Iklan

Dec 31, 2008

Pengakhiran 2008 yang 'Huh.. aper ni!'

Bismillahirrahmanirrahim...

1. Pagi tadi aku bangun awal dari biasa. Aisya juga bangun serentak dengan aku. Kemudian kami solat subuh bersama, untuk pertama kalinya. Ketika aku mandi, Aisya tolong menggosok baju kurung yang dah aku keluarkan dari almari untuk dipakai ke pejabat. Semuanya ok jer. Sampai di pejabat, buka pc, log-in ym, dan itulah permulaan kepada hari 'kureng' aku. Sebabnya, isu yang sangat kecil! Dan ianya merosakkan seluruh hari aku sepanjang hari terakhir 2008 ini.

2. Hampir tengahari, aku tiba-tiba diserang sakit perut lagi. Sehingga meleleh-leleh air mata menahan sakit yang sekejap. Bila dah lega, aku berbual-bual dengan kawan tentang sakit aku itu. Dan kesimpulan yang dapat dibuat, mungkin aku kena 'medu'. Aper tu? Aku sendiri musykil, tapi aku gambarkan ia sebagai sakit akibat angin yang banyak di dalam perut. Langkah yang perlu aku ambil, aku perlu jaga waktu makan! Tak nak risau-risau dan fikir banyak pasal ini.

3. Hari ini, aku makan tengahari dengan nasi kukus, dan aku makan sampai licin satu bungkus! Haa... kawan-kawan yang rapat tahu sangat apa yang berlaku. Aku hanya makan sampai licin seperti itu bila aku tengah tertekan, tengah hendak marah, bercakap cam orang tidak betul, gelak-gelak dengan lawak bodoh, etc, etc. Maksudnya disini aku akan makan banyak bila aku 'tension'.

4. Petang, aku silap tulis cek! Pagi tadi boss telah meninggalkan sekeping cek kosong kepada aku untuk diberikan kepada subkontraktor dengan jumlah yang akan aku bincangkan dengan subkontraktor itu. Bagaimanapun aku perlu mendapatkan persetujuan jumlah itu terlebih dahulu dengan boss. Selepas aku berbincang, dan mendapatkan persetujuan boss, entah macamana aku tersilap menulis jumlah yang boss luluskan. Aduhh... Geram betul. Mujur selepas berbincang dengan staff lain sekejap, kami mendapat penyelesaiannya tanpa perlu merujuk kepada boss. Lega!

5. Aku masih belum membeli hadiah untuk hari jadi Aisya esok! Dan aku masih tidak punya idea apa yang perlu aku hadiahkan kepada dia kali ini.

6. Aku rasa aku tidak berbuat salah dan tidak perlu meminta maaf. Aku cuma meminta sedikit masa (yang hanya paling lama pun satu jam!) untuk 'cool down'. Itu jer. Tapi aku rasa sangat tidak selesa bila dia terus senyap dan menghilangkan diri. Hmmm.. mungkin dia juga perlukan masa untuk 'cool down'.

7. Selamat tinggal 2008 yang banyak kisah duka, dan selamat datang 2009 yang tidak aku harapkan apa-apa...

Dec 30, 2008

Sepanjang perjalanan

Bismillahirrahmanirrahim..

Hari khamis lepas 25hb Disember 2008. Hari jadi seseorang (yg aku ingat) atau mungkin 2, 3 orang (yg aku lupa), hari aku bertolak ke Parit Sulong, Bt. Pahat, hari hujan kembali ke terengganu, hari krimas dan macam-macam lagi yang aku dah lupa. Sepanjang perjalanan ke Johor, sebaik bertolak dari rumah jam 8.30 pagi dengan 2 buah kereta (abang sekeluarga satu kereta), hujan turun mengiringi perjalanan kami. Sekejap lebat, sekejap renyai-renyai sahaja. Tetapi hujan tidak berhenti. Sehinggalah kami memasuki lebuhraya pantai timur sekitar kawasan kuantan, hujan baru teduh. Seorang kawan menghantar sms, tetapi kerana aku sedang memandu, aku tidak membalas sms itu sehinggalah aku bertukar memandu dengan ayah di sekitar Chini ketika berhenti untuk makan tengahari dan solat. Ketika menyambung perjalanan, ayah memandu dengan emak duduk disebelah. Aku dengan Aisya, dibelakang dan aku mengambil peluang berbalas sms dengan kawan itu.

Kami berbicara melalui sms itu tentang nafkah anak. Nafkah yang sepatutnya diberi oleh seorang ayah kepada anaknya, yang bukan didalam jagaan si ayah. Mengikut kemampuan, keperluan dan keadaan, yang mana perlu didahulukan. Kemampuan si ayah untuk memberi nafkah mengikut keperluan dan keadaan si anak. Keperluan si anak mengikut kemampuan yang menanggung dan keadaan semasa. Atau keadaan seperti lokasi dan kesihatan si anak yang mengatasi kemampuan dan keperluan.

