Iklan

Aug 31, 2010

Labelkan supaya mudah untuk dicari

Assalamualaikumm...

Saya, kalau bab-bab hal-hal pejabat, surat-surat keluar masuk, tuntutan dan pembayaran, dan apa-apa sahaja perihal yg berkaitan kerja, pandai pula nak susunatur, sistematik segala, fail dan label. Sama juga yg dalam komputer, segala file elok diasing-asingkan dalam folder masing-masing. Siap label segala. Senang nak minta tolong nur carikan apa-apa jika kebetulan saya tiada di pejabat.

Tapi, blog ni, segala entri dibiarkan berterabur tidak dilabel langsung. Dah tu, bila nak cari entri lama sebab nak buat entri baru takut dah pernah bercerita perihal yg sama, susah yg amat. Nak kena cek semula banyak tu!

Jadinya, mulai hari ini.. nak kena labelkan jugak la. Cam orang lain buat. Hehe...

Aug 30, 2010

Yahoo Massenger chat room

Assalamualaikumm...

Zaman sekarang, berchatting di yahoo massenger chat room mungkin tidak lagi menjadi pilihan ramai. Seperti juga mIRC atau kampung chatroom atau macam-macam lagi chatroom yg wujud ketika internet baru popular di Malaysia. Saya rasa la kan. Sekarang yg paling popular dan tengah ngetop semestinya facebook.

Tadi, disebabkan sangat mengantuk saya mencari sesuatu untuk dibuat atau seseorang untuk dibualkan di mana-mana di alam siber. Tidak ada. Jadi, saya tiba-tiba terfikir untuk masuk ke chatroom yahoo massenger. Maka merapu la saya seketika di chatroom Terengganu sebelum disapa beberapa orang secara private message.

Memang membosankan sebenarnya berbual-bual secara formal seperti disapa dengan soalan-soalan rasmi. Asal dari mana. Tinggal dimana. Kerja di mana. Kerja apa. Umur berapa. Dah kahwin belum. Ada bf tak. Aduhhhh... bosannya. Tak boleh ke buat sapaan yg luar biasa sikit seperti 'Semalam aku berbuka dekat luar, tak sedap sungguh makanannya, membazir jer duit aku sebanyak rm200. Nko berbuka kat mana semalam?'. Contoh la kan. Makan apa sampai rm200 sorang2!

Tapikan, ada satu lagi tambahan soalan perbualan rasmi yg baru disini. Mungkin dah agak lama, tetapi sebab dah lama tak berbual dengan orang asing, maka ianya masih baru kepada saya. Selepas soalan, 'Ada bf tak?' yg merujuk kepada boyfriend atau kawan lelaki, mereka akan terbalikkan perkataan 'bf' tu menjadi 'fb' merujuk kepada facebook. Haaa... rupa2nya itu tambahan soalan formal baru, 'Ada fb tak?'. Hahahaha...

Agaknya sekarang dah jadi macam orang asing kot kalau tak ada fb. Hehe...

Aug 28, 2010

Lagenda Budak Setan

Salam...

Macamana nak buat supaya rasa gembira dan bersemangat nak pergi kerja? Saya sungguh tidak bersemangat. Saya seperti sudah bosan dengan kerja saya. Mungkin sebab kerja tidak banyak sekarang. Makanya saya sangat sediamaklum, apabila kerja berkurangan, kebosanan akan melanda.

Maka apa yg perlu saya buat?

Semalam saya dibuai-buai dengan lagu daripada cerita "Lagenda Budak Setan". Saya ulang-ulang lagu tu sepanjang saya online. Malam ni, bila saya online sahaja, telinga saya seperti terngiang-ngiang lagi lagu tu. 'Bila cinta....'. Agaknya jiwa saya kosong kot sekarang, sebab tu saya rasa hidup saya bosan.

Aug 26, 2010

Ramadhan 16th

Assalamualaikum....

Aisya baru ponteng puasa sebanyak satu hari. Err.. bukan ponteng, disuruh berbuka oleh mama disebabkan terkena food poisoning. Walaupun diberi upah sebagai pemangkin semangat, tapi nampak sangat dia bukan berpuasa disebabkan upah seringgit sehari itu. Dia berpuasa sebab semua orang berpuasa, semua orang tak makan.

