Iklan

Feb 26, 2013

My Version - Kek Coklat Cip Mudah dan Sedap

Bismillahirrahmanirrahim...

Pada suatu hari yang tenang itu, aku terfikir hendak membakar sesuatu. Sesuatu yang boleh dimakan. Semestinya bukan ubi kayu, sebab membakar ubi kayu hanyalah aktiviti yang tinggal kenangan sahaja. Lagipun mana nak dicari ubi kayu. Pokoknya ada, isinya belum tentu.


Fikir punya fikir, maka teringat akan coklat cip yang ada beberapa paket. Kononnya dibeli untuk buat biskut coklat cip masa kenduri cukur jambul anak saudara, tapi tak jadi. Nak buat biskut coklat cip, cam leceh la plak. Maka aku 'google' la resepi kek yang letak coklat cip, yang senang-senang.


Dan, aku jumpa.


Dan aku ubah resepinya sesedap rasa aku, mengikut apa yang ada didapur.

Hasilnya?




Bahan-bahannya :

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung berpenaik sendiri (aku guna tepung blue key)
1 sdt baking powder
1/2 sdt soda bikarbonat
secubit garam (resepi asal tak letak)

1/2 cawan gula kastor (resepi asal guna 3/4 cawan gula)
1/2 cawan mentega
1 sdt esen vanila
1 cawan buttermilk (resepi asal guna susu biasa)

Cara-caranya :

Campurkan semua tepung, baking powder, soda dan garam. Ayak bersama. Ketepikan dulu. Dalam bekas lain, pukul mentega dengan gula hingga sebati. Jangan risaukan gula yang tidak hancur. Masukkan vanilla, sebatikan lagi. Dan kemudian masukkan buttermilk. (aku buat sendiri buttermilk, hasil meng'google' pasal buttermilk, secawan susu segar + sesudu besar cuka (biasanya aku gunakan apple cider), biarkan sebentar selama 5 minit). Gaul-gaulkan.

Akhir sekali masukkan tepung tadi, sedikit demi sedikit gaul sebati. Adunan adalah agak pekat. Kali pertama buat, aku sangat bimbang kek akan jadi keras. Biasa adunan kek coklat aku cair. Adunan sebanyak ini, sesuai dengan loyang petak kecil, maaf tak pasti saiznya.

Macam biasa, sebelum dimasukkan dalam oven, oven hendaklah dipanaskan terlebih dahulu. Kepanasan bergantung kepada oven masing-masing. Oven aku, seratus lima puluh darjah celcius. Sapukan mentega pada loyang, tabur nipis tepung. Tuang adunan dalam loyang, dan bakar selama mana mahu... eh, sehingga masak. Lebih kurang setengah jam kot. 

Eh.. mana coklat cip. Dah la dalam bahan tak der, dalam cara-cara pun tak sebut. Aper ni... Penipuan resepi ke aper ni????

Hahaha... aku baru sedar, aku terlupa nk letak coklat cip. Bukan dalam kek aku, tapi dalam resepi di atas. Sorry.. hehe. Coklat cip letak 1/2 cawan, masukkan sebelum digaulkan adunan dengan tepung. Akhir sekali, tabur juga coklat cip kat permukaan kek supaya nampak menarik untuk dimakan. Kalau rajin, susun elok-elok. Aku main tabur sesuka hati aku.

Oh.. satu lagi, kalau gunakan coklat cip jenis manis, kurangkan gula. Resepi aku ni, gunakan coklat cip yang jenis manis (aku main hentam beli jer). Sebab itu aku kurangkan gula kepada 1/2 cawan sahaja. Kali pertama buat, aku ikut resepi asal, guna 3/4 cawan gula dan coklat cip dari paket yang sama, mak kata manis sangat. Aku pun rasa manis, tapi tak der la manis sangat hingga tak boleh makan. Kali kedua buat, aku masukkan 1/2 cawan gula dan rasanya sedang elok sahaja.

Ok, ini serius. Resepi ini ringkas, tapi hasilnya sangat memuaskan hati. Cubalah yer.



Feb 24, 2013

Aku Marah dan Aku Makan Banyak

Bila aku marah, memakan dengan banyak seolah tidak tahu erti kenyang, adalah sesuatu yang berlaku pada aku. Ianya adalah suatu nikmat pada aku sebenarnya, sebab aku memang seorang yang susah untuk makan banyak, seorang yang cepat kenyang. Perut aku kecil barangkali. Usus pun mungkin tak panjang mana. Hahaha... Untuk bertemu keadaan itu, ibarat menunggu cicak jatuh dari siling. Ada, sesekali dan jarang.


Dan seperti tadi, selepas menghabiskan sepinggan nasi dagang jam 11 pagi lebih kurang, aku boleh pula menyambung dengan mee hoon sup jumbo pada jam 1.00 tengahari. Kalau hari-hari biasa tanpa perasaan marah yang membuak, jangan harap aku dapat makan begitu!


Oh.. ianya bagus untuk aku yang sedang merancang untuk gemuk sedikit. Aku benci bila orang menegur, 'Kurusnya!'. Eh.. adakah ini bererti aku kena selalu marah? Supaya aku dapat makan banyak dan lambat rasa kenyang?


Ishh.. teringat carekarama malam tadi, 'Jangan Ganggu Aku'. Perasaan marah memberikan idea untuk menghasilkan lukisan yang terbaik. Bahaya wooo...