Aku tahu, setiap ibu dan ayah pastinya menginginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tetapi, pastinya yang terbaik itu mengikut kemampuan masing-masing. Dan kemampuan itu pula disini lebih kepada duit, kewangan atau ekonomi. Pada zaman sekarang, aku sangat tidak hairan sekiranya manusia berkejar-kejar untuk yang satu itu. Aku juga tidak hairan manusia sudah hilang pertimbangan kerana itu. Banyak buktinya di mana-mana kita boleh lihat. Membesarkan Aisya juga, aku memerlukan itu.

Mujurnya, aku sekarang masih di sini. Di negeri yang digelar negeri cantik budaya menarik ini. Aku disini, di negeri tanah kelahiranku. Menetap bersama-sama mak dan ayah, dan tidak perlu memikirkan tentang duit sewaan di setiap akhir bulan.

Mujurnya juga aku pernah merasa pengalaman menetap di bandaraya Kuala Lumpur. Dari tahun 1999 sehingga 2003, cukup memberikan aku pengalaman yang tidak dapat dikutip di mana-mana. Jadi aku dapat membuat perbezaan yang sangat jelas aku sendiri rasakan ketika mula-mula kembali pulang ke sini.

Kemampuan untuk kesenangan hidup itu berbeza disini dan disana. Aku tidak mengatakan yang aku senang disini, tetapi aku menekankan aku menikmati hidup disini biarpun ada waktu 'sakit' itu tetap mengundang. Kemampuan itu pula bergantung kepada persekitaran dimana kita bernafas, dimana rezeki ditumpahkan kepada kita dan dimana kita menginginkan yang terbaik itu untuk anak kita.

Dan kemampuan itu juga bermakna, duit itu boleh dicari.

Dec 23, 2008

Sindrom tidak yakin pada diri sendiri ke begini?

Bismillahirrahmanirrahim..

Pernah tak konfius dengan diri sendiri? Kita rasa apa yang kita cakap dah sememang sangat betul dan tepat. Akan tetapi, tiba-tiba kita diberitahu sebaliknya. Dan kemudian kita terfikir 'Betul ker aku luper? Rasa-rasanya aku memang ingat lagi benda tu?'. Kerana tidak mahu bergaduh, kita diam. Kita pujuk hati kita, 'Mungkin betul kot, aku lupa'. Mungkin aku dah semakin pelupa sekarang seiring dengan peningkatan usia. Bagaimanapun bila kita kembali mengingati balik secara terperinci atau mencari bukti-bukti samada betul ke kita dah lupa, kita dapati yang kita sebenarnya betul! Kita tidak lupa dan apa yang kita katakan adalah benar belaka. Dan selepas itu, kita seperti tidak mampu untuk memberitahu kebenaran itu.

Dolu2, aku ingat aku seorang jer cam tu. Tapi kemudiannya aku dapatii bukan aku seorang yang begitu bila pernah beberapa orang kawan mengadu cerita yang hampir sama.

Sindrom apa ni agaknya yer?

Dec 22, 2008

Hilang selera makan

Rasanya dah hampir sebulan makan minum tak menentu. Sejak bila sebenarnya tidak pasti. Yang pasti, breakfast semestinya jarang miss! Dan biasanya, makan sampai habis la jugak. Roti canai ker, nasi minyak ker, nasi lemak ker. Tapi, tidak sejak kebelakangan ini. Sememangnya rumah memang tak makan aper. Minum jer, tu pun kekadang air masak jer sebab tak terasa nak minum air manis. Jadi, bila sampai di pejabat perut mula melagukan lagu keroncong. Kekadang lewat juga sekiranya boss masuk pejabat dulu sebelum sempat turun breakfast. Tapi kekadang boss tak masuk pun.

Alkisahnya, makan la dua, tiga mulut apa-apa jer..kemudian mula rasa tak berselera. Minum air seteguk dua, pastu naik buat kerja. Tengahari, memang jarang makan. Kalau lapar sangat, beli la apa-apa. KFC ker, kuey teow goreng ker. Makan juga dua tiga suap. Aduhh.. pembaziran duit dan makanan berulang lagi disitu. Sampai ke petang, langsung tak isi aper-aper dah perut ini. Tapi, siapa yang boleh hidup dengan cara makan sebegitu!? Antara waktu makan tu, memang sah-sah aku tak makan apa, kecuali minum mineral water. Malam sampai di rumah, baru aku makan banyak sikit. Mula dengan sesenduk nasi sebab takut tak habis. Tapi, akhirnya tidak bertambah lagi.

