Iklan

Sep 29, 2011

Galaksi Saya

Telefon pertama saya adalah berjenama Samsung juga, yang panjangnya sejengkal mungkin dan semestinya besar! Ianya secondhand dibeli dalam tahun 2000 ketika bekerja di Kuala Lumpur. Sangat tahan lasak walaupun jatuh acap kali (dibaling ke tanah pun ada ketika mengamuk..oh zaman mudaku!)


Selepas itu bertukar menggunakan Nokia juga secondhand dan seterusnya sehingga sekarang juga, masih setia dengan Nokia (bukan lagi secondhand). Aku tidak berminat jenama Sony sebab aku kenal Sony dengan walkman Sony. Jadi aku rasa sebuah telefon genggam tidak sesuai berjenama Sony. Tapi untuk Nokia, aku tidak pernah dengar lagi ada radio atau tv, atau mesin basuh jenama Nokia. Pada aku, sebuah telefon genggam hanya dari Nokia sahaja baru betul-betul telefon. Hehe...


Kemudiannya, bila zaman makin moden, kebanyakkan jenama mula menambah produk mereka, iaitu telefon genggam. Contohnya, LG. Dulu-dulu aku selalu rasa kalau orang pakai handphone jenama LG, seakan membawa peti sejuk ke sana ke mari. Dan ternyata apabila seorang kawan aku mengusung laptop jenama Toshiba ke sana ke mari, kawan yang lagi satu berkata dia seperti membawa mesin basuh! Hahahaha...


Tetapi aku, akhirnya kembali ke asal usul, beralih ke Samsung juga dan jatuh cinta lagi. Walaupun aku tak reti guna!


Paling kelakar, bila mak call untuk mengingatkan aku untuk menjemput Aisya balik dari sekolah, aku terkial-kial menyentuh skrin button hijau gagang telefon di angkat. Rupa-rupanya kena slide ke tepi! Menggelabah, dan jadi bahan gelak kawan-kawan! Chisss!!!

Ribut

Sudah agak lama rasanya tidak berkesempatan menjenguk disini. Hari-hari hanya sempat mencuri sedikit masa sahaja untuk menjenguk google reader yang bersusun sehingga dua puluh lebih senarai yang belum dibaca. Jenguk-jenguk mana yang diyakini entri pendek atau bergambar sahaja seperti wordless wednesday. Yang pasti panjang ceritanya, dibiarkan dulu sehingga waktu membenarkan.


Malam-malam pula sejak akhir-akhir ni (sudah seminggu lebih rasanya), asyik hujan sahaja, yang dilengkapi petir dan guruh berdentum-dentum. Memang sah-sahlah keadaan itu tidak membenarkan aku mengadap internet di rumah. Paling teruk, dua hari lepas, 27hb. September ribut paling dahsyat tahun ini barangkali. Bukan disini, dikawasan ini tenang sahaja, hanya sekejap sahaja aku dengar bunyi angin yang agak kuat diluar rumah. Rumah ini jenis papan dan separuh batu di bahagian dapur, dan dilengkapkan siling disemua ruang kecuali bilik air di dapur dan diluar. Jadi biasanya kalau hujan atau angin kuat diluar, di dalam rumah kitaorang dengar macam tak kuat mana pun. Malam itu angin diluar kedengaran kuat juga, tapi tidaklah terlalu kuat yang dapat menarik hati aku untuk menjenguk membuka tingkap nako. Kalau kuat, memang kitaorang takut sebab masih ada beberapa batang pokok kelapa yang tinggi melayut berhampiran rumah dan salah satunya condong ke arah rumah! Malam itu kitaorang relaks sahaja, tak sedar apa-apa keributan.


