sudah lupa di mana. Akan tetapi buku ke-4 tak beli! Ketika aku mendapat tahu, buku Tangisan Bulan Madu 4 keluar di pasaran, aku sedang sibuk barangkali, jadi aku bertangguh-tangguh untuk membelinya. Dan sekarang, memandangkan aku tidak berpuas hati dengan penamat drama itu, aku tercari-cari semula buku yang ke-4 tu! Kat mana aku nak cari. Salah satu kedai buku yang terbesar di terengganu ini telah aku terjah ketika awal siri itu disiarkan, tetapi tidak berjumpa. Aku terfikir pula untuk mencari di internet. Sambil tu, sempat jugalah mengingat-ingat kembali novel-novel lama yang pernah aku baca, dan sudah lama ingin kukumpul untuk dijadikan koleksi.

Antara yang masih aku ingat, novel Ombak Bukan Biru dan pengarangnya Fatimah Busu. Aku dah lupa langsung apa ceritanya, tetapi aku masih ingat ceritanya yang sangat menyentuh perasaan dengan ayat-ayatnya yang sungguh puitis. Aku tahu novel itu novel lama (aku baca buku itu pada tahun 1996). Teman seasrama (Mek Ta - orang Kelantan) yang mengambil jurusan pendidikan sastera (seingat-ingat aku la), meminjam buku itu daripada library USM untuk pembelajaran dia. Dan aku (yang sememangnya hantu novel!) terus mengambil kesempatan meminjam buku itu dari dia, dan membacanya. Daripada novel itulah aku baru tahu negeri kelantan digelar 'tanah serendah sekebun bunga'.

Dan, aku masih ingat lagi novel-novel yang aku pinjam di library itu. Antaranya yang sangat aku suka, novel-novel Arena Wati seperti Kuntum Tulip Biru, Sakura Mengorak Kelopak dan Bunga Dari Kuburan. Aduhai, aku teringin sangat untuk membaca lagi novel-novel itu. Tetapi, di mana aku nak cari yer... ermm..

Banyak lagi novel-novel lama yang teringin aku kumpul kembali, termasuk buku cerita mek (kakak aku) yang aku ulang-ulang baca semenjak aku pandai membaca sehingga buku-buku itu hilang dipinjam oleh sepupu-sepupu aku. Memang, aku membesar dicelah-celah timbunan buku-buku cerita mek yang banyak itu. Aku membesar dengan angan, impian dan harapan yang aku perolehi daripada buku-buku itu. Salahkah aku....

Sep 1, 2008

Salam Ramadhan...

Aku tahu, ramadhan bulan yang dinanti-nanti kedatangannya. Ramadhan bulan yang dialu-alukan dan disambut penuh kesyukuran oleh seluruh umat islam. Ramadhan bulan penuh keberkatan. Akan tetapi, aku tidak tahu kenapa ramadhan tahun ini, aku rasa sangat muram, tertekan dan bingung. Aku cuba untuk mengceriakan diri, tapi fikiranku tetap rasa berserabut. Aku cuba melayan kawan-kawan bergelak ketawa, tetapi bila saja ketawaku terhenti, aku rasa fikiranku kembali kepada asal. Berserabut, berkecamuk, macam-macam. Aduhhh....

Ok la, memandangkan aku tidak dapat membetulkan pemikiran aku hari ini untuk ber'blogging', so aku cuma nak ucap 'Selamat Bersahur, Selamat Berpuasa dan Selamat Berbuka' kepada semua umat islam yang mengunjungi blog aku ini, samada memang menjengah ataupun terbuka blog ini. Semoga ramadhan tahun ini membawa keberkatan kepada semua, dan semoga ibadah-ibadah yang didirikan sepanjang ramadhan ini dipanjangkan sehingga ajal menjemput kita semua.. Amin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...