Kenapa agaknya yer, hilang selera makan ini berlaku? Hmm... kalau nak kena fikir, makin bertambah hilang selera makan aku karang. Yer la, duk fikir menda ni sampaikan lupa nak makan! Lagipun, bukan ker ok jugak sebab dah turun 2kg. Tapi.. betul ke alat penimbang tu? Hmm..

Dec 21, 2008

Pening. Lega. Ragu-ragu.

Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi.
Aku pening. Walaupun serba sedikit dah bersedia untuk kena 'serang', tetap rasa cam 'arghhh...!'. Sakit kepala dari semalam tak lega-lega. Lepas beberapa kali mesyuarat bertukar waktu kerana kekeliruan pihak klien, akhirnya aku sempat menelan 'Actifast' sebiji semasa dalam perjalanan ke tapak projek. Sampai di sana, sakit kepala tak juga hilang. 'Apesal la aku telan sebiji jer tadi..', aku dah merungut sendiri. Tapi, itulah. Aku biasa makan panadol sebiji jer sekali telan. Mesyuarat penyerahan bermula jam 11.15 lebih kurang, sehingga jam 12.30 tengahari. Dan ianya berjalan sangat lancar. Langsung tidak seperti yang aku sangkakan. Aku gembira juga, biarpun ada serba sedikit lagi kerja yang perlu dilakukan berikutan penyerahan projek ini. Tetapi sekurang-kurangnya, satu beban berat yang aku rasa terletak atas bahu aku (and of cos my boss and colleagues), cam ringan sikit.

Tengahari.
Lepas lunch dengan Duan, Nur dan Zahari, kami (aku dan Nur) pulang ke pejabat. Itu adalah lunch yang terakhir dengan Duan sebelum dia menjadi pekerja kerajaan. Dia telah resign, dan akan bertolak esok ke Kuala Lumpur untuk menjadi warga Kuala Lumpur (sesuatu yang sangat berat untuk dia lakukan - dia bersungut acap kali tentang itu kepada kami) dan meneruskan karier dengan sektor kerajaan. Meninggalkan kehidupan yang aman dan tenang di sini, untuk mengharungi hidup di kota yang sesak, dan sebak itu. Siapa yang sanggup dengan sepenuh hati? Lainlah bagi sesiapa yang tidak pernah merasa kehidupan sebegitu. Mungkin sukar untuk membayangkannya. Well Duan, life must go on.

Petang.
Tetiba aku rasa sunyi. Biarpun Nur ada, Ain ada. Aku rasa seperti tidak tahu apa yang perlu aku buat. ISO tak siap lagi sebenarnya. Tapi, aku tetiba seperti keseorangan.

I feel lonely.. here.. deep in my heart. Why...

Dec 19, 2008

Kenapa 'It's complicated'

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku rasa semua orang yang biasa dengan Friendster, Facebook, Tagged, dan lain-lain yang sewaktu dengannya pada zaman internet yang serba ada ini, biasa bertemu dengan status 'It's complicated', kan.

After we fill the name, name to be display, date of birth, location and all that, we will come to the box 'status'. And we just need to select sama ada we are single or married or divorcee or 'it's complicated', atau segala bagai yang lainnya.

As for me, biasanya aku lebih selesa memilih 'It's complicated'. Aku ada alasan tersendiri untuk itu sebenarnya. Tapi, sebelum ini tak pernah lagi ada orang yang bertanya, why 'it's complicated'? What does it mean by 'it's complicated'? Are u actually single or married? Selama ini orang tak kisah pun!

But, in this few days, ada beberapa orang bertanya. Orang yang tidak aku kenal dan hanya bertanya melalui messages yang dihantar. Biasanya, sesiapa sahaja menghantar messages kepada aku, melalui all those kind of social networking, aku akan reply walaupun just to say ok, tq, yes, no, and etc. etc. Jadi, kali ini aku yang ada masa rajin ni, balas la pertanyaan diaorang tu serba sedikit.

Kenapa 'it's complicated'? As for me, kenapa aku pilih status 'it's complicated' tu banyak sebabnya dan alasan aku yang tersendiri. Kalau orang lain, aku tak tahu dan tak peduli pun. Pada pandangan aku, 'It's complicated' diletakkan disitu sebagai salah satu pilihan bagi sesiapa yang keliru barangkali dengan perhubungan yang sedia ada. Mungkin ada perhubungan yang rapat tetapi tidak punya perancangan ke arah penukaran status kepada 'married'. Mungkin ada rasa cinta pada seseorang, tetapi keraguan mungkin bertepuk sebelah tangan itu juga ada. Mungkin juga tidak pasti dengan perasaan sendiri di dalam sesuatu perhubungan. Mungkin juga, sesetengah orang memilih status itu untuk menyembunyikan kenyataan kerana alasan-alasan yang tersendiri. So, it's complicated. Sebagaimana cantik itu subjektif, cinta itu juga subjektif. Itu pendapat aku la.

