Iklan

Apr 28, 2014

KK & Kundasang - Tempat-tempat Yang Aku Sempat Singgah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Tup tup timbul semula cerita cuti-cuti yang lepas, tapi tak apa, sebab cerita itu tak pernah basi dalam hati aku. Hehe.. Mana la tahu kan, kalau diberikan rezeki oleh Ya Razzaq, boleh ulang pergi lagi. Sabah sungguh an amazing place la.


1. Rumah Terbalik



Sebelum jumpa Tamparuli, kita akan berjumpa Rumah Terbalik dahulu. Ianya terletak betul-betul di tepi jalan besar. Nak masuk, kena beli tiket berharga RM10.00. Aku sebenarnya membayangkan kawasan ini luas, dengan beberapa buah rumah yang dibina terbalik. Tapi bayangan aku itu meleset sama sekali. Hanya ada sebuah sahaja rumah, yang terbalik. Di bina secara terbalik yer, bukan dibuat secara betul dan diterbalikkan sebagaimana soalan seorang budak perempuan yang satu kumpulan dengan aku masuk ke rumah itu. Di dalam kawasan rumah terbalik, ada porch dengan kereta terbalik, ada kebun bunga terbalik dan tandas juga yang terbalik. Kat luar rumah tu, kita boleh bergambar, tetapi tidak di dalam rumah. Bilangan orang yang masuk ke rumah itu juga dihadkan kepada beberapa orang sekali masuk.

Kat situ juga disediakan surau dan tandas yang sangat luas untuk kegunaan pengunjung yang menunggu giliran untuk masuk ke rumah terbalik. Juga ada kedai menjual cenderahati dan kedai makanan ringan. Keluar dari rumah terbalik akan sedikit terasa pening. Dalam rumah memang agak mengagumkan. Harus singgah, lebih-lebih lagi kerana kedudukannya di tepi jalan besar ke Kundasang sahaja.

Kami ke sini hari pertama jejak kaki di Sabah. Dari airport, terus berdesup ke Kundasang selepas singgah beli bekal serba sedikit di Giant dan isi minyak kereta. Sekitar jam 4 kami singgah di Rumah Terbalik. Sejam juga la dekat situ sebab kami terus sembahyang jamak zohor dan asar. Jam 5 baru bertolak ke Kundasang dan sejam kemudian baru kami sampai ke hotel kami.


2. Desa Dairy Farm


A must visit place! Tapi dari bulatan besar di Pekan Kundasang mengadap ke Gunung Kinabalu, Desa Dairy Farm terletak nun jauh di atas bukit sana. Kena pandu turun bukit dan naik bukit semula. Tak ada la jauh pun sebenarnya. Malah di sepanjang jalan ke sana, kita akan nampak rumah orang-orang kampung dengan kawasan perkebunan mereka di kiri kanan jalan.


Subhanallah.. dekat pintu masuk ke desa itu pun, kita sudah teruja yang teramat. Nampak pemandangan yang sangat sangat indah. Kami ke sana pada awal pagi hari ke dua. Keluar awal kononnya takut terlepas nak tengok Gunung Kinabalu. Jam 6.30 pagi kami dah berdesup ke Pekan Kundasang yang hanya 5 minit dari hotel penginapan. Singgah dulu di bulatan besar tu mengagumi ciptaan Yang Maha Bijaksana. Masa tu memang teruja habis sebab pertama kali dapat tengok Gunung Kinabalu depan mata. Macam tak percaya! Semalam petang tu, kami hanya sempat tengok sikit sahaja puncak gunung yang telah dilitupi kabus.

Desa Dairy Farm dibuka jam 8 pagi dan untuk masuk ke desa yang luas amat itu, kena beli tiket berharga RM3 sahaja. Ada kedai menjual cenderahati seperti biasa, dan susu segar juga. Sayangnya masa kami di sana, lembu-lembu berada jauh di padang. Jadi kami tidak dapat bergambar dengan lembu-lembu black and white itu.


3.Kundasang War Memorial

Ianya terletak dalam pekan Kundasang itu sendiri. Sebuah bukit kecil yang seperti Bukit Puteri di Kuala Terengganu, tapi ianya dipelihara dengan baik sekali. Untuk masuk, seingat aku kena bayar RM2 sahaja. Atas bukit kecil itu ada taman-taman yang cantik dengan bunga-bungaan macam di Cameron Highland. Juga pameran tentang Kundasang War itu sendiri.


Maka, baru aku tahu cerita tentang perang itu. Agak menarik ceritanya. Boleh google sendiri ya.

Aku singgah di sini selepas ke Desa Dairy Farm, sekitar jam 9.30 pagi. Turun dari bukit ni, sekitar jam 10 pagi Gunung Kinabalu dah hilang disebalik awan.