Esoknya, baru dapat cerita daripada boss yang kebetulan berada di bandar menunggu anaknya selesai kelas tusyen, tentang angin yang berpusing-pusing macam puting beliung! Melalui internet dan facebook, baru tahu kawasan paling teruk dilanda ialah Taman Syahbandar. Macam-macam spekulasi pula dibuat. Tempat maksiatlah, joget-jogetlah, konsertlah. Aku tak tahu sangat sebab aku jarang ke sana kecuali sesekali ke pasar malam hari jumaat. Biasanya kalau hari jumaat tu, memang ramailah orang, termasuk yang lepak-lepak ala-ala berkelah di taman tu. Tapi biasanya ramai yang sekeluarga. Yang couplenya, lebih suka kesana kemari dengan membonceng motor sambil tayang bodi, atau lurah-lurah.


Ya, tidak salah segala macam spekulasi itu diperkatakan. Keadaan itu memang sangat mengundang malapetaka.


Teringat suatu ketika sekitar beberapa bulan lepas ketika kami (kawan-kawan sepejabat) menjalani rutin memanjat Bukit Besar. Seperti biasa petang itu sebaik turun kami terus ke taman berhadapan bukit. Memang ramai warga yang mementingkan kesihatan suka berjogging di situ. Ada juga kawasan kosong di dalam taman sudah dijadikan padang bola (tak seluas padang bolalah), dan setiap petang memang ada ramai orang bermain bola disitu. Ada playground di tengah-tengah taman dan petang itu seingat aku memang ada orang yang membawa anak-anak mereka bermain gelongsor disitu.


Selepas berlari-lari anak sepusingan taman, kami berehat di pondok yang ada kerusi batu dekat gelongsor budak-budak itu. Nun di sebelah sana, ada kerusi lagi dan sepasang manusia di situ. Duduk sangat rapat, tidak seperti suami isteri. Silelaki sekejap-sekejap mencuit hidung dan mencium pipi pasangannya, tanpa sedikitpun rasa malu. Sigadis (sekiranya masih), nampak malu-malu tapi langsung tidak menepis tangan yang memeluk bahunya. Banyak mata yang melihat, bukan kami sahaja. Kami pula memang sengaja melihat ke arah mereka, biar mereka malu. Tetapi, tidak! Langsung tidak! Agak lama juga perkara itu berlaku, hingga akhirnya kami bangun meninggalkan taman.


Benarlah, zaman sekarang ramai yang suka dan berbangga mempamerkan kebodohan, kemaksiatan, kezaliman, 'kepandaian' dan bermacam-macam lagi 'keindahan dunia'. Dan ramai pula yang menyokong. Teringat lagi ajukan kata-kata seorang ayah oleh Ustaz Azhar Idrus dalam salah satu ceramahnya apabila melihat anak sendiri berpakaian ketat atau memdedahkan, 'dah nok wat guaner, pesen lening!' Hahaha...



P/s : Kalau ayah saya (dulu masa saya kecil), memang ditendang dinding apabila kami masih menonton tv waktu maghrib, hingga kami menikus lari ke bilik air cepat-cepat mengambil wuduk.

Sep 20, 2011

Waktu

Aku hendah menaip entri baru tentang kenapa aku suka menonton drama Melayu, tetapi aku tak banyak kesempatan untuk itu.

Ada taklimat sebutharga pada hari Ahad, dan aku kena hadir sebagai consultant QS. Dari pagi hingga ke tengahari aku di UniSZA, Gong Badak.

Ada laporan sebutharga bagi projek lain yang tiba-tiba aku kena siapkan. Ada juga format claim yang perlu aku settle sebelum kontraktor mula buat claim. Nanti kalau nak buat claim baru nak siapkan format, memang kelam kabut.

Ada Summary of Tender juga untuk satu projek yang bakal ditenderkan, belum dikemaskini.

Semalam tiba-tiba kena hantar lagi Dokumen Sebutharga ke Gong Badak sebab tak cukup. Ramai juga orang yang beli bagi projek kecil itu.

Kejap lagi pula kena bergegas ke tempat sama untuk Site Meeting projek yang sedang berjalan. Jam 12 kena berkejar pulang untuk ambik Aisya di sekolah. Boleh tahan juga jauhnya dari Gong Badak tu. Kemudian ada satu benda yang aku nak beli. Meronta-ronta hati ini nak gi beli segera. Hahahaha...