Tapi dari apa yang aku faham itulah, aku menerangkan kenapa 'it's complicated' yang menjadi pilihanku untuk memberitahu status aku. Lebih daripada itu, kena faham sendirilah. Yes, i am single, but 'it's complicated' is more suitable to describe my real situation.

Dec 17, 2008

Ruang impian

Bismillahirrahmanirrahim.

Sudah beberapa hari aku terfikir untuk mengubah rupa pandangan blog ini. Akan tetapi ianya masih tidak seperti yang difikirkan. Yer la, kalau dah fikir tu, tapi tak buat, memang la tak jadi apa. Sebenarnya masa masih belum mengizinkannya.

Ok, topik hari ini, ruang impian. Ha..ha..ha.. Macam budak-budak sekolah pulak. Yer la, nak menulis pasal bercinta dengan suami orang, aku tak berani. Walaupun aku mungkin tak kenal dan tak tahu pun siapa yang menjenguk blog ini, aku tetap belum bersedia untuk menulis tentang itu. Walaupun aku juga tahu setiap orang punya pandangan dan pendapat masing-masing, aku tetap belum banyak idea untuk menulis tentang itu. Jadi, bagaimana agaknya ruang impian anda yer?

Ini gara-gara tadi la ni. Ketika mengemas bilik selepas isyak tadi, aku rasa ruang untuk meletakkan majalah-majalah yang bertimbun itu sudah tidak mengcukupi. Begitu juga ruang untuk buku-buku Aisya. Rak buku dia sudah penuh! Itu belum lagi masuk darjah 1. Kalau dah masuk darjah 1, entah banyak mana lagi buku-buku dia agaknya. Majalah yang bertambah setiap bulan itu juga memerlukan ruang. Walaupun banyak majalah lama sudah diasingkan (diletakkan di dapur), masa terus bergerak bermakna majalah baru tetap menjadi majalah lama.

Jadi ketika berkemas tadi, aku berbunyi kepada mak, 'Nampaknya kita perlu ruang baru untuk buku-buku Aisya dan majalah-majalah mama ni'. 'Kita' itu merujuk kepada aku dan Aisya. 'Mama rasa kita kena buat bilik baru kat sebelah bilik kita ni la Aisya'. Emak hanya tersenyum. Itu permulaan cerita sebenarnya untuk mak. Supaya selepas ini aku lebih mudah membicarakan hal itu dengan lebih lanjut. Begitulah biasanya yang aku lakukan. Memberi tanda-tanda dan bayangan akan sesuatu dahulu kepada mak, dan bila punya masa yang sesuai, baru bercerita apa sebenarnya yang aku inginkan.

Aku memang pernah terfikir tentang itu. Bilik tambahan di tepi bilik aku yang sedia ada. Ianya tambahan seperti ruang tamu tambahan yang sediada sekarang. Berdinding bata dan lantai konkrit di atas tanah. Jadi, ianya boleh menempatkan rak-rak untuk buku-buku dan majalah yang banyak ini. Sebenarnya lebih kepada perpustakaan. Ataupun ruang membaca dan ruang kerja juga barangkali. Itu sekiranya rumah ini la.

Kalau rumah sendiri, aku punya impian lain. Impian yang lebih indah..hehe..

Sakit perut.

Aku tahu ada orang yang perasan aku gembira semacam hari ini. Dari nada suara, dari wajah, dari cara chatting barangkali, aku tahu dan sedar sesetengah orang yang rapat dengan aku sangat cepat menangkap kegembiraan atau kedukaan aku.

Tapi, aku sakit perut hari ni! Dan aku rasa, mungkin nak kena gastrik lagi kali ini. Aku sangat tidak menjaga makan minum aku sejak kebelakangan ini. Selesa sangat kurang. Dah la aku mengalami 'anjakan paradigma' lagi.

Lepas makan petang tadi, aku sangat sakit perut. Sesekali jer sakit itu datang. Tapi yang sesekali itu membuatkan aku hampir tidak boleh bergerak. Hampir jam 5 petang, baru hilang kesakitan itu.

Malam ini, selepas makan malam, sakit itu kembali datang. Dan aku membuat keputusan analisa sendiri yang perut aku sangat kosong dan penuh angin. Jadi bila aku makan, angin di dalam perut itu bergerak-gerak. Itu yang sakit sangat tu. Hampir sejam aku relaks, melayan Hlovate sambil menahan sakit perut yang sesekali mencelah itu. Akhirnya ianya hilang begitu sahaja.

