Iklan

Jan 3, 2009

Musim angin kuat sudah tiba.

Bismillahirrahmanirrahim...

Sebaik melangkah ke tahun baru, musim angin kuat juga bermula disini. Angin bertiup kencang hampir sepanjang hari, dan Aisya hampir berbungkus selimut setiap kali melepak depan tv. Tiada aktiviti lain yang boleh dilakukan kecuali menonton. Aku tidak membawa dia keluar untuk hujung minggu ini kerana melakukan persiapan terakhir sebelum persekolahan dia yang bermula esok. Aku tidak mahu nanti ada sahaja yang tertinggal walaupun cuma sehelai sapu tangan. Tadi aku telah menjahit lencana sekolah dia pada baju kurung sekolahnya. Kemudian, petang tadi kesemua baju dan kain sekolah sebanyak 3 pasang telah siap aku gosok licin. Kasut telah sedia, dan beg telah diisi dengan kotak pensil, pensil mewarna dan beberapa biji buku tulis.

Cuaca yang sejuk ini agak membimbangkan aku tentang bangun awal di pagi hari. Walaupun aku tahu Aisya bukan jenis yang liat untuk bangun awal dan mandi, ataupun sememangnya budak-budak seusia itu memang senang untuk bangun awal, tapi aku tetap risau memikirkan air mandian yang sejuk. Entah-entah, esok aku kena menjerang secerek air untuk dicampur ke dalam air mandian dia di dalam besen besar sebagaimana memandikan dia ketika dia masih bayi dulu. Harap-harap tidak la.


Kalau dulu ketika aku masih kecil, apa yang sangat membimbangkan pada musim ini ialah pokok-pokok kelapa sekitar rumah yang mungkin tumbang menimpa rumah. Bunyi angin kuat itu sangat menakutkan sehinggakan adakalanya tidur pun boleh terjaga. Pernah sekali sekeping bumbung rumah tercabut akibat angin kuat. Dengan bunyi yang kuat mengejutkan seluruh ahli rumah kerana bumbung itu tidak terbang, hanya terangkat ke sebelahnya. Maka, esok pagi kami semua sudah boleh melihat langit dari dalam rumah. Pokok kelapa yang banyak di sekitar rumah juga tidak pernah menimpa rumah. Walaupun banyak juga yang tumbang, tidaklah sampai menimpa rumah kerana jaraknya yang agak jauh. Dan kerana bimbangkan hal itu juga, ayah telah menebang hampir kesemua pokok-pokok kelapa yang dekat dan ada kemungkinan untuk tumbang ke rumah kami atau rumah-rumah jiran. Sekarang masih ada beberapa batang pokok kelapa di sekitar rumah dengan ketinggian yang tidak begitu dibimbangkan.


Yang seronoknya musim ini pula, budak-budak mula menangkap pepatung untuk di buat umpan memancing ikan di baruh. Caranya, dengan mematahkan seranting pokok yang rendang, pokok senduduk misalnya, dan perlahan mendekati pepatung yang hinggap di mana-mana dan 'Pap!'. Ataupun, dengan mengikat plastik di hujung sebatang kayu dalam lebih kurang sedepa panjangnya, kemudian memerangkap pepatung di dalam plastik itu. Tapi, itu dulu-dulu. Ketika aku masih budak. Ketika ramai penduduk kampung masih menanam padi, dan musim ini pastinya pokok padi sedang hidup subur menghijau. Dan angin kuat mencipta gelombang yang dipermukaan pokok padi yang terbentang luas.

Kekadang aku merasakan Aisya rugi kerana tidak dapat merasakan semua pengalaman itu. Sekarang pokok padi sudah tidak banyak. Kerana sudah makin ramai yang lebih mampu membeli beras. Jadi aku sendiri tidak dapat membawa dia berjalan-jalan di atas permatang sawah padi. Apa yang boleh aku buat, bercerita dengan dia. Tentang apa sahaja. Tentang angin, tentang sawah, tentang pepatung, ikan dan, tentang semuanya disini...

Gambar 1 : Gambar budak kecil dengan Dania Aisya dan sepupunya Qasyrina sebagai model ketika kedua-duanya sedang sibuk mencari nenek sehingga ke rumah jiran.

Gambar 2 : Gambar ke-2 di 'snap' oleh Dania Aisya di hadapan rumah jiran kami.

3 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. It seems different countries, different cultures, we really can decide things in the same understanding of the difference!
    Personalized Signature:我喜欢淮安掼蛋,靖江青儿,南通长牌,姜堰23张,常州麻将这些地方言游戏

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...