Yang bagusnya, Aisya sangat mudah bangun sahur. Seperti biasa yg diajar dan dididik ayah sejak kecil, kami adik beradik memang di'wajib'kan bangun sahur biarpun sekadar untuk minum seteguk air. Dulu masa aku kecik, ada waktu-waktunya sangat mengantuk hinggakan untuk buka mata pun susah. Lepas tu mula la malas bangun sahur. Tapi selagi tak bangun, selagi tu la telinga ni dengar suara mak panggil dari dapur dan suara ayah membebel-bebel. Akhirnya, bangun dan minum segelas air. Cukuplah. Hehe..

Aisya, aku kejutkan sahaja, mesti terus bangun walau mengantuk macamana sekalipun. Err.. mungkin dia bangun itu lebih kerana takutkan mama tinggalkan dia daripada untuk bersahur.

Aisya ada satu tabiat yg agak merisaukan aku. Dia susah hendak lena sekiranya tiada sesiapa baring disisinya, dan dia akan mengamuk sekiranya apabila dia terjaga dari tidur dan tiada siapa disisinya. Sebab itu setiap kali aku terjaga untuk ke tandas pada waktu malam, aku akan pastikan dia tidak terjaga dan aku akan cepat-cepat kembali ke bilik. Aku takut dia terjaga dan menjerit malam-malam buta!

Sahur tiada masalah nampaknya pada Aisya. Berbuka? Aku akan mengikut seleranya sebagai meraikan kemenangannya melawan nafsu makan minum sehari suntuk. Kekadang dia bersungut juga dahaga, tetapi aku dan mak memujuknya bersabar kerana dia sudah besar. Alhamdulillah, dia makan dengan berselera apa sahaja yg aku masakkan untuk dia, as long as aku yg masak. Bukan beli. Aku juga cuba mengelakkan makanan berat-berat dibeli dibazar ramadhan. Aku lebih yakin dengan yg dimasak sendiri. Kuih juga cuba dibuat sendiri biarpun memang tidak dapat menghalang tabiat ayah yg suka ke pasar membeli kuih-kuih. Alhamdulillah juga, pembaziran makanan agak kurang ramadhan kali ini.

Malam esok anak saudara comel dari Johor akan pulang. Tak sabar nak peluk cium si kecik tu. Raya nanti diaorang (abang sekeluarga) tidak dapat pulang kerana abang tidak mendapat cuti untuk tahun ini. Sebab itu mereka pulang pada bulan puasa. Rindu juga pada baby di KL.. rindu sangat!!

Aug 22, 2010

Gudang mercun meletup, seorang meninggal..salah siapa?

Dalam aku membaca berita itu di sini, masih kedengaran gedebum-gedebam di merata-rata kampung, samada di kampung ini atau kampung-kampung sekitar. Kuatnya bagaikan mereka tidak kisahpun dengan kejadian sadis yg telah berlaku, yg setahu aku adalah kejadian pertama di sini (terengganu) Ramadhan tahun ini. Ataupun mungkin mereka tidak tahupun tentang kejadian itu, atau ibu bapa mereka tidak ambil peduli untuk melarang mereka.

Aku bercerita berdasarkan pengalaman. Bukan pengalaman terkena mercun, atau bunga api, atau apa. Tak. Aku bukannya berani sangat untuk bermain mercun-mercun segala ni, walaupun bunga api yg apinya cantik beribu bintang tu, yg artis-artis selalu main dalam rancangan hari raya dalam tv tu. Yang apinya tersembut ke depan sahaja tu, aku berani la sebab yg tu apinya tidak kena tangan. Tupun pegang hujung-hujung jer.

Ini pengalaman berhadapan dan dikelilingi budak-budak bermain mercun. Sungguh, aku tidak suka dengan meriam buluh yg bunyinya aku rasa boleh menyebabkan aku sakit jantung. Sangat mengejutkan ok. Memandangkan belakang rumah ini adalah baruh dan tiada kediaman melainkan sebuah rumah yg hanya menunggu masa menyembah bumi, tempat itulah dulu menjadi sasaran untuk budak-budak melancarkan meriam buluh mereka. Masa itu Aisya kecil lagi dan of course aku menjerit juga pada mereka supaya bermain jauh-jauh.

Sekarang, aku dengar pula mak bercerita ada berlaku perbalahan antara mak bapak budak yg bermain mercun dengan mak budak yg dilarang bermain mercun. Budak yg bermain mercun tu bermain sekitar rumah mak budak yg dilarang bermain mercun. Marahnya dia (yg umurnya muda dari aku) sehingga menyerang rumah mak bapak (yg lebih tua banyak dari aku) budak yg bermain mercun.

