Iklan

Nov 23, 2011

Banjir Oh Banjir

Melihat Aisya merenung ke luar tingkap di dapur, ke arah baruh yang sudah bertahun ditumbuhi rumput yang tingginya rata-rata sama tinggi dengan manusia, aku berkata, ' Rugi Dania tak dapat main air banjir macam masa mama kecik-kecik dulu'. Air yang banyak tetapi dilindungi rumput tinggi itu, nampak seperti tidak ada apa-apa. Tidak menarik dan tidak memberi keterujaan. Lantas Aisya hanya seharian di dalam rumah sahaja, sebentar-sebentar sahaja turun ke tanah apabila hujan reda. Itupun untuk membuang kebosanan dengan pusing-pusing kayuh basikal. Selebihnya hanya aktiviti indoor sahaja, seperti ajak nenek atau cik bermain batu seremban, timang-timang bulu tangkis dengan raket badminton, melukis gambar tv lengkap dengan rak tv, pasu dan gambar di dinding belakang tv, membaca majalah-majalah sayang muslim atau ujang (majalah lama tahun 1990-an yang masih aku simpan), tengok cik bermain game di pc, sesekali tengok movie, tidur (jarang sangat), sibuk-sibuk dengan nenek di dapur, kekadang teman tokki naik kereta tengok air di kampung orang atau ke pasar beli kuih, dan...hmm.. rasanya itu sahajalah aktiviti dia buat sementara ini.


Hujan di Kuala Terengganu tidak seteruk di Hulu Terengganu atau di mana-mana tempat yang sudah dilanda banjir. Sudah dua malam hujan yang luar biasa sangat lebatnya turun sekitar jam 1 hingga 2 pagi, hinggakan aku terjaga dari tidur dan terus tak dapat nak lelapkan mata lagi. Hingga hujan berhenti selepas sejam atau dua, baru aku lena semula. Malam tadi, hujan lebat sekejap sahaja sekitar jam 1 pagi. Siang, biasanya hujan sekejap-sekejap sahaja, tidak berpanjangan. Alhamdulillah.


Banjir adalah suatu malapetaka sebenarnya. Tapi hujan satu rahmat Tuhan. Yang dikatakan menjadi kerugian kepada Aisya adalah dia tidak dapat menikmati hujan sebagaimana yang dirasai oleh aku masa aku seusia dia berpuluh tahun dulu. Hujan yang lebat dengan baruh yang baru ditenggala, bersih dari rumput, dipenuhi air bagaikan tasik yang luas terbentang, adalah suatu kenikmatan yang sukar diucapkan dengan kata-kata. Memang tidak senang duduk kami di rumah bila sahaja hujan menderu lebat. Mandi hujan, ianya boleh dikatakan acara wajib setiap kali hujan lebat. Paling tidak pun, sekiranya air tidak banyak di baruh, laluan air tepi pagar dan bekas laluan motosikal di depan rumah yang bertubir agak tinggi menjadi tempat kami bermain perahu kertas. Kekadang bukan perahu yang meluncur, dengan kami-kami sekali meluncur. Seronok sungguh.

Itu sekitar tahun 80-an. Semasa aku dan abang yah masing-masing di sekolah rendah. Jarak umur antara kami 3 tahun sahaja. Kekadang aku terfikir, di mana adik aku yang berdua itu masa itu yer? Kenangan aku masa kanak-kanak lebih banyak melasakkan diri mengikut abang yah ke sana ke mari bermain bedil buluh, panjat pokok, panjat bukit, mancing ikan di baruh, panjat atas atap rumah, dan macam-macam. Kakak, dia perempuan sulung, banyak tanggungjawab menjaga adik yang bongsu (busu) dan menolong emak di dapur terletak dibahunya. Abang (sulung), dia sudah remaja waktu itu, dan berkawan dengan yang sebaya. 80-an, busu lahir tahun 81 manakala cik tahun 1979. Jadi budak berdua itu masih kecik waktu itu.

Menjadi budak-budak waktu itu, air naik adalah sesuatu yang ditunggu tanpa mempedulikan kerisauan mak ayah tentang banjir. Lagi pula, kampung aku memang tidak pernah dilanda banjir besar kecuali pada tahun 1986 rasanya dimana air naik sehingga tenggelam 2 anak tangga rumah. Masa tu ayah dah risau dan berkata sekiranya esok tenggelam anak tangga terakhir (ke-3) kita semua akan pindah ke Kg. Atas Tol (aku rasa sekolah rendah Atas Tol jadi pusat pemindahan banjir masa tu). Tapi alhamdulillah, esoknya air makin surut. Masa ini memang kami, budak-budak kampung berpesta sakan, tidak terkecuali aku yang perempuan. Tapi dengan pengawasan abang yah semestinya. Duduk atas pelampung tiub tayar lori sambil abang yah bawak ke tengah-tengah baruh. Wohh... seronok tidak terkata. Buat pulak rakit dibuat dari batang pisang. Zaman dulu, lintah tidak banyak seperti sekarang. Kalau air banyak, lagi lah lintah susah hendak berenang menghampiri. Dalam berani-berani aku, dengan lintah aku tetap kalah. Memang menjerit riuh sekampunglah bila lintah hinggap kat betis. Gelinya, Tuhan sahaja yang tahu. Pacat tak apa-apa. Malah aku salah seorang musuh ketat dia. Hahahaha....

Aku draft cerita ni dah beberapa hari dah.. baru siapkan hari ini. Ok, sekarang mari nyanyi beramai-ramai. Aisya hairan dengar aku nyanyi lagu ni. Dia tak pernah dengar. Hehehe...


2 comments:

  1. assalam suraya

    Bila buka cerita banjir ni, teringat masa tahun 80an dulu. Dekat KL ni pun selalu banjir masa bulan Nov hingga Dis. Rumah pula berdekatan sungai. Tiap kali hujan x berhenti 3 hari, sah2 rumah dinaikki air walaupun rumah berketinggian 5 anak tangga. Abah berniaga kedai runcit. Letih ar mengangkut barangan niaga ke pangkin yg memang sudah dibina utk letak barang2 bila banjir. Yg paling x dpt lupa satu hari tu hujan air batu turun. x lah besar mana ais tu tapi abah ambil kain batik dan kami ramai2 tadah air batu yg turun bersama hujan. menikmati ais yg ditadah dalam hujan sambil menggigil gigil ... ha33

    ReplyDelete
  2. Wassalam..

    Selalu dgr citer ttg hujn air batu, tp tk pernah berpeluang merasainya. air batu tu, cair tk? dgr2 org kata, ada org buat ubat.. betul ker?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...