Iklan

Nov 23, 2014

Banjir Ikut MB?

Begitulah yang dengar-dengar di mana-mana di Terengganu.

Apabila banjir besar kali pertama tahun ini bermula di Kuala Nerus, daerah MB baru di Terengganu. Padahal tiap-taip tahun pun, kawasan depan UMT dan UniSZA itu memang banjir dan di tutup laluan. Cuma teruknya tahun ini sehinggakan kawasan itu diistiharkan DARURAT. Malah rumah kawan aku yang tinggal di Mengabang Telong, yang tak pernah-pernah banjir, tahun ini air masuk hingga ke dalam dapur dan ruang tamu. Mujur 'ibu rumah' lebih tinggi, makanya tak perlulah berpindah randah.


Tahun lepas banjir besar di Kemaman, sebab MB masa itu orang Kemaman. Dulu masa MB orang Besut, Besut pun tenggelam juga.


Sebenarnya semuanya kebetulan sahaja. Banjir tak adanya nak ikut mana-mana MB. Cuma MB ni, suka membangunkan daerah sendiri bila mereka jadi MB. Semestinya diaorang nak tolong 'orang kampung' diaorang dulu kan. Aku rasa mana-mana orang yang diberi sedikit kuasa, memang akan begitulah. Pembangunan pula, mestilah ada kerja-kerja menambung tanah ke kawasan yang hendak dibangunkan. Bila tanah ditambung, saliran pula tidak dibuat, maka hasilnya adalah banjir.


Itulah yang dikatakan banjir ikut MB. Hehe...


Di rumah aku, banjir kali ini kali kedua teruk selepas banjir besar tahun 80-an dulu. Tapi alhamdulillah, air yang sipi-sipi nak tumpang masuk ke dapur, berlalu dulu sebelum sempat beri salam. Alhamdulillah. Dengar-dengarnya akan ada gelombang kedua. Harap-harapnya tak adalah seteruk gelombang pertama ini.

Nov 13, 2014

Bila Ayah Sakit

Bismillahirrahmanirrahim


Rumah kami jarang menerima tetamu. Setakat orang-orang kampung datang cari ayah, ada hal biasa-biasa, mereka lebih suka lepak di luar rumah. Kebetulan bawah pokok manggis tepi rumah, ada meja kayu besar dan kerusi-kerusi plastik hitam. Disitu selalunya tempat lepak tetamu-tetamu biasa. Kalau tetamu jauh dan jarang bertandang muncul, barulah ruang tetamu rumah kami bernyawa. Aku selalu cakap dengan mak, ruang tetamu rumah kami itu macam 'mati'. Tak bernafas dan tak hidup. Hari raya pula barulah ruang itu kembali meriah.



Sejak ayah pulang dari hospital ahad lepas, rumah kami tak putus-putus terima tetamu. Sudah dua hari aku pulang kerja, dan disambut tetamu yang penuh didapur rumah kami. Ya.. dapur. Sebab ayah duduk didapur. Sebab pinta dapur yang mengadap ke depan rumah, memang dah macam pintu utama. Sebab dapur memang tempat kami semua lepak juga. Jadi kalau orang datang, mereka terus masuk ke dapur. Mujur ruang dapur rumah kami itu luas. Sekali dengan bilik mandi, tandas, ruang memasak, dan beranda belakang, aku rasa besar bahagian itu sahaja sudah sama besar dengan rumah flat dua bilik.


Aku letak katil kecil aku sebelah tangga di dapur. Supaya ayah tak perlu naik turun sangat. Ayah anak bongsu. Anak-anak saudara ayah ramai. Cucu-cucu saudara dah ramai kahwin. Malah cicit-cicit saudara ayah pun dah besar-besar. Ayah pula antara orang kuat surau dekat kampung. Sekali datang, bukan 2, 3 orang. Jarang kurang dari sepuluh! Masya Allah. Meriah jadinya macam ada kenduri kendara pula. Air panas, habis sekendi, sekendi dimasak. Teko air teh tak surut airnya, asyik bertambah. Dalam sinki tak payah cakap la, penuh dengan cawan. Mujur pokok duku dua batang dekat dengan rumah, sedang berbuah dan masak. Buahnya elok-elok sahaja baru masak. Abang sulung aku, jadi tukang panjat pokok duku. Buah duku itulah jadi hidangan para tetamu. Alhamdulillah.


Luka ayah yang dijahit dah makin kering. Aku pula yang jadi jururawat peribadi ayah, tukang cuci dan tukar balutan tiap-tiap hari. Aku berani buat itu pun sebab jururawat kat klinik kerajaan yang ajar dan suruh aku buat sendiri. Katanya, datang klinik, lama menunggu dah satu hal. Nak buatnya (cuci) tu sekejap ajer pun. Jadi aku jadi tukang cuci (luka) setiap pagi dan malam. Tengahari mak aku buat. Tapi ayah aku kata, mak tak pandai. Hahaha...


Semoga ayah cepat sembuh. (Tak sembuh lagi ni pun, ayah dah pergi tempat kerja dan minum kopi di kedai). 