Aku tak ambil peduli sangat as long diaorang tak main sekitar rumah ni, sudah cukup rahmat. Cuma aku terfikir juga, mak ayah budak yg main mercun tu cam langsung tak kisah anaknya main mercun yg dibuat sendiri dengan buluh tu Meriam buluh la tu! Diaorang tak risau ke putus tangan ke, kaki ke cam berita-berita yg pernah berlaku tahun-tahun sebelum ini. Ni lagi la, pecah kepala tu!Kesian sungguh, budak yg tak bersalah jadi mangsa.

Walaupun malam ni agak kurang bunyi mercun (mungkin sebab dah lewat malam), aku harap pihak polis mengambil langkah yg lebih ketat mengawal keadaan. Baru ni aku ada terbaca kat mana ntah perihal polis rondaan di tambah bilangannya bagi mengawal keadaan di bulan puasa ni. Tapi yg silapnya di sini, kot polis-polis tu sendiri seronok melayan budak-budak main mercun. Ishh.. macam-macam la.

Aug 19, 2010

Catatan 9 Ramadhan

Assalamualaikumm...

Aku agak kecewa dengan ramadhan kali ini. Kecewa dengan diri sendiri yg nampaknya agak lemah dan lembap. Ada separuh lagi ramadhan dan aku cuba perbaiki diri.

Petang tadi dalam perjalanan pulang, perut sakit sekali. Ya, gastrik menyerang lagi setelah sekian lama tidak singgah kerana aku selalu beringat untuk menjaga makan minum. Alasannya mudah. Waktu sahur awal pagi tadi, aku cuma menjamah sepotong pisang sira. Aisya juga makan sepotong. Sedang semalam, makan untuk berbuka hanya sedikit kuih kemudiannya tidak makan apa-apa lagi. Akibat terlalu mengantuk, aku malas hendak makan nasi ketika bersahur.

Perut terasa bagaikan pusat ditarik rapat menyentuh tulang belakang. Kemudiannya seperti ada satu urat perut diregang dan ditarik kuat tidak mahu dilepaskan. Aku terus memandu pulang biarpun sakitnya seperti memaksa aku berhenti sahaja di tepi jalan. Teringat suatu ketika dulu, aku pernah diserang sakit yg sama ketika berjalan-jalan di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Aku terduduk di kerusi dan tidak mampu untuk berdiri.

Aku berharap perkara itu tidak akan berulang. Aku sangat sedar, ianya salah diri sendiri. Kerana mengikut nafsu sungguh. Mengantuk.

Benci ah.

Aug 18, 2010

Adik beradik kamu berkahwin, apa perasaan kamu?

Eh, ini bukan cerita bila akak, abang atau adik kahwin, kemudian kamu pun terliur nak kahwin sama. Tak, bukan. Ini tentang perasaan sebagai adik beradik. Yer la kan, selama ini adik atau akak atau abg kamu tu tempat kamu bermanja atau bergaduh dan yg memeriahkan suasana setiap hari. Ataupun mungkin yg selalu diharapkan utk ke kedai membeli gandum kerana kamu hendak membuat jemput-jemput tapi dah siap-siap potong bawang, siang bilis, baru kamu sedar gandum dah habis. Ataupun bila rumput sekeliling rumah dah panjang hinggakan kamu sendiri takut hendak berjalan dalam rumput kerana bimbangkan ular, ada dia (abang atau adik) yg rajin menyembur racun hingga ranap semua rumput-rumput termasuk pokok bunga kamu.

Jadi, bila tiba-tiba kamu melihat dia dengan seorang perempuan, berbincang seolah-olah perkara penting akan berlaku, terdetik sesuatu di hati kamu.

Nanti bila dia dah kahwin, siapa yg boleh diharapkan untuk ke kedai atau meracun rumput?

Sedih jugak kan.

Cerai lagi? Murahnya harga sebuah perkahwinan.

Apa tujuan kamu berkahwin sebenarnya. Sebab sudah tak tahan untuk hidup bersama? Sebab masing-masing sudah cinta yg amat sangat dan tidak dapat dipisahkan lagi? Atau sebab orang lain semua dah kahwin, jadi kamu pun teringin untuk kahwin? Kerana keadaan sekeliling memaksa, di mana jiran tetangga sibuk tanya bila nak kahwin atau kawan-kawan rapat dan terdekat seorang demi seorang menamatkan zaman bujang, maka kamu dengan mudahnya menerima lamaran utk berkahwin?

