Iklan

Nov 9, 2008

Hujan

Aku suka hujan. Petang semalam hujan turun lebat sungguh. Berselang seli guruh dengan kilat sambar menyambar. Waktu itu jam lebih kurang 4.00 petang. Langit gelap sejak tengahari lagi menandakan hujan akan turun. Jadi aku awal-awal lagi telah mengangkat kain jemuran di ampaian. Jam 3 lebih, ayah keluar entah kemana. Mungkin ke kedai, atau berjumpa kawan dia di mana-mana. Cik juga tiada di rumah. Hanya tinggal aku dengan Aisya. Mujur hampir jam 4 petang ketika aku dengan Aisya sedang sibuk di bilik menyusun pakaian di dalam almari, cik pulang. Waktu itu, suasana sekeliling memang sudah gelap sangat.

Dan tidak lama selepas itu, hujan turun mencurah-curah bagaikan berbaldi-baldi air dicurahkan dari langit. Pada awalnya guruh dan kilat belum kedengaran. Tempias juga tiada. Jadi aku membuka tingkap di bilik seluas-luasnya. Melihat air hujan membasuh bumi. Melihat daun-daun berkilat kehijauan. Melihat lopak-lopak dengan rintik hujan. Melihat air hujan turun dari cucuran atap. Indahnya bumi milik Tuhan.

Aku duduk dikerusi goyang sambil Aisya duduk diriba. Kami asyik melihat air hujan yang turun dari cucuran atap. Terkenang waktu kecil dulu. Aku tidak boleh duduk setenang ini bila hujan turun mencurah. Hati meronta-ronta ingin merasa sejuk air itu membasahi tubuh, titik-titik itu jatuh ke muka. Dan aku, dengan izin emak akan berlari turun ke tanah. Melompat-lompat di lopak yang penuh air, berlari sepanjang cucuran atap, menari-nari sambil mendongak ke langit. Bermain kapal layar kertas di laluan air yang laju. Biasanya aku bermain dengan cik. Kemudian bila busu sudah agak besar, aku ajak dia pula bermain hujan. Tapi dia tidak tahan sejuk! Sekejap saja, sudah biru bibirnya, terketar-ketar di tepi rumah melihat aku masih tega melompat-lompat. Aduhhh... seronoknya!

Seingat aku, sehingga besar aku masih seronok bermandi hujan. Cuma bila dah besar, perasaan malu sudah ada. Aku hanya mandi hujan di belakang rumah di sebelah dapur, sambil diperhatikan mak yang hanya mampu menggeleng kepala tengok anak dara yang masih suka main hujan.

Sampai sekarang, sekiranya aku terpaksa meredah hujan (lebat atau tidak), aku pasti mendongakkan muka ke arah langit. Ingin merasa nikmatnya titik-titik itu mengena muka. Kalaulah aku boleh mandi hujan lagi macam dulu.. Hahaha...

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...