Aku sebenarnya tak pasti keputusan analisa sendiri itu betul atau tidak. Tetapi aku sangat pasti, aku kena pergi check-up minggu depan. Sepatutnya aku pergi check-up bulan lepas, tapi aku malas! Kan dah sakit..

Dec 15, 2008

Isnin yang luar biasa

Bismillahirrahmanirrahim..

Malam ini aku mengadap komputer sambil diiringi lagu-lagu daripada 'Separuh Akhir Muzik-Muzik Pop Rock' dari Youtube. Kenapa aku mendengar satu persatu lagu-lagu yang dicalonkan, kerana seorang teman telah menujukan lagu Sofaz kepada aku pada hari rancangan itu disiarkan di tv hari jumaat lepas. Aku terlupa untuk menonton rancangan itu dan ketika aku membaca sms menyatakan 'lagu sofaz itu saya tujukan kepada awak', aku telah terlepas rancangan itu. Memandangkan beberapa hari sebelum malam ini merupakan hari yang perit untuk aku, aku tidak berpeluang untuk mendengar lagu itu. Dan malam ini baru aku punya masa itu. Sofaz, tajuk lagunya 'Bukan Disini'. Hmm.. rasanya tidak perlu difikirkan secara serius. Aku membiarkan lagu-lagu seterusnya menyapa halwa telingaku sambil aku meneruskan entri ini.

Kenapa aku mengkategorikan hari ini sebagai 'isnin yang luar biasa'? Hari ini bermula dengan baik dan berakhir dengan baik sebenarnya. Akan tetapi, di antara yang baik-baik itu, aku melalui hari ini dengan banyak perkara yang agak luar daripada biasa. Maknanya, apa yang berlaku diluar daripada kebiasaan.

(Entri berikut ini adalah salinan daripada tulisan tangan di atas kertas kajang.)

12.10 pagi.
Tak sangka pulak menulis disini (di atas kertas). Laptop rosak, dan waktu-waktu camni malas nak on desktop pc. Sejak 11.30 tadi berbaring. Sambung baca '5 Tahun 5 bulan - Hlovate' bab 34 mukasurat 250. Hanyut seketika ke Aberdeen bersama-sama Johanna dan ceritanya. Dah lewat. Esok kerja. Esok juga 'sebutan ke-2'. Kena tidur dah sepatutnya ni. Tapi takut plak terfikir-fikir camner esok, hal tadi, hal dia dan semua la! Perut pulak, apasal rasa tak selesa sangat ni! Cam masuk angin jer. Apa aku makan tadi ek? oh yer, Fish & Chips, dan Bean's Cappucino. Sikit jer habis, selebihnya bungkus bawak balik untuk Aisya sebab sayang untuk membazir. Itu jam 8 lebih tadi. Siang tadi, lunch dengan paha ayam KFC separuh daripada seketul. Dan jam 3 lebih, turun makan sebab rasa lapar. Nasi goreng mamak, sesuku jer daripada sepinggan penuh. Patut la masuk angin. Bangun jap, sapu losyen Mustajab. Ok kot kejap lagi.
Ok la, sambung esok la 'Johanna dan Aberdeen. Rasanya tak sempat fikir-fikir panjang dah ni. Harap-harap terus lena. Lights-off 12.25 pagi.

(Tamat salinan semula)

Kononnya terus nak lena la lepas tu. Pusing kiri, pusing kanan. Pejam mata, gelap jer. Tapi apesal cam terbayang-bayang jer sungai itu? Sungai yang lebar itu, dengan tebingnya yang tinggi. Ada kerusi batu di tepi sungai itu. Menelentang pula. Apesal tak lena lagi ni? Tiba-tiba, tik! tik! tik! tik! Ada bunyi seperti sesuatu sedang menitik. Cicak berak? Takkan banyak sangat. Atap bocor? Tak hujan pun ni. Isshh.. aku memang seram kalau bab-bab bunyi dalam gelap ni. Zupp.. cepat ajer aku petik suis lampu. Terang benderang bilik. Bulat mata aku cari apa yang berbunyi. Ooo.. rupa-rupanya cengkerik, diselaputi sarang lelabah. Jadi tak boleh terbang lagi. Melompatlah ia di atas lantai tepi pintu. Memandangkan aku memang alergi skit dengan binatang kategori serangga ni (yer ker?), aku terpaksa ambik majalah lama dan..'pap!'. Sorry!

Masa tu jam dah pukul 2.30 pagi. Lepas tu, terus tak boleh lena lagi. Aku tak tahu nak buat aper. Aku sambung baca '5 Tahun 5 Bulan' dan hanyut bersama-sama Johanna ke Aberdeen.

