Iklan

Dec 29, 2011

Penghujung Disember 2011

Bismillahirrahmanirrahim...



Alhamdulillah... tadi dah call Astro bagi menutupkan akaun Astro di rumah. Confirm tiada satu sen hutangpun dengan Astro, akaun akan ditamatkan tepat pada hari terakhir tahun ini. Elok sahaja minggu depan sekolah mulai dibuka, Aisya masuk darjah empat dan tiada lagi Astro Ceria untuk dia. Selesai satu hal. Oh, rupanya mudah sahaja nak potong Astro. Hanya melalui telefon, dan nanti dalam 90 hari selepas Astro tidak aktif lagi, jangan lupa hantar smart card ke cawangan Astro terdekat. Kalau tidak, kena penalti RM50.00. Haishh... ada jer kan.


Satu Januari, hari jadi Aisya ke 9. Hadiah harijadi belum difikirkan lagi. Jamuan harijadi, pun belum rancang apa-apa. Cuma terlintas nak buat cupcakes atau kek pelangi sahaja. Dah lama sungguh tak baking membaking ni. Semalam dalam duk sibuk siapkan tender report, sempat lagi menjenguk beberapa laman masak memasak. Itu yang dapat idea macam tu. Tapi hadiah, belum terlintas apa-apa di fikiran.


Harapan tahun baru, tiada. Sebab dah meletakkan harapan dan azam untuk awal tahun Hijrah 1433 yang lepas. Baru jer lagi pun. Ada beberapa perkara perlu diberi perubahan dan penekanan. Insyaallah. Cemburu melihat orang berubah menjadi lebih baik, aku juga hendak buat perubahan. Lagipun dunia dah dihujung hayat. Malam-malam kalau dengar angin kuat, campur hujan, ribut dan petir sabung menyabung, mesti aku duk terbayang tsunami, gempa bumi, dan kiamat. Astaghfirullahalazim...


2011, aku kenang yang baik-baik sahaja. Perkara-perkara kecil, tapi membuat hati terasa besar. Tak banyak, tetapi ada. Seperti memberi jalan kepada kereta yang hendak keluar dari simpang. Aku suka perasaannya bila mereka mengangkat tangan dan tersenyum. Terasa sangat dihargai walaupun perkara itu kecik sajer. Seperti melihat sambutan dan kemesraan tokmak dan tokki Aisya apabila membawa Aisya mengunjungi mereka, biarpun mereka sudah lama tidak menjenguk Aisya dan biarpun kami ke sana hanya 2, 3 kali sahaja setahun. Seperti melihat Aisya mengutip bekas air yang dibuang dijalanan oleh orang tidak bertanggungjawab ke dalam tong sampah. Tak banyak, tetapi ada.


2012, semoga aku lebih berlapang dada, berjiwa besar dan berhati mulia. :)

Dec 27, 2011

Kembali Bekerja

Bismillahirrahmanirrahim...

Orang bercuti, aku juga nak bercuti. Kononnya hujung tahun nak habiskan cuti tahunan yang masih berbaki. Tapi orang bercuti, pergi melancong sana sini, membeli belah itu ini. Aku bercuti, paling jauh ke Kota Bharu hari Khamis lepas, dan balik dengan sehelai baju Angry Bird betina untuk Aisya. Kesian ayah menunggu mempelam siam barang sekotak dua, sebutir makanan pun tidak aku beli.


Kenapa?


Aku rasa apa yang ada di Kota Bharu sama sahaja dengan apa yang ada di Kuala Terengganu. Pasar Siti Khadijah tidak dapat menandingi kehebatan Pasar Payang. Jadi, aku tak tahu nak beli apa untuk di bawa balik!!


Jumaat, selepas membeli barang-barang untuk kenduri akikah anak saudara (yang on the way balik dari KL) esok, aku merayap ke pantai Batu Buruk. Beli keropok, donut Big Boss dan bebola udang kemudian layan Aisya main layang-layang di pantai. Ramainya orang. Termasuk yang baru balik dari sembahyang Jumaat di masjid Ladang barangkali. Siap berbaju melayu berpuak-puak.


Sabtu, dari pagi ke petang bersiap-siap masak untuk akikah malam nanti. Jemputan sekitar 60 orang rasanya. Lauk gulai kambing, goreng kobis, sambal belacan dan pencuci mulutnya, tembikai. Untuk yang tak makan kambing, ayam sebanyak 5 ekor, digoreng dan masak merah. Yang tu aku buat. Special. Hehe...


Malam, sibuk di dapur menghidang sebab ayah nak sekurang-kurangnya 40 orang makan berhidang. Takut diaorang cabut sebab malas nak beratur tunggu giliran nak ambil makanan , sebagaimana kat sesetengah tempat. Ada buffet juga disediakan kat depan. Lepas majlis, berkemas serba sedikit. Ingatkan awal lagi, tup tup dah 12 lebih baru nak tidur. Letih yang amat.


