Iklan

Feb 9, 2009

Kurang sihat

Bismillahirrahmanirrahim...

Aku tidak tahu siapa yang dijangkiti siapa. Mungkin panas dalam yang tidak keluar membuatkan aku rasa tubuh bagaikan tidak larat untuk tempoh yang agak lama. Dah seminggu. Mungkin keadaan cuaca juga mempengaruhi.

Sekarang, pagi sudah kurang sejuk. Tapi, tengahari matahari membahang terik. Itupun, ketika aku baring melepaskan lelah selepas penat sehari suntuk mengemas, membasuh, memasak, di katil yang sekarang di tepi tingkap yang terbuka luas mengarah ke bendang yang kosong, aku rasa seperti hendak berselimut di tengahari yang panas itu. Angin yang bertiup masuk, sejuk sungguh.

Dan sekarang, Aisya pula kurang sihat. Hampir-hampir tidak dapat ke sekolah. Tetapi mujurnya, pagi dia segar dan katanya hendak pergi sekolah. Kasihannya, balik tengahari menangis-nangis kerana sakit gigi dan demam. Semalam aku mengambil dia dari sekolah. Tak lama selepas makan ubat, dia kembali segar bugar. Malamnya kembali layu. Kasihan sungguh.

Aku pula diserang sakit tekak bila malam menjelang. Peritnya rasa yang amat. Malam tadi, aku bancuh dua sudu madu dengan dua sudu air limau nipis. Sedapnya! Tekak yang perit dan batuk ini memang jarang disuakan ubat batuk. Aku sangat tidak suka ubat batuk yang hitam pekat itu. Dan aku sangat tidak mempercayai keberkesanannya berbanding cara tradisional. Paling tidakpun aku akan buat air asam jawa pekat-pekat dan kurang manis. Kalau demam panas, kami adik beradik sudah biasa diajar membasahkan kepala dengan air lendir daun bunga raya. Tapi. jam 2 pagi tadi ketika aku terjaga dan merasa tubuh Aisya yang panas yang amat, aku cuma mengambil 'Magic Pad' yang ada dalam peti ais dan diletakkan atas dahinya. Kemudian, bila Magic Pad itu dah kurang sejuknya, aku gantikan dengan 'Cool Fever'. Mudah. Takkan aku nak turun ke tanah mengambil daun bunga raya jam 2 pagi!

Alhamdulillah. Pagi ini aku boleh menghantar dia ke sekolah seperti biasa. Dan harap-harapnya keadaan kurang memberangsangkan itu tidak berlanjutan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...