Ini luahan perasaan aku sahaja apabila baca berita Roslin Hashim yg bercerai lagi selepas berkahwin selama sebulan. Baru tahun lepas dia bercerai selepas kahwin selama 12 hari. Yg tu dah catat rekod dah kot. Kali ini, mungkin nak buat rekod setahun sekali berkahwin dan bercerai. Entah apa tujuan dia berkahwin sehingga sebegitu mudah melafazkan cerai.

Aku rasa sebenarnya bila kita berkahwin, kita kena sayangkan rumahtangga kita. Dan untuk itu, kita kena bentuk rumahtangga kita, rancang masa depan bersama, tiada rahsia antara suami isteri, setiap keputusan adalah keputusan bersama, dan macam-macam lagi adalah secara bersama. :)

Dan aku tiba-tiba teringat tentang soalan ini 'Kenapa kamu memilih dia (pasangan kamu) sebagai pasangan hidup?' yang pernah aku baca kat mana ntah. Di mana si pengulas mengatakan jawapan standard seperti sebab dia baik hati, pandai masak, suka budak-budak, cantik, pandai ambil hati, pandai memujuk dan bermacam-macam lagi pujian kamu kepada pasanganmu adalah jawapan yg salah sama sekali dalam memilih pasangan. Kenapa salah adalah kerana selagi kita tidak tinggal bersama dengan pasangan kita, kita tidak akan kenal 100% pasangan kita itu. Dan aku sangat bersetuju dengan pendapat si pengulas.

Yer la kan, mana la kita tahu pasangan kita tu sebenarnya seorang yg malas bangun tidur ker, malas gosok gigi ker, tidurnya diiringi bunyi-bunyian yg bakal mengganggu tidur kita ker, ataupun dia mungkin berjalan dalam tidur barangkali. Mungkin juga tanpa pengetahuan kita, sebenarnya pasangan kita tu seorang yg malas mandi, malas membasuh pakaian. Yer la kan, masa bercinta setiap kali keluar dating, berbotol minyak wangi habis. Itu la sebagaimana orang kata, kalau dah cinta, bau kentut pun dikatakan wangi. Hehe...

Aug 16, 2010

Catatan 5 Ramadan lepas (yakni semalam)

Assalamualaikum....

Apa khabar semua? Bagaimana Ramadhan anda?

Ramadhan saya pada hari ke-lima adalah seperti berikut;


Aisya : Nenek, letak dok lagi bocong air dalam beg Nia?


Mak : Laa... Nia kan puasa.


Aisya : Eh, lupa. Tapi kenapa perut Nia berbunyi? Agaknya perut ni tak tahu kot Nia puasa.


Hahaha....


Kamus today
Bocong - bekas air.

Aug 14, 2010

Pagar penghalang kemesraan

Hidup dikampung, samada berumah banglo besar atau rumah kayu kecil tiang tinggi atau rumah separuh kayu separuh batu, sangat mementingkan semangat kejiranan. Contoh kejiranannya adalah seperti menghabiskan waktu-waktu senggang sebelum asar di lambor rumah jiran kegemaran berborak tentang anak-anak, atau tentang lembu kambing ayam itik, atau tentang masakan yg tidak menjadi, dan macam-macam lagi. Adakalanya bila 'mesyuarat' dihadiri oleh seorang dua yg mulut celupar skit, isu-isu tentang orang itu, orang ini akan terkeluar.

Selain itu, biasa la bertukar-tukar juadah masakan. Biasanya kuih-muih yg jarang dibuat seperti bubur lambuk, pengat pisang, dan kek coklat. Ye la, orang dah hantar kuih takkan kita nak pulangkan bekas kosong kan. Walaupun mungkin sesetengah orang tak kisah, tapi bagi sesetengah orang macam mak, memang takkan punya. Sebab tu ingat petang ni nak buat puding jagung, boleh menambah berat pinggan mokteh yg semalam menghantar pengat pisang. Hehe..

