Iklan

Feb 11, 2011

Buku satu tamat dengan kedukaan

Ketiga-tiga buku yang saya beli tempohari bukanlah sebenarnya buku yang terkini di pasaran atau sedang popular juga. Antaranya memang telah lama popular dan menjadi sebut-sebutan. Dan dua lagi memang sebenarnya buku yang diterbitkan kembali oleh Pustaka Dini, mungkin kerana suatu ketika dahulu ianya pernah tersohor dan menjadi perbualan. Keduanya adalah karangan Allahyarham Prof. Dr. Hamka, yang merupakan tokoh pendakwah yang disegani dan terkenal seluruh Nusantara, sasterawan, pujangga serta ahli falsafah islam.

Satu yang saya suka bila membaca buku dulu-dulu seperti ini, ianya akan membuatkan kita khayal dan hanyut dalam perkisahannya. Malah ianya seperti si pengarang bercerita tentang kehidupan sebenar dirinya. Ayat-ayat yang disusun baris demi baris tidak ada satupun yang membuatkan kita mahu skip, tetapi mahu mengulangnya, mungkin.

Oh, saya sendiri sudah hanyut dengan cara penulisan lama yang saya sungguh kagumi.

Terbitan pertama Di Bawah Lindungan Kaabah adalah pada tahun sebelum ibu bapa saya lahir lagi iaitu tahun 1936. Bukunya nipis sahaja, tidak sampai seratus muka surat, dan jalan ceritanya ringkas juga. Akan tetapi ianya tetap mengambil masa selama dua hari untuk saya menghabiskan bacaan, selain daripada kekangan masa, juga kerana terlalu menghayati. Baris demi baris kalau boleh cuba saya sematkan dalam ingatan kerana keindahan bahasanya.

'hanya kepada bulan purnama pada malam hari adinda bisikkan dan pesankan kerinduan adinda hendak bertemu. Tetapi bulan itu tak tetap datang; pada malam yang berikutnya dan seterusnya ia kian surut..'

'nikmat hati hanya lalu sebagai khayalan belaka..setelah melayap laksana satu bayangan, iapun hilang dan tidak akan kembali lagi..'


Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck terbitan pertama pada tahun 1937, iaitu setahun selepas itu. Pertama kali mendengar tentang buku ini adalah melalui kakak yang khabarnya, itu adalah antara buku yang paling menarik pernah dibacanya. Sejak itulah timbul keinginan untuk mencari dan membaca sendiri buku itu.

Buku ketiga memang selalu di lihat di mana-mana kedai buku atau ketika pesta buku. Juga sudah difilemkan dan filemnya sudah saya tonton beberapa kali. Kerana banyak komentar tentang buku itu yang menarik belaka, dan mengaguminya, maka saya rasa saya perlu membaca sendiri buku itu dan membuat ulasan sendiri. Ayat-Ayat Cinta, semoga mengembalikan rasa cinta saya.


Sekian untuk malam ini. Saya perlu keluar sekarang untuk membeli barangan dapur yang sudah kehabisan di Giant. Nanti selepas saya membaca buku seterusnya, saya buat ulasan lagi.

Permisi.

1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...