Iklan

Nov 11, 2012

Antara Ruby Hazri, Noor Suraya dan Hlovate.

Bismillahirrahmanirrahim...

Sekolah sudah habis untuk tahun 2012. Budak-budak semua sedang seronok mula bercuti, bangun lambat, tengok tv cerita kartun, mandi hujan dan bermain di baruh! Manakala cikgu-cikgu sekolah pula sibuk tayang kat mukabuku perjalanan pergi bercuti. Saya dipejabat, rasa hilang semangat hendak bekerja. Padahal ada banyak kerja kena selesaikan, esok pula ada meeting dan selepas itu saya juga akan mula bercuti. Biasanya saya jarang terkena sunday blues, tapi hari ini saya tidak dapat mengelak. Ianya kerana ada banyak dokumen perlu disiapkan dalam tempoh terdekat ini. Ada waktu-waktunya bila banyak kerja, saya mula mengalami situasi di mana 'pegang itu tidak kena, sentuh ini tidak jadi' dan akhirnya satupun tidak siap!


Dalam cuaca sejuk dengan hujan sekejap-sekejap begini, yang paling saya ingin buat ialah duduk di kerusi malas, dengan bantal paling selesa di riba, mengadap tingkap kegemaran dan hujan berlagu diluar, sambil membaca novel. Ah.. bahagianya dunia.


Lama sudah sebenarnya tidak membaca novel. Novel terakhir yang baru saya tamatkan ialah Kopi Susu Sepatu Biru karangan Ruby Hazri. Itupun selepas berbulan-bulan! Dulu saya terpikat dengan cara penyampaian Ruby Hazri gara-gara novel Percayalah. Tapi novel itu meleret pula dalam Percayalah... Akhirnya, yang saya baca secara rambang sekadar mahu tahu penghujung cerita. Masih akhirnya saya rambang mata ketika International Bookfair awal tahun lalu di PWTC lantas saya capai 2 buah buku Ruby Hazri, salah satunya Kopi Susu Sepatu Biru itulah, dan satu lagi saya lupa tajuknya, masih berbalut plastik kemas di rak buku. Kemudiannya walaupun saya sudah agak bosan dengan cerita-cerita Norhayati Berahim dalam novelnya yang sudah jadi seperti tengok slot Akasia atau Samarinda, tetap saya terpikat dengan 'Menunggu Keretapi'. Itupun masih juga berbalut kemas dalam plastik lutsinar.



Suku akhir novel Kopi Susu Sepatu Biru, baru saya ada keinginan untuk membaca sampai habis. Dan pantang ada waktu terluang, saya akan mengadap buku itu walaupun sekejap (seperti biasa apabila saya sudah tertarik pada satu-satu buku). Waktu-waktu tersebut adalah seperti berikut :-
1. Sementara menunggu toner kering.
2. Sementara menunggu pelembab meresap ke kulit.
Gara-gara dua perkara di atas, saya adakalanya terlambat beberapa minit masuk ke pejabat.
3. Waktu rehat sekejap apabila pulang dari kerja jam 5 petang, sebelum mandi dan solat asar.
4. Selepas makan malam dan solat isyak (kalau tak menonton tv), sehingga waktu masuk tidur.
5. Sebelum tidur (sekiranya saya menonton tv - ada movie best). Sesetengah novel boleh menghalau terus rasa mengantuk saya sehingga jam 3 pagi!


Nampak bukan, sebenarnya masa yang saya luangkan yang saya ada sebenarnya tidak banyakpun. Dan novel yang tidak setebal mana itu pun, lambatnya nak saya habiskan. Berbulan-bulan akibat tidak ada tarikan yang kuat. Dah habis baca yang itu, baru kembali semangat untuk meluangkan masa dengan novel-novel yang agak lama terpinggir. Saya sambung dengan novel lama Noor Suraya, Nyanyian Tanjung Sepi. Baru beberapa mukasurat, saya kembali bosan. Nama watak utama, yang panjang, Syarifah Nuur Khalida diulang-ulang setiap ayat. Bukunya tebal, munasabahlah awal penceritaan watak utama masih di bangku universiti. Saya bosan kerana saya jelas, banyak sangat cerita orang itu, orang ini di dalam novel itu. Lantas saya berhenti di situ (baru 20 mukasurat mungkin).


Saya kembali kepada Hlovate, yang pernah saya pinggirkan kerana terasa seperti cerita budak-budak. Saya mahukan sesuatu yang berbeza, dan Hlovate berbeza walaupun cara penyampaiannya tidak serasi dengan jiwa saya. Awal cerita K2 dalam Contengan Jalanan setakat ini masih boleh menarik saya untuk terus membaca. Tengok nanti apa kesudahannya.


Kalau Hlovate tidak berjaya meraih minat, novel Habiburrahman El-Shirazy ada sedang menunggu. Ketika Cinta Bertasbih mungkin sehebat Ayat-Ayat Cinta. Tinggi harapan saya.





4 comments:

  1. Salam Sue,
    Saya dah lama tak baca buku Norhayati Berahim sebab saya rasa jalan penceritaannya sama dalam kebanyakan buku dia.

    Nyanyian Tanjung Sepi tu saya suka walaupun agak meleret. Buku berkenaan penuh dengan 'perasaan yang tertahan dan tersekat'. Saya baca lebih daripada dua kali sebab suka dengan watak-wataknya yang masing-masing mempunyai karekter tersendiri. Saya difahamkan ada antara wataknya berdasarkan individu yg benar-benar wujud.

    Apa-apa pun, buatlah apa yang kita suka Su, jadi hidup akan terasa lebih bermakna..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam LW,

      Saya suka komen u tentang 'perasaan yang tertahan dan tersekat'. Nampaknya kena sambung baca novel itu nanti. Mahu merasai 'perasaan' itu lagi. :)

      Memang hidup lebih bermakna bila dpt buat apa yg kita suka, cuma ada ketikanya keadaan memaksa sebaliknya.

      Delete
  2. Saya sangat suka Hlovate pulak. Walaupon mmg ada sedikit kebudak2an tapi faktanya masih lagi matang.

    Ada tulisan yang matang tapi rapuh faktanya macam Norhayati Ibrahim yang kadang2 agak terlalu similar. Tp saya suka juga, sebab dia selalu mencuba itu dan ini dan kita boleh nampak cubaan tu sebenarnya:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Novel Hlovate, mungkin tak sesuai dengan saya (saya rasa itu yg sebenarnya) yg menyebabkan saya rasa novelnya sedikit budak2. Tapi betul, faktanya matang dan sgt menarik sebenrnya.

      Mungkin saya perlu cuba yg lain selain NB Kara. :)

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...