Berbalik kepada topik, pagar. Jadinya, dikampung-kampung ni sangat tidak sesuai rumah-rumah didirikan pagar di sekelilingnya. Err.. pagar bata ni yer, yang ada lubang-lubang setakat muat tangan nak hulur, dan tingginya pula memang tak nampak la siapa di dalam siapa di luar. Maka nanti akan muncul la dialog-dialog ala Sudin dalam Pendekar Bujang Lapok, 'Oii, siapa di dalam oii, aku di luar!'. Kalau setakat pagar kayu yg dua batang melintang tu (macam rumah aku ni la masa aku kecil) dengan pintu pagarnya adalah batang kayu itu akan disorongkan ke tepi (ish.. nostalgia sungguh ni, memang tak jumpa dah zaman la ni), atau pagar chainlink, tak per sangat. Ye la, faham sangat kehidupan di kampung di mana nanti tak pasal-pasal lembu-lembu orang tu, orang ni masuk ke halaman makan segala jenis pokok bunga yg kita duk bangga-bangga. Lepas tu, mula la kita kejar lembu tu dengan parang.

Pagar ini sebenarnya penghalang kemesraan dan semangat kejiranan. Dengan adanya pagar ibarat tembok besar cina tu, orang-orang sekeliling pun susah nak bertegur sapa seperti, 'Menjahit makteh?' walaupun dah jelas-lelas orang tu tengah menjahit kan. Teguran kemesraan begitu adalah biasa dikampung-kampung. Kemudiannya lagi, pintu pagar yg ibarat pintu pagar istana tu pula selalu tertutup rapat. Lagi la jiran-jiran segan nak bertandang walaupun sekadar nak pinjam tangga. Contohnya la.

Kalau rumah di tengah-tengah bendang macam banyak yg dibuat sekarang di kampung aku di mana kawasan bendang sudah banyak yang ditambung tanah untuk dibuat rumah, aku rasa memang patut la ada pagar. Bukannya apa, takut nanti ular senang sangat masuk ke rumah. Tapi, begitu la, apa-apa alasan sekalipun, pagar itu penghalang sebenarnya.

Aku ingat lagi, suatu ketika dulu pernah aku diberikan satu situasi yang membawa kepada satu cerita di mana aku diberi pilihan apa yg perlu dilakukan dalam setiap situasi. Daripada pilihan kita, akhirnya dapat mendedahkan bagaimana perihal diri kita. Antara situasi itu, kalau diberikan rumah, kita akan buat pagar atau tidak? Jawapan aku antara yer dan tidak (tiada dalam pilihan). Sebabnya, aku mengimpikan pagar yg rendah seperti pagar rumah-rumah matsaleh yg aku tengok dalam tv tu, samada pokok-pokok renek dijadikan pagar ataupun yg jenis tendang sikit jer terus terbalik tu. Haha.. Err..jawapan itu lebih mengjurus kepada 'katakan tidak kepada pagar' lah. Cuma penjelasan jer terlebih panjang. :P

Sebenarnya sepupu sebelah rumah sedang membuat pagar dan setiap kali aku lalu di hadapan rumah dia yg sedang dibina pagar rapat ke jalan tar itu, terasa perbezaan yang bukan sedikit. Tapi yer la kan, takkan kita nak halang semua orang dari buat pagar, kan.

Kamus hari ini :
Lambor - beranda rumah

Aug 12, 2010

Hari kedua dah kena food poisoning

Assalamualaikum...

Catatan 2 Ramadhan :

Bukan. Bukan saya yang terkena keracunan makanan, tetapi si anak dara Aisya. Pagi tadi semasa di pejabat, mendapat panggilan daripada dia yg mengkhabarkan cerita dia muntah. Mulanya saya ingatkan angin sahaja disebabkan perut kosong. Jadi saya menyuruh dia berbuka puasa sahaja. Tidak lama kemudian, sekali lagi dia menelefon memberitahu muntah untuk kali kedua. Jadinya, cepat-cepat saya bersiap untuk pulang mengambil dia dan membawa ke klinik.

Memandangkan dia sudah muntah 2 kali dan cirit birit sekali, saya agak dia keracunan makanan. Mungkin kuih yg dia makan waktu bersahur pagi tadi. Kuih yg dibeli di pasar kampung ini sangat saya ragui akan ketahanannya. Biasanya setiap tahun pada bulan Ramadhan, ada sahaja ayah terbeli kuih yg basi. Memang pasti sangat, antara sebegitu banyak kuih, yg tidak habis dijual akan dijual lagi keesokkan harinya. Kalau diikutkan saya, memang saya langsung tidak ke pasar ini pada bulan puasa. Selain kuih basi, kebersihan dan harga yg mahal sangat tidak menyenangkan saya. Kuih-kuih pula adalah kuih tradisional orang melayu yg kebanyakkan manis-manis belaka seperti netbak (begitu kot ejaannya), akok, bahulu, puding yg hanya letak kaler, kuih bakar dan macam-macam lagi.

