Iklan

Jan 3, 2012

Aisya Akhirnya Naik Kelas

Bismillahirrahmanirrahim...


Alhamdulillah.... akhirnya Aisya naik kelas juga. Dari darjah satu hingga darjah tiga, dia di kelas Arif iaitu kelas no. 2. Tahun ini, dia ke kelas no. 1, kelas Bestari. Dia seronok, aku juga gembira bercampur risau. Kalau sebelum ini setiap kali exam kedudukan dalam kelasnya bawah daripada sepuluh, tahun ini bagaimana agaknya. Dia kena berusaha lebih untuk berada dikedudukan itu. Aku ingat lagi, Busu dulu pernah menangis sebab tiba-tiba dapat nombor lebih dari sepuluh, sedangkan biasanya dia dikedudukan satu hingga lima sahaja. Aku pasti, Aisya pun ada kemungkinan menangis juga kalau itu terjadi. Hahaha...


Sebenarnya aku okay sahaja bila dia di kelas Arif, walaupun kekadang ada rasa sedikit tidak suka bila ada yang membandingkan dia dengan sepupunya yang di bangku kelas Bestari. Asalkan dia rajin belajar, keputusan exam dia tidak teruk sangat, dia ada usaha untuk menyiapkan kerja sekolah, dia tidak over bermain pada waktu petang sehingga maghrib baru nak masuk rumah, dia sembahyang bila disuruh, dia pandai mengaji Quran, dia pandai menghormati orang tua, kelakuannya terkawal dan elok, syukur Alhamdulillah. Dia sedang membesar, dia sedang belajar semuanya. Sedikit-sedikit, tidak terlalu drastik dan bukan dalam paksaan.


Untuk tahun baru ini, aku sudah mendapat idea bila waktunya hendak menegur dia. Selepas sembahyang maghrib, sebelum mengaji Quran. Nampaknya dia boleh menerima dengan baik, dan aku juga dapat mengawal diri dengan baik.


Ya.. kadangkala aku rasa lebih baik teguran yang lembut, daripada marah-marah. Dan aku adakalanya tidak dapat mengawal marah aku bila dia membuat silap seperti tidak menyangkut tuala selepas mandi. Marah pun tidak jadi apa jugak. Ishh..


Dan untuk tahun ini, aku hendak lebih disiplinkan dia. Mak ada bercerita, dia ada dengar orang itu, orang ini tengah cari tempat nak hantar anak diaorang tusyen. Nak cari tempat terbaik. Mendengarkan itu, teringat aku nasihat seorang kawan. Katanya, tusyen tu, perlu untuk seorang budak yang dirumah tiada siapa yang hendak menunjuk ajar mereka. Kalau ibu bapa ada masa, boleh mengajar sendiri, kenapa perlu dihantar tusyen. Ya, Aisya aku hantar tusyen belajar membaca ketika awal tahun darjah satu, untuk beberapa minggu, tetapi kemudian aku mengajar dia sendiri sehingga dia boleh membaca dengan lancar dalam tempoh sebulan sahaja, selepas aku sendiri mendengar dia belajar di pusat tusyen itu.


Kalau zaman aku dulu, mana ada tusyen-tusyen ni semua. Semuanya kena belajar sendiri di rumah. Tapi dulu tak ada kemahiran hidup, sivik dan kewarganegaraan, kajian tempatan, bahasa arab, pendidikan kesihatan dan pendidikan jawi, di sekolah rendah! Sekarang untuk tahun 4, Aisya ada 12 subjek untuk dipelajari! Sungguh, aku pula yang tidak berpuas hati. Kenapa perlu sebegitu banyak subjek, sedangkan nanti untuk Upsr ada 5 subjek sahaja.


Nampaknya, nanti aku kena tengok sendiri perkembangannya, samada dia perlukan tusyen diluar ataupun tidak.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...