Iklan

Feb 12, 2009

Kisah seorang sahabat yang sarat.

Bismillahirrahmanirrahim...

Awal-awal tahun ni ramai sahabat yang mendapat berita bakal menimang cahayamata. Lepas seorang, seorang. Bagai satu penyakit yang menular pula. Akhir tahun nanti, mereka-mereka ini akan dipanggil mama, mami, ibu, emak, ummi, dan bermacam-macam panggilan lagi. Menurut meksi-meksi di hospital juga (diterengganu jururawat dipanggil meksi, atau staf nurse), hujung dan awal tahun merupakan bulan-bulan yang paling sibuk. Ramai yang bunting pelamin selepas berkahwin pada musim cuti sekolah yang panjang!

Sahabat di pejabat sebelah juga akan mula membuat kad pemeriksaan kandungan mulai minggu depan. Bererti kandungannya mungkin sudah menjejak 3 bulan. Kalau bersalin dihospital kerajaan, kad perlu dibuat mulai kandungan memasuki usia 3 bulan. Kemudian pemeriksaan akan dibuat secara berkala. Sebulan sekali mulai usia kandungan 3 bulan sehingga 6 atau 7 bulan. Seterusnya 2 minggu sekali dan pada bulan-bulan terakhir sebelum bersalin seminggu sekali. Seingat aku la tu. Yer la, pengalaman lama. :D

Disini, di mana-mana klinik desa tempat pemeriksaan kandungan, mereka mempunyai jadual yang telah ditetapkan. Contohnya, pemeriksaan kandungan hanya dibuat pada hari Ahad dari jam 8.30 pagi sehingga 12.30 tengahari. Klinik desa lain, mungkin hari lain dan waktu yang berbeza. Jadi, bayangkan sahajalah betapa ramainya yang mengusung perut masing-masing. Ada yang mengandung anak sulung dan tentu juga ada yang mengandung kali ke-2, ke-3 dan seterusnya. Ada yang besar perut kerana dah hampir sampai masa bersalin dan ada juga yang baru awal bulan.

Memang ramai. Bayangkan mulai jam 8.30 pagi sudah berduyun-duyun datang kerana berebutkan nombor giliran yang awal. Kalau dulu, aku suka pergi lewat tengahari. Jam 11.30 pagi baru bertolak dari pejabat. Tak sampai 5 minit kemudian, aku sudah mengambil nombor giliran. Eh.. itu ketika rutin pemeriksaan Aisya. Sistemnya sama. Sehari dalam seminggu dan masa terhad. Ketika aku mengandung, aku tidak berkerja. Tetapi aku tetap pergi lewat sebab biasanya waktu itu orang sudah tidak ramai.

Teringat aku kisah seorang kawan rapat. Aku mengikuti setiap perkembangannya setiap kali dia pergi check-up. Dari perutnya kecil tersembunyi disebalik baju kurung sehingga baju kurung terpaksa ditukar kepada baju untuk orang mengandung.

Setiap keluhan dan aduan dia, akulah pendengar setia. Bukan keluhan kerana mengandung. Isshh.. tak baik tu. Tapi, keluhan kerana keletihan menunggu terlalu lama. Bayangkan dia punya nombor giliran 7, tapi bayangkan betapa lembapnya sistem di klinik kesihatan itu. Jam 11 pagi pun belum tentu lagi giliran dia tiba. Dia ambil nombor giliran itu jam 8.00 pagi, jadi bayangkan berapa lama dia menunggu disitu. Dan ketika perutnya memboyot pun, perkara yang sama masih berulang sehinggakan aku sendiri terasa hendak memanggil Harian Metro bercerita tentang masalah di klinik kesihatan kerajaan itu.

Pernah sekali, dia bercerita. Dia berdiri di kaunter dan menghulurkan kad check-up. Penjaga kauntter disitu sedang berborak dengan kawan-kawannya yang juga bekerja disitu. Aku sudah lupa apa yang diperlukannya sahabat aku itu. Tetapi dia perlu menunggu meksi itu berbuat sesuatu yang sepatutnya mengambil masa tidak sampai 5 minit. Tetapi kerana sibuk berborak, sambil memegang kad check-up sahabat aku itu, maka hampir 20 minit dia terpaksa berdiri disitu. Akhirnya suaminya mendekati dan memarahi pekerja tersebut.

Lihatlah betapa tidak prihatinnya mereka kepada orang mengandung. Bukan itu sahaja, mereka sepatutnya memberikan perkhidmatan dalam rupa yang lebih manis. Ini mukanya masam mencuka. Bukan sahaja orang mengandung tidak diberi perhatian dan keistimewaan, malah pelanggan lain juga dilayan begitu.

Itu dulu. Sekitar tahun 2004. Aku ingatkan tahun berlalu, perkhidmatan kerajaan (terutamanya meksi) bertambah baik. Rupa-rupanya tidak. Harian Metro hari ini ada berita tentang seorang pelanggan yang dilayan buruk di sebuah klinik kesihatan daerah. Dia disergah dihadapan pelanggan-pelanggan yang ramai kerana kesilapan hari untuk ujian HIV sahaja. Dan dia cuma bertanya sahaja.

Begitulah.

2 comments:

  1. …

    ReplyDelete
  2. Bila you nak mengandung pulak?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...