Ok, ini satu pengalaman baru yg saya dapat hari ini. Membawa dia ke klinik 1 malaysia. Jam sudah hampir ke pukul 1 tengahari. Biasanya waktu ini, klinik biasa tidak mengambil lagi pendaftaran pesakit baru. Jadi, saya terus memandu ke klinik di Bukit Payung dibelakang Pustaka Seri Intan. Ayah kata, klinik 1 Malaysia tidak tutup untuk rehat pada waktu tengahari. Sebenarnya, hendak mencuba perkhidmatan merekapun ia juga saya ni. Saya tak pernah lagi ke klinik 1 Malaysia.

Selepas pendaftaran, terus kena bayar RM1. Itu semua orang tahu. Kalau tak, takkan dinamakan klinik 1 Malaysia. Oh ya, biasanya saya akan ke klinik swasta kalau ada kesihatan yg terganggu samada saya sendiri atau Aisya atau mak dan ayah sekalipun. Jadinya, saya sudah boleh agak ubat-ubatan yg akan diberikan sekiranya berlaku food poisoning. Ini bukannya pertama kali.

Yang memeriksa kesihatan Aisya bukannya doktor, tetapi Penolong Pegawai Perubatan. Cara dia memeriksa, teliti. Saya suka. Tapi bila tiba bab ubat, sangat menghampakan. Yang diberikan hanya ubat cecair untuk kembung / angin, dan oral rehydration salt, tu sahaja! Huh! Mana ubat muntah dan cirit birit!! Aduhh.. patutlah bayaran cuma RM1 sahaja. Ubatnya pun rupa-rupanya setimpal dengan bayaran. Dan yg membuatkan saya agak panas, si 'doktor' tu sempat berpesan, 'Kalau dia muntah-munta lagi sehingga 10 kali, tolong bawa dia ke klinik kesihatan bukit payung yer'. Haaaa???

Apa ni? Apa ni? Ingat kita nak ke sana ke mari tu, pakai terbang jer ker?? Kalau tahu nak kena ulang-ulang pergi klinik sebab ada kemungkinan lagi sakit tidak berhenti, baik terus ke tempat yg memberi perubatan lengkap terus. Aduhai...

Balik dari klinik, Aisya muntah lagi dua kali. Dan saya sudah terfikir untuk ke klinik swasta sahaja sekiranya dia muntah lagi. Oh ya, selepas dia cirit birit lagi sekali dan sakit perut, saya membuat 'ubat' saya sendiri yang biasanya berkesan. Teh 'o' kosong yang pekat. Dan seperti biasa, ianya memang berkesan. Jadi tidak perlu lagi ke klinik.

Untuk berbuka puasa, saya masak tomyam udang hari ini, dengan daging goreng kunyit. Melihat pada makaroni San Remo yg ada belum dibuka plastiknya, saya merancang untuk merebus dan makan dengan tomyam waktu berbuka nanti. Err.. seperti biasa puasa sejak dulu-dulu, saya memang jarang sangat makan nasi untuk berbuka. Kena cari alternatif makanan atau kuih sahaja untuk berbuka. Aisya nampaknya suka makaroni tomyam. Dia makan 3 mangkuk dalam 3 waktu yang berbeza. Esok boleh puasa nampaknya ni. :D

Aug 10, 2010

Salam Ramadhan

Catatan 1 Ramadhan :

Memandangkan breakfast lewat, walaupun hanya dengan sebungkus nasi lemak, kenyang membawa ke petang menjimatkan duit untuk makan tengahari. Tapi, sesampainya dirumah, buru-buru mencari makanan barang sesuap bagi mengalas perut sebelum makan malam. Teringat akan ketibaan ramadhan dan sahur, maka terfikir pula akan pasar malam. Jadinya, selepas mengambil Aisya di sekolah terus memandu ke pasar malam, mencari barang sejenis dua makanan walaupun dalam hati berniat membeli baju. Hehe..