Babai.

Sep 18, 2011

'Kimia'

Masa raya baru-baru ni, aku ada nampak Astro Prima asyik promo drama-drama yang banyak ditayangkan. Aku memang peminat drama Melayu, dan biasanya kalau ada cerita menarik aku akan cuba juga luangkan masa untuk tengok. Cerekarama di Tv3 contohnya, jaranglah aku ketinggalan menonton, kecuali kalau aku tidur awal. Telefilem di astro pula, banyak yang diulang tayang, pun tak jemu aku tengok.

Cuma kalau drama yang bersiri tu, jarang sedikitlah aku nak ikut. Biasanya kalau cerita yang bagus-bagus tu, aku tengok sikit-sikit sahaja. Tahu jalan cerita sudah cukup. Macam drama Tahajjud Cinta yang disiarkan setiap jumaat di tv3 sekarang, aku tengok dari awal episod. Lepas tu aku mula tengok sikit-sikit jer. Aku geram tengok cerita tu. Geram kat Emang Manang, orang kampung sebelah kampung aku tu.. hahaha.. Drama bersiri popular dengan Seth Tan baru-baru ni, aku tengok sikit sangat. Tu pun sebab terpengaruh dengan ramai kawan-kawan duk citer keromantikan Seth Tan @ Arron Aziz tu. Jadinya nak juga tahu apa yang menariknya. Yang menariknya, aku sempat tengok episod akhir! Selalunya kalau aku follow apa-apa drama bersiri, biasanya terlepas episod akhir disebabkan sesuatu yang memang tidak boleh dielakkan. Sangat sakit hati! Itu antara sebab aku jarang follow mana-mana drama bersiri.

Jadi, bila dah Astro duk promo drama-drama best tu, maka aku pun siap sedia buat perancangan dalam kepala, nak tengok drama itu, drama ini. Antaranya drama Sesungguhnya. Nampak sangat menarik.

Tapi.. aku terlepas drama tu. Aku cuma sempat tengok di penghujung cerita sahaja ketika Nuar berkata kepada Nadia ke apa namanya, 'Abang sayang Nadia macam adik sendiri. Cinta abang hanya sekali'. Lebih kurang begitulah dialognya.


Kemudiannya malam tadi, Astro kan suka ulang tayang drama-dramanya, ada lagi drama tu. Dan kali ini aku dapat tengok dari awal, bersambung terus lepas layan Epilog Deru Ombak yang memang aku tak tahu pangkal tapi tengok penghujung episodnya. Hahaha.. Best juga drama Deru Ombak tu, lebih-lebih dengan Nabila Huda yang bertudung. Suka sungguh aku tengok dia pakai tudung sejak drama Ahmad Dhurah di tv3 ari tu. Sangat manis.

Oh, Sesungguhnya, memang sangat best! Gandingan Sharifah Amani dan Beto Khusyairi yang mantap, dan memang ada 'kimia'. Sejak aku tengok drama Kashaf Imani, aku dah suka kat si Beto Khusyairi ni. Orangnya nampak baik... hahahaha...


Ok, ceritanya berkisar tentang Lela (Sharifah Amani) yang bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang lelaki tu (lupa namanya), pulang ke kampung selepas 7 tahun meninggalkan kampung, dan bertemu kembali dengan bekas suaminya, Nuar (Beto Khusyairi) yang merupakan teman sedari sekolah. Meleleh juga air mata aku masa Nuar bersemuka dengan Lela untuk meluahkan perasaannya. Hahaha... Aku memang pantang tengok cerita2 sedih ni, air mata aku mesti jadi murah.


Okay.. itu sahaja untuk kali ini.

P/s : Hari ini aku dapat tambahan seorang lagi anak saudara lelaki. Tak sabar nak tengok!

Sep 14, 2011

Said I Love You But I Lied



Hidup lebih bermakna, dengan adanya rasa. Walaupun rasa itu menyakitkan, pedih.

