Iklan

Oct 12, 2008

Alhamdulillah.

Syukur ke hadrat Ilahi. Seindah bunga-bunga itu, begitulah aku pada hari ini. Sedikit kerisauan yang bertapak dalam diri semenjak bulan terakhir sebelum Ramadhan yang lalu, telah hilang. Biarpun masih ada yang perlu aku fikirkan, sekurang-kurangnya ia memberi sedikit kelegaan.

Tadi juga, ketika aku di klinik semasa sedang menunggu giliran, aku melihat dua orang wanita masuk ke klinik itu. Kedua-duanya menuju ke tempat farmasi di hadapan aku. Klinik itu kecil dan sempit sahaja. Ianya memanjang ke belakang dengan satu ruang yang kecil disediakan tempat duduk yang memanjang ke belakang, dan satu bahagian lagi adalah bilik rawatan, farmasi, stor dan tempat pendaftaran. Ketika aku masuk, ramai orang sedang menunggu. Dan nombor giliran aku ialah 16. Beberapa minit selepas aku melabuhkan punggung di kerusi di bahagian hadapan farmasi, orang yang ke 11 dipanggil masuk.

Berbalik kepada cerita dua orang wanita tadi. Kedua-duanya memakai baju kurung moden yang aku agak mungkin baju raya diaorang. Kenapa aku membuat andaian sebegitu kerana aku tengok ramai yang berjalan ke sana-sana di sekitar pejabat dan kedai makan selepas hari raya yang baru berlalu memakai baju yang kelihatannya masih baru dan tidak lusuh. Seorang daripada wanita itu bertubuh sederhana, bercakap dikaunter farmasi. Mungkin hendak mengambil ubat tanpa bertemu doktor. Dan yang menarik perhatian aku adalah wanita yang seorang lagi. Kalau dilihat dari sisi, dia adalah wanita biasa bertubuh besar (boleh dikategorikan sebagai obes). Cuma aku agak terkejut apabila dia berpusing. Tubuhnya sangat besar dan lebar, dan kelihatannya kepala dan kakinya seolah tidak sepadan dengan tubuh yang sebesar itu. Pada ketika itu, datang keinsafan ke dalam diri aku. Betapa aku lalai dan leka sejak akhir-akhir ini kerana ujian Tuhan yang bertimpa-timpa. Sedangkan aku masih boleh ke sana ke mari dengan selesa. Betapa aku terlupa dengan nikmat yang Tuhan kurnia, kerana dugaan yang sedikit cuma.

Tuhan, aku tidak layak untuk meminta-minta lebih daripada apa yang Engkau berikan. Aku tahu Engkau memberikan dugaan dan cubaan kepada hamba-Mu hanya yang termampu mereka tanggungi. Ampunkan aku Ya Tuhan.. Amin..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...