Ahad, sambung ngemas-ngemas pinggang mangkuk.


Isnin, aku masih bercuti. Keluar basuh kereta kat carwash. Makan-makan kat luar. Pergi AVON beli-beli apa yang patut. Petang, rehat jer kat rumah. Terlena sekejap, pastu jaga sebab sejuk. Cuaca di Terengganu sangat sejuk, redup yang amat sepanjang hari. Tapi hujan hanya sekejap-sekejap dan renyai-renyai sahaja. Angin sekejap kencang, sekejap perlahan. Rumah sunyi sepi. Rupa-rupanya kesemua anak saudara Qasyrina, Qayyis, Adam, Asyraf (dalam buai), Aisya (atas kerusi panjang), lena bergelimpangan. Baby dalam bilik tidur celah ketiak mamanya.


Yer.. cuaca begini mengundang lena yang enak di siang hari.


Tapi hari ni, kerja. Sorang-sorang di pejabat mengadap komputer. :(

Dec 21, 2011

Kembali Menyibukkan Diri

Bismillahirrahmanirrahim...


Seminggu selepas membawa Aisya pusing-pusing Monument Park di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, aku bawa pula dia ke Muzium Losong. Dan aku berjanji pula untuk buat trip ke dua ke sana dalam hujung minggu ini, atau bila-bila sebelum buka sekolah nanti. Sebab, pada hari tu tak sempat pusing-pusing kesemua tempat pameran. Kebetulan mak ikut sebab kitaorang terus langsung dari membeli barangan dapur di Sabasun. Bila dah bawa mak, memang tak boleh berlama-lama sebab mak sibuk nak balik masak untuk ayah.

Aku akan bercerita tentang Muzim Losong nanti, lengkap dengan gambar. Sekarang tidak sempat sebab aku cuma mencuri secebis masa bagi menghilangkan pening mengadap excel dari tadi-tadi lagi. Ya.. hari yang sibuk yang dijangka-jangka telah tiba. Masa untuk membuat tender report. Tidak terlalu kelam kabut sekiranya diingatkan aku ada tempoh 10 hari untuk menyiapkannya, tapi memandangkan aku hendak bercuti pada esok hari dan isnin depan, maka aku perlu menyiapkan dulu serba-sedikit kerja ini.


Esok lusa, nak pergi berjalan-jalan lagi. Lepas tu nanti, anak-anak saudara pula balik. Sabtu ni, ada kenduri akikah untuk anak saudara paling kecik itu. Jumaat, dah rancang dengan mak kena pergi pasar borong beli macam-macam. Tuan punya badan (mama dan papa budak kecik) petang jumaat baru sampai dari KL. Esok aku nak bawa Aisya ke mana yer? Hmm....

Dec 18, 2011

Taman Tamadun Islam

Sebagaimana Batu Buruk yang banyak menyimpan kenangan pahit manis di usia awal 30-an, begitu juga dengan Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Tapi, kedua-duanya bukanlah kenangan orang bercinta di tepi pantai atau dalam taman, atau makan-makan bersuapan di B'eteng. Tidak. Kenangan yang aku maksudkan lebih kepada bidang kerja kerana di kedua-dua lokasi tersebut, ada projek pembinaan yang dijalan oleh syarikat yang paling lama aku bersama.

Pulau Wan Man sekarang, dah jadi Taman Tamadun Islam. Jalan yang aku lalui dulu-dulu untuk ke site, sudah di upgrade barangkali, melihat pada penghujung jalan yang sudah bertar. Aku yakin, dulu-dulu tempat itu memang berhantu sebagaimana aku dengar pekerja-pekerja di site dulu bercerita. Tapi sekarang, bila orang dah ramai yang berkunjung ke sana, dan B'eteng selalu menjadi tempat makan-makan orang dating, rasaku makhluk-makhluk itu semua dah mengalah dan berpindah ke tempat lain, hutan yang lain, rimba yang lain.

Sebelum ni, sudah beberapa kali juga aku ke sana, tapi belum pernah lagi masuk ke monument park yang masuk kena bayar dan pada aku yang hanya lebih kurang 20 minit ke sana, terasa mahal pulak yuran masuk itu. Rasanya rm12 untuk dewasa dan rm6 untuk kanak-kanak. Dah rm18 campur rm5 sewa basikal, total rm23.00. Minyak kereta aku ke sana baru berapa ringgit jer. Hehehe...