Memang, dah lama sungguh tidak ke pasar malam. Rasanya dah 2 bulan barangkali. Masuk sahaja ramadhan, tiada lagi pasar malam. Yang ada, bazar ramadhan sebagai pengganti. Tapi, seperti biasa aku dan keluarga jarang sungguh ke bazar ramadhan membeli juada berbuka. Biasanya apa yang hendak dimakan, cuba juga dibuat sendiri. Kalau ke bazar pun (biasanya 2, 3 kali sahaja sepanjang bulan ramadhan), menjamu mata sahaja. Biar mata kenyang dengan pelbagai warna warni makanan dan ragam manusia.

Terawih? Niat awalnya, tahun ini hendak ke masjid menunaikan solat sunat terawih selepas 7 tahun (sejak Aisya lahir) tidak berbuat demikian. Bayangkan, lama sungguh tidak ke surau berhampiran rumah. Dulu-dulu masa masih anak dara, selalu juga menyempitkan lagi saf-saf di surau tu bila musim terawih. Tapi sekarang, bisnes macamana? Kedai tutup pun mungkin dari petang hingga selepas maghrib sahaja. Selepas itu, kena la buka macam biasa. Insyaallah, buat di rumah sahajalah. Malam pertama sudah lepas, alhamdulillah.

Sahur? Hmm.. nanti nak kena kejutkan Aisya. Tahun ni kena ajar dia puasa penuh. Tahun lepas seingat-ingat aku dalam 10 hari jer dia berpuasa penuh. Selepas sahur, boleh ajar dia ngaji dan terus solat subuh memandangkan dia sekolah petang.

Berbuka? Err... yg tu belum lagi. Esok kita cerita. :D

Salam ramadhan semua. Semoga ramadhan ini permulaan untuk kita menjadi lebih baik. Insyaallah.

Aug 8, 2010

Blog yang kutinggalkan

Salam...

Tadi ketika menerjah ke blog seorang kawan, sempat membuat blog hoping pada bloglist yg panjang di sidebar blognya. Aduhhh... banyaknya blog pasal baby! Baby dalam perut la, baby baru lahir la, baby dah pandai jalan la. Ye, semuanya dari excited mum or mummy to be. Err.. aku pun pernah rasa semua tu, sekali. Malah aku pun pernah ada blog tentang my little daughter. Eh, perkataan pernah tu belum lagi kot. Sebab blog tu masih ada. Cuma dah berbulan bulan bulan aku tak jenguk blog tu. Sebenarnya tengah fikir nak delete jer. Sekarang bukannya masa nak bercerita tentang anak lagi, tapi nak mengajar anak pula. Mengajar tu pula, bukan seperti 'hah, mai sini, biar aku ajar kau skit'. Itu bunyinya macam nak pukul anak jer tu. Jadi kes dera pulak kan. Macam jiran dekat-dekat rumah baru-baru ni yg kononnya nak mengajar anak dengan 'menseterika' lengan anak yg menganggu dia hendak menseterika baju. Ini memenuhi tanggungjawab namanya. Pantau pelajaran dia, kerja sekolah dia, aktiviti harian dia, makan minum dia, permainan di masa lapang dia, perasaan dia, dan macam-macam lagi la. Semuanya sangat-sangat-sangat perlu diberi perhatian.

Masa dia kecil, keterujaan itu memang kadangkala melampau juga. Gigi pertama tumbuh, belajar berjalan, berlari, dari basikal roda tiga di belakang ke basikal dua roda. Semuanya menarik perhatian. Sekarang, peperiksaan dia, perasaan dia, itu yg lebih diutamakan. Dulu-dulu sekali demam, menggelabah dan tidak tidur malam jadinya. Sekarang, panas sikit jer tubuh, dah tahu sangat dah apa perlu dibuat.

Aisya dah besar. Kalau dulu-dulu selalu orang ingat dia adik aku, sekarang lagi la begitu. Tinggi dia dah melepasi dada, hampir ke bahu. Cepat sungguh tingginya. Kain sekolah darjah satu hari tu, dah singkat nampak keting. Pakai sesekali sahaja ke sekolah kafa. Seluar jeans, dah banyak yg dah nampak keting, pakai kat rumah sahaja apabila main basikal. Biasanya pakai tudung kalau keluar berjalan. Dah besar-besar ni, jadi satu kerisauan la pula tentang dia. Banyak betul yg nak dibimbangi zaman-zaman la ni.

Tapi aku percaya dengan doa seorang ibu. Dan sebagai seorang ibu, aku sentiasa mendoakan yg terbaik untuk dia.

Rasa bersalah pula...