Feb 21, 2013

Makan Untuk Hilangkan Tekanan

Bismillahirrahmanirrahim...

Lamanya tidak bercerita di sini. Lamanya tidak menaip panjang-panjang, tapi cuma menaip sedikit dan meninggalkan banyak draft dalam senarai entri. Bersusun-susun draft yang pendek ada, panjang pun ada. Masuk blog, selain daripada menaip draft yang akhirnya ditutup sahaja di penghujung hari, aku lebih rajin menjenguk ke 'rumah-rumah' jiran yang rajin update cerita terbaharu. Tapi jiran sekampung di alam nyata, tidak pula aku berkunjung walaupun ada sahaja cerita setiap hari. Mana nak sempat oii.... Petang-petang sekarang jarang sangat sempat menjenguk laman. Pokok duku pun agaknya dah banyak yang masak... dah habis dipokok pun! Isshh...



Buah duku yang ala ala baru nak masak ni, memang kesukaan aku. Masam masam manis rasanya, sedap! Habis yang rendah rendah, yang tercapai di tangan, dek tangan aku. :D

Bercerita pasal makan, saya dan mak selalu bersepakat tentang ini. Itu antara sebab kami jarang sangat pergi makan di luar. Kalau setakat hendak makan nasi goreng (apa-apa jenis sekalipun) atau lauk tom yam dengan telur dadar dan kailan ikan masin (yang selalunya kami pesan sekiranya kami makan diluar), kami selalu merasakan lebih baik kami masak sendiri di rumah. Ini kerana lauk yang dimasak dikedai itu kadangkala kurang sedap pada lidah kami. Oh... tak semua. Ada yang sangat sedap tak terlawan. Contohnya di sebuah restoran di area Taman Melati (oh.. ada kenangan manis di situ, aku tak nak ingat.. benci!), tomyam putihnya sedap sungguh. Entah apa yang tukang masak dia letak. Aku syak air nyior, sebab aku pernah diberi resepi menggunakan air nyior dalam tomyam tapi tak pernah buat sebab setiap kali nak buat tomyam air nyior plak tak der.

Puding karamel yang aku buat ikut resepi Puan Nani Rostam ni, berkali ganda lebih sedap dari kat kedai yang jual RM2.50 sepotong kecil dengan rasanya yang pahit! Hairan aku, apa agaknya diaorang fikir bila menjual makanan tidak sedap (adakalanya langsung tidak boleh dimakan) kepada pelanggan. Pada aku, ianya suatu penipuan!

Kalau nak makan western food, sah-sah kena cari kat luar. Mana reti aku nak buat benda alah tu.

Bercerita pasal makan lagi, aku suka sungguh tengok Nadiya Anissa (Ain Hawani) tu makan dalam drama Adam & Hawa. Cara dia makan tu, nampak bersungguh, macam bukan berlakon. Dan nampak sedap! Dia makan rambutan pun nampak macam sedapnya rambutan tu. Padahal rambutan jer pun.

Cara memasak antara rumah kita, dengan rumah jiran kita, tak sama. Masak lemak kobis mak buat, tak akan sama dengan makteh sebelah rumah yang buat. Apa-apapun tetap sedap yang mak kita masak.Kalau yang dah kahwin, lagi-lagi masalah bab-bab makan. Kenapa seorang isteri selalunya belajar memasak dengan mak mertua, adalah kerana seorang suami susah nak 'masuk' dengan cara masakan isteri atau mak si isteri.

Keluarga kami (semasa aku kecil) pernah berkongsi makanan, sepertimana kita selalu baca dalam novel-novel atau sebagaimana biasa dalam drama melayu. Dan cara sebegitu seakan meresap menjadi sebahagian daripada diri kami. Sebiji epal dipotong enam atau lapan (termasuk untuk mak ayah). Ikan goreng, seekor dicubit-cubit sedikit seorang. Sampai sekarang, kami masih begitu walaupun buah epal selalu sahaja ada stoknya, dan ikan digoreng cukup untuk seekor sorang. Tapi mak masih suka kupas kulit dan potong epal sebelum makan. Pada aku, epal lebih sedap rasanya yang tidak di potong, terus digigit begitu sahaja. Oh... epal hijau sedap dipotong kiub dan ditabur sedikit garam.


Makan-makan di restoran cina muslim atas Bukit Antarabangsa, sedap tapi terlebih masin la plak. Mak tak berapa suka. Butter prawn dengan sotong goreng telur masin.

Sayur campur kot, di restoran cina muslim tu juga. Pun tak sedap sangat. Pada aku, kombinasi sayur itu tidak kena. Bendi dicampur dengan terung, kacang panjang dan kacang botol. Langsung tak kena!

Di restoran pegaga (rasanya begitula nama restoran ni). Tak ada gambar makanan, sebab sampai jer makanan, kami sibuk mengisi perut. Lapar sangat baru sampai dari Terengganu. Walaupun adik yang bayar, mak kata, harganya tidak berbaloi. Mahal, tetapi tidak sedap sangat. Boleh tahan la rasanya. Tapi untuk kali kedua mungkin tidak bagi aku. Nak rasa makanan lain, bolehlah.

Oh.. kalau tengok aku makan banyak, itu tandanya aku sedang tertekan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...