Ishh.. awat mata ni! Tak nak ngantuk lagi. Aper nak buat ni ek? Nak buka pc dan ngadap internet, takut ayah dan mak terjaga karang. Pc tu ada kat luar, ruang antara bilik aku dan bilik mak. Laptop rosak. Orang, biasanya waktu-waktu camni kalau tak boleh tidur mesti solat tahajjud,kan. Tapi, aku rasa aku tak lena walaupun sepicing lagi. Akhirnya jam 4 pagi, aku bangun ke bilik air diluar. Ambil wuduk. Kemudian solat sunat taubat dan hajat. Aku bukannya baik sangat. Lama sangat tak solat sunat ni. Aku juga bukannya baik sangat, jarang memohon apa-apa dengan-Nya. Tapi, aku juga tidak mahu sombong dengan-Nya. Aku selalu keliru, selalu serba salah. Awal pagi itu, aku hanya memohon, Ampunkan dosa-dosaku, dan permudahkan urusanku.

Selepas solat, aku kembali baring. Terkebil-kebil merenung siling putih. Aku sempat mendengar azan subuh sebelum aku terlena sebentar, dan kembali terjaga jam 6.15 pagi apabila alarm di hp pula berbunyi. Bangun, mandi, solat subuh, dan bersiap-siap ke tempat kerja dalam keadaan perut kosong dan sangat tidak selesa.

Jam 8 pagi, aku sudah di atas kerusi di bilik aku dipejabat. Cuba berbuat sesuatu, tetapi nampaknya segala yang disentuh serba tidak kena. Jantung berdebar semacam. Kepala pun macam tidak betul. Aku ajak kedua-dua Nur dan Ain makan sebelum jam 8.30 pagi. Turun ke kedai mamak, aku memesan teh halia dan roti telur. Kononnya untuk membuang angin dalam perut yg sangat kosong, dan memberikan sedikit tenaga. Tetapi aku hanya mampu menjamah 2 cebisan roti telur itu, dan 2 teguk air. Aku rasa nak pengsan tapi aku tahu, aku tetap kena sampai ke tempat yg hendak di tuju.

Dipendekkan cerita, jam 11 pagi lebih, segalanya selesai dan aku sangat berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat. Hilang segala rasa letih aku, dan tidak sabar aku nak bercerita keputusan hari ini kepada orang-orang yang penting dan tahu dari awal cerita ini. Tetapi, ada urusan kerja dulu yang perlu diselesaikan.

Kerja-kerja-kerja.. Itu biasa, kan. Lebih-lebih lagi sekiranya ada masa yang perlu dikejarkan. Dalam sibuk bekerja, aku sempat bercerita kepada beberapa orang penting itu. Tetapi cukup tidak lancar. Sekejap sekejap boss tepon. Sekejap sekejap supplier tepon. Baru jer nak sambung cerita, boss tepon lagi.

Bagaimanapun, aku suka dan gembira. Tuhan perkenankan doa aku yang sangat jarang meminta ini, dan aku sangat perlu menghargai-Nya. Alhamdulillah..

Dec 13, 2008

Pertengahan bulan akhir 2008

Bismillahirrahmanirrahim..

Insya-Allah, selepas ini setiap entri baru akan dimulakan 'Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani'. Amin...

Penghujung tahun 2008, banyak berkisar tentang kerja dan kes peribadi yang sedang berjalan dimahkamah. Itu yang paling memeningkan kepala. Kerja, dengan persediaan mendapatkan ISO 9001:2000 tu. Kes itu, dengan persediaan emo! Itu tidak ditambah lagi dengan kerja-kerja lain. Dan persediaan untuk persekolahan Aisya tahun depan.

Oh yer, semalam sebagaimana dirancang malam sebelum, kami dah bersiap awal-awal untuk keluar. Membeli-belah untuk persediaan Aisya masuk darjah 1 dalam 2 minggu lagi. Aisya sebenarnya baru 6 tahun pada 1hb. Januari 2009 nanti. Tetapi, sebagaimana yang dimaklumkan kepada aku, sistem persekolahan di Malaysia telah menetapkan bahawa sesiapa yang lahir pada 1hb. Januari setiap tahun akan dikira lahir tahun sebelumnya. Bermaksud, mereka ini dikira berumur 7 tahun dan layak untuk masuk darjah 1. Sekiranya tidak, mereka ini akan menghadapi masalah setiap kali hendak mendaftar untuk peperiksaan-peperiksaan utama, seperti UPSR, PMR dan SPM, serta ketika hendak masuk ke tingkatan 1. Contoh paling jelas telah berlaku kepada sepupu aku sendiri yang sedang berada di tingkatan 2 sekarang. Ketika hendak menghadapi UPSR dan naik ke alam persekolahan menengah, dia dikira tidak layak kerana telah 'terlebih' umur. Jadi, mak saudara aku terpaksa menghantar surat ke kementerian pendidikan membuat penerangan dengan pertolongan pihak sekolah. Memang tidak ramai yang tahu tentang perkara ini termasuk cikgu-cikgu sekolah sendiri. Aku juga tidak akan aku sekiranya tidak dimaklumkan oleh sepupu sebelah ayah yang bekerja sebagai kerani di sekolah yang bakal Aisya hadiri. Dan dia memberitahu perkara tersebut ketika melawat aku yang dalam berpantang melahirkan Aisya, hampir 6 tahun lepas. :D

