Iklan

Mar 5, 2009

Ketakutan dan Keberanian

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari khamis lepas aku ke Kuala Lumpur. Memandu sendirian sepanjang jalan dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur adalah pengalaman baru. Biasanya, biarpun hanya aku yang memandu, ada emak dan Dania Aisya disebelah menemani. Kali ini entah kekuatan dari mana yang muncul aku sebenarnya hanya memberanikan diri. Antara sebab-sebabnya aku boleh pergi sendiri, kerana aku malas hendak mendengar seribu satu macam alasan bila aku mengajak seseorang menemani. Aku juga tidak sanggup untuk kecewa kerana itu. Dan aku juga faham, setiap orang punya urusan masing-masing.

Banyak risiko sebenarnya bagi seorang perempuan memandu bersendirian bagi sesuatu perjalanan jarak jauh. Malang tidak berbau. Untuk perjalanan sejauhnya hampir 6 jam dengan hanya kereta kancil, kita mungkin terdedah kepada risiko dan malang itu. Kereta mungkin rosak dalam perjalanan, di tempat yang agak sunyi. Tayar pancit atau sebagainya. Orang jahat ada dimana-mana. Kita sudah banyak mendengar cerita kemalangan yang disengajakan ataupun kereta yang tiba-tiba menghalang perjalanan. Aku cuba melawan ketakutan itu. Berfikir positif dan cuba menenangkan perasaan sebaik mungkin.

Pastinya lebih mudah bersendirian, Tidak perlu menunggu sesiapa. Boleh bertolak bila-bila masa sahaja. Boleh berhenti bila-bila masa di mana-mana stesen petrol apabila terasa hendak membuang air kecil. Boleh mendengar apa sahaja siaran radio dan dengan kuatnya tanpa perlu memikirkan perasaan orang lain. Juga boleh menyanyi sekuat hati sepanjang perjalanan tanpa perlu risau suara sumbang atau merdu. Atau sesekali boleh membaca apa sahaja doa-doa atau surah-surah pendek dengan kuat apabila dada tiba-tiba berdebar kencang. Kemudian boleh berhenti makan dimana sahaja apabila perut sudah menyanyikan lagu lapar tanpa perlu memikirkan lauk-pauk disitu menepati selera atau tidak. Akhir sekali boleh meletakkan sasaran untuk sampai pada jam berapa-berapa. Memecut dengan kelajuan yang terkawal sambil mengingati insan tersayang. Dan akhirnya mengucapkan 'Alhamdulillah' dan menjerit sekuatnya melepaskan perasaan apabila tiba ke destinasi pada masa sasaran.

Pastinya juga bertolak pulang ke kampung lebih mudah perasaannya kerana sudah ada satu pengalaman yang tidak mengecewakan. Tidak ada lagi perasaan takut dan gementar. Memandu dalam keadaan yang sangat tenang dan damai. Berhenti hanya untuk membuang air kecil dan mengisi minyak. Langsung tidak makan kerana tiada selera untuk makan bersendirian, dan seterusnya sampai dirumah dalam keadaan yang lapar sesangat!

Ianya pengalaman yang sangat baru, sangat berharga. Juga menakutkan kerana dibimbangi selepas ini mungkin akan diulangi. Harap-harap keberanian itu dibawah kawalan akal, bukan dikuasai perasaan semata.

Yer la. Takut jugak kot nanti tension-tension skit lari ke KL. Sebab dah berani pergi sendiri.

Harap-harap tidak.

Nota kaki 1 : Ok tak tajuk entri ni? Rasa cam pelik plak.


Nota kaki 2 : Aku pergi membeli tender di bangunan berhampiran bangunan di atas. Cuba teka di mana.

2 comments:

  1. ala.... budak kecik boleh la tipu... tu kan bangunan kerajaan kat putrajaya

    ReplyDelete
  2. bila masa plak i tipu.. i just suruh teka jer kan.. dan tekaan anda tepat! 10 mark for that! :D

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...