Iklan

Oct 11, 2008

Petang yang indah.

Petang ini sangat indah. Langit terang benderang dan biru sekali. Awan di sana sini bertompok-tompok putih seperti kapas. Kalau dulu, ketika di apartment permai indah pada tahun sekitar tahun 1997 sehingga 1999, aku terasa cukup gelisah sekali sekiranya hanya terperuk dirumah pada hari-hari yang indah seperti hari ini. Sayang sekali hari yang cerah itu tidak dinikmati sepuasnya. Lantas sekiranya 'housemates' tidak mahu menemani atau ada kelas, aku seperti biasa akan keluar sendirian. Sekiranya malas, hanya berjalan-jalan di taman di bawah. Dan kalau rajin, aku akan berjalan ke tasik harapan, atau keluar ke shopping complex bukit jambul, ataupun mengajak Shah menyedut udara nyaman di atas bukit dalam USM. Pemandangan di sana tidak pernah aku lupakan sehingga hari ini. Sungguh cantik.

Hari ini, aku masih dirumah. Terperuk di rumah. Hari ini sedikit aman kerana Aisya langsung tidak menyusahkan mama dia. Hanya pagi tadi sekejap aku kena pujuk dan layan dia yang tiba-tiba sakit gigi selepas makan nasi lemak. Sebutir nasi telah masuk ke celah gigi dia yang berlubang. Selepas aku buang nasi itu, gosok gigi dia, mandikan dia (pujuk la tu!), dan menyapu minyak angin ke pipi dia, dia menonton Pinggu di dapur sementara aku menggoreng meehoon. Selepas makan, aku mengemas bilik dan barang dia yang bersepah. Pada masa itulah dia terjumpa semula plastesin yang tersorok di dalam kotak di bawah almari laci dia. Jadi selepas itu, dia melayan plastesin itu sehingga langsung tidak mengganggu aku yang sempat melayan internet, dan memasak di dapur. Sehinggalah petang ni, sepupu-sepupu dia datang, dan sekarang aku membiarkan dia bermain diluar.

Dan aku pula sebenarnya, masih ada sesuatu yang bermain-main difikiran. Mencari-cari masa yang sesuai untuk berbicara dengan mak. Terfikir-fikir apakah keputusan terbaik yang perlu aku lakukan. Tertanya-tanya, pada siapakah aku boleh meminta nasihat yang terbaik. Dan, sekejap lagi mak mengajak aku ke rumah tokwan. Pergi jer la, mana tahu dalam kereta nanti aku boleh bercerita dengan mak..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...