Aku bawa Aisya ke sana on Friday last week, keesokan harinya selepas malamnya aku berkecik hati dengan mak. Disebabkan aku masih kononnya merajuk dengan mak, aku pergi hanya dengan Aisya. Tak ajakpun mak. Itupun aku berkejar nak balik sebab nak tengok finale Merlin Season 3 kat Astro jam 6 petang, padahal ada tayangan ulangan pada keesokannya. Rupa-rupanya juga, ramai orang luar yang berkunjung ke Monument Park itu. Mungkin hanya kami sahaja hari itu orang Terengganu yang berkunjung ke sana. Oh ya, selain basikal, ada perkhidmatan trem disediakan, dan juga bot untuk ke sekeliling pulau. Suatu hari nanti nak jugak aku bawa Aisya naik bot tu. Dia tak pernah naik bot.

Ok sekarang layan gambar. Dah panjang aku bercerita.

Salah satu masjid yang cantik dengan latar yang cantik juga, langit biru petang itu.



Aisya dengan basikal yang di sewa, kurang memuaskan hati kondisinya. Tempat duduk bergoyang-goyang, dan banyak part yang macam nak tercabut. Basikal yang besar untuk orang tua pula, tak ada.



Haa.. ini National Mosque. Ada pameran kat dalam, dan aku masuk untuk melihat-lihat. Ada dewan teater juga. Ini bangunan yang 'kitaorang' buat dulu.



Nampak macam asap masuk ke puncak bangunan itu, kan.


Banyak lagi gambar, aku tangkap dengan telefon jer sebab terlupa nak charge bateri kamera malam itu. Aku malas nak upload banyak-banyak. Kalau dalam Terengganu, jangan lupa ke sana yer. Berbaloi-baloi. :D

Kala Malam Bulan Mengambang


Awal malam itu, dalam pada aku tidak ada 'rasa' sejak akhir-akhir ini, aku terasa kecil hati, dengan mak. Kisahnya, tak perlu dipanjangkan disini. Tapi, pendapat aku, dalam menghormati orang tua, jangan sampai kita memendam terlalu banyak rasa. Binasa diri dan perhubungan akibatnya dikemudian hari. Adalah lebih bagus bersikap terbuka dan saling berbincang sekiranya ada apa-apa.


Dan malam itu aku bawa hati yang 'kecik' itu keluar merayap. Memandu malam selepas berbulan-bulan lamanya aku tidak keluar malam. Mujur dalam 'kecik hati' dan melayan perasaan itu, aku tidak kekok memandu.


Batu Buruk rupanya sangat meriah apabila malam. Manalah aku tahu sebab sudah lama sungguh aku tak keluar waktu malam. Ada dua kiosk yang aku tidak tahu sejak bila kewujudannya di situ, bertentangan dengan pintu masuk restoran A&W. Satu kiosk menjual air, dan satu lagi kiosk menjual donut ala-ala Big Apple, dengan nama Big Boss. Tapi, sungguh, pada aku rasanya lebih sedap dari donut Big Apple kerana rasanya yang elok-elok sahaja manisnya. Tidak manis melenting!


Ada ramai budak-budak 'pixie' mengayuh fixed bike berpuak-puak dimana-mana. Playground, penuh dengan budak-budak dan mak badak, opppsss.. bapak budak-budak. Ada disediakan perkhidmatan mengambil angin malam dengan kereta kuda, tapi aku tidak tahu berapa bayarannya untuk sekali naik. Ada juga motor kecik roda tiga yang disewakan kepada pengunjung, dan menderu-deru atas pasir pantai dalam cahaya lampu limpah. Meriah sungguh!


Tak lama aku disitu, aku sambung membawa hati lara pusing-pusing bandar. Akhirnya jam 10.30 malam, aku mengadap nasi goreng Thai dan mee goreng untuk Aisya di restoran Ananas di Batu Sembilan, yang jaraknya hanya lebih kurang 10-15 minit dari rumah. Pulang jam 11, mak ayah sudah tidur. Cik belum pulang.


Hati aku kecik sampai keesokkan harinya.

Dec 11, 2011

Antara 'bajet' dan 'budget'

Ada banyak sangat mahu bercerita, ada banyak sangat idea untuk berkongsi. Tetapi, taip.. taip.. taip... akhirnya tinggal dalam kotak draft sahaja. Macam tak menjadi jer. :(

Baca kisah budak-budak sekarang minat K-pop, kurangnya budi bahasa dan adab, macam-macam menerpa di fikiran. Berebut-rebut idea nak keluar, akhirnya satu aper pun tak ada.


Tapi baca salah satu komen kat blog yang dihebohkan itu, aku teringat kat Aisya yang sesekali bila bercerita tentang kawan-kawan sekolahnya, terkeluar perkataan 'bajet' dari mulut dia. Contoh ayat, 'dia bajet sangat!', dan aku pernah bertanya, 'bajet tu aper?'. Hahaha... nampak sangat aku dah tua, tak tahu perkembangan budak-budak dan k-pop2 ni!