Ok, aku tidak mahu menjadi kelam kabut dengan persiapan di saat-saat akhir. Dah la sudah lama sangat aku tidak melibatkan diri dalam alam persekolahan ni. Busu dah 27 tahun! Dan Aisya cucu sulung! Apa yang perlu aku beli? Yang paling penting dulu. Beg sekolah RM40.00. Beg sekolah yang digunakan ketika tadika telah rosak zipnya. Kasut sekolah putih termasuk 2 pasang stoking putih, RM34.00. Kain kapas putih dan biru gelap sebanyak 6.5 meter, RM39.00. Pen, pensil, bekas pensil, pensil kaler, crayon, pemadam, pengasah pencil, pembaris, dll. dah banyak sangat kat rumah. Akan ditambah apabila perlu sahaja. Yuran dan bukur-buku, belum diketahui jumlahnya. Kena periksa dengan sepupu, atau kawan yang anak dia pun mendaftar disekolah yang sama dan suami dia pula cikgu di sekolah itu. Apa lagi agaknya yer..hmm..

Itu baru persekolahan Aisya. Bayaran peguam pula... hmmm.. Kena cari duit lebih ni...

Dec 10, 2008

Aku kena kuat.

Aduhhh.. Pernah tak fobia dengan sesuatu? Atau trauma? Eh.. Sama ke maksud fobia dengan trauma tu? Yer la kot ek..

Kawan kepada seorang kawan, tidak berani memandu kereta kerana pernah mengalami kemalangan. Ianya tak seteruk mana, dia masih sihat walafiat secara fizikalnya. Akan tetapi dia sudah tidak berani memandu hampir seumur hidupnya barangkali. Kerana, dia sudah agak berusia. Dia terpaksa menggunakan perkhidmatan pemandu peribadi. Oleh itu, jangan ingat sesiapa yang menggunakan pemandu peribadi tu, sebenarnya seorang yang hendak berlagak semata. Barangkali ada masalah peribadi yang tidak kita jangka.

Seorang kawan yang pernah rapat pula, fobia dengan kucing. Pantang kucing mendekati, memang berterabur lari tak pijak tanah la jawabnya dia berlari. Yang paling aku ingat, dia pernah melompat ke atas kerusi dan hampir ke atas meja simen yang bulat tu, kerana takutkan kucing yang mendekat. Katanya, masa kecik dia pernah dicakar kucing.

Aku? Fobia dengan gelap barangkali. Macam pagi tadi, menggigil kepala lutut sebab terpaksa panjat dan turun tangga dari tingkat 5 dalam gelap yang teramat. Elektrik dekat kawasan tangga termasuk lif rosak. Di pejabat ok jer cerah. Aku pernah beberapa kali terpaksa melalui keadaan itu dan hampir jatuh tangga. Itu yang menggigil kepala lutut tu. Takut, tapi terpaksa melalui keadaan itu juga. Kalau tidak, perut pula akan diserang gastrik.

Lagi, fobia dengan tengkingan, atau nada suara yang tinggi (kemarahan) orang pada aku. Kerana aku pernah melalui kisah pahit yang sangat menakutkan. Dan ianya menjadi suatu trauma pada aku.

Untuk kali ini, aku sangat kena ajar diri aku untuk berhadapan dengan ketakutan itu. Aku kena lawan. Aku kena kuat.

Dec 5, 2008

Mendung

Kalau diikutkan perancangan akhir bulan lepas, hari ini aku akan bertolak ke Batu Pahat. Melawat k.su yang baru bersalin, a.yah yang seronok tak terkira menjadi abah, dan sikecil Ammar Ar Rayyan yang ditunggu-tunggu selama 6 tahun. Sepatutnya, mungkin petang ini kami sudah hampir sampai ke sana. Tapi, aku masih dirumah. Awal pagi, selepas membuka semua tingkap dibilik, aku mulakan rutin biasa dihujung minggu. Cuaca hari ini kurang menarik berbanding, semalam dan kelmarin. Sabtu lepas hujan lebat dan banjir. Ahad, tak hujan tapi matahari masih tak menyimbahkan cahaya disini. Isnin hujan lebat dan banjir datang lagi, lebih hebat dari hari sabtu sebelumnya. Selasa masih hujan sedikit-sedikit disesetengah tempat. Rabu matahari mula menyimbahkan sinar, mengeringkan karpet kereta yang sudah beberapa hari menyebarkan bau busuk kerana lembap. Baju-baju yang bertimbun mula dibasuh dan kering dijemuran. Khamis, pun begitu. Tapi, hari ini.. hmm.. kurang memberangsangkan. Mujur juga kain-kain dijemuran sempat kering. Tengahari hujan dah turun, dan terus mendung sehingga petang.

