Iklan

Jan 15, 2013

Kematian King Arthur dan Seekor Anak Lembu Lahir Pramatang

Bismillahirrahmanirrahim....

King Arthur adalah suatu legenda di British yang tersohor, ada buku tentangnya, ada filem berkenaannya, dan pelbagai versi bercerita di sebalik kehebatannya. Macam cerita tentang Hang Tuah di sini, atau lagenda Mahsuri. Hang Tuah sudah mati, Mahsuri juga. Dan King Arthur yang hidup berabad-abad yang dulu, pun kesudahannya mati. Seekor anak lembu yang lahir tidak cukup hari, juga mati akhirnya.



 
Ceritanya begini,

Siang. Aku yang 'hantu' Merlin, memang teruja bila TV3 akan menayangkan episod terakhir siri tersebut selama dua jam malam nanti. Sebelum ini, aku mana pernah melepaskan mana-mana episod cerita itu. Berbanding Smallville yang adik aku selalu berlakon seolah-olah dia juga boleh terbang, aku lebih sukakan Merlin kerana latarbelakang yang pada aku lebih realistik dan semestinya sebab aku sentiasa sukakan filem / cerita orang putih yang klasik. Bergaun kembang, rumah macam istana, pemandangan yang sangat cantik dengan kuda, ladang, tasik, pokok-pokok yang rendang, dan macam-macam. Smallville terlalu banyak moden sehingga manusia boleh terbang! Oh, tapi aku layan juga Smallville dulu, bermusim-musim. Musim terakhir sahaja (Season 10) aku malas nak marathon menontonnya. Tengoklah nanti bila banyak masa terluang.


Lembu ayah yang bunting beberapa bulan lalu (mak kata sembilan bulan juga, macam manusia, aku tak tahu kebenarannya), tiba-tiba beranak minggu lepas. Ketika dalam bangsalnya, yang malam itu hujan, sejuk dan bangsal itu penuh dengan 'pendatang asing'. Kata adik, dia mengalami tekanan perasaan maka dia terberanak awal. Aku setuju. Aku juga rasa begitu. Manakan tidak, selama ini dia berdua dengan sahaja dengan anak dia yang satu lagi dalam bangsal itu, tiba-tiba malam itu ada empat lagi lembu yang ditumpangkan disitu. Lembu orang, bukan lembu ayah. Kasihannya, mungkin si kecil dilahirkan tidak cukup hari. Kuku kaki hadapannya belum tumbuh sepenuhnya, masih lembut dan dia tidak dapat berdiri. Hingga beberapa hari, tidak dapat menyusu juga hinggakan ayah kena susukan dengan botol.


Dan siang kelmarin, dia mati. Padahal pagi tu, sebelum pergi kerja, semasa menunggu enjin kereta panas, aku sempat jenguk ke bangsal sementaranya. Dia masih hidup, walau kepalanya macam tidak larat untuk diangkat. Sesampainya aku di rumah petang itu, aku tengok dia tiada di bangsal. Bila aku tanya, mak tunjuk tanah yang kuning, kubur. Sedihnya, Tuhan sahaja yang tahu.


Malam. Jam 10, selepas menggesa Aisya tidur sebab esok sekolah (dia berdegil sedikit, dia juga 'hantu' Merlin!), aku layan Merlin seorang-seorang. Mak, ayah dah tidur. Adik belum pulang. Biasalah, lelaki bujang. Jam 12, Arthur pula 'mati', dan aku tahu bukan aku seorang, tidak dapat menerima hakikat itu. Teruk betul rasanya penamat yang begitu, sedangkan itulah yang sepatutnya berakhir sebuah lagenda King Arthur.


Aku rasa pelik. Dan aku masuk tidur dengan rasa yang seperti keliru. Nak menangis ke tak ni?


2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...