Nov 11, 2014

Topeng Senyum




aku teringat
suatu ketika
setiap kali aku bertanya
kau ok ke?
ok, jawabnya
aku faham
ok, bererti 
dia perlukan 
seseorang
untuk mendengar

Nov 10, 2014

Bulan-bulan Terakhir Tahun 2014

Bismillahirrahmanirrahim


Untuk catatan dan kenangan.
Oktober 7,
Hari gembira kami sekeluarga. Hari berkenaan yang bersamaan dengan 12 Zulhijjah, iaitu hari ketiga hari raya korban, kami beramai-ramai pergi merisik seorang awek, :) untuk adik lelaki aku. Merisik, sekaligus hantar tanda (cincin) sebab mereka buat keputusan tidak mahu bertunang. Memang sangat menggembirakan kami sekeluarga sebab sebenarnya dah lama sangat mak ayah ke sana-ke mari meng'usha' anak dara orang.

Adik aku? Hahaha... Tak, dia memang tak mencari sebab dah 'malas'. Dulu dia pernah ber'kawan' dengan seorang gadis, siap dah kenal keluarga. Tapi tak sempat kami kenal, awek tu dah minta putus. Kata adik aku, mak dia entah macamana tiba-tiba tak setuju, padahal sebelum itu dia elok ajer. Mungkin dia dah ada calon lain, yang lebih sesuai untuk anak daranya. Itu satu-satunya awek adik aku, dan selepas itu dia semacam dah kecewa dan berserah sahaja. Ye la, adik aku itu walaupun lelaki, pemalu orangnya. Dia adalah sangat bukan seorang yang senang-senang berkawan dengan orang perempuan.

Lama mak ayah aku pergi 'tengok' orang itu, ini apabila ada sahaja orang-orang kepercayaan ayah yang bagitau orang itu, ini. Bila mak ayah berkenan, baru suruh adik aku pergi tengok. Hahaha... Kena tapis dulu tu. Dah ramai la juga calon yang menolak dan ditolak. Jadi, kali ini mak ayah dan kami adik beradik memang sangat bersyukur bila adik dah berkenan. Ini yang nak buat cepat-cepat ni. In sya allah akhir bulan Disember nanti, adik aku akan kahwin dan sekarang kami sekeluarga tengah duk rancang macam-macam untuk kenduri nanti.


November 6,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah... Dugaan kali ini sangat hebat pada kami. Ayah tak pernah luka teruk sepanjang hidup dia, seingat aku. Luka kecil-kecil kena mesin, pisau, paku, tukul, itu biasa untuk seorang tukang macam ayah. Dua tahun lepas, ketika ayah tiba-tiba sakit dada dan dibawa ke klinik, ayah tidak dihantar ke wad kecemasan. Tapi ayah disuruh buat rawatan susulan dengan pakar, dan disahkan sakit jantung. Sakit jantung ayah tak teruk, hingga kadangkala aku rasa diagnosis doktor tu salah. Mungkin ayah cuma sakit gastrik. Hingga sekarang bagaimanapun ayah dibekalkan ubat sakit jantung, dan ayah kadangkala skip makan ubat, walaupun ayah tak pernah skip pergi buat checkup mengikut appointment.

Ayah kena mesin potong kayu, ketika tengah buat rumah sepupu dekat dengan rumah aku. Luka ayah sangat dalam dan panjang, di sebelah dalam paha kiri. Ayah dimasukkan ke wad kecemasan tetapi disebabkan ayah ada sakit jantung, luka tidak terus dijahit. Ayah dimasukkan ke wad selama 4 hari. Hari Jumaat 7 November petang, baru ayah dimasuk ke wad bedah untuk dibius separuh badan, dan dijahit dengan pengawasan pakar jantung.

Semalam 9 November, ayah dah dibenarkan pulang.

4 Hari berkampung dihospital kerajaan kelas 3, banyak pengalaman aku dapat. Banyak benda aku perhati. Banyak ragam aku belajar. Ianya pertama kali dalam hidup kecemasan sebegitu berlaku kepada kami.

Dan baru aku tahu rasa lembik lutut bila dapat berita cemas.

Nov 5, 2014

Hidup apakah ini?



Hidup apakah ini
hari-hari membilang hari
hari-hari rasa lambatnya berlari
entah apa dicari
entah apa dinanti


hidup apakah ini
bangun tidur dah elok
sambil tercongok depan lemari
fikir apa kerja nak kena siapkan
tapi masalah pertama datang
nak pakai baju apa
itu tak kena, ini tak selesa
lama


hidup apakah ini
dah siap segala
masalah kedua timbul
nak makan apa
sarapan campur makan tengaharikah
bekal nasi goreng atau
nanti tengahari keluarkah
kekadang minum saja
bila rajin menggoreng nasi sekejap
buat bekal pagi ke petang


hidup apakah ini
jam hampir 9.30 baru menjengul di pejabat
buka komputer, aircond segala
mula buat kerja
masalah ketiga timbul
rasa bosan
layan itu ini sekejap
dari sekejap jadi lama
kerja entah kemana


hidup apakah ini
dah tengahari baru siap satu kerja
azam nak solat awal waktu
boss yang baru masuk suruh itu ini
berjawab begitu begini
terangkan macam itu ini
dan azam tinggal azam


hidup yang apakah ini
tiada jiwa
tiada rasa
kosong


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...