Iklan

Oct 30, 2012

Bila Adik Sudah Pulang KL

Bismillahirrahmanirrahim...

Sejak petang semalam (ahad), rumah kembali kepada keadaan asal, sunyi, sepi dan tenang. Langit biru dan angin nyaman bertiup membuatkan mata juga tidak berapa mudah untuk terus terbuka. Terlena sebentar di ruang rehat di tepi pintu belakang beralaskan tikar mengkuang, sebiji bantal, tangan masih memegang pen dan terconteng suratkhabar lama 'The Star'. Sebenarnya sedang menyelesaikan 'SUDOKU' yang terdapat dalam suratkhabar itu. Langit November terus membiru hingga ke senja.


Ini rahsia saya, yang mungkin bukan rahsiapun sebab terlalu menonjol pada perbuatan dan perlakuan. Tapi, perasaan saya tidak pernah saya luahkan, pada siapa-siapa. Adik (anak kedua Busu itu) merupakan anak saudara yang paling saya sayang. Hehe... Rambutnya kerinting dan dia berkulit cerah berbanding abangnya. Ya, saya biased, saya lebih gemarkan budak-budak atau baby yang comel, putih dan bersih. Hahaha... Tidak bererti saya tidak sukakan anak-anak saudara saya yang lain, semuanya saya sayang dan ada waktu-waktunya saya suka layan (bawa ke mana-mana, buatkan makanan, belikan apa-apa, dan lain-lain), tetapi jelas, saya lebih sayangkan Adik. Nama dia Afiq Asyraf.


Tiga minggu adik di kampung, setiap petang pulang dari kerja, dia yang berkejar dulu ke pintu sambil menjerit 'Alang! Alang!'. Sesekali saya terbayang, Aisya ketika umur begitu, pun menjerit-jerit memanggil 'Mama! Mama!' Sekarang, sesekali dia sambut saya pulang dari kerja dengan terus menuju ke kereta dan membukakan pintu kereta untuk saya. :)


Malam tadi, tiada lagi kedengaran cakap-cakap adik yang jarang putus. Ada sahaja persoalan selepas setiap jawapan. Rumah senyap sunyi dan bagi menghabiskan masa yang dirasakan panjang sebab waktu maghrib sekarang awal (lebih kurang 10 minit sebelum 7 malam) saya ambil kesempatan buat marathon beberapa episod Adam & Hawa. :D Sesekali kedengaran emak mengulang cerita tentang kebiasaan adik pada waktu-waktu begitu. Minta susu dan nak susu banyak, berak di belakang langsir bilik emak (dalam pampers), main game Ipad sampai tertidur, dan lain-lain cerita.


Segalanya akan kembali kepada keadaan asal sedikit hari lagi. Saya dalam proses merancang aktiviti cuti sekolah yang lebih bermanfaat untuk Aisya. Oh.. sudah seminggu cuaca baik sekali untuk jemuran, panas. Langit biru dengan awan bertompok-tompok. :)

2 comments:

  1. Dah sunyi balik lah yer?

    Saya dah berminggu tak tgk langit biru dengan awan tompok2 :) langit kelabu saja.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Sunyi, tenang...

      Dah berapa hari juga hujan kembali mencurah-curah, hampir setiap hari... Dah musim dia kan.. :)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...