Rindu



selama aku mencari, selama aku menanti
bayang-bayangmu di batas senja
matahari membakar rinduku
ku melayang terbang tinggi

bersama mega-mega, menembus dinding waktu
ku terbaring dan pejamkan mata
dalam hati ku panggil namamu
semoga saja kau dengar dan merasakan

getaran di hatiku yang lama haus akan belaianmu
seperti saat dulu saat-saat pertama
kau dekap dan kau kecup bibir ini
dan kau bisikkan kata-kata aku cinta padamu

peluhku berjatuhan, menikmati sentuhan
perasaan yang teramat dalam
telah kau bawa segala yang ku punya
rindu ini telah sekian lama terpendam

getaran di hatiku yang lama haus akan belaianmu
seperti saat dulu saat-saat pertama
kau dekap dan kau kecup bibir ini
dan kau bisikkan kata-kata yeah aku cinta
kepadamu ooh kepadamu ooh

Sep 7, 2011

Hujan Sudah Turun

Hujan tiba-tiba mencurah-curah membasuh bumi yang kotor dan berdebu. Lebat juga. Alhamdulillah. Sekurang-kurang hilang sedikit debu-debu yang menumpang lekat pada kereta. Terakhir 'dimandikan' kereta itu, jumaat sebelum raya. Mandi sakan sebab kemudiannya hendak didiamkan di tempat letak kereta betul-betul depan pintu dapur yang mengadap ke hadapan rumah. Siap berselimut lagi.

Kenapa begitu?

Sebabnya ringkas, malas hendak berebut tempat meletak kereta. Di rumah saya, yang betul-betul dinamakan porch yang stand alone cuma ada satu dan muat untuk satu kereta sahaja. Biasanya kereta ayah akan menguasai tempat itu. Manakala di hadapan rumah, porch berbumbung yang betul-betul depan pintu rumah macam kebanyakan design rumah teres sekarang, ada tiga ruang. Ruang depan pintu ruang tamu, tempat biasa En.Elly saya. Depan pintu dapur itu, Si Kancil biasanya di situ. Paling tepi di bawah awning metal deck, biasanya penuh dengan basikal-basikal kecil dan besar, dan juga motor-motor.


Kekadang orang tengok pun pelik, kenapa banyak sangat basikal-basikal kecil dan besar tu. Padahal kat rumah cuma ada Aisya seorang budak kecil. Yang lainnya berkereta dan bermotor ke sana ke mari. Ya tuan-tuan, puan-puan.. itulah penangan ada cucu-cucu yang petang-petang hari suka berkumpul beramai-ramai di rumah tokki dan neneknya untuk bermain basikal. Maklumlah rumah diorang betul-betul tepi jalan raya.

Ok, berbalik kepada cerita berebut parking tadi. Kebetulan raya ni, abang saya yang tinggal di Pasir Gudang, giliran dia di sini dulu. Adik saya dari KL pun macam biasalah, memang jarang melepaskan peluang balik kampung. Maka akan ada pertambahan dua buah kereta di situ. Sesekali akan bertambah lagi satu apabila kakak yang tinggal tidak jauh, tetapi selalu bertandang itu, muncul. Kebetulan pula saya telah menyediakan hampir ke semua stok untuk masak-memasak pada hari raya nanti. Dan kebetulan juga, saya hendak mencuba kereta baru adik. Jadi ada apa-apa nanti, saya drive jer kereta baru itu. Hehe.. Bila lagi kan. Lagipun, Si Kancil yang dah mati road tax itu ada kalau setakat hendak ke pasar Kedai Buluh.

Saya tidak larat hari ini. Belakang leher terasa sakit dan lenguh-lenguh. Harap-harap tidak melarat. Sudah lama sungguh saya tidak membawa diri ke klinik sebenarnya. Mungkin sudah setahun. Kalau menjenguk pun, sekadar membawa tokwan ataupun mak yang sakit-sakit tua. Alhamdulillah, Aisya juga sangat jarang demam. Jarang-jarang sahaja batuk atau selsema yang tidak melarat.