4. Poring Hot Spring

Dari Kundasang War Memorial, kami terus shoot ke Poring Hot Spring selepas makan nasi goreng di kedai mamak yang membuatkan aku cerry-berry. Mujur rasa nak 'membuang' itu hanya datang pada waktu yang tepat, iaitu ketika ada tandas! Hahaha...

Poring Hot Spring ni, agak jauh dari pekan Kundasang. Hampir setengah jam jugak la rasanya memandu. Nak masuk, seperti biasa kena bayar tiket lagi sebanyak RM3. Kat depan Poring Hot Spring ada masjid yang agak besar. Jadi kalau kebetulan dah masuk waktu, boleh la singgah di situ. Ada bangunan yang ada ruang pameran, tandas dan pejabat. Kat ruang pameran tu, ada sejarah tentang Poring, dan sejarahnya seperti cerita Anak Buluh Betung. Tak ada pelawat pun masuk ke situ, tapi aku dan adik aku berminat jer nak baca-baca serba sedikit sejarah dan tengok gambar-gambar.


Rupanya tempat ini sangatlah luas. Mula-mula kita akan jumpa kolam buatan dengan air panas semula jadi. Ramai orang duk mandi dan rendam kaki kat situ. Kat dalam lagi, ada trek untuk ke air terjun dan canopy walk. Air terjun tu, agak jauh dan kami tak larat nak pergi. Tapi kami memberanikan diri naik canopy walk. Untuk sampai ke canopy walk tu, kena panjat bukit dulu di trek yang disediakan. Letih la jugak panjat bukit tu. Paling tinggi canopy walk itu ialah 30m, dan kita dapat dengar dan tengok sayup-sayup di celah pokok di bawah, bunyi air sungai. Serius masa tu, aku dah ketar lutut!

Selepas penat memanjat, baru kami berehat sebentar bersama kit kat sambil rendam kaki dalam air panas.


5. Sabah Tea Plantations

Oh.. kat sini tak perlu pergi pun sebenarnya. Kami pergi, konon nak tengok the view kan, tapi tup tup teh dah habis dikutip, tinggal gondol-gondol pokok teh sahaja. Dah la jalan kat dalam tu macam.. arghh.. teruk gila. Berbukit-bukit pulak tu. Menyesal sungguh masuk ke situ!


6. Fish spa kat Tagal Sg. Moroli
Ini seperti yang aku ceritakan dalam entri yang lepas. Kalau berani dan tak geli, bagus sangat pergi sini. Sungainya yang jernih, ikan-ikan yang besar-besar dan terlebih jinak. Tapi itu sahaja la. Tak ada lain selain batu-batu kerikil sungai yang banyak sangat.


7. Kinabalu Park

Hari terakhir kami di Kundasang, selepas minum kopi di Restoran Hidayah kat Pekan Kundasang, kami check out dan singgah di Kinabalu Park sebelum balik ke KK. Aku sebenarnya tak jelas tentang Kinabalu Park ini, jadi aku memang redah sahaja memandu. Selepas bayar tiket masuk di kaunter, aku terus sahaja memandu ke Timpohon Gate, ingatkan dekat jer, rupa-rupanya jauh dan kena panjat bukit lagi! Tensen, tapi pengalaman berharga sungguh!


Memang agak tertekan jiwa memandu kereta manual di jalan yang berbukit-bukit itu, tetapi pengalaman yang diperolehi tiada dijual di mana-mana. Melihat Gunung Kinabalu di depan mata, bermacam-macam soalan pula bermain diminda kami. Oh ya, untuk pengetahuan, Gunung Kinabalu berapa di sebelah kiri kita ke memandu ke Kundasang, dan ianya sudah boleh di lihat dari Tuaran lagi! Ketika kami memandu pergi, memang kami tidak tahu langsung tentang itu menyebabkan kami langsung tidak tercari-cari atau mendongak mencari di celah awan. Lagipun masa tu petang, dan gunung hampir tidak nampak langsung. Tetapi ketika memandu pulang dari Kundasang, gunung berada di sebelah kanan kami dan kami nampak sehingga di Tuaran walaupun di sebelah petang (sekitar jam 2 petang).

Di Kota Kinabalu, kami tak sempat ke mana-mana sangat. Kami hanya pergi ke pasar malam dan pasar-pasar berhampirannya untuk mencari mutiara, ikan bilis, udang kering dan ikan masin. Murah, memang murah. Dua kotak jugalah kami borong barang-barang kering tu semua. Hehe...

Diizinkan-Nya aku ingin kembali lagi ke Sabah. Untuk melihat pulau-pulaunya yang dengar khabar, tersangatlah cantik. In sya allah. Dengan ini, lengkaplah semua negeri malaysia aku jejak. Alhamdulillah.



1 comment:

  1. Assalamualaikum...

    saya akan ke sabah bln dpn...Kinabalu Park slh satu tmpt yg saya plan utk pegi...saya nk tau la..ape lg aktiviti yg boleh kite buat kat Kinabalu Park selain dr mendaki gunung?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...