Iklan

Oct 5, 2008

Hikmah yang tersembunyi.

Hari ini hari pertama kembali bekerja selepas seminggu bercuti (termasuk cuti raya). Dan hari ini hari ke-5 Syawal. Nampaknya masih ramai lagi yang menyambung cuti pada hari ini. Tempat parking di bawah masih banyak kosong, biarpun kedai mamak penuh dengan pengunjung pagi tadi. Aku dan kawan-kawan di sini juga tidak dapat memulakan beberapa kerja yang diberikan oleh boss di awal pagi tadi, kerana syarikat lain yang kami kena hubungi hanya akan memulakan kerja pada esok hari. Aku pasti hari ini juga, jalan-jalan utama ke Kuala Lumpur akan sesak seperti semalam. Semalam, aku telah tersekat dalam kesesakan yang aku rasa pasti lebih dari 5km. Bayangkan (kepada yang biasa dengan jalan kuala berang sahaja..hehe), dari Kuala Berang hingga ke Ajil, kereta bergerak dalam gear satu atau dua sahaja. Kereta bersusun dan ada yang berhenti ditepi jalan kerana tidak tahan panas. Barangkali, perkara itu adalah biasa kepada warga kota yang kembali ke tempat di mana mereka mencari rezeki. Aku sudah 5 tahun menjadi penghuni tetap disini. Aku pernah merasakan semua itu. Dan mungkinkah aku akan kembali merasakannya?

Sepanjang raya yang bermula 1 syawal sehingga semalam 4 syawal, internet di rumah mengalami masalah. Jadi, aku tidak berpeluang untuk 'blogging', juga melayan blog-blog yang aku suka. Hari ini, aku seperti membalas dendam pula. Melayari internet sejak pagi tadi! Satu kerja pun aku tidak buat. Sebab paling utama, of cos lah sebab aku tidak dapat menghubungi sesiapa. Semua masih bercuti!

Hari raya puasa tahun ini biasa-biasa saja. Aku menjadi tukang masak untuk memasak kerutuk ayam kampung, rendang daging dan nasi beriani pada hari raya pertama. Raya ke-2, seperti biasa mak masak nasi dagang. Aku cuma tolong mak masak kuahnya sahaja, gulai ikan tongkol. Hari ke-3, mak rebus ketupat nasi segera pada malam sebelumnya dan pagi itu aku buat kuah kacang. Pagi ke-4 aku masak nasi goreng ajer, sebab nasi sejuk semalam banyak sangat di dalam periuk. Dan pagi tadi aku sempat masak sambal untuk nasi lemak yang mak masak, sehinggakan aku terlambat ke tempat. Jam 8.20 aku masih dirumah, dan boss sudah telefon bertanya jam berapa aku akan sampai ke pejabat. Aduuihhh... apa lagi, memecut la kancil aku ke pejabat, dan 8.40 pagi aku sudah mengadap boss. Hehe...

Raya tahun ni, tak best. Aku tak berapa sihat, kena selsema. Berjangkit dengan anak saudara yang kecik-kecik lagi tu! Aku juga tidak tahu, kenapa aku tidak berapa lena tidur. Hampir setiap jam aku terjaga sehingga subuh. Dan pada Syawal ke-4, aku dapat pula berita yang sangat mengejutkan, melegakan juga barangkali, menyakitkan juga iya, membuatkan Syawal tahun ini paling teruk sepanjang umur hidup aku, membuatkan aku terasa ingin menangis tapi kenapa tiada tangisan yang keluar? Kenapa tiada air mata yang menitis? Membuatkan aku berfikir panjang apa yang perlu aku lakukan, apa hikmat disebalik semua ini...sehingga hari ini, saat ini.....

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...