..bila tak menghadirkan diri dalam mesyuarat pagi ni.


Ada banyak tanda tanya bermain kat kepala, apakah yg berlaku dalam mesyuarat itu.



Ayat memujuk diri, 'Tak per la, ini baru pertama kali ni tak ada wakil dari kontraktor'.


Hehe....

Aug 7, 2010

Letih yg tak hilang

Seperti di lain-lain waktu, untuk keadaan seperti sekarang, aku tetap menyalahkan cuaca yg mendung dan suram. Sangat-sangat. Aku jadi malas dan tidak tahu aktiviti apa yg menyegarkan yg boleh dilakukan bagi mencergaskan diri. Paling tidak pun, dalam cuaca begini merengkok di tilam lembut di hadapan tv menonton movie-movie yg tak pernah ditonton sebelum ini, adalah paling sesuai. Itupun, dalam rasa bersalah, aku mengerahkan juga tenaga untuk aktiviti mengemas dan memasak.

Jam 3 petang ni, suasana semakin gelap. Hujan mungkin akan turun bila-bila masa. Tadi, aku sudah mengadu pada emak, tubuh yg rasa lenguh-lenguh, bahu dan leher terasa sakit. 'Mungkin bantal tu dah 'expired' kot mak', lawakku dalam serius. 'Ada ke!!', balas mak. Tapi dalam kata-kataku itu, aku mengandaikan akan kemungkinan sudah tiba masanya aku bertukar bantal baru. Bukanlah pula aku seperti merengek-rengek meminta mak tolong belikan atau buatkan bantal baru. Itu untuk budak sekolah bolehlah. Ini mak orang. Hehe...

Esok kerja lagi. Sedangkan untuk beberapa hari kerja pada minggu yg sudah, aku sudah terasa ketidak selesaan dalam perasaan bab kerja ni. Sungguh. Aku adalah seorang yg sangat mengambilkira tentang keselesaan perasaan membuat kerja daripada gaji besar. Sebabnya, pada aku sekiranya kita tidak suka apa yg kita buat (kerja), kita seperti membuat sesuatu perkara dalam keterpaksaan. Bila keadaan dianggap memaksa, pemberontakan mungkin ada di dalam. Bayangkan sekiranya 10 tahun kita berkerja, membuat kerja yg tidak kita suka, dalam 10 tahun itulah hati kita memberontak. Itu, kalau kalau 10 tahun. Lepas 10 tahun kita nak makan pasir? Kita masih kena makan nasi dengan beras kena beli atau benih padi kena beli (sekiranya kita tanam padi). Berkerjalah kita dalam keterpaksaan sampai nyawa meninggalkan badan. Tiada keikhlasan, tiada keseronokan. Bosannya.

Maaf. Kemerepekkan aku sudah melampau-lampau. Aku kena berundur, takut lebih teruk jadinya nanti. Chow.

Aug 4, 2010

Apa kamu buat ketika memandu?

Salam...

Semasa memandu, apa yg kamu suka buat? Berbual? Kalau berseorangan, contohnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja. Dengar radio, sambil gelak sorang2? Orang tengok pun pelik, tapi diaorg tak hairan kalau diaorg pun dua kali lima dengan kamu. Aku, sama juga. Aku gelak sorang2 dengar celoteh FF dan FBI kat HotFM. Lebih2 lagi kalau sempat dengar 'Panggilan Hangit'. Kalau terawal ke pejabat. Errr.. ntah bila nak sedar diri pergi awal2 ke pejabat. :P

Tapi kadangkala boleh juga dengar radio yg banyak iklan, dan iklan satu2 tu plak, lamanya! Tension aku. Dah la dalam berapa minit sahaja dah sampai ke opis. Kadangkala tu, tak sempat kuar lagu, iklan ajer.. dah sampai opis dah. Cehh!

Sebab tu, aku kadangkala suka layan MP3. Sebenarnya ni tengah duk buang2 lagu yg kononnya aku suka, tapi disebabkan waktu dengar lagu2 tu, adalah waktu pagi atau malam (ketika on the way pergi kerja or pergi kedai), jadinya perlukan lagu yg memberi semangat skit. Tak bleh layan sangat mendayu2, layan perasaan sumer ni. Kan. Kan.

Oh yer, aku suka nyanyi kuat2 sorang2 sambil memandu. Hilang skit tensen kerja dan tekanan perasaan. Hehe...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...