Dan... aku ingat perkataan 'bajet' tu, dia dan kawan-kawan dia kat sekolah kat Terengganu ni sahaja yang guna, rupa-rupanya ianya adalah perkataan biasa di kalangan budak-budak sekarang. Dalam komen itulah buktinya. Dia ada guna perkataan tu. Hahahaha....


Serius aku tak jelas makna sebenar 'bajet' tu.. kalau 'budget' tahu la aku, lebih-lebih sekarang semua orang duk berebut borang bantuan rm500, yang dijanjikan dalam perbentangan budget 2012. Sebab aku tak faham maksud 'bajet' Aisya, jadi aku cakap dengan dia, aku tak suka dia guna perkataan tu.

'Ape bajet-bajet ni Dania, mama tak faham la. Tak payah guna la perkataan tu, macam busuk jer bunyinya.'

Hahahahaha....

Dec 7, 2011

Potong astro demi anak. Hehe..

Semalam dapat link ini yang dikongsikan di facebook. Sungguh, selama ini mana aku tahu yang kita boleh check keputusan peperiksaan anak kita secara online begini. Aku tercari-cari pula no. sijil lahir atau kad pengenalan Aisya. Aisya tak ada kad MyKid sebab dulu pernah aku nak pergi buat, staf kat JPN tu kata tak perlu buat sebab Aisya lahir tahun 2003. Lepas tu aku tak pergi dah walaupun aku rasa staf tu mungkin samada tak tahu atau saja tak nak layan, sebab orang lain elok jer pergi buat MyKid. Jadi, Aisya ada sijil lahir atau surat beranak sahaja, yang semestinya aku simpan sahaja kat rumah. Mujur kebetulan ada kad public library dia dalam purse aku. Ada no. kad pengenalan dia disitu.


So, inilah keputusan exam Aisya sepanjang tahun 2011. Tidaklah cemerlang, tetapi Alhamdulillah.



Sebenarnya untuk peperiksaan akhir tahun baru-baru ni, cikgunya tak sempat nak bagi dan isi buku laporan, malah kertas-kertas periksanya banyak yang tak dapat. Jadi aku tak tahu result semua subjeknya. Itupun cikgu cuma sempat bagitau kedudukan dalam kelas, dan jemputan untuk menghadiri hari penyampaian hadiah kecemerlangan.


Yang 28/85 tu adalah kedudukan dalam darjah. Bagus juga anak aku yer. Hehe..


Tahun depan darjah 4 iaitu tahap dua. Aku mula berkira-kira hendak potong Astro di rumah. Rancangan-rancangan di Astro ceria bukan sesuatu yang boleh membantu dia, lebih-lebih lagi kartunnya dalam bahasa melayu! Dah la mahal. Boleh jimat sikit, tambahan pulak bil elektrik kat rumah sejak lepas raya puasa lepas, asyik rm50 ke atas. Kat bahagian mana ntah yang makan api banyak sangat!

Nampaknya tahun depan kena tengok masterchef kat internet la pulak. :D

Dec 5, 2011

Tak Ada Perasaan

sudah hari ke enam disember tahun dua ribu sebelas, hari ke sepuluh bulan muharram. kerja tender menender selesai, siap sekali dengan anggaran tender. sekarang tunggu tender tutup sahaja untuk mengkelam kabutkan diri dengan laporan tender pula. itupun rasanya kekelam kabutan itu mungkin agak kurang sebab tender terpilih, bukan terbuka. kalau terbuka memang ada dua tiga puluh tender untuk di nilai. kalau terpilih, tak sampai sepuluh barangkali.

projek yang sedang dikendalikan, sudah kurang kerenahnya. banyak prosedur yang telah diselesaikan, dan hanya menunggu kelulusan untuk langkah seterusnya. kerja di tapak bina juga sudah hampir ke penghujungnya.

jadi, apa yang aku buat di pejabat? dua hari lepas, separuh hari dihabiskan memandu pergi balik ke paka, dan singgah di tapak bina bagai lalat menghurut nasi sahaja. sekejap sangat untuk satu perjalanan pergi balik selama hampir tiga jam setengah. petang, bersantai di pejabat sambil mengadap ntah haper-haper di komputer meja.

mukabuku? ah.. aku bukan kaki mukabuku. aku ngadap mukabuku sebab nak tengok gambar anak saudara yang dirindui sahaja. blog? semua aku baca, sehingga tak ada lagi yang aku nak baca. skype dan ym aku sepi. blog sendiri? entri baru? aku taip, aku padam. aku padam, aku taip. akhirnya aku tekan x.

bosan juga yer, hidup tanpa masalah ni. hahahaha....


err... aku dah hilang rasa barangkali.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...