Dan begitulah bagaimana perancangan ke Batu Pahat terpaksa dibatalkan. Kut kut tersangkut dimana-mana kerana banjir, satu hal plak nanti. 'Takpe..' a.yah pernah bercakap dengan ayah begitu, apabila ayah memberitahu terpaksa menangguh kepergian ke sana. 'Semua dah selamat pun disini. Tak perlu terkejar-kejar. Nanti cuaca dah elok, datang la'. Alhamdulillah, a.yah boleh menerima.

Dan aku pula, boleh la meneruskan kerja keras menyiapkan manual dan prosedur-prosedur untuk ISO. Minggu ini terlalu banyak kerja yang mengganggu. Sehingga aku tak punya banyak masa untuk memberikan perhatian kepada manual ISO itu. Malah, semalam aku sempat bergaduh (meninggikan suara sedikit..hehe) dengan pihak klien. Aku susah nak marah dengan orang, tak reti. Tapi, kalau aku sudah marah, aku boleh memanjangkan kemarahan aku kepada orang-orang lain (supplier misalnya) yang memang patut aku marah. Marah ni, sebenarnya terapi juga tu. Sebab lepas tu, lega sikit rasa.. ;D

Awal pagi

Ini kali pertama 'blogging' di awal pagi. Semua dah tidur. Tapi, sepasang mata ini masih seronok meniti satu persatu gambar-gambar Mellysa yang cantik sangat itu. Nak bagi komen, tapi nampaknya komen yang diberi kebanyakkan geng-geng rapat dia. Nak mencelah cam tak sesuai. Nanti la, tunggu gambar terbaru dia, dan tetap nak bagi komen. Semestinya komen yang baik-baik sebab nampak sangat yang dia sangat berbakat.

Aku pun nak belajar-belajar juga 'photography' ni. Minat ada, dari dulu lagi. Malah, masa di matrikulasi 1 di SERATAS, Taiping, aku ada masuk persatuan Fotografi. Tapi, memandang aku bukannya datang dari keluarga yang senang, untuk membeli kamera itu adalah mustahil bagi aku masa tu. Maka dengan itu, menumpang la kamera-kamera teman sepersatuan untuk buat assignment. Itupun, kurang berjaya. Yer la, kamera orang. Takut plak nanti rosak ditangan kita. Kat mana plak nak dicekau duit nak menggantinya nanti. Jadinya, aku hanya tengok jer la teman-teman belajar. Teori dengan praktikal, semestinya menang praktikal kan. Dengan teori sahaja, apa la yang kita dapat. Lebih-lebih lagi baru sekarang aku punya kamera sendiri. Selepas.. hmm..2008 tolak 1994.. 14 tahun tu! Lamanya!

Dec 1, 2008

Hujan lebat lagi.

Hujan lebat datang lagi. Sabtu lepas, hujan yang turun seharian menyebabkan banyak tempat dinaiki air mendadak dan ramai yang kena pindah. Mesti yang tengok tv maklum akan perkara ini. Semalam, hujan sudah reda. Air yang naik mendadak cepat sahaja surutnya. Biarpun matahari malu-malu menampakkan sinarnya, kain di jemuran sempatlah kering sedikit-sedikit. Tapi, awal pagi tadi, hujan kembali turun, lebat dan lama. Siap diiringi angin yang tidak berapa kuat, petir yang sesekali memancar dan guruh yang berdentum tidak sekuat mana. Terus sepanjang hari, hanya sesekali ianya renyai-renyai. Nampaknya banjir kembali datang tanpa diundang.

Apa yang aku suka ialah memandu meredah air yang melintas jalan. Seronok ajer melihat 'tasik sementara' terbentang seluas-luasnya di kawasan baruh. Sayup mata memandang. Baruh belakang rumah juga sudah menjadi 'tasik'. Tapi, rasa cam seronok jer sekiranya betul-betul ada tasik kat belakang rumah aku. Macam kat negeri-negeri mat saleh tu. Lepas tu, tetiba nampak cam bayang-bayang ikan pari yang sebesar-besar tasik itu. Orang yang berdiri kat tengah-tengah tasik tu, ingat kaki berpijak tanah, rupa-rupanya atas belakang ikan tu! Isshh.. kenapa la aku asyik terbayang perkara ngeri cam tu setiap kali tengok tasik ek..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...