Sudah 3 hari mak ke Kuala Lumpur, mengikut adik yang pulang selepas raya isnin lepas. Tinggal saya, ayah, adik dan Aisya sahaja di rumah. Bila mak tak ada, segala kerja-kerja dapur automatik terjatuh atas bahu saya. Sampah sarap, semut yang bermaharajalela atas meja, periuk kuali yang perlu disental, ikan yang perlu disiang, makan malam ayah yang konvensional, serai yang perlu dicabut dari pokoknya, halia dan lengkuas yang perlu dikorek, dan macam-macam lagi. Ya.. itu senarai yang jarang saya hiraukan. Biasanya itu semua kerja mak, manakala saya bahagian masak-memasak, goreng-menggoreng, tumis-menumis, siang sayur, bawang, dan sediakan segala rempah ratus. Masak nasi pun biasanya bukan bahagian kerja saya. Hehe..

Panjang la pulak celoteh saya hari ini di sini. Gara-gara hujan yang mencurah bersama idea ke kepala. Sedangkan dua tiga hari lepas, ada sahaja idea untuk menulis datang tetapi masa untuk mengadap laptop di rumah tidak ketemu. Nanti bila dapat menyusun masa lebih teratur, akan bertandang lagi ke sini bersama entri baru.

Salam. Jaga Diri.

Gabungan Draf-Draf Terdahulu

Assalamualaikum...

Ya, Nampak sangat kan sekarang aku sudah tidak punyai idea lagi untuk menaip entri. Aku taip skit, kemudiannya aku berhenti dengan niat nanti akan disambung lagi. Tapi kemudiannya itu tidak datang-datang sehingga entri tersebut masuk ke tong draf. Maka hari ini aku berniat pula nak gabungkan draf-draf tu semua jadi satu entri. Tidak pasti ini pun akan dipublish atau tidak nanti.


 


 

Tak Puas Cuti Raya – 4/9/2011

Cuti raya seminggu sudah tamat semalam. Hari ini pagi-pagi bangun bersiap untuk menghantar Aisya ke sekolah dan kemudian balik semula melayan makan pagi biskut dan kek raya. Nasi lemak ada tapi tidak teringin pula. Kemudiannya baru bersiap-siap tukar baju (sarungkan jubah sahaja tadi), sapu bedak, gincu semua, pakai tudung , sambil melayan anak saudara yang paling kecik.

Oh yer, bercakap pasal biskut raya, tahun ni paling banyak aku buat biskut raya. Seingat aku, aku pernah buat pengakuan dulu di sini bahawa aku adalah seorang yang tidak pandai buat biskut. Nasib baik sahaja, akan sedaplah biskut yang aku buat. Tapi nasib baik itu jarang munculnya.. T__T

Biasanya keras macam batu baling ke dinding pun tidak pecah barangkali. Ibaratnya begitulah. Tak pernah la lagi aku baling biskut yg aku buat ke dinding.


Tahun ni biskut raya yg aku buat 'ok' belaka. Ok jer la, nak kata sedap kan ibarat masuk lift tekan sendiri. Semua resepi adalah hasil pencarian membuat research di internet, di blog-blog masakan yang melambak. Aku print siap-siap letak kat dapur, sekali dengan resepi-resepi lauk-pauk dan kek-kek yang biasanya aku simpan. Bila tak ada idea nak masak apa, aku akan godek-godek resepi dalam laci tu atau belek-belek buku masakan yg bertambun. Bila dikatakan research, memang betul-betul aku buat research, siap dengan praktikalnya sekali bukan teori semata. Contohnya aku akan buat comparison antara beberapa resepi Biskut Samperit, apakah perbezaan Biskut Dahlia dan Biskut Bunga Cina, dan kalau untuk Biskut Suji, adakah memang wajib kita letak minyak sapi. Sebab itulah untuk raya ini ada beberapa jenis Biskut Samperit dan Biskut Suji aku buat. Testing punya pasal.

Tentang cuti, memang la fitrah manusia, tidak pernah puas dengan apa sahaja. Kalau dah mula bercuti, akan terasalah ketidakpuasan hati untuk memulakan hari-hari bekerja semula walaupun dah cuti seminggu dan kerja-kerja pejabat menambun di meja. Macam aku sekolah dulu-dulu (masa tingkatan 1 hingga 3), aku tidak suka Khamis dan Sabtu. Khamis, sebab esoknya cuti sedangkan aku sedang berseronok ke sekolah setiap hari, dan Sabtu sebab esoknya sekolah sedangkan aku sedang seronok tidak ke sekolah. Hahaha... Sungguh, itu yang aku rasa. Tapi bila dah kerja, hari Khamis adalah hari yang paling ditunggu-tunggu. Hehe..


 


 

Terakhir Sebelum Syawal – 25/8/2011 (Khamis)

25 Ramadhan 1432 Hijrah, entri terakhir sebelum Syawal menjelang. Kalau dah sebulan Ogos pun hanya ada beberapa entri sahaja di sini, apatah lagi hujung-hujung Ramadhan ni kan. Hehe... Entah kenapa sepanjang Ramadhan, setiap hari pun boleh dikatakan tekan new post, kononnya nak taip entri baru. Adakalanya taip separuh, kemudian terbengkalai hingga petang. Tapi biasanya, kosong begitu sahaja hingga akhirnya pangkah jer laman tu. No idea sangat-sangat... tak tahu kenapa. Kemarau idea barangkali.

Entri ini sebenarnya untuk membuat ucapan hari raya. Aku nak mengucapkan selamat hari raya kepada semua pengunjung blog ini yang beberapa orang sahaja ini, samada yang kenal aku ataupun tidak. Manalah tahu sekiranya ada ayat-ayat aku di sini yang mengguris hati kalian tanpa sedar aku. Ataupun tuturkata aku yang menikam hati kalian tanpa niat (bagi yang kenal aku). Memang setakat ini, tak pernah lagi aku berniat nak sombong, nak tikam belakang, nak berkurang ajar, atau berselisih faham dengan sesiapa. Kalau aku terbuat tanpa niat, maafkan aku, zahir dan batin. Semoga hari-hari kalian sentiasa di sinari cahaya kebahagiaan.


 


 

Banyak – 22/8/2011 (Isnin)

Memang banyak lagi.

Bukannya apa, bila semua dah balik kampung dengan anak-anak dan suami atau isteri masing-masing, rumah akan menjadi kecoh yang amat. Kekecohan yang jarang-jarang itu memang sekejap-sekejap meriah juga. Tetapi bila dah berlama-lama menjadi kesusahan juga pada penghuni tetap rumah di kampung. Lebih-lebih lagi bila dah dekat nak sambut hari raya ini.


Langsir nak kena gantung. Rumah perlu kemas dan tidak bersepah. Majalah-majalah, buku-buku yang banyak-banyak itu, nak kena simpan betul-betul. Halaman kena sapu, sampah sarap kena bakar. Hari pula, ada dua hari sahaja di hujung minggu. Mana nak buat biskut raya lagi, nak menjahit manik dekat baju raya Aisya lagi. Itu, bilik air tu.. kena berus dan sental kasi berkilat. Lepas tu, petang-petang kena memasak. Fuhhh.. letih memang letih. Tapi sebelum rumah penuh dengan anak-anak saudara dan mak bapak diaorang, lebih baik selesaikan semuanya dulu.


Tapi, itu lah, ada dua hari sahaja kosong di hujung minggu.

Dalam dua hari kekosongan di hujung minggu itu, aku masih sempat menyiapkan jahitan manik di lengan baju Aisya, untuk dua pasang. Ingatkan nak jahitkan untuk lengan baju kurung hitam aku juga, tapi sehingga ke hari terakhir sebelum raya, banyak sangat aktiviti memasak menyebab masa cukup singkat untuk mengadap baju. Cantik jugak jahitan manik aku. Hehe.. belajar sendiri2 dengan tengok di internet dan anak jiran buat. Nanti aku ambik gambar dan